Sunday 30 June 2019

JUDI BERLESEN ATAU TIDAK ADALAH HARAM, IBU SEGALA JENAYAH

Kenyataan Media

Ahad, 30 Jun 2019 | 25 
Syawal 1440H

JUDI BERLESEN ATAU TIDAK ADALAH HARAM, IBU SEGALA JENAYAHSlide clips to delete them
1.Judi sama ada secara berlesen atau tidak, tetap haram dan salah dalam semua agama mahupun budaya kemanusiaan. Saya mengelak menggunakan istilah "judi haram" yang selalu digunakan oleh media bagi merujuk kepada "judi tidak berlesen" untuk mengelakkan salah faham masyarakat bahawa hanya judi tidak berlesen adalah "haram", manakala yang berlesen pula adalah "halal".
2. Sekalung tahniah diucapkan kepada PDRM atas kejayaan menahan 14,759 individu termasuk menangkap 92 pengendali premis serta merampas RM3.8 juta dan 10,361 peralatan dalam serbuan ke atas 8,775 premis judi tidak berlesen sejak Januari lalu bagi membanteras aktiviti perjudian tersebut.
3.Usaha dan kejayaan ini dilihat selari dengan komitmen yang disuarakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), DS Abdul Hamid Bador untuk membanteras jenayah judi di negara ini.
4.Walaubagaimanapun, adalah diingatkan bahawa aktiviti perjudian tidak berlesen ini akan terus wujud jika industri perjudian di negara ini terus subur kerana diberikan lesen kebenaran bagi membolehkan Kerajaan mengutip cukai tertentu daripadanya yang menyumbang pendapatan yang besar kepada negara. Perolehan cukai tidak menghalalkan aktiviti judi yang haram pada agama meskipun halal pada undang-undang negara malah ia menjadi baja menyuburkan judi tidak berlesen pula.
5.Tidak sepatutnya kebenaran yang diberikan bagi menjalankan aktiviti ini secara sah di sisi undang-undang untuk memenuhi kehendak dan “hak” sebilangan orang dibiarkan sehingga merosakkan pula masyarakat dan negara.
6.Ungkapan “judi ibu segala jenayah” seperti yang disifatkan oleh KPN sewajarnya diberikan perhatian yang serius dan difahami sebagai semua bentuk perjudian tanpa mengambil kira sama ada ia dijalankan secara berlesen ataupun tidak.
7.Justeru, saya mendesak Kerajaan supaya menyelaras dan mengetatkan semua undang-undang yang berkaitan dengan perjudian di negara ini ke arah menjadikan aktiviti ini sebagai suatu jenayah pada masa hadapan selari dengan apa yang Allah sifatkan perbuatan itu sebagai رِجسٌ مِن عَمَلِ الشَّيطانِ (adalah kotor dari perbuatan Syaitan).
Sekian.
"Islam Memimpin Perpaduan"
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus