Friday 24 June 2016

*Kelebihan Berdoa Hari Jumaat*

Catatan Ramadhan 7

_Oleh: Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri_

*Kelebihan Berdoa Hari Jumaat*

Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih Bukhari:

فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ سَاعَةٌ لَا يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

*"Pada hari Jumaat itu terdapat satu detik yang tidak berbetulan dengannya seorang muslim dalam keadaan berdiri mengerjakan solat sambil berdoa kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan pasti Allah memberinya"*

Dalam hadis riwayat Tabarani dan al-Haithami dengan perawi yang sahih menyebut _"tidak berbetulan dengannya seorang hamba muslim berdoa kepada Allah"_*, tanpa menyebut dalam keadaan solat.

Para Ulamak silam berbeza pendapat dalam menghuraikan waktu yang terbaik untuk berdoa pada hari Jumaat.

2 tafsiran yang paling kuat ialah:

1. *Waktu antara Azan Jumaat sehingga berakhirnya Solat Jumaat.*

Dalilnya ialah Hadis Muslim riwayat Abu Musa al-Asy'ari bahawa Nabi saw bersabda:

(هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الإِمَامُ إِلى أَنْ تُقْضَى الصَّلاَةُ)
" ia antara waktu imam duduk sehinggalah berakhir solat"

Hadis ini merujuk kepada situasi imam duduk selepas memberi salam lalu muazzin melaungkan azan jumaat seterusnya dimulakan khutbah.

Ia dipegang oleh Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dan ramai para ulamak.

2. *Waktu selepas Asar sehingga Maghrib.*

Antara dalilnya ialah Hadis Jabir bin Abdillah bahawa Nabi saw bersabda:

(يَوْمُ الجُمُعة ثِنْتَا عَشْرَةَ سَاعَةً ، لاَ يُوجَد فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ الله شَيْئاً إِلاَّ آتَاهُ إِيَّاهُ ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ العَصْر)

"Hari Jumaat 12 juzuk waktu. Tidak ada seorang hamba muslim memohon kepada Allah sesuatu melainkan diberikan oleh Allah. Maka carilah waktu itu pada akhir waktu selepas Asar.

_(Hadis riwayat Abu Dawud, Nasaei dan dinilai Sahih oleh al-Albaani)_

Pandangan ini juga dipegang oleh ramai antaranya 2 sahabat Nabi saw iaitu Abu Hurairah radiyallahu anhu dan Abdullah bin Salam radiyallahu anhu.

Marilah kita mengambil kesempatan pada saat-saat ini untuk memohon pelbagai hajat dan kemahuan sama ada melibatkan dunia mahupun akhirat.

Sekian.

Jumaat 19 Ramadhan 1437 h / 24 Jun 2016

_Masjid Haram, Makkah al-Mukarramah jam 11.20 tghari_