Friday 27 April 2018

*Ikuti SIRI (2) UCAPAN PERBAHASAN BAJET DI DEWAN RAKYAT (2013 - 2017)* oleh *Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Ikuti SIRI (2) UCAPAN PERBAHASAN BAJET DI DEWAN RAKYAT (2013 - 2017)*
oleh
*Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Tarikh : *6 November 2013, 4.25 petang*

Sambungan dari SIRI 1

*Keberkatan Syarat Kecukupan*

13. Hari ini kita kata rezeki kita tidak cukup, duit tidak cukup untuk tampung pelbagai perbelanjaan. Perlu kita ingat sebagai orang yang beriman kepada Allah dan kerajaan bagi sebuah negara yang meletakkan Islam agama Persekutuan perlu yakin bahawa persoalan *keberkatan rezeki ataupun hasil mahsul negara sangat penting*. Ini kerana barokah ini satu konsep yang tidak nampak di mata, tetapi dapat kita rasai dalam kehidupan kita seharian. Apakah yang dimaksudkan dengan barokah?

14. Barokah  ini  kalau  kita  petik  satu  hadis  Nabi  SAW  kisah  sahabat  bertanya, ”Kami ini makan-makan tetapi tidak kenyang-kenyang. Kenapa Ya Rasulullah?” Makannya banyak tetapi tidak rasa kenyang. Lalu kata Nabi SAW, antara maksudnya, barangkali kamu ini makan secara berselerak, tidak berjemaah, tidak bersama-sama beramai-ramai ketika makan, “Maka berhimpunlah kamu ketika makan, pasti akan diberkati oleh Allah.”

15. Apa yang kita hendak ambil di sini ialah cerita bagaimana *bila tidak ada barokah menyebabkan harta yang ada tidak cukup*. Itulah yang berlaku di negara kita pada hari ini. Tidak cukupnya hasil mahsul negeri hingga kita hari ini terpaksa berhutang dengan jumlah yang banyak. Walaupun kerajaan menyatakan tidak mengapa kerana hutang itu masih dapat dikawal. Akan tetapi kita menyatakan bahawa keadaan *hutang itu menunjukkan kepada kita bimbang bahawa ia adalah petanda awal kita ditarik berkat oleh Allah SWT.*

*Awas Hutang*

16. Dalam persoalan hutang walaupun kerajaan mengatakan tidak mengapa kita hanya berhutang dalam negeri sahaja yang masih boleh dikawal. Kita diperingatkan dengan satu hadis Nabi SAW, antaranya bermaksud, "ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada rasa lemah dan rasa malas, dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku juga berlindung dengan-Mu Ya Allah daripada bebanan hutang keliling pinggang dan penguasaan manusia lain ke atas kami."
Ini doa nabi menunjukkan kepada kita bahawa hutang bukan satu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada cara perbelanjaan negara.

17. Saya hendak petik bagaimana laporan kewangan yang dibentangkan yang diedarkan kepada kita. Kalau kita lihat Belanjawan 2012, dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan dahulu kerajaan menyasarkan perbelanjaan RM232 bilion. Akan tetapi belanja sebenar berdasarkan laporan kewangan ialah RM257 bilion, bererti defisit sebanyak RM25 bilion.

18. Hasil sebenar kerajaan 2012 berdasarkan laporan ialah RM208 bilion sedangkan belanja sebenar RM257 bilion bererti defisit sebanyak RM49 bilion. *Hutang awal ialah bernilai RM501 bilion campur dengan pelbagai liabiliti RM276 bilion bererti kerajaan sedang menanggung liabiliti semuanya RM777 bilion.* Dalam keadaan aset Kerajaan Persekutuan yang dapat dikutip dari pinjaman yang boleh tuntut dan pelaburan hanya berjumlah RM122 bilion.

*Sedia Rizab Negara yang Cukup*

19. Saya mahu kerajaan untuk melihat Surah Yusuf, kisah Nabi Allah Yusuf a.s. menguruskan kewangan negara.....

bersambung ke SIRI 3 insyallah

Thursday 26 April 2018

*Ikuti SIRI (1) UCAPAN PERBAHASAN BAJET DI DEWAN RAKYAT (2013 - 2017)* oleh *Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*

*Ikuti SIRI (1) UCAPAN PERBAHASAN BAJET DI DEWAN RAKYAT (2013 - 2017)*
oleh
*Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*

Tarikh : *6 November 2013, 4.25 petang*

_Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh._

*Kunci Keberkatan Negara*

1. Allah SWT berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

maksudnya, “Sekiranya penduduk kampung itu beriman dan bertakwa kepada Allah, pasti Kami akan buka untuk mereka keberkatan-keberkatan daripada langit dan juga bumi, akan tetapi sayangnya mereka tidak percaya. Lalu Kami hukum mereka disebabkan apa yang mereka telah perolehi”. (Surah al-A'raf ayat 96)

2. Ayat ini menjelaskan kepada kita panduan kepada sebuah negara untuk mendapatkan keberkatan hasil mahsul negara dan juga perbelanjaan negara iaitu dua anak kunci yang mesti diambil perhatian oleh setiap kerajaan. *Pertamanya beriman kepada Allah, yang keduanya bertakwa kepada Allah*.

3. Antara makna beriman ialah yakin bahawa *rezeki datang daripada Allah SWT.* Oleh kerana itu mestilah segala perbelanjaan yang kita dapat dibelanjakan pada tempat-tempat yang diredai oleh Allah SWT untuk diberikan rezeki yang berterusan, yang baik oleh Allah SWT.

4. Kedua bertakwa, bererti *sikap berhati-hati dalam membelanjakan setiap perkara, harta yang diberikan oleh Allah SWT.* Apatah lagi harta merupakan perkara yang awal dihisab oleh Allah pada hari akhirat.

5. Seperti mana sabda Nabi SAW riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban,

لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ 
mafhumnya, “Akan terus dua kaki anak Adam tidak berganjak pada hari kiamat hingga disoal empat perkara. Antaranya tentang hartanya dari manakah punca dia dapat dan ke manakah dibelanjakan?"

*Petunjuk Al-Quran Mengenai Prinsip Belanjawan*

6. Dalam kita bincang tentang persoalan perbelanjaan atau bajet pada tahun 2014, perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah bagaimanakah konsep belanjawan yang diajar oleh Allah SWT? Saya petik dua ayat Allah SWT.

7. Pertamanya firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 67

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
yang bermaksud “Orang-orang yang apabila mereka berbelanja, mereka tidak boros. Mereka juga tidak kedekut dan adalah perbelanjaan ini pertengahan antara keduanya”.

8. Kedua, Allah Taala berfirman dalam surah al-Tolaq ayat 7

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ

maksudnya, “Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya. Dan barang siapa yang disempitkan rezekinya oleh Allah, maka hendaklah ia berbelanja berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah SWT”.

9. Dua ayat ini menjelaskan kepada kita dua prinsip. Pertama sekali, *berbelanja berdasarkan kemampuan*. Kedua, *berbelanja secara berhemah*. Dua prinsip inilah yang saya lihat gagal untuk dihayati oleh Bajet 2014 dan juga dihayati oleh bajet-bajet sebelumnya yang dibentangkan oleh kerajaan.

*Pembaziran dan Ketirisan Punca Defisit*

10. Ini kerana apa yang kita saksikan ialah belanjawan yang dibentangkan masih lagi bersifat defisit hingga RM40 bilion. Defisit ini kalau ia berlaku untuk kali pertama, tidak mengapa. Akan tetapi, ia telah berlaku juga tahun lepas, dua tahun lepas, tiga tahun lepas, dan begitulah seterusnya berlaku defisit yang berpanjangan.

11. *Adakah defisit ini berlaku kerana kekurangan hasil? Jawapannya tidak.* Ini kerana kalau kita lihat kepada Laporan Audit Negara, menunjukkan kepada kita bahawa di sana *berlaku banyak pembaziran dalam pengurusan harta negara.* Seperti disebut oleh Ketua Audit Negara di awal laporan buku berkaitan Kerajaan Persekutuan- Siri 1 dan Siri 2 menyatakan dengan jelas antaranya persoalan pembaziran yang berlaku.

12. Oleh itu bila kita katakan berlakunya pembaziran, maka kita mengajak kerajaan untuk *menangani terlebih dahulu pembaziran yang berlaku kerana pembaziran yang berlaku itu menarik barokah daripada Allah SWT.*

*Keberkatan Syarat Kecukupan*

13. Hari ini kita kata rezeki kita tidak cukup, duit tidak cukup untuk tampung pelbagai perbelanjaan. Perlu kita ingat......
*... bersambung SIRI 2*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1958608040815883&id=569086473101387

Thursday 12 April 2018

*BPMS Mengetuk Pintu Dakwah Tsunami Politik Islam Melayu*

*BPMS Mengetuk Pintu Dakwah Tsunami Politik Islam Melayu*

oleh Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

1. Penglibatan PAS dalam mewarnai politik tanah air khususnya selepas 2015 sangat menyerlah apabila menjadikan *Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) sebagai salah satu strategi* menggamit hati rakyat untuk bersamanya dalam PRU ke 14.

2. BPMS menekankan pentingnya politik berasaskan prinsip dan penyelesaian Islam, politik dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar, politik mengutamakan kepentingan rakyat, *politik damai, realiti bukan persepsi* dan politik profesional dan rasional.

3. Berasaskan prinsip *kerjasama dalam perkara kebajikan dan taqwa* sebagaimana saranan al-Quran, PAS boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam beberapa isu berkepentingan Islam dan antarabangsa seperti isu Palestin dan Rohingya. PAS juga mendapatkan kerjasama kerajaan bagi membawa RUU 355 ke Dewan Rakyat yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan perundangan jenayah Islam.

4. Berasaskan prinsip Islam yang mengharamkan berita palsu, PAS menyokong Akta Anti Berita Tidak Benar. Ia bertujuan agar *politik dibina atas asas realiti bukannya persepsi* yang dicipta berasaskan berita palsu.

5. Berasaskan prinsip mendaulatkan Islam dan Mahkamah Syariah, PAS menolak pindaan Akta 164 melibatkan undang-undang memperbaharui perkahwinan yang menyentuh hak mualaf yang memeluk Islam di saat *PH bersatu dengan UMNO/BN menyokongnya.*

6. Berasaskan prinsip menyokong kebaikan dan menolak keburukan maka PAS berkecuali dalam meluluskan bajet 2018 di Dewan Rakyat.

7. Berasaskan prinsip menolak riba dan kezaliman ekonomi, PAS menolak penglibatan kerajaan dengan Bank Pelaburan Pembangunan Asia di saat *ia disokong secara bersama oleh BN dan Pakatan Harapan*. PAS juga menegur peningkatan hutang kerajaan persekutuan sejak 1990 termasuk hutang berasaskan sistem riba. PAS juga parti terawal *menolak dasar dan pelaksanaan cukai GST* apabila membawanya ke Muktamar Tahunan PAS pada 2013.

8. Berasaskan prinsip politik penyelesaian Islam maka PAS mengemukakan alternatif bagi percukaian GST yang bercanggah dengan Islam iaitu *cukai pegangan saham di Bursa Malaysia dan cukai simpanan korporat.*

9. Berasaskan prinsip penyelesaian Islam maka PAS menawarkan polisi menarik melibatkan hak berkediaman dan hak mendapatkan kenderaan bertujuan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. PAS menawarkan *pembiayaan berasaskan Qardun Hasan* iaitu pinjaman tanpa faedah sebagai sebahagian penyelesaian *bagi rakyat marhaen B40.*

10. Berasaskan prinsip ketelusan pentadbiran dan patriotik, PAS mendesak skandal kewangan 1MDB, skandal Forex, skandal PKFZ, skandal Perwaja dan skandal BMF disiasat menggunakan sistem siasatan negara. PAS juga menegaskan Tadbir Urus Rabbani perlu diterapkan bagi mengikat pentadbiran dengan dosa dan pahala sebagaimana dilaksanakan oleh PAS di Kelantan sejak 1990 sehingga *diperakui sebagai bebas rasuah.*

11. *Mendepani PRU ke 14, PAS sangat yakin momentum sokongan masyarakat khususnya Melayu Islam akan beralih kepada PAS*. Ia mampu mewujudkan *"Tsunami Politik Islam Melayu*.

Sekian

Sabtu 7hb April 2018

Monday 9 April 2018

*MANIFESTO BN; APA YANG HILANG?*

*MANIFESTO BN; APA YANG HILANG?*

Oleh :
*Dato' Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri*
_AJK Kerja PAS Pusat_

1. BN baru sahaja melancarkan manifesto kelmarin. Pelbagai janji yang dihidangkan kepada rakyat melibatkan beberapa segmen adalah perkara biasa yang mampu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan sekiranya pengurusan kewangan dilakukan secara berhemah tanpa sebarang ketirisan.

2. Pada masa rakyat sedang berhadapan dengan peningkatan kos hidup yang mencengkam kewangan mereka tentulah besar harapan rakyat agar kerajaan pasca PRU ke-14 mampu menyelesaikan sebahagian masalah ekonomi yang dihadapi mereka.

3. Namun, apa yang perlu disedari oleh rakyat ialah kemelut ekonomi memuncak apabila percukaian GST diperkenalkan. Usaha menambah nilai pendapatan boleh guna akan kehilangan impaknya selagi percukaian tersebut diteruskan.

4. Menyedari hakikat itulah tawaran awal PAS ialah menghapuskan percukaian GST. Bagi meningkatkan pendapatan maka alternatif pada percukaian GST ialah cukai bermodelkan sistem zakat Islam yang dikenakan kepada golongan kaya iaitu cukai pegangan saham di Bursa Malaysia dan cukai simpanan korporat yang kedua-duanya mampu menambah pendapatan negara sekitar RM60 bilion, jauh melepasi pendapatan GST yang hanya RM44 bilion pada 2017. Namun, manifesto BN gagal membuat tawaran penghapusan GST sebagaimana harapan rakyat.

5. Segala perancngan yang baik juga asasnya ialah tadbir urus yang baik (good governance). BN sekali lagi menjanjikan tadbir urus yang baik di saat mereka tercalar dengan pelbagai isu ketirisan.

6. Namun, PAS bergerak selangkah ke hadapan dengan menawarkan Tadbir Urus Rabbani yang mengikat para pentadbir sebagai hamba kepada Tuhan yang meletakkan pertimbangan dosa dan pahala, syurga dan neraka serta pemantauan Malaikat yang mencatat perlakuan baik dan jahat.

7. Tadbir Urus Rabbani telah menunjukkan kejayaannya dalam pentadbiran PAS di Kelantan sehingga diiktiraf sebagai kerajaan bebas rasuah dan ketirisan serta mempunyai akauntabiliti.

8. BN juga menawarkan kesinambungan projek kediaman mampu milik yang telah dibuat oleh kerajaan sekarang dan menawarkan penubuhan bank khusus untuk pembiayaan kediaman. Namun, PAS lebih kehadapan menawarkan peluang pembiayaan kediaman mampu milik antara RM50k sehingga RM180k menerusi Qard al-Hasan, iaitu pinjaman tanpa faedah bagi B40.

9. Malah, PAS juga menawarkan usahasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membuka rancangan-rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda. Ia ke arah pemilikan lot dan rumah kediaman mampu milik di samping membuka peluang baru pekerjaan.

10. Manifesto BN tidak menyentuh tawaran melibatkan pemilikan kenderaan rakyat B40. Ia barangkali kerana BN telah gagal menunaikan janji manifesto 2013 bagi menurunkan harga kereta sehingga 30%. Berbeza dengan PAS yang membuat tawaran khusus bagi pembelian kenderaan 1.3 cc ke bawah untuk kali pertama bagi golongan B40 dengan pengecualian duti eksais di samping kaedah pembiayaan Qard al-Hasan iaitu pinjaman tanpa faedah.

11. Antara tawaran BN ialah pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah serta pemerkasaan Mahkamah Syariah. Namun, PAS bergerak ke hadapan secara lebih komprehensif bagi menegaskan dasar bernegara iaitu Islam sebagai ad-Din yang perlu diperkasakan dalam peruntukan perlembagaan. Ia bukan hanya merangkumi undang-undang dan mahkamah tetapi merangkumi segala aspek polisi bernegara yang mesti selaras dengan Islam.

12. Namun, apa yang membimbangkan ialah tawaran BN bagi memperluaskan program dwi-bahasa yang mengancam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Ia berbeza dengan PAS yang membuat tawaran bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

13. Setelah meneliti manifesto BN, saya sangat yakin bahawa apa yang ditawarkan oleh PAS dan Gagasan Sejahtera jauh lebih menyeluruh pada gagasan bernegaranya. Manifesto GAGASAN seterusnya melibatkan segmen anak muda, wanita, petani dan lain-lain akan menyusul insyaAllah terdekat sebelum penamaan calon PRU ke-14.

Sekian.

Isnin, 9 April 2018

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1939493262727361&id=569086473101387

Wednesday 4 April 2018

*TANAH RIZAB MELAYU :* *KERAJAAN WAJIB PELIHARA AMANAH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU*

*Kenyataan Media*
*Ahli Parlimen Kuala Nerus*

Khamis, 18 Januari 2018 | 1 Jumadilawal 1439H

*TANAH RIZAB MELAYU :*
*KERAJAAN WAJIB PELIHARA AMANAH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU*

1. Raja-raja Melayu dalam wasiat yang disampaikan pada 1957 mahukan Tanah Simpanan Melayu berada pada nisbah sehingga 50% di tangan orang Melayu yang merupakan rakyat asal bagi negara ini.

2. Namun, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun lalu, sehingga 2016, Tanah Rizab Melayu (TRM) berjumlah sekitar 4 juta hektar (2013 : 4.1 juta hektar atau 31.19%). Setelah 60 tahun negara ini merdeka pun, wasiat Raja-raja Melayu masih belum berjaya ditunaikan.

3. Pendedahan oleh salah seorang ahli jawatankuasa Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Pn. Zaharah Sulaiman pada Konvensyen Kebangkitan Ummah baru-baru ini bahawa baki TRM di negara ini semakin susut dan ia *berpunca antaranya kerana Kerajaan membiarkan tanah ini dijual kepada bangsa asing untuk pembangunan* dan *Kerajaan juga tidak memulangkan (atau menggantikan) semula* tanah ini, menunjukkan TRM ini sedang diancam ‘kepupusan’.

4. Pembangunan adalah keperluan masyarakat pelbagai bangsa dalam negara ini. Namun, ia *tidak wajar mengorbankan pemilikan dan hak rakyat asal* negara ini yang telah diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu. *Menunaikan hak adalah kewajipan pemerintah* sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' ayat 58 :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا 

_"Sesunguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah-amanah kepada yang berhak..."_

5. Kerajaan perlu segera bertindak membetulkan kesilapan ini. *Amanah ini perlu segera disempurnakan.* Kerajaan mesti mengambil tindakan segera yang lebih berkesan, komprehensif dan bersepadu bagi menangani isu penyusutan keluasan dan pembangunan TRM di negara ini.

6. Saya menggesa Kerajaan agar :

(a) Mengemaskini dan mengiklankan keluasan dan kawasan TRM pada masa ini.

(b) Mengganti semula TRM yang telah dibatalkan kerana apa-apa tujuan sekalipun.

(c) Mengenalpasti dan mengisytiharkan kawasan baru sebagai TRM bagi meningkatkan nisbah TRM.

(d) Menubuhkan sebuah badan atau jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri yang diberikan kuasa undang-undang bagi mentadbir pengurusan dan pembangunan TRM.

(e) Mewujudkan jaringan dan menyediakan inisiatif khas kepada para pemaju Melayu (atau koperasi Melayu, atau dewan perniagaan Melayu dsb.) untuk membangunkan TRM sama ada dengan pembangunan fizikal atau bukan fizikal.

Sekian.

_*Sejahtera Bersama Islam*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Pautan Rasmi :
http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/15-tanah-air/4806-tanah-rizab-melayu-kerajaan-wajib-pelihara-amanah-wasiat-raja-raja-melayu

*KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN BERCANGGAH DENGAN ISLAM & PERLEMBAGAAN

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*
Jumaat 14hb Februari 2018

*KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN BERCANGGAH DENGAN ISLAM & PERLEMBAGAAN*

1. Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu agama anak bawah umur 18 tahun pada 29hb Januari 2018 lalu ternyata *bercanggah dengan Islam, malah mencabar kedaulatan bersumberkan ajaran Islam dalam negara, disamping bercanggah dengan pentafsiran secara literal dan harfiyyah bagi perkataan "parent" dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. *

*BERCANGGAH DENGAN FATWA*

2. Dalam Islam, agama anak sebelum umur baligh adalah mengikut agama bapa yang Islam. *Ia adalah hukum IJMAK yang telah disepakati oleh seluruh ulamak IsIam*. Cuma berlaku perselisihan di kalangan ulamak Islam sekiranya ibu masuk Islam. Hampir sepakat Ulamak menegaskan agama anak juga adalah mengikut agama ibu yang masuk Islam kecuali pandangan Imam Malik. Usia Baligh dalam Islam pula tidak melepasi 15 tahun Qamari. Ada yang sampai umur Baligh lebih awal daripada itu.

3. *Hukum yang difatwakan di Malaysia pula ialah agama anak bawah umur 18 tahun adalah mengikut salah seorang ibu atau bapa yang masuk Islam*. Itu adalah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-87 yang bersidang pada 23 hingga 25 Jun 2009. Juga Fatwa Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang pada 25 Julai 2009 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 30 Mac 2017

4. Apabila sesuatu hukum telah difatwakan maka ia adalah hukum yang sepatutnya terpakai pada amalan namun malangnya keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara jelas telah bercanggah dengan fatwa-fatwa yang terpakai di Malaysia yang menimbulkan persoalan sejauh mana pandangan Islam terpakai dalam perundangan negara.

5. Dalam masa yang sama saya menyeru jawatankuasa fatwa untuk menghuraikan semula fatwa dengan memperincikan hukum antara anak belum baligh dan anak yang telah baligh tetapi di bawah umur 18 tahun kerana umur baligh dalam Islam berlaku apabila cukup 15 tahun Qamari. Apabila telah mencapai umur Baligh mereka sepatutnya tidak lagi berada di bawah keputusan ibu atau bapa mereka.

*KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN*

6. *Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam perlembagaan gagal diambil kira bagi memberikan perlindungan terhadap hukum Islam* dalam isu ini kerana ia tidak menjadi rujukan para hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dalam membuat tafsiran terhadap maksud perkataan "parent" dalam teks bahasa Inggeris Perlembagaan Malaysia.

7. Mahkamah yang sama juga sebelum ini dalam kes Subashini pada 2007 telah memutuskan bahawa maksud "parent" dalam Perlembagaan ialah salah seorang ibu atau bapa. *Keputusan itu selaras dengan hukum dan fatwa Islam. Malah lebih tepat dengan tafsiran literal dan harfiyah bagi perkataan "parent",* Berbeza dengan keputusan terkini Mahkamah Persekutuan.

8. *Ulasan Mahkamah Persekutuan tentang "basic structure of our Constitution" juga didapati telah mengabaikan  kedaulatan negara berkonsepkan raja-raja Melayu bersumberkan ajaran Islam* seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Negeri 1948.

9. Keputusan itu telah mengabaikan fakta penting bahawa mahkamah-mahkamah balai sebelum Hari Merdeka juga memakai perundangan Islam, bahkan pemakaian prinsip common law adalah tertakluk pada syarat-syarat "local circumstances",  "social conditions" dan penduduk watan. Justeru, pandangan yang menyingkirkan pemakaian perundangan Islam daripada "basic structure of our constitution" adalah tafsiran yang tersasar daripada sejarah undang-undang watan tanah air.

*HAK PENJAGAAN ANAK*

10. Di saat kita menegaskan hukum berkaitan agama anak yang belum baligh, kita boleh pula melihat keluasan Islam dalam isu hak penjagaan anak oleh ibu yang tidak muslim. Kedua-duanya adalah persoalan yang berbeza.

11. Hak penjagaan anak yang muslim kerana mengikut agama salah seorang ibu atau bapa boleh dilihat menerusi perspektif pelbagai pandangan Ulamak yang membenarkan penjagaan anak oleh ibu yang tidak Islam. Ia adalah pendapat yang masyhur dalam Mazhab Hanafi, Maliki. Namun, pilihan perlu diberikan pada anak yang boleh membuat pilihan sekiranya telah mumayyiz.

12. Dalilnya ialah hadis kisah Salamah yang diberi pilihan oleh Rasulullah saw sama ada mengikut ibu yang belum Islam atau bapanya yang Islam. (Hadis riwayat Nasaei)
*Kecuali  jika dibimbangi hak beragama Islam anak terjejas seperti diberi minum arak dan makanan yang haram seperti babi maka di kala itu pihak berkuasa boleh menilai kembali kaedah yang wajar bagi menjaga maslahat agama anak.*

13. Fatwa Negeri Pahang yang diwartakan pada 12 September 2013 membenarkan ibu bapa bukan Islam menjaga anak sebagai satu pengecualian dengan syarat hak beragama anak terpelihara. Fatwa menyebut: "Dalam keadaan tertentu penjagaan boleh diberikan kepada ibu atau bapa yang bukan Islam dengan syarat memastikan makan minumnya halal dan dididik dengan ajaran Islam."

14. Berbeza dengan Mazhab Syafie dan Hanbali yang tidak membenarkan penjagaan anak muslim oleh ibu yang belum Islam. Hal ini kerana keperluan penjagaan manusia bukan hanya pada konteks naluri keibu-bapaan sahaja dalam memberikan makan dan minum  tetapi juga merangkumi aspek spiritual. Malah penjagaan aspek spirituallah merupakan kewajipan utama ibu dan bapa.

15. *Dalam konteks negara Malaysia yang masih gagal memberikan perlindungan sepenuhnya kepada Islam maka pandangan Mazhab Syafie dan Hambali ini lebih wajar diutamakan.* Sementelah Mazhab Hanafi dan Maliki juga tidak membenarkan ibu yang tidak Islam menjaga anak sekiranya agama anak yang Islam boleh terjejas.

*KEPENTINGAN KUASA POLITIK*

16. Lebih malang lagi, sebaik keputusan ini diputuskan ada Menteri yang dengan cepat membuat pengumuman untuk membawa keputusan ini ke kabinet. Adakah ada usaha untuk meminda kembali Akta 164 Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) dengan memasukkan fasal 88 A yang menjadi kontroversi dan dibantah oleh umat Islam sebelum ini? *Ia tidak pelik boleh berlaku sekiranya PAS sebagai parti yang tegas dalam isu ini tidak berpeluang menang besar dalam PRU ke 14 bagi menerajui kerajaan*.

17. Malah pembangkang dalam kalangan Pakatan Harapan juga secara terbuka mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Mereka selari dengan kerajaan dalam perkara itu bahkan mendesak kerajaan untuk memasukkan peruntukan agama anak bawah umur 18 tahun hendaklah secara bersama ibu dan bapa dalam Akta 164 yang jelas bercanggah dengan Islam.

18. *Islam perlu diberikan haknya dalam perlembagaan*. Tiba masanya untuk Islam sebagai agama Persekutuan diberikan makna yang sebenar sebagai *agama yang menjadi rujukan perundangan negara bukan hanya agama dengan maksud amalan dan kepercayaan sahaja*. Kedudukan Islam mesti dilihat dalam sejarah pembentukan  negara sebagai Persekutuan yang asalnya terdiri daripada gabungan negeri-negeri berdaulat yang menobatkan Islam sebagai sumber perundangan.

19. Konsep kedaulatan watan Raja-raja Melayu bersumberkan Syariat Islam sebelum pembentukan Persekutuan mesti dirujuk dalam pentafsiran Perlembagaan Persekutuan. Raja-raja Melayu inilah yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Kuasa kedaulatan ini terpelihara dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan.

20. Di sini jelas membawa maksud betapa pentingnya pilihanraya dalam memastikan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah dikalangan mereka yang memahami tanggungjawab menobatkan Islam dan memberikan tafsiran yang benar bagi kedudukan dan kedaulatan Islam serta memperkasakan Mahkamah Syariah dalam perlembagaan.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

*BEBAN HUTANG PENDIDIKAN

*Kenyataan Media*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

4hb April 2018 | 17 Rejab 1439H

*BEBAN HUTANG PENDIDIKAN*

1.  Soalan saya di Dewan Rakyat hari ini ialah berkaitan dengan prosedur menyenaraihitamkan individu yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman PTPTN setelah menamatkan pengajian.

2.  Pendidikan termasuk pendidikan tinggi adalah hak asasi dan keperluan rakyat khususnya bagi membina negara maju dan sejahtera. Tetapi, kerana tiga faktor iaitu ketidakmampuan keluarga, kos pengajian yang tinggi dan tiada tabung pembiayaan pendidikan peringkat nasional berkonsepkan _hibah_ (hadiah), maka rakyat terpaksa meminjam.

3. Apabila tamat pengajian, kerana ketiadaan pekerjaan dan kos kehidupan semakin meningkat, mereka tidak mampu pula membayar hutang pendidikan. Kerajaan hanya memberi tempoh selama 12 bulan sahaja untuk memulakan pembayaran balik. Jika tidak, maka nama mereka akan disenaraihitamkan. Justeru, mereka terpaksa memulakan kehidupan selepas alam pengajian dalam keadaan terbeban, tidak mampu "berlari" laju.

4.  Hari ini, hutang pendidikan merupakan salah satu komponen utama hutang isi rumah terutamanya dalam kalangan belia. Akibat ketidakmampuan atau kegagalan untuk membayar semula hutang ini, para peminjam menghadapi pula kesulitan-kesulitan lain kesan disenaraihitamkan. Sedangkan, salah satu faktor utama ketidakmampuan atau kegagalan untuk membayar semula hutang itu ialah kerana tidak mendapat pekerjaan dan tiada pendapatan.

5. Senario ini boleh dilihat menerusi Laporan Tahunan 2016 Bank Negara Malaysia yang antaranya menyatakan :

(a) Pengangguran belia mencecah 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%.

(b) Pengangguran belia semakin meningkat dalam tempoh kebelakangan ini kerana kadar pengambilan pekerja yang menurun sejak akhir tahun 2014 disebabkan oleh sentimen perniagaan yang berhati-hati dan prestasi ekonomi yang makin sederhana.

(c) Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berpendidikan tinggi adalah lebih tinggi pada 15.3%, berbanding belia yang tidak berpendidikan tertiari iaitu 9.8%.

6.  Oleh itu saya berpandangan :

   (i) Sudah sampai masanya Kerajaan memperbanyakkan tabung-tabung pembiayaan secara percuma untuk membiayai kos yuran dan kos kehidupan sepanjang pengajian dengan kerjasama kerajaan negeri dan korporat.

   (ii) Kerajaan perlu membuat persediaan ke arah menjadikan yuran pendidikan pengajian tinggi khususnya adalah PERCUMA di universiti awam.

   (iii) Melupuskan hutang PTPTN yang masih tertunggak sebagai ganti rugi ke atas pengangguran yang berlaku dan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sekian.

_*"Sejahtera Bersama Islam"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*