Wednesday 2 September 2020

Keturunan Che Long bin Che Yusof, Tokoh Ukir Melayu - edited

Keturunan Che Long bin Che Yusof, Tokoh Ukur Melayu - edited

1. Apabila membaca hadis tentang kelebihan silaturrahim dan membaca jurai nasab Rasulullah saw, terfikir satu hari akan datang untuk mengumpulkan keluarga besar Che Long bin Che Yusof, tokoh ukir ulung alam Melayu di Besut yang merupakan buyut saya. (Buyut ertinya orang tua kepada moyang). Beliau meninggal pada 1962. Dalam catatan rasmi beliau dilahirkan pada 1868. Ertinya beliau meninggal pada usia 94 tahun. Namun, ada dakwaan mengatakan beliau meninggal pada usia 120 tahun. 

2. Beliau jenerasi ke 8 pengasas bumi Besut. Nasab penuh beliau ialah Che Long bin Che yusof bin Che wan Che latif 
bin Che Wan Che chik bin Che wan Che jat bin 
Che Wan Abdul Lathif bin  Che Wan Che Nal@Che Jenal bin Che Wan Namat@Che Wan Hamat bin Che Wan, pengasas Besut. 

3. Isteri Che Long (ibu moyang saya) bernama Che Saadiah bin Che Wan Ahmad adalah sepupu beliau dan kakak kepada tokoh ulamak Besut, Tuan Guru Hj Umar, juga keduanya jenerasi ke lapan pengasas Besut. Ayah mereka berdua ialah Che Wan Ahmad bin Che Wan Abdul Lathif bin Che Wan Cik bin Che Wan Jat bin Che Wan Abdul Lathif bin Che Jenal bin Cik Wan Hamat bin Che Wan, pengasas Besut.  

4. Anak sulong Che Long ialah Che Wan Namat@Awang. Beliau adalah moyang saya yang berkahwin dengan moyang perempuan Nik Mek daripada Bukit Marak. Che Wan Namat terkenal dengan kemahiran membuat kolek dan pelbagai ukiran termasuk keris dan ukiran kayu. 

5. Dari perkahwinan Che Wan dan Nik Mek lahirlah antaranya datuk saya Abdul Rahman. Adik bongsu beliau yang masih hidup Jusoh bin Che Wan @Awang kini tinggal di Tasik Pauh berusia 76 tahun (lahir 1943).

6. Nik Mek, moyang perempuan saya mempunyai adik Nik Man yang terkenal sebagai pengamal perubatan di Bukit Marak dan Nik Mat yang berhijrah ke Rompin dan membentuk keluarga besar di Kuala Rompin. Datuk saya Abdul Rahman kemudian berkahwin dengan anak perempuan Nik Mat Rompin dan mendapat 4 orang anak (bapa saudara saya). 

7. Anak-anak Che Long dari isteri berlainan ada 9 orang, Che Nik, Che Kalsom (dungun), Che Sani, Che Mat Ghani (Peringat), Che Mansor (Pengkalan Chepa), Che Abdul Rahman, Che Latif, Che Mohd Nor dan Che Abdullah. 

8. Antara anak-anak Che Long yang mewarisi dan berkecimpung di bidang ukiran ialah Latif bin Long di Kota Bharu yang baru sahaja meninggal sebulan yang lalu, Che Abd Rahman yang mempunyai bengkel ukir di Besut yang diwarisi oleh anak-anak dan Che Mohd Nor yang menjadi tukang ukir di istana Sultan Brunei. Semua telah kembali ke rahmatullah. Setiap mereka mencipta sejarah tersendiri sebagai tokoh ukir. 

9. Anak bongsu beliau Che Abdullah sekarang tinggal di Tasik Pauh juga meneruskan tradisi menempa keris dan pisau serta ukiran ulu keris secara sambilan. Che Abdullah dilahirkan tahun 1953, tahun yang sama kelahiran bapa saya Aman Razali yang merupakan cucu saudara beliau. Ertinya Che Long mendapat anak bongsu pada usia 85 tahun kerana beliau dilahirkan pada 1868.

10. Alangkah manis jika semua jurai keturunan ini dapat dihimpunkan. 

11. Kredit juga moyang saudara saya Allahyarham Che Latif yang telah berusaha keras menghimpunkan jurai nasab keluarga Besut sehingga sampai kepada pengasasnya Che Wan. Rekodnya masih tersimpan dalam khazanah peninggalan beliau beserta manuskrip sejarah ukir Melayu yang sangat bernilai. 
Moga Allah merahmati Allahyarham. 

12. Namun, tugas besar sekarang ialah untuk merekodkan anak keturunan Che Long yang sudah tentu sekarang bilangannya adalah ribuan.

Sekian. 

Dr Khairuddin Takiri
1hb Feb 2019