Wednesday 21 May 2014

Doa Tahniah "Moga Allah Berkati" Kepada Pengantin

Doa Tahniah "Moga Allah Berkati" Kepada Pengantin

1. Beberapa Hadis Nabi SAW mengajar beberapa doa tahniah untuk pasangan pengantin.

2. Antaranya doa agar mereka mendapat barakah dengan menyebut:

بَارَكَ الله لَك
atau

بَارَكَ الله لَكَ ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْر

3. Antara dalilnya:

‏عن ‏ ‏أنس ‏‏رضي الله عنه ‏: ‏أن النبي ‏صلى الله عليه وسلم ‏رأى على ‏ ‏عبد الرحمن بن عوف ‏‏أثر صفرة قال : ما هذا ؟ قال : إني تزوجت امرأة على وزن نواة من ذهب ، قال : ‏بارك الله لك أولم ولو بشاة . رواه البخاري وغيره .
Diriwayatkan daripada Anas (r.a) bahawa Nabi saw melihat pada Abd Rahman bin 'Auf kesan kuning. Baginda lantas bertanya; apa ini? Jawab Abd Rahman; saya telah mengahwini seorang perempuan dengan mas kahwin emas seberat biji kurma.

Baginda lalu berdoa:
بَارَكَ الله لَك
"Baarakallahu laka (moga Allah memberi keberkatan buat kamu). Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing biri-biri"

Hadis riwayat Bukhari dan lain-lain.

عن أَبي هُرَيْرَةَ : " أَنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم كانَ إِذَا رَفّأَ الاْنْسَانَ إذَا تَزَوّجَ قالَ : بَارَكَ الله لَكَ ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ " . رواه الترمذي ، والنسائي ، وابن ماجه . وقال الترمذي: حسن صحيح

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa Nabi saw apabila mengucapkan tahniah kepada seseorang apabila berkahwin baginda menyebut:

بَارَكَ الله لَكَ ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
"Moga Allah memberi keberkatan buat kamu. Moga Dia memberi keberkatan atas diri kamu dan menghimpunkan kamu berdua dalam keadaan baik."

Hadis riwayat Tirmizi, Nasaei dan Ibnu Majah. Menurut Tirmizi ia adalah Hadis Hasan.

Barakah bermaksud kebaikan yang banyak dan berpanjangan. Ini bermaksud kita mendoakan buat para pengantin agar mereka sentiasa mendapat kebaikan yang berpanjangan daripada Allah melibatkan kehidupan mereka sebagai sepasang suami isteri, harta benda mereka serta anak-anak serta zuriat mereka.

4. Masyarakat akan sentiasa dalam keadaan baik apabila amalan doa sebegini diamalkan berbanding hanya menyebut "tahniah" tanpa sebarang doa kepada pengantin.

5. Adalah dicadangkan doa-doa sebegini ditulis pada kad-kad jemputan dan ditampalkan di tempat-tempat kenduri perkahwinan sebagai satu cara memberi ilmu dan menjadikan ia sebagai amalan masyarakat.

Disediakan oleh:
Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Rabu 21 hb Mei 2014

No comments:

Post a Comment