Saturday 21 October 2017

Krisis Ekonomi Hasil GST & Sosial Seumpama Arak dan Judi Merosakkan Negara

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

*Krisis Ekonomi Hasil GST & Sosial Seumpama Arak dan Judi Merosakkan Negara*

1. Negara sedang berhadapan dengan pelbagai krisis. Sejak bertahun negara berhadapan dengan krisis ekonomi yang sangat dirasai oleh rakyat marhaen hasil daripada polisi percukaian GST yang haram dan kejatuhan matawang. Susut nilai pendapatan rakyat B40 terutamanya mungkin gagal diselami keperitannya oleh golongan kaya.

2. Di bulan oktober ini pula rakyat *disajikan dengan kesombongan segelintir ahli politik yang menyokong dan mendokong pesta arak yang merosakkan masyarakat.* Mereka tidak tahu membezakan antara hak individu bukan Islam untuk minum arak dengan hak masyarakat yang terganggu dan terancam keselamatan mereka dengan pesta memabukkan yang menghilangkan akal manusia.

3. Terkini rakyat juga melihat krisis sosial melibatkan judi. Sejak merdeka najis judi yang merosakkan rakyat telah menjadi industri yang dihalalkan dengan lesen oleh pihak berkuasa. Ia diparahkan lagi dengan judi yang tidak berlesen tetapi dinaungi oleh golongan berpengaruh.

4. Lebih membimbangkan apabila ada laporan bahawa terdapat di kalangan orang politik yang dinaungi dan dibiayai aktiviti politik mereka oleh pemain industri judi. Jika benar, bagaimana mungkin golongan berpengaruh ini boleh mewakili kepentingan rakyat di saat dedak judi telah mengalir ke seluruh urat saraf mereka?

5. Rakyat perlu bangkit bersama beberapa NGO yang giat membenteras gejala sosial ini termasuk terkini PPIM. Dokongan penuh perlu ditunjukkan oleh pihak penguatkuasa. Tiada kebaikan untuk judi melainkan ia hanya menguntungkan pemain industrinya dengan mengkayakan golongan yang sudah kaya hasil manipulasi kebodohan golongan yang ingin berjudi nasib mahukan kekayaan segera.

6. *Negara ini perlu diselamatkan dengan Islam*. Pemimpin dan rakyat perlu dididik untuk mempunyai perasaan takut kepada pembalasan di alam selepas kematian meskipun mereka mungkin terlepas daripada hukuman hasil perlakuan jenayah dan gejala yang merosakkan umat di dunia. *Ketakutan itu menjadikan mereka pemimpin yang baik yang tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan dan tidak menjadi penaung kepada penyakit sosial seperti ketagihan arak dan judi.*

"Membina Negara Sejahtera"

Sekian.

Sabtu 21hb Oktober 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=139685103428032&id=100021596301902

SUKUK IJARAH & AGIHAN LOT TANAH SEBAGAI PENYELESAIAN KEDIAMAN RAKYAT*

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*

18 Oktober 2017 | 27 Muharram 1439H

*SUKUK IJARAH & AGIHAN LOT TANAH SEBAGAI PENYELESAIAN KEDIAMAN RAKYAT*

1. Walaupun pendapatan penengah isi rumah meningkat 6.6% kepada RM5,228.00, ia tetap belum sampai ke tahap mampu untuk membeli rumah pada harga purata RM387,258 yang dijual di negara ini pada tahun lalu.

2. Harga purata tersebut yang dikategorikan sebagai 'amat tidak mampu milik' itu hanya layak untuk dimiliki oleh isi rumah yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM10,757.00.

3. Bererti, adalah mustahil sekali bagi kumpulan isi rumah B40 dan M40 dengan hanya pendapatan purata RM2,848.00 dan RM6,502.00 masing-masing untuk memiliki rumah pada masa ini dan juga pada masa hadapan berdasarkan trend harga hartanah itu yang semakin meningkat saban tahun.

4. Secara unjurannya, bagi tempoh 2016 hingga 2020, negara ini memerlukan 653,000 buah rumah mampu milik (RMM) atau 130,000 buah RMM setahun bagi memenuhi permintaan. Namun, bekalan RMM pada masa ini secara puratanya hanya 60,000 buah sahaja setahun. Ia amat tidak cukup bagi menampung permintaan.

5. Meneliti dua (2) masalah ini iaitu (i) harga rumah yang mahal dan (ii) bekalan RMM yang rendah, penyelesaian sebenar yang harus diberikan fokus bagi menangani isu pemilikan rumah ini adalah pada isu mendapatkan pembiayaan bank itu sendiri bagi membolehkan para pembeli membuat (i) bayaran pendahuluan dan (ii) bayaran ansuran bulanan.

6. Bebanan bayaran pendahuluan ini dapat diselesaikan secara kaedah _musyarakah_ dengan kerajaan mewujudkan suatu dana bagi memberikan pembiayaan kepada para pembeli untuk membuat bayaran pendahuluan perumahan dan pembiayaan oleh dana kerajaan ini dibayar semula selepas tempoh tertentu apabila pembeli telah menyelesaikan hutang dengan pihak bank.

7. Kaedah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembeli terbeban bagi mendapatkan wang untuk membayar pendahuluan, bahkan dapat menjadikan bayaran ansuran bulanan perumahan menjadi lebih rendah.

8. Bagi menyelesaikan masalah bayaran ansuran bulanan pula, ia boleh diselesaikan secara kaedah _sukuk al-ijarah_ iaitu para pembeli memiliki rumah itu secara berperingkat mengikut kemampuannya melalui pembelian sukuk sehinggalah selesai mendapatkan 100% pemilikan rumah itu. Sementara itu, pemilikan terhadap rumah itu dikongsi secara bersama dengan pihak lain (seperti pelabur dan bank) dan dalam tempoh itu pembeli membayar sewa kepada pihak berkenaan pada kadar sewaan pasaran mengikut peratus pemilikan masing-masing.

9. Kaedah ini dapat meringankan beban bayaran ansuran bulanan oleh pembeli dan juga memberikan peluang kepada para pelabur dengan pelaburan berkos rendah. Manakala pihak bank pula mendapat manfaat pada aspek risiko pinjaman yang rendah.

10. PAS melalui Lajnah Ekonomi dengan ini menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan pihak-pihak berkenaan yang terlibat dalam isu ini terutamanya BNM dan REHDA untuk berkongsi penyelesaian secara Islam bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negara ini di bawah Program Mampu Miliki Rumah yang terkandung dalam Dokumen Hijau.

11. Namun, penyelesaian jangka panjang bagi isu perumahan ini ialah melalui pembukaan kampung-kampung baru yang disediakan prasananya termasuk akses jalanraya oleh kerajaan dengan agihan lot kediaman kepada rakyat. Ia perlu dilaksanakan sebagai program bersama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

_*"Sejahtera Bersama Islam"*_

*YB. DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Pengerusi,_
_Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat._

Thursday 12 October 2017

JANGKITAN HIV DI MALAYSIA : "A CAUSE FOR ALARM"

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus

*JANGKITAN HIV DI MALAYSIA : "A CAUSE FOR ALARM"*

1. Malaysia merupakan 10 negara yang mencatat lebih 95 peratus bagi semua jangkitan baru HIV dikalangan negara rantau Asia Pasifik, menurut suatu laporan bertajuk, "Ending AIDS: Progress Towards the 90-90 Targets". Lebih membimbangkan, kenyataan Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/STI) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Rohaya Ramli baru-baru ini meletakkan penularan jangkitan HIV di Malaysia masih dalam keadaan tidak selamat.

2. Beliau menyebutkan statistik 96 peratus jangkitan HIV berpunca daripada jenis hubungan seksualiti dengan 65 peratus disebabkan homoseksual dan biseksual, manakala baki 31 peratus adalah melibatkan hubungan seksual rambang lelaki dan perempuan. Sumber : [http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangkitan-hiv-punca-salah-guna-dadah-menurun-homoseksual-dan-biseksual-kini-penyumbang-utama-157506]

3. Secara jujurnya, kita masih meragui sasaran sifar jangkitan HIV terutamanya di Kuala Lumpur menjelang 2020. Malah, sasaran Kementerian Kesihatan penurunan 90 peratus virus tersebut menjelang 2030 juga tidak nampak keseriusan.

4. Saya berpandangan kita perlu membezakan di antara "rawatan" dan "pencegahan" di peringkat awal. Kedua-dua mempunyai fokus dan modus operandi yang berbeza. Sekilas kita melihat kehidupan para remaja hari ini dengan pelbagai masalah sosial yang meruncing jelas menampakkan langkah pencegahan awal terlalu longgar.

5. Pergaulan bebas yang tidak terkawal, kes-kes zina termasuk kes bawah umur, berleluasanya golongan LGBT dalam komuniti hari ini semakin membimbangkan dan kesemua faktor ini tidak mustahil akan menyumbang kepada jangkitan virus berkenaan. Selain itu, najis arak, dadah dan budaya hedonisme yang melampau juga secara tidak langsung turut menyumbang kepada jangkitan HIV.

6. Saya melihat pendidikan sebagai teras utama kepada langkah pencegahan yang dimaksudkan selain undang-undang yang mencegah rintang masyarakat daripada terlibat dengan perkara jenayah dan tidak bermoral. Jangan terlalu leka mengejar "angka" dan "gred" sehingga kita terlupa soal "moral" dan "akhlak". Sesungguhnya, keruntuhan sesebuah tamadun disebabkan rosaknya akhlak dikalangan rakyat.

7. Kerajaan sepatutnya serius mengkaji secara objektif mengenai langkah pencegahan awal yang tuntas terhadap masalah sosial yang sedang melanda. Jika "pintu-pintu" ini tidak dibuka, mustahil ada (penyakit) yang akan masuk. Saya ingin menegaskan bahawa hanya agama yang dapat memandu akhlak dan moral dalam diri seseorang individu.

Sekian.

_"Inilah Penyelesaian Kita"_

Dato" Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 12hb oktober 2017