Wednesday 31 August 2016

MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN MEMPERKASAKAN ISLAM

KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Kenyataan Sempena Hari Kebangsaan

MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN MEMPERKASAKAN ISLAM

1.    Kemerdekaan menurut Kamus Dewan bermaksud bebas daripada penjajahan. Jika ia dimaksudkan sebagai bebas daripada penjajahan fizikal maka ia telah dinikmati oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu sejak 31 ogos 1957. Namun, jika ia diertikan sebagai bebas daripada penjajahan pemikiran dan undang-undang maka ia perlu diperkasakan sebagai satu agenda mengisi kemerdekaan.

2.    Antara pemikiran tinggalan penjajah ialah memisahkan Islam daripada sebahagian undang-undangnya yang mencakupi segala aspek kehidupan individu masyarakat dan negara.

3.    Islam telah diberi takrifan yang sempit iaitu hanya merujuk kepada persoalan ibadah dan munakahat. Manakala undang-undang muamalat, jinayat dan pentadbiran tanah serta cukai dianggap urusan keduniaan yang berada di bawah pentadbiran Inggeris.

Sejarah Perundangan Islam Sebelum Penjajahan
1.    Kesultanan Islam Melaka sebelum dikuasai Portugis pada tahun 1511 dan 9 Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan Inggeris dalam pentadbiran dan pemerintahan bermula 1874 adalah negeri-negeri Islam yang menjadikan Islam sebagai rujukan pentadbiran dan pemerintahan.

2.    Di Melaka, Undang-undang Qanun Melaka yang merujuk kepada undang-undang Islam berasaskan Mazhab Syafie telah digubal bermula zaman Sultan Muhammad Syah (1422-1444 M) dan dilengkapkan pada zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 – 1450 M). Ia meliputi bidang yang luas termasuk acara keterangan, jenayah, mu’amalat seperti jua-beli, bangkrap dan pinjam meminjam, keluarga dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Selepas kejatuhan Melaka, ia dipraktikkan pula untuk menjadi rujukan Kerajaan Johor yang bangkit menggantikan kerajaan Melaka.

3.    Di Perak, di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Shah (1577-1584) dimulakan pengenalan undang-undang 99 Perak yang secara asasnya merujuk kepada undang-undang Islam.

4.    Pahang memperkenalkan Hukum Kanun Pahang sebagai rujukan pemerintahan Sultan Pahang ke 12, Sultan Abdul Ghafur Muhayiddin Syah (1592-1614). Ia mengandungi undang-undang jenayah seperti membunuh, mencuri, merompak, menyamun dan menceroboh, undang-undang muamalat seperti jual-beli dan sewa menyewa di samping undang-undang keluarga dan perkahwinan

5.    Kedah memperkenalkan undang-undang Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan yang berlandaskan Syariah dengan perintah Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 (1661-1668) dan Undang-Undang Pelabuhan Kedah 1311 H/1893 M.

6.    Majalah Ahkam Johor yang diambil daripada Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah yang digunakan oleh kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah telah diisytiharkan terpakai pada tahun 1913 oleh kerajaan Johor. Ianya mengandungi hukum syariah Islam, sebahagiannya berkaitan dengan muamalah berkaitan dengan jual beli, sewa, kafalah, hiwalah, al-rahn, amanah, hibah, sharikah, wakalah dan sebahagian kecil berkaitan institusi kehakiman.

7.    Terengganu menggubal Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamakan Itqaanul Muluk bi Ta’dilis Suluk pada 1329H bersamaan 1911M. Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut:
Sesungguhnya telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.

BAGAIMANA PENJAHAN DITERJEMAHKAN?

1.    Penjajahan Ingeris diterjemahkan menerusi pelbagai undang-undang Inggeris yang diperkenalkan bagi menggantikan undang-undang Islam. Diantara undang-undang yang diperkenalkan ialah Kanun Jenayah(Penal Code), Enakmen Keterangan(Evidence Enactment), Enakmen Kontrak(Contract Enactment), Kanun Acara Sivil(Civil Prosedure Code), Kanun Acara Jenayah(Criminal Prosedur Code) dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Melalui penggunaan perundangan ini, undang-undang Islam yang berkaitan dengan bidang-bidang ini telah diketepikan pemakaiannya. 

2.    Hakim-hakim Inggeris ditugaskan sebagai hakim di Tanah Melayu yang membuat penghakiman kes berdasarkan undang-undang Inggeris bagi membentuk rujukan bagi penghakiman terkemudian.

3.    Undang-undang Inggeris menjadi rujukan utama apabila Inggeris menggubal Enakmen Undang-undang Sivil 1937, 1951 dan Ordinan Undang-undang Sivil 1956 yang menetapkan bahawa mahkamah di Tanah Melayu perlu menerima pakai peraturan ekuiti sebagaimana yang digunapakai di England dan juga Common Law di England. Dalam hal ini, seseorang hakim akan merujuk kepada Common Law di England dan peraturan ekuiti bersama statut umum yang berkuatkuasa di England pada 1 Disember 1951 untuk negeri Sabah dan pada 12 Disember 1949 di Sarawak. Penguatkuasaan itu menyebabkan segala kes sivil adalah tertakluk kepada prinsip undang-undang Inggeris.

4.    Malah Inggeris telah mula campur tangan dalam urusan undang-undang perkahwinan orang Islam dengan memperkenalkan pada tahun 1880 Muhammedan Marriage Ordinance bagi menetapkan sejauh mana Undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah

5.    Ordinan ini menyaksikan cita-cita dan usaha British berjaya untuk memisahkan antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang telah dirancang semenjak kedatangannya ke Tanah Melayu.

TANGGUNGJAWAB RAKYAT MERDEKA

1.    Setelah 59 tahun merdeka, rakyat mempunyai tanggungjawab memperkasakan kembali hak Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

2.    Peruntukan yang kabur dalam menjelaskan hak sebenar Islam perlu diberikan penjelasan seperti Perkara 3 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

3.    Tafsiran para hakim terhadap peruntukan tersebut menzalimi hak Islam apabila ia hanya ditafsirkan merujuk kepada Islam dengan maknanya yang sempit yang tidak merangkumi perundangan jenayah dan muamalat Islam.

KEPERLUAN MEMINDA AKTA 355 YANG MENZALIMI ISLAM

1.    Pada masa ini, bidang kuasa jenayah terikat dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984, yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebat tidak lebih enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

2.    Kuasa ini tidak selaras dengan Islam dan menzalimi Mahkamah Syariah. Malah bidang kuasa ini masih rendah atau sempit jika dibandingkan dengan bidang kuasa Mahkamah Majistret Kelas Pertama.

3.    Akta Mahkamah Rendah 1948 memberi bidangkuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama menjatuhkan hukuman sehingga sepuluh tahun penjara atau rotan 12 kali atau gabungan kedua-dua.

4.    Bagi membolehkan Mahkamah Syariah diperkasakan dengan diberikan haknya untuk berhukum menurut Syariat Islam maka Akta tersebut perlulah dipinda.

5.    Pada bulan mei 2016 di Dewan Rakyat, PAS menerusi YB Ahli Parlimen Marang telah mengambil inisiatif mengemukakan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta 355 dan sekaligus memperkasakan Mahkamah Syariah.

6.    Pindaan adalah bertujuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum berdasarkan hukum Syariah dan tidak lagi terikat sebagaimana sekarang. Ia dijangka dibahas untuk diundi dan diluluskan dalam sidang Dewan rakyat terdekat nanti.

7.    Pengisian erti merdeka menuntut seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam memberi sokongan penuh terhadap usaha pindaan ini bagi memberikan hak yang sebenar kepada Islam tanpa menjejaskan hak-hak rakyat bukan Islam.

8.    Ahli-ahli Parlimen Islam khususnya perlu didesak oleh rakyat di kawasan parlimen mereka untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi demi memperkasakan Islam dan memperkasakan Mahkamah Syariah.

Sekian

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Rabu 31hb Ogos 2016


PUSAT KHIDMAT AHLI PARLIMEN KUALA NERUS


DATO' DR KHAIRUDDIN AT-TAKIRI


RAHSIA SOLAT SUBUH - siri nasihat Agama & Wasiat Iman

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN

Oleh Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri


31 Ogos 2016

RAHSIA SOLAT SUBUH

عن جندب بن عبدالله رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
مَن صَلَّى الصُّبحَ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ ، فَلا يَطلُبَنَّكُمُ اللَّهُ مِن ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ فَيُدرِكَهُ فَيَكُبَّهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat Subuh maka dia berada dalam zimmah Allah (jaminan Allah). Maka janganlah sampai kamu dituntut oleh Allah daripada sebarang jaminan-Nya lalu Dia nanti mendapatkannya lantas dihumbannya ke dalam Neraka Jahanam.” Hadis riwayat Muslim

Hadis di atas menunjukkan kelebihan orang yang mengerjakan solat Subuh.

Menurut Imam Nawawi (meninggal 676 H/1277 M); Zimmah bermaksud jaminan. Ada pandangan ia bermaksud keselamatan.

Kebanyakan Ulamak bersetuju bahawa maksud hadis ialah peringatan kepada mereka yang menyakiti orang yang mengerjakan solat Subuh.

Kata Ibnul Jauzi (meninggal 597 H) dalam Kasful Musykil; maksud hadis ialah sesiapa yang mengerjakan solat Subuh maka dia telah mengambil daripada Allah pemeliharaan dan jaminan (dalam Bahasa Arab disebut sebagai zimmah). Oleh itu tidak wajar bagi sesiapa pun menyakitinya dengan sebarang bentuk kezaliman. Sesiapa yang menzalimi orang yang solat Subuh nescaya Allah akan menuntutnya.

Menurut Imam Tiibiy (meninggal 743 H) dalam Syarah Misykaat al-Masobiih; disebut solat Subuh secara khusus kerana ia mengandungi kepayahan dan kesukaran. Mengerjakannya adalah petanda ketulusan dan keikhlasan seseorang. Begitu juga dengan imannya. Sesiapa yang menjadi mukmin yang tulus lagi ikhlas maka dia berada dalam zimmah (jaminan dan peliharaan Allah)

Sekian


Tuesday 16 August 2016

*SYARIKAT MILIK, BERKAITAN KERAJAAN RUGI : RAKYAT TUNTUT PENJELASAN*

*KENYATAAN MEDIA*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

16 Ogos 2016 | 13 Zulkaedah 1437H

*SYARIKAT MILIK, BERKAITAN KERAJAAN RUGI : RAKYAT TUNTUT PENJELASAN*

1. Prestasi kewangan beberapa syarikat GLC menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan serius menjadikannya sebagai aset ekonomi bagi negara. Kerajaan perlu memberi penjelasan kukuh dan terbuka kepada rakyat sebab-sebab kegagalan di saat syarikat-syarikat milik korporat boleh mencapai kejayaan yang membanggakan.

2. Syarikat milik atau berkaitan Kerajaan (GLC) dibentuk bertujuan untuk bertanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi negara khususnya bagi membantu meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

3. Namun, terdapat banyak GLC yang mempunyai masalah prestasi kewangan sehingga mengalami kerugian yang besar justeru tidak dapat mencapai objektif asal pembentukannya. Antaranya ialah :

(a) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) – pembangunan infrastruktur perkhidmatan pengangkutan awam – mencatatkan kerugian berjumlah RM885.6 juta pada 2014. Prasarana juga telah mengalami kerugian 15 tahun selama 17 tahun penubuhannya.

(b) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014 merekodkan kerugian berjumlah RM665.3 juta. Tambah, turut didakwa mempunyai hutang dianggarkan berjumlah RM42 bilion.

(c) Proton Holdings Berhad (PROTON) dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion (atau 72 sen sesaham) pada tahun kewangan ketiga 2016 sehingga mempengaruhi rugi bersih yang dialami oleh DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) berjumlah RM821.3 juta. Bagi tahun kewangan berakhir Mac 2016, DRB-Hicom merekodkan rugi bersih berjumlah RM991.90 juta, juga disebabkan prestasi PROTON yang lemah sehingga berkemungkinan DRB-Hicom akan menjual saham PROTON kepada pelabur asing.

4. Rakyat menuntut Kerajaan memberikan penjelasan punca banyak GLC mengalami kerugian sedangkan pengaruh yang dimiliki oleh Kerajaan dalam hal-hal melantik, meluluskan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan sepatutnya dapat memastikan ia diterajui oleh barisan pengurusan yang berkaliber dan kompeten.

5. Rakyat sangat khuatir dengan pengaruh politik yang wujud dalam proses tersebut serta terserlahnya budaya kronisme dan nepotisme menjadikan GLC hanya sebagai platform untuk mengkayakan individu atau pihak tertentu yang ‘dirasmikan’ atas nama "perbelanjaan syarikat" justeru menyumbang kepada kerugian yang telah berlaku ini.

6. Rakyat juga menuntut Kerajaan menjelaskan kewajaran memberikan subsidi dan mengekalkan syarikat-syarikat yang mengalami kerugian berterusan seperti MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) and Prasarana. Alasan ketidakcukupan pendapatan syarikat-syarikat ini untuk menanggung beban kadar faedah seperti yang dinyatakan oleh Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, dilihat tidak konkrit dan boleh manyebabkan salah urustadbir boleh terus berlaku.

Sekian.

_*“Inilah Penyelesaian Kita”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Parlimen Kuala Nerus /
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Facebook :
_https://www.facebook.com/drkhairuddin_

Blog :
_http://drtakiri.blogspot.my/_

Monday 15 August 2016

*Fitnah Jahat SARAWAK REPORT Adalah Racun Dunia Pemberitaan*

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

*Fitnah Jahat SARAWAK REPORT Adalah Racun Dunia Pemberitaan*

1. Dewan Ulamak PAS Pusat melihat dengan penuh bimbang dunia pemberitaan hari ini yang dipenuhi dengan *cerita rekaan dan palsu dengan tujuan mencipta kebencian dan permusuhan* terhadap individu atau organisasi. Ia lambat laun akan menghancurkan asas-asas bermasyarakat dan keharmonian bernegara serta melahirkan sebuah masyarakat yang rosak akhlak dan jahat perangai.

2. Ia ternyata jelas menerusi tindakan sebuah portal Sarawak Report yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai berita dan cerita pendedahan sensasi politik telah bertindak mereka-reka *cerita fitnah dan palsu tentang pimpinan Parti Islam Semalaysia PAS dengan niat jahat mencipta persepsi buruk dan mewujudkan permusuhan antara rakyat dan PAS.*

3. Sangat jelas ada perancangan oleh pihak tertentu berkepentingan politik untuk merosakkan reputasi dan imej baik PAS selama ini.

*Fitnah Jahat Terhadap Keluarga Rasulullah saw*

4. Namun, ianya bukan perkara yang pelik kerana pernah berlaku FITNAH JAHAT disasarkan terhadap baginda saw apabila seorang lelaki MUNAFIK telah menyebarkan cerita rekaan dan fitnah terhadap Aisyah radiyallahu anha, isteri Nabi saw dengan tujuan mencipta persepsi jahat terhadap keluarga baginda saw lalu disambut oleh beberapa orang Islam lain. Ia berlegar beberapa bulan lamanya sehingga Allah menurunkan ayat dalam surah an-Nur MEMBERSIHKAN nama Aisyah dan menegaskan hukuman jenayah dirotan sebanyak 80 sebatan terhadap mereka yang membuat tuduhan zina tanpa bukti.

5. Prinsip keadilan Islam yang telah diterima oleh dunia perundangan dan kehakiman ialah "setiap orang bebas daripada sebarang tuduhan dan tohmahan melainkan dibuktikan sebaliknya" sesuai dengan kaedah Fiqh:
الأصل براءة ذمته

Sebarang tuduhan tidak patut disebarkan atau dipromo sehingga membentuk persepsi jahat dan sehingga yang tidak bersalah telah dihukum bersalah oleh media disebabkan pemberitaan tuduhan.

*Dunia Pemberitaan Mesti Berpaksikan Kebenaran Bukan Persepsi*

6. Islam telah menggariskan kaedah pemberitaan dan penceritaan yang jelas untuk menjadi panduan masyarakat antaranya;

I) Berita hendaklah bersumberkan seorang *yang _ADIL_ tidak melakukan dosa-dosa besar*.

II) Berita yang dibawa oleh seorang yang *_FASIK_ (seorang yang sentiasa melakukan dosa kecil tanpa taubat dan melakukan dosa besar)* hendaklah diusul periksa dan disemak dengan bukti dan kenyataan.

Allah berfirman

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

_"Wahai orang-orang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang FASIK (yang jahat) dengan satu berita maka hendaklah kamu mendapatkan bukti dan keterangan bimbang kamu menimpakan satu kaum dengan satu kejahilan maka jadilah kamu atas apa yang kamu lakukan itu orang-orang yang menyesal"_
(Surah al-Hujuraat ayat 6)

III) Sumber berita pembohong dan palsu meskipun sekali mesti ditolak pemberitaannya untuk kali yang seterusnya kerana kebarangkalian dia menyelitkan berita palsu dicelah berita yg benar akan terus berlaku.

Ia sebagaimana peringatan Allah tentang golongan yang mencampur adukkan amalan yang baik dengan amalan yang jahat;

وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا
_"Dan golongan-golongan lain (di kalangan MUNAFIK) memperakui dosa-dosa mereka. Mereka mencampurkan antara amalan solih dan amalan jahat...."_
(surah Taubah ayat 102)

*Didik Masyarakat Etika Menyebarkan Berita*

7. Masyarakat juga perlu didik untuk tidak bermudah dalam menyebarkan berita yang diterima.

Nabi saw bersabda

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

_"Cukuplah seseorang itu berbohong dengan perlakuan bercerita segala apa yang didengar"_. (Hadis Sahih Muslim)

8. Hadis ini menegaskan kaedah penerimaan dan penyebaran berita. Tidak semua berita yang didengar adalah benar dan tepat. Sikap menyebarkan segala jenis maklumat yang diterima termasuk khabar angin dan persepsi serta tuduhan adalah petanda seseorang itu adalah pembohong kerana kebarangkalian terselit berita bohong dalam penyebaran.

9. Keghairahan masyarakat berkongsi dan menyebarkan apa sahaja berita yang diterima menerusi aplikasi media sosial hari ini diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan berhati Iblis untuk menyebarkan berita bohong dan berbentuk tuduhan bagi mencipta persepsi buruk terhadap seseorang atau organisasi.

10. Jika hari ini masyarakat bermudah menyebarkan apa sahaja berita ia adalah petunjuk bahawa masyarakat telah mula dididik menjadi masyarakat pembohong.

*Persaingan Politik Yang Sihat*

11. Dunia demokrasi membenarkan persaingan politik secara sihat untuk merebut kuasa. Persaingan ini tidak mewajarkan cerita rekaan dan fitnah demi untuk memenangi persaingan. Persaingan politik tidak sepatutnya meruntuhkan nilai moral dan akhlak bermasyarakat.

*Jangan Membina Kebencian Menerusi Cerita Rekaan*

12. *Matlamat tidak boleh menghalalkan cara*. Kebencian kepada mana-mana individu dan parti politik tidak menjadi lesen untuk mereka-reka cerita palsu dan bohong terhadap mereka.

*13. Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan tindakan segera oleh PAS Pusat untuk menangani FITNAH JAHAT oleh Sarawak Report sama ada dengan laporan polis atau tindakan saman di mahkamah atau lain-lainnya.*

Sekian

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
9hb Ogos 2016

*KERAJAAN MESTI LEBIH SERIUS MENANGANI KEMISKINAN LUAR BANDAR :*

*KENYATAAN MEDIA*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

15 Ogos 2016 | 12 Zulkaedah 1437H

*KERAJAAN MESTI LEBIH SERIUS MENANGANI KEMISKINAN LUAR BANDAR :*

1. Kerajaan mesti segera bertindak  lebih  serius bagi membela warga luar bandar khususnya keluarga golongan penoreh dan pekebun kecil getah, para petani, para nelayan, boroh kasar dan kakitangan awam bergaji kecil yang tinggal di luar bandar ini. Mereka adalah golongan yang mendapat kesan langsung kepada peningkatan harga barangan dan kemuraman pertumbuhan ekonomi negara.

2. Kerajaan perlu inovatif dan merangka program-program baru baru bagi meningkatkan pendapatan mereka dan ianya perlu diterjemahkan menerusi bajet 2017 yang bakal dibentangkan di parlimen bukan oktober nanti.

3. Sekiranya golongan ini tidak dibantu secara berkesan, tidak mustahil ia akan menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan luar bandar sedikit masa lagi.

4. Berdasarkan data-data yang diambil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, kira-kira 26% atau 7.8 juta daripada jumlah penduduk di negara ini adalah kategori luar bandar dan 6.3 juta atau 79% daripadanya adalah merupakan etnik Bumiputera. Bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kelantan, Pahang, Perlis, Terengganu dan Kedah mempunyai peratusan yang tertinggi iaitu 53%, 45%, 40%, 37% dan 32% masing-masing.

5. Industri yang paling banyak penglibatan penduduk luar bandar ialah industri pertanian, perhutanan dan perikanan iaitu sebanyak 41%. Antaranya ialah sebagai penoreh dan pekebun kecil getah; selain pesawah dan nelayan.

6. Pada masa ini sahaja terdapat kira-kira 590,000 penoreh dan pekebun kecil getah di negara kita yang sedang berhadapan dengan masalah pendapatan untuk menyara kehidupan dan keluarga masing-masing berikutan kejatuhan harga getah semasa. Setakat minggu lalu, harga getah SMR 20 ialah 515.50 sen/kg manakala harga getah sekerap ialah 205.00 sen/kg.

7. Sepatutnya, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang akan diaktifkan jika harga purata bulanan getah SMR 20 berada pada paras RM5.50 sekilogram atau harga getah sekerap di peringkat ladang berada paras paras RM2.20 sekilogram dan ke bawah, diganti dengan skim penstabilan harga getah bagi menjamin harga getah sekerap berada pada nilai RM4.00 sekilogram bersesuaian dengan kos sebenar untuk mengeluarkan getah itu iaitu RM3.20 sekilogram. Kaedah dan alat yang digunakan untuk mengukur kandungan getah kering (dried rubber content, DRC) juga mestilah memenuhi ciri-ciri saintifik dan menjamin ketepatan; bukannya dibuat berasaskan kepada andaian atau anggaran sahaja.

8. Golongan nelayan pula hanya mengalami peningkatan pendapatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai Ringgit dan pelaksanaan GST, bahkan mungkin akan lebih teruk setelah pelaksanaan penuh TPPA nanti.

9. Mendukacitakan, purata pendapatan bulanan nelayan bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1600 sebulan. Pendapatan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).

10. Masalah pencerobohan nelayan asing khususnya oleh warga Vietnam dan campurtangan orang tengah mestilah diberikan perhatian serius dan diselesaikan segera. Urusan pengeluaran lesen kepada semua nelayan pula perlu dipermudahkan bagi mengelakkan wujudnya nelayan tidak sah sehingga mengakibatkan mereka sukar atau tidak mendapat apa-apa bantuan yang disediakan.

11. CUEPACS pada awal tahun ini telah mendedahkan bahawa 12% kakitangan Kerajaan terikat dengan hutang along sejak 2012 dan terus bertambah berikutan faktor gaji rendah dan peningkatan kos sara hidup. Merisaukan, jika demikian berlaku kepada golongan penjawat awam, tidak mustahil keadaan yang sama atau lebih teruk juga berlaku kepada warga luar bandar yang berpendapatan jauh lebih rendah.

12. Kerajaan mesti melakukan inovasi dan tranformasi dalam sektor pekerjaan 3D (dangerous, dirty and difficult) bagi memberi peluang dan menarik warga luar bandar khususnya golongan belia untuk bekerja dalam sektor ini yang kini sedang didominasi oleh warga asing terutamanya warga Bangladesh.

Sekian.

_*“Inilah Penyelesaian Kita”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Parlimen Kuala Nerus /
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

www.drtakiri.blogspot.com