Saturday 29 October 2016

*DEFISIT, HUTANG & GST; APA SOLUSI???*

NOTA ULASAN BAJET 2017 (1)
oleh Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

*DEFISIT, HUTANG & GST; APA SOLUSI???*

Data dalam Laporan Audit Negara menunjukkan disebabkan perbelanjaan yang melebihi hasil pendapatan pada setiap tahun, defisit 5 tahun terakhir Kerajaan Persekutuan ialah seperti berikut:

Tahun  Amaun Defisit
2011    rm42.509 bilion
2012    rm41.921 bilion
2013    rm38.540 bilion
2014    rm37.353 bilion
2015    rm37.193 bilion

Amaun keseluruhan defisit dalam masa 5 tahun ialah rm197.516 bilion.

Untuk menampung defisit ini maka kerajaan terpaksa meningkatkan hutang dan pinjaman setiap tahun. Sebahagian pinjaman digunakan untuk membayar hutang sebelumnya dan sebahagiannya untuk menampung defisit. Senarainya adalah sebagaimana berikut;

Tahun  Amaun Pinjaman
2011    rm107.092
2012    rm105.145
2013    rm111.357
2014    rm108.809
2015    rm115.804

Total amaun pinjaman dalam masa 5 tahun ialah rm548 bilion yang digunakan untuk  membayar pinjaman rm345.23 bilion dan bakinya rm203 bilion untuk menampung defisit 5 tahun sebanyak rm197 bilion.

Kerajaan selalu beralasan menghalalkan peningkatan hutang dengan alasan nisbah hutang tersebut belum melepasi 55% KDNK sebagaimana aras yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan. Namun, kebimbangan rakyat ialah peningkatan hutang itu menambahkan bebanan kewangan kerajaan. Hutang kerajaan Persekutuan sentiasa meningkat sejak 1997 sebanyak 90 bilion, 2003 sebanyak 188 bilion, 2009, sebanyak 376 bilion dan terkini mac 2016 sebanyak 630.5 bilion dan 655.7 bilion pada jun 2016.
Hutang TIDAK PERNAH BERKURANG!!!

Bebanan kewangan itu mendesak kerajaan mencipta sumber baru pendapatan. Lalu akhirnya kerajaan mengambil laluan mudah iaitu GST. Ertinya GST adalah penyelesaian oleh kerajaan bagi menangani bebanan hutang kerajaan yang meningkat.

Apakah ia SOLUSI masalah kewangan negara? Tidak. Kita perlu kembali melihat punca pada permasalahan. Puncanya ialah cara berbelanja yang menyebabkan hasil semasa tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan lalu berhutang.

GST adalah penyelesaian yang dipilih oleh kerajaan bagi menyelesaikan hutang. Tapi apa punca berhutang? Jawapannya ialah cara berbelanja yang tidak berhemah dan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan sama ada dalam perbelanjaan pengurusan mahupun perbelanjaan pembangunan yang boleh kita selusuri menerusi Laporan Audit Negara.

Maka solusi pada permasalahan kewangan negara ialah BERHEMAH dalam perbelanjaan supaya sekurang-kurangnya perbelanjaan semasa tidak memerlukan hutang lalu hutang lama dibayar secara ansuran. Kerajaan yang gagal BERHEMAH jika diberikan sejuta solusi sumber baru kewangan negara pun, tetap akan berhadapan dengan masalah HUTANG.

Tindakan kerajaan menjadikan GST sebagai sumber dengan tujuan menampung hutang pula telah memangsakan rakyat;
- inflasi meningkat
- pendapatan boleh guna jadi mengecil
- ekonomi makin suram
- rakyat B40 yang berpendapatan rendah rm2500 ke bawah tersepit.
- rakyat yang tiada pendapatan tetap seperti petani kecil, pesawah, penoreh dan nelayan semakin tertekan.

MAKA APA SOLUSINYA????

Sekian

Jumaat 12.30 tghri 28hb Oktober 2016

Thursday 20 October 2016

PERKEMBANGAN PROJEK HOSPITAL PENGAJAR UNISZA & Apa Khabar Hospital Dungun?

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KUALA NERUS

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 20hb Oktober 2016

PERKEMBANGAN PROJEK HOSPITAL PENGAJAR UNISZA & Apa Khabar Hospital Dungun?

1. Dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini di Dewan Rakyat, soalan saya tentang perkembangan semasa projek pembinaan Hospital Pengajar UNISZA telah dijawab oleh Menteri Pendidikan dengan beberapa fakta berikut:

a. Pembinaan projek baru sahaja bermula pada 21 Mac 2016.

b. Setakat 6 Oktober 2016 kerja-kerja penambakan tanah mencapai 22%.

c. Ia dijangka siap pada 15 September 2019.

d. Kelulusan projek untuk menampung keperluan 400 katil.

e. Fasa 1, melibatkan pembinaan 200 buah katil termasuk kerja-kerja infrastruktur dengan kos 330 juta.

f. Fasa 2 melibatkan pembinaan kapasiti 200 buah katil dengan kos RM225 juta.

2. Dalam ruangan soalan tambahan di Parlimen, saya telah menyatakan kebimbangan saya projek ini senasib dengan projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang tertangguh disiapkan dari jangkaan asal tahun 2010 ke tahun 2014 dan akhir sekali baru sahaja siap pada Januari 2016. Rujuk: http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2014/4/59017/lpt2-tertangguh-lagi.html

3. Hal ini kerana cadangan pembinaan projek HOSPITAL ini telah berlarutan begitu panjang sejak 2012. Berikut adalah kronologi yang sempat saya catatkan:


1. Oktober 2012; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled mengumumkan projek telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan dijangka siap pada 2015.

2. September 2014; Majlis pecah tanah bagi pelaksanaan projek disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

3. November 2015; Naib Canselor Unisza mengumumkan projek ini dijangka siap akhir 2017.


4. Februari 2016; Naib Canselor Unisza mengumumkan projek akan bermula pada Jun 2016 dan dijangka siap pada akhir 2018.

5. 20 Oktober 2016; Menteri Pendidikan menjawab di Parlimen bahawa projek dijangka siap pada 15 September 2019.

4. Kebimbangan saya sangat berasas kerana tarikh dijangka siap sentiasa tertangguh dan berubah. Itulah yang berlaku kepada projek LPT 2 sebelum ini.

5. Saya berharap dalam pertanyaan saya akan datang di Parlimen tarikhnya tidak akan berubah pula ke tahun 2020. Begitu juga dengan kos projek yang hari ini disebut sebanyak RM555 juta keseluruhannya melibatkan 2 fasa diharap tidak akan berubah.

6. Hospital UNISZA sangat penting bagi keperluan masyarakat khususnya di Daerah Kuala Nerus yang penduduknya hari ini melebihi 200 orang penduduk. Hari ini pergantungan mereka ialah kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah di bandar Kuala Terengganu yang semakin sesak dengan pesakit.

7. Menurut rekod terakhir 2013, Terengganu dengan kapasiti penduduk 1.1 juta hanya mempunyai 6 buah hospital dengan 1372 katil berbanding Kelantan dengan populasi penduduk 1.7 juta mempunyai 10 hospital dengan 2487 katil. Rujuk : http://www.rurallink.gov.my/wp-content/uploads/2015/05/1-DATA-ASAS-MALAYSIA1.pdf

8. Perdana Menteri pada September 2014, dalam ucapan ketika majlis pecah tanah  memperakui  bilangan katil kepada populasi Terengganu kini adalah 1:837 berbanding nisbah Lembah Klang 1:232, Pulau Pinang 1:349, Johor 1:473 dan nisbah kebangsaan 1:496 manakala WHO menetapkan nisbah 1:400. Maksudnya, bilangan katil di Terengganu adalah di bawah nisbah kebangsaan dan nisbah WHO.

9. Menurut kiraan saya dengan penambahan kapasiti 400 katil di Hospital UNISZA ini akan datang nisbah bilangan katil kepada populasi rakyat Terengganu baru sekitar 1:600 dan masih lagi di bawah nisbah kebangsaan dan nisbah WHO.

10. Rakyat Terengganu masih ternanti-nanti khabar berita projek Hospital Dungun yang masih belum kelihatan anak bulannya walaupun telah diumumkan dalam Bajet 2015, dan juga menanti pula bagaikan pungguk menantikan bulan kehadiran Hospital Kemaman di Kijal sebagai diumumkan dalam Bajet 2016.

11. Projek Universiti Pengajar juga sangat kritikal bagi melengkapkan proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran semasa latihan klinikal sebagaimana yang ditetapkan oleh Malaysia Quality Assurance (MQA). Sekarang ini Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi tempat latihan klinikal terutama pelajar Program Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan (MBBS) UNISZA, selain turut dikongsi bersama Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI).

12. Saya mendoakan agar projek ini berjaya disiapkan segera pada waktunya insyallah.

SEKIAN

Monday 17 October 2016

D.R. 5/2016 RANG UNDANG-UNDANG b e r n a m a Suatu Akta untuk meminda Ordinan Peguam Bela Sabah.

http://www.parlimen.gov.my/files/billindex/pdf/2016/DR/D.R.%205_2016(bm).pdf

HURAIAN Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Ordinan Peguam Bela Sabah (“Ordinan”).

2. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.

3. Fasal 2, 5, 11 dan 16 bertujuan untuk memasukkan Bahagian baharu ke dalam Ordinan untuk rujukan mudah. 68 Rang Undang-Undang

4. Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 2 Ordinan untuk memasukkan takrif baharu dan meminda takrif sedia ada yang digunakan dalam Ordinan. Fasal ini juga bertujuan untuk meminda subseksyen 2(2) Ordinan untuk memperuntukkan bahawa hanya warganegara Malaysia atau pemastautin tetap layak untuk diterima masuk sebagai seorang peguam bela di Sabah dan seseorang yang lahir di Wilayah Persekutuan Labuan hendaklah juga disifatkan mempunyai pertalian dengan Sabah.

5. Fasal 4 bertujuan untuk memotong seksyen 3 Ordinan yang memperuntukkan tanggungjawab Pendaftar yang kini dicadangkan supaya tanggungjawab Pendaftar diperuntukkan dalam seksyen 7, 9, dan 9b Ordinan.

6. Fasal 6 bertujuan untuk meminda subseksyen 4(1a) Ordinan untuk memperuntukkan bahawa selain seorang Majistret Kelas Pertama, mana-mana orang lain yang telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Persekutuan di Negeri Sabah bagi suatu tempoh tidak kurang daripada dua belas bulan hendaklah dikira sebagai telah menjalani tempoh latihan yang dikehendaki untuk melayakkan diri diterima masuk sebagai seorang peguam bela. Klausa ini juga bertujuan untuk menaikkan tempoh bagi seorang peguam bela atau pengamal undang-undang, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dengannya pelatih itu boleh menjalani latihan daripada tempoh lima tahun pada masa sekarang kepada tujuh tahun dan untuk memasukkan subseksyen baharu 4(1c), (1d) dan (1e) ke dalam Ordinan yang memperuntukkan amalan semasa untuk berkhidmat bagi bahagian latihan yang berlainan dengan pengajar yang berlainan dan untuk memperuntukkan bagi pelatih permulaan latihan dalam kamar apabila seseorang lulus peperiksaan yang dikehendaki untuk diterima masuk sebagai seorang peguam bela di bawah Ordinan.

7. Fasal 7 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 4a ke dalam Ordinan untuk membolehkan pelatih hadir bagi pihak pengajar atau firma pengajarnya di hadapan Mahkamah untuk menjalankan tindakan, guaman atau perkara.

8. Fasal 8 bertujuan untuk meminda seksyen 5 Ordinan untuk menjelaskan cara permohonan untuk diterima masuk sebagai seorang peguam bela.

9. Fasal 9 bertujuan untuk menggantikan seksyen 7 Ordinan berhubung dengan daftarai peguam bela yang disimpan oleh Pendaftar dan kewajipan Pendaftar berkenaan dengan daftarai itu.

10. Fasal 10 bertujuan untuk memasukkan Bahagian baharu III yang mengandungi seksyen baharu 7a, 7b, 7c, 7d, 7e dan 7f ke dalam Ordinan. Seksyen baharu 7a memperuntukkan penubuhan Pertubuhan Undang-Undang Sabah untuk menjadi wakil dan badan kawal selia untuk profesion itu. Perlembagaan Pertubuhan Undang-Undang Sabah dinyatakan dalam Bahagian VI.

Seksyen baharu 7b memperkatakan meterai perbadanan Pertubuhan Undang-Undang Sabah.

Seksyen baharu 7c bertujuan untuk memberi Pertubuhan Undang-Undang Sabah kuasa untuk mengeluarkan Sijil Tahunan kepada pengamal undang-undang dan untuk membuat kaedah-kaedah bagi mengawal selia pengeluaran Sijil Tahunan itu. Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 69 Seksyen baharu 7d memperkatakan pengeluaran Sijil Tahunan dalam keadaan tertentu.

Seksyen baharu 7e memperuntukkan permohonan kepada Hakim Besar untuk suatu perintah mengarahkan Pertubuhan Undang-Undang Sabah untuk mengeluarkan Sijil Tahunan kepada peguam bela yang dikehendaki membuat permohonan di bawah seksyen ini atau peguam bela yang tidak berpuas hati dengan keengganan, kecuaian atau kelewatan dalam pengeluaran suatu Sijil Tahunan kepadanya.

Seksyen baharu 7f memperkatakan kehendak Pertubuhan Undang-Undang Sabah untuk menyenggara suatu daftar nama firma. 11. Fasal 12 bertujuan untuk meminda seksyen 8 Ordinan selaras dengan penubuhan Mahkamah Rayuan dan untuk membolehkan peguam bela dari Sabah untuk hadir di hadapan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan apabila bersidang di luar Sabah untuk mendengar apa-apa rayuan yang berasal daripada keputusan Mahkamah Tinggi atau mana-mana mahkamah rendah di Sabah.

12. Fasal 13 bertujuan untuk meminda seksyen 9 Ordinan itu untuk memperuntukkan keperluan bagi permohonan sijil untuk menjalankan amalan dan menentukan kriteria bagi pengeluaran sijil untuk menjalankan amalan oleh Pendaftar.

13. Fasal 14 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 9a dan 9b ke dalam Ordinan. Seksyen baharu 9a menetapkan keadaan yang akan mewajarkan seseorang peguam bela untuk memohon suatu sijil untuk menjalankan amalan.

Seksyen baharu 9b memperuntukkan bagi perkara yang berhubungan dengan Daftarai Peguam Bela yang disimpan oleh Pendaftar.

14. Fasal 15 bertujuan untuk menggantikan seksyen 10 Ordinan untuk menjelaskan bagaimana penerimaan masuk secara ad hoc dibuat dan hal keadaan penerimaan masuk itu boleh dibuat. Fasal ini juga bertujuan untuk memperuntukkan fi yang kena dibayar bagi menampung kos permohonan dan untuk menyimpan suatu daftarai yang berasingan bagi penerimaan masuk tersebut.

15. Fasal 17 bertujuan untuk memotong seksyen 12 Ordinan berbangkit daripada pengenalan tatacara tatatertib yang baharu di bawah seksyen baharu 12a.

16. Fasal 18 bertujuan untuk menggantikan seksyen 12a Ordinan bagi menubuhkan Lembaga Tatatertib untuk berurusan dengan semua prosiding tatatertib berhubung dengan peguam bela.

17. Fasal 19 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 12b, 12c, 12d, 12e , 12f, 12g, 12h, 12i, 12j, 12k, 12l dan 12m ke dalam Ordinan. Seksyen baharu 12b memperkatakan tentang kesalahan dan hukuman tatatertib. Seksyen baharu 12c menetapkan tatacara bagi aduan terhadap peguam bela atau pelatih. 70 Rang Undang-Undang Seksyen baharu 12d menghendaki Lembaga Tatatertib untuk memberikan kepada peguam bela tersebut suatu peluang yang munasabah untuk didengar. Lembaga Tatatertib juga hendaklah menyampaikan kepada peguam bela aduan yang dibuat terhadapnya dan notis untuk hadir di hadapan Lembaga Tatatertib. Seksyen baharu 12e menetapkan kuasa Lembaga Tatatertib berhubung dengan prosiding yang termasuklah pengeluaran suatu sepina dan kesannya jika mana-mana orang yang kepadanya disampaikan sepina itu gagal hadir dalam prosiding itu. Seksyen baharu 12f bertujuan untuk membolehkan Lembaga Tatatertib meneruskan prosiding dalam ketidakhadiran orang itu. Seksyen baharu 12g memperkatakan dapatan Lembaga Tatatertib. Seksyen baharu 12h memperkatakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan Lembaga Tatatertib. Seksyen baharu 12i memperuntukkan kuasa kepada Lembaga Tatatertib untuk membuat kaedah-kaedah berhubung dengan prosiding tatatertib. Seksyen baharu 12j memperuntukkan bagi penubuhan Kumpulan Wang Tatatertib. Seksyen baharu 12k memperkatakan pembayaran fi, denda, dsb. ke dalam Kumpulan Wang Tatatertib. Seksyen baharu 12l bertujuan untuk melindungi tindakan ahli Lembaga Tatatertib yang dilakukan dengan suci hati daripada tindakan undang-undang, guaman, dsb. Seksyen baharu 12m memperuntukkan bahawa bagi maksud prosiding tatatertib di bawah Bahagian V Ordinan, istilah “advocate” termasuklah seorang peguam asing yang berdaftar di bawah seksyen 14j Ordinan.

18. Fasal 20 bertujuan untuk memotong seksyen 13 Ordinan berbangkit daripada penubuhan Lembaga Tatatertib di bawan seksyen baharu 12a.

19. Fasal 21 bertujuan untuk memasukkan Bahagian baharu VI yang mengandungi seksyen baharu 13a, 13b 13c, 13d, 13e, 13f, 13g, 13h, 13i, 13j, 13k, 13l, 13m, 13n, 13o, 13p dan 13q ke dalam Ordinan. Seksyen baharu 13a menyatakan tujuan bagi dan kuasa Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13b mengandungi peruntukan mengenai ahli Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13c memperkatakan yuran tahunan, levi, dsb. untuk dibayar oleh ahli Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13d mengandungi peruntukan mengenai Jawatankuasa Ekekutif. Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 71 Seksyen baharu 13e bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi kuasa tertentu Jawatankuasa Eksekutif. Seksyen baharu 13f bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi hak Jawatankuasa Eksekutif memeriksa fail bagi prosiding kebankrapan. Seksyen baharu 13g memperkatakan kuasa Jawatankuasa Eksekutif untuk menerima hadiah, dsb. bagi pihak Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13h bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi hak Pertubuhan Undang-Undang Sabah untuk diwakili dalam mahkamah oleh mana-mana peguam bela. Seksyen baharu 13i mengandungi peruntukan mengenai mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif. Seksyen baharu 13j mengandungi peruntukan mengenai belanja ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif. Seksyen baharu 13k mengandungi peruntukan mengenai mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13l mengandungi peruntukan mengenai mesyuarat agung Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13m memperkatakan notis mesyuarat agung Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13n mengandungi peruntukan mengenai kuorum mesyuarat agung Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13o mengandungi peruntukan mengenai pengundian pada mesyuarat agung Pertubuhan Undang-Undang Sabah. Seksyen baharu 13p mengandungi peruntukan mengenai peruntukan kewangan Pertubuhan Undang-Undang Sabah yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Eksekutif. Seksyen baharu 13q menghendaki nama Jawatankuasa Eksekutif disiarkan dalam Warta Kerajaan Sabah.

20. Fasal 22 bertujuan untuk memotong seksyen 14 Ordinan berbangkit daripada kemasukan seksyen 12h ke dalam Ordinan.

21. Fasal 23 bertujuan untuk memasukkan Bahagian baharu VII dan VIII ke dalam Ordinan mengenai liberalisasi profesion undang-undang di Sabah. Secara amnya tujuan liberalisasi ini adalah untuk mengembangkan kepakaran dan pengkhususan profesional undang-undang di Malaysia. Selaras dengan ini, Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] yang hanya terpakai bagi Semenanjung Malaysia telah dipinda. Memandangkan undang-undang 72 Rang Undang-Undang yang mengawal profesion guaman di Sabah ialah Ordinan Peguam Bela Sabah [Sabah Bab 2], pindaan yang sama dimasukkan ke dalam Ordinan untuk memberi kesan kepada liberalisasi tersebut. Pindaan kepada Ordinan dengan memasukkan Bahagian baharu VII akan membolehkan firma asing untuk menjalankan amalan di Sabah dalam bidang amalan yang dibenarkan melalui perkongsian antarabangsa atau lesen firma guaman asing berkelayakan. Firma undang-undang tempatan Sabah juga boleh mengambil peguam asing tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

22. Fasal 24 bertujuan untuk menggantikan seksyen 15 Ordinan yang sedia ada dengan seksyen baharu yang mentakrifkan “unauthorized person”.

23. Fasal 25 bertujuan untuk meminda seksyen 16 Ordinan untuk memperluas kategori kesalahan yang boleh dilakukan oleh orang tidak diberi kuasa, untuk menaikkan penalti bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh orang itu dan untuk memperluas skop orang yang dikecualikan yang termasuklah Pemegang Amanah Raya, Pegawai Pemegang Harta, Pegawai Penerima, dsb.

24. Fasal 26 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 16a, 16b, 16c, 16d dan 16e ke dalam Ordinan. Seksyen baharu 16a membolehkan Pertubuhan Undang-Undang Sabah mengendalikan akaun bank klien bagi peguam bela yang telah mati. Seksyen baharu 16b membenarkan Pertubuhan Undang-Undang Sabah untuk mengambil milik harta seorang peguam bela yang telah diisytiharkan bankrap, dsb. Seksyen baharu 16c memperuntukkan bahawa wakil diri bagi peguam bela yang telah mati adalah bertanggungan bagi perbuatan peguam bela berkenaan. Seksyen baharu 16d memberikan Pertubuhan Undang-Undang Sabah kuasa untuk membuat kaedah-kaedah berhubung dengan tanggung rugi profesional. Seksyen baharu 16e membenarkan Pertubuhan Undang-Undang Sabah untuk menubuhkan, menyenggara dan mentadbirkan suatu kumpulan wang yang dikenali sebagai “Kumpulan Wang Pampasan”.

25. Fasal 27 bertujuan untuk meminda seksyen 17 Ordinan untuk memberi Pertubuhan Undang-Undang Sabah kuasa untuk membuat kaedah-kaedah dan bukannya Hakim Besar.

26. Fasal 30 bertujuan untuk memasukkan Jadual Kedua ke dalam Ordinan. Jadual Kedua ialah berhubung dengan pengawalan harta peguam bela yang telah diisytiharkan bankrap atau bercelaru mental, dsb. sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen baharu 16b atau berhubung dengan wakil diri bagi peguam bela yang telah mati yang bertanggungan bagi perbuatan peguam bela berkenaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen baharu 16c.

27. Fasal 31 memperkatakan peruntukan kecualian dan peralihan. Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 73 28. Pindaan lain yang tidak diperkatakan secara khusus dalam Huraian ini merupakan pindaan kecil atau berbangkit. IMPLIKASI KEWANGAN Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan. [PN(U2)2894]

ATURAN URUSAN MESYUARAT DAN USUL-USUL Dewan Rakyat 17.10.16

ATURAN URUSAN MESYUARAT DAN USUL-USUL

1. Menteri Belia dan Sukan akan mencadangkan:- Bahawa Dewan ini,

Mengiktiraf dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada keseluruhan kontinjen Olimpik dan Paralimpik negara di Rio 2016 kerana mencapai prestasi terbaik Malaysia di kedua-dua temasya;

Meraikan detik kebersatuan yang dicipta kontinjen Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 melalui kejayaan bersejarah yang dilakar khususnya oleh atlet-atlet yang membawa pulang pingat untuk Malaysia;

Mempersetujui keputusan Kerajaan untuk memberi insentif kepada atlet biasa dan atlet kurang upaya yang telah memenangi pingat serta menyeru pihak swasta, media, dan komuniti masyarakat untuk mengekalkan tahap sokongan kepada atlet-atlet Malaysia;

Menyokong segala usaha untuk mengekalkan momentum kejayaan sukan Malaysia ke arah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur 2017;

dan Bahawa dalam mengambil persetujuan di atas, Dewan ini menyeru agar semua pihak berkaitan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan agenda nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan. 

Sunday 16 October 2016

Minum Pagi Bersama Rakyat

Minum Pagi Bersama Rakyat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Tempat:
Kedai Kopi Hadapan Balai Polis Seb Takir
Jam : 8.15 pg
Sabtu 15 hb Oktober 2016
Sekian
#SEBARKAN moga bumi Kuala Nerus sentiasa diberkati

Saturday 15 October 2016

Aktiviti YB Kuala Nerus 15 oktober 2016

 Laporan Aktiviti pada 15 Okt 2016
YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. KULIAH SUBUH.
Masjid Banggol Peradong (Mewakili DUN TELUK PASU)
Tajuk :3 ASAS PEMBINAAN NEGARA MADINAH
Sambutan mengalakkan.
selesai jam 7.15am

2. Menyantuni rakyat (1): Kedai Kopi
Bersama rakyat & pimpinan tempatan banggol peradong
Kedai kopi terdekat dengan Masjid
penyertaan lebih kurang 15 orang
7.20am- 7.50am








3.Menyantuni rakyat (2): Kedai Kopi
Bersama rakyat & pimpinan tempatan Seberang Takir
2 buah kedai kopi berhampiran balai polis
penyertaan lebih kurang 35 orang untuk 2 warung.
8.00am-9.10am

4. Ziarah & Menyerahkan Sumbangan
Rumah sebelah balai polis berhampiran
8.45am-9.00am





5. "Kacau Bubur Sura" bersama rakyat di Wakaf Tengah.
Ramah mesra dan Kemasyarakatan bersama DUN TEPOH.
Penyertaan lebih kurang 50 orang.
Atucara
1. Ketibaan ( 11.30am).
2. Menyantuni semua yg hadir.
3. Sesi bergambar "kacau bubur" bersama Rakyat.
4. Ziarah tuan rumah (Cikgu Dato' Wan Ibrahim Wan Othman, berusia 91 tahun, bekas YB Umno Dun Batu Rakit 3 penggal 1978-1990) . Bacaan doa syifa' & air tawar utk kesembuhan.
5. Makan dan Bersurai (12.30pm)

6. "Kacau Bubur Sura" surau Kg Baru, Seberang Takir (hadapan rumah MB Terengganu).
Ramah mesra dan Kemasyarakatan.
penyertaan 20 orang.
12.50pm-1.30pm.
Hadiah buku kecil azkar & buku tulisan YB Datuk Dr Mohd Khairuddin sendiri, berkenaan isu politik semasa 2016 kepada yang hadir.
Mendapat sambutan dan aluan mesra dari mereka yang terlibat.

7. Lawatan ke tapak "HARI KELUARGA DUN BUKIT TUNGGAL" anjuran PAS Dun Bukit Tunggal di Bukit Tumbuh.
Ramah mesra bersama penganjur dan mereka yang terlibat.
Tiba ketika waktu rehat dan makan tengahari.
1.40pm - 2.10pm
Lawatan adalah secara tidak formal.

8. Ziarah & Menyantuni keluarga di Seberang Takir.
Jefri yang ibunya demam tidak boleh bangun.
Sumbangan & doa syifa'
2.25pm-3.00pm
Rumah tersebut terletak di belakang rumah MB Terengganu.

Aduan dan Tindakan :
Seberang Takir
Aduan mengenai permindahan rakyat kawasan pantai yang akan di ambil alih tanah oleh pihak kerajaan untuk projek pembesaran jalan raya dari jambatan baru hujung tanjung. (Kg Baru & semua kawasan yang terlibat)
Aduan:
1. Penduduk tempatan memerlukan penerangan yang jelas.

Tindakan:
1. Membuat permohonan "Mendengar Penjelasan" melalui taklimat pengambilan tanah pantai dan aturkan pertemuan dengan rakyat yang terlibat.
Peringatan Jadual akan datang:

Ziarah dan Menyantuni Rakyat di Pulau Sekati.
Pada 28 Okt 2016 hari Jumaat bermula jam 3.00pm.
Sasaran untuk 10 keluarga -sumbangan dan beras

Friday 14 October 2016

Peringatan Diri (1) Jaga Lidah

*PERINGATAN Diri*
Jumaat 14 Okt 2016

Orang beriman sentiasa menjaga lidah pertuturannya bimbang ia membawa dirinya dimurkai Allah. Nabi saw bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
_"Bukanlah mukmin itu seorang yang gemar mencela. Bukan juga yang gemar melaknat. Bukan juga yang bercakap lucah dan keji dan bukan juga yang bercakap kotor."_
(Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Sekian.
Ustaz Dr Khairuddin at-Takiri