Thursday 19 June 2014

Jawapan Mengelirukan Dewan Isu Bughah dibantah menerusi Peraturan Mesyuarat

Saya telah menerima jawapan bertulis daripada YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bagi soalan lisan meminta Perdana Menteri menyatakan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pandangan Mufti Perak dan Mufti Pahang mengenai isu 'bughah' (pemberontak).

Antara isi kandungan jawapan ialah definisi 'BUGHAH' dalam mazhab Syafie yang diterjemahkan sebagai berikut iaitu " orang yang menyalahi pemerintah yang adil, (YANG KELUAR DARIPADA KETAATAN KEPADANYA) dengan cara enggan daripada melaksanakan kewajipan atau lain-lain dengan syarat-syaratnya".

Saya telah membangkitkan di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini di bawah "Peraturan Mesyuarat 36 (12) mengelirukan dewan" bahawa terjemahan definisi tersebut  yang saya tulis di atas dengan huruf besar dalam kurungan adalah salah dan mengelirukan dewan.

Hal ini kerana teks asal dalam bahasa Arab ialah
المسلمون المخالفون لﻹمام (بخروج عليه) وترك الانقياد
Terjemahan yang betul bagi (بخروج عليه) bukannya (YANG KELUAR DARIPADA KETAATAN KEPADANYA) tetapi ia bermaksud (dengan memberontak). Dalam kamus-kamus bahasa Arab (خرج على ) bermaksud ( ثار ) iaitu memberontak dan memberontak mengandungi unsur menentang dengan kekuatan dan senjata.

Implikasi terjemahan yang salah ini ialah boleh membawa kepada tafsiran sebarang tindakan rakyat keluar membantah polisi pemerintah dengan lidah juga adalah 'bughah'. Sedangkan hakikatnya menegur pemerintah dengan lidah sekiranya berlaku kemungkaran termasuk di bawah kategori Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar dan sebahagian jihad berdasarkan banyak hadis Nabi saw. Antaranya Nabi saw bersabda:
أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
Bermaksud: "Sebaik-baik jihad adalah kalimah yang benardi sisi pemerintah yang zalim"
Terjemahan yang salah inilah yang dihujahkan oleh Mufti Pahang apabila merujuk mereka yang berdemonstrasi membantah polisi pemerintah sebagai 'bughah' pemberontak dalam Islam. Ini salah faham yang sangat besar.

Beliau berhujah berasaskan kefahaman yang salah dalam mentafsirkan definisi 'bughah' dalam bahasa Arab di atas.

Islam membenarkan polisi pemerintah yang mungkar dibantah dengan lidah. Adapun yang tidak dibenarkan oleh Islam dan dikategorikan sebagai 'bughah' ialah "memberontak" dengan senjata.
Justeru, saya memohon agar jawapan Menteri tersebut ditarik balik kerana mengelirukan dewan.

Namun, Speaker YB Tan Sri Pandikar Amin memutuskan bahawa beliau tidak boleh membuat keputusan kerana memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan dan perkara ini akan dibawa dalam sidang akan datang.

Dato Mahfuz Omar, YB Pokok Sena bangkit meminta agar jawapan Menteri tersebut digantung kerana memberi implikasi jawapan yang didakwa salah dipetik oleh media dan masyarakat. Namun, Speaker bertegas perlu mendengar jawapan balas dari pihak kerajaan.

No comments:

Post a Comment