Saturday 21 June 2014

MURTAD DAN ANCAMANNYA KEPADA UMAT ISLAM ~ siri 1 Oleh : Nasrudin Hassan

MURTAD DAN ANCAMANNYA KEPADA UMAT ISLAM ~ siri 1
Oleh : Nasrudin Hassan

1. Murtad atau keluar daripada Islam merupakan suatu kesalahan atau jenayah yang besar dalam agama Islam. Perbuatan ‘riddah’ ini diklasifikasikan sebagai salah satu jenayah syariah yang boleh dikenakan hukuman hudud ke atasnya.

2. Murtad adalah satu perkara yang sangat dimurkai oleh Allah. Dalam firmanNya, Allah menyatakan balasan yang akan diterima oleh mereka yang berpaling daripada agama Allah sepertimana firmanNya;

وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“…dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal didalamnya (selama-lamanya)”

(Surah Al-Baqarah : 217)

Begitu juga firman Allah di dalam Surah An-Nahl ayat ke 106;

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi seisapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka itu tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar”

3. Faktor yang paling besar yang telah mendorong seseorang berpaling daripada agama Islam adalah disebabkan kurangnya penghayatan mendalam terhadap ajaran Islam sama ada dalam kehidupan seharian seorang individu dan masyarakat mahupun dalam urusan pemerintahan bagi sesebuah negara.

4. Malah, penyebaran ajaran-ajaran sesat yang berleluasa di negara kita menjadi salah satu penyebab rosaknya aqidah serta pegangan umat Islam. Munculnya ajaran Qadiani, Ayah Pin yang mendakwa memiliki kerajaan langit, Rasul Kahar dan sebagainya yang dianuti sebahagian besarnya dari kalangan Melayu Islam menunjukkan bahawa status aqidah di negara kita berada pada tahap yang membimbangkan.

5. Tidak terkecuali juga fahaman atau ideologi moden yang dianuti sebagai pegangan aqidah dan pemikiran seperti sekularisme, kapitalisme dan lainnya yang berakhir dengan menafikan keindahan serta keadilan syariat Islam lalu mengagungkan peraturan dan undang - undang ciptaan manusia, mengatasi apa yang telah diwahyukan oleh Allah swt.

6. Dalam Islam, ketetapan yang berkait dengan soal murtad tidak ada kena mengena dengan isu kebebasan seperti mana yang sering disalah ertikan. Islam telah menetapkan larangan dan hukuman  di bawah kanun Jenayah Syariah terhadap mereka yang murtad sebagai salah satu langkah untuk memelihara kesucian dan kedaulatan agama Islam. Ini adalah peraturan yang tetap daripada Allah   swt dan RasulNya saw kepada umat Islam itu sendiri.

~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment