Tuesday 27 February 2018

*URUSTADBIR RABBANI SEBAGAI DASAR KERAJAAN PERANGI RASUAH : CONTOHI KONSEP UMI KELANTAN*

*Kenyataan Media*
*Ahli Parlimen Kuala Nerus*

27 Februari 2018 | 11 Jamadilakhir 1439H

*URUSTADBIR RABBANI SEBAGAI DASAR KERAJAAN PERANGI RASUAH : CONTOHI KONSEP UMI KELANTAN*

1. Perbincangan politik hari ini tidak dapat lari daripada isu penyelewengan, rasuah dan korupsi yang sukar untuk dibendung. Ia ibarat barah yang menambah luka ketika permainan politik bukan lagi di atas dasar menguntungkan rakyat secara keseluruhan, tetapi demi kepentingan kantung pihak tertentu.

2. Di dalam riuh rendah hiruk pikuk masyarakat bercakap soal sebuah urustadbir kerajaan yang baik (good governance), kerajaan negeri Kelantan selepas memerintah selama 27 tahun bermula Oktober 1990, telah membuktikan bahawa melahirkan "Good Governance" (Urustadbir Baik) yang cemerlang dari sudut pengurusan serta jauh dari rasuah bukanlah sesuatu yang mustahil *tetapi hendaklah berasaskan _"al-Hukmu al-Rabbani"_ iaitu "Urustadbir Rabbani" yang meletakkan asas agama dan perhambaan diri kepada Tuhan sebagai dasar rujukan.*

3. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 79:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ (79)
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah SWT kurniakan kepadanya Kitab, Hukum (kebijaksanaan dan pemerintahan) dan Kenabian, kemudian dia  berkata kepada orang ramai; "Jadilah kamu semua hamba-hamba kepadaku lain daripada Allah SWT", tetapi hendaklah dia berkata; "Jadilah kamu semua *Rabbaniyyin*", dengan sebab apa yang kamu ajarkan menerusi Kitab dan dengan sebab apa yang kamu pelajari".

4. Rabbani adalah orang yang dinisbahkan kepada Rabb Tuhan. Sebagaimana ditafsirkan oleh para ulamak, ia bermaksud orang yang berilmu, faqih, ahli ibadah dan ahli taqwa, yang sentiasa menyedari pengawasan Allah SWT terhadap dirinya dan yang mengikut Rabb iaitu Tuhan. Perkataan "rabbani" juga berasal dari perkataan "rabba" bermaksud mentadbir dan memperelokkan keadaan. Justeru, Rabbani menurut Qurtubi bermaksud orang yang disamping berilmu dia juga cekap dalam urustadbir.

5. Kesimpulannya Rabbani boleh ditafsirkan sebagai orang yang ada ilmu, kuat beribadah mengabdikan diri kepada Tuhan, bertaqwa dan menyedari pengawasan Allah SWT terhadap dirinya serta cekap mentadbir dengan menjadikan Rabb Tuhan sebagai ikutan dan panduan.
*Konsep Rabbani inilah yang perlu diterapkan dalam urustadbir negara.*

6. "Good Governance" yang dikeluarkan oleh World Conference on Governance pada tahun 1999 mendefinisikannya sebagai “a system that is transparent,
accountable, just, fair, democratic, participatory and responsive to people’s needs". Ia menggariskan 3 asas urustadbir yang baik iaitu accountability (kebertanggungjawaban) , transparency (ketelusan) dan
efficiency and effectiveness (kecekapan).

7. Namun, Urustadbir Rabbani lebih jauh meletakkan semua tiga asas itu bersumberkan kesedaran bahawa manusia yang melaksanakan urustadbir negara adalah:

i. Hamba kepada Tuhan yang mesti berilmu dan terikat dengan hukum hakam dan peraturan Tuhan.

ii. Dipertanggungjawabkan menerusi konsep Hisab di Hari Akhirat

iii. Dinilai oleh Allah SWT berasaskan kualiti setiap urustadbir untuk diganjari dengan Syurga.

8. Atas kesedaran "Urustadbir Rabbani" berasaskan konsep perhambaan diri kepada Tuhan, kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan prinsip UMI merujuk kepada 'Ubudiyyah (Perhambaan kepada Allah SWT), Mas'uliyyah' (Kebertanggungjawaban juga berkait dengan prinsip dosa dan pahala) dan Itqan (Kesungguhan dan Kecekapan) sebagai dasar urustadbir negeri.

9. Urustadbir berasaskan prinsip UMI menjadi tunjang penting kepada pengurusan yang cekap serta jauh daripada penyelewengan.
Hasilnya, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kelantan telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bebas dan bersih daripada sebarang rasuah mahupun korupsi. Ini merupakan kejayaan terbesar bagi sesebuah kerajaan yang memerintah sebuah negeri.

10. Malah, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016, Pejabat Menteri Besar dan SUK Kerajaan Negeri Kelantan memperolehi markah 99 peratus dalam laporan berhubung prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan/agensi pada 2016.

11. UMI sebagai satu konsep Urustadbir Rabbani sepatutnya menjadi rujukan kerajaan-kerajaan negeri lain termasuk kerajaan pusat sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan. Misi menjadi sebuah negara yang bebas dari amalan rasuah kini sebenarnya tidak lagi mustahil dan Kerajaan Negeri Kelantan telah dahulu membuktikannya.

Sekian.

_*"Sejahtera Bersama Islam"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1891583407518347&id=569086473101387

Thursday 15 February 2018

PAS TERAJUI DASAR BURUH BERKEBAJIKAN

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*

Khamis 15 Februari 2018 | 29 Jamadilawal 1439H

*PAS TERAJUI DASAR BURUH BERKEBAJIKAN*

1. Panduan PAS adalah Islam; dengan merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai sumber hukum yang tertinggi.

2. Prinsip utama *dasar buruh PAS* ialah bahawa *manusia itu adalah makhluk yang mempunyai akal dan nafsu serta roh dan jasad yang perlu dibina dan dibajai serta digunakan sesuai dengan fitrah penciptaannya yang telah ditetapkan.*

3. Manusia perlu memberikan hak kepada jasadnya untuk makan dan minum, berehat dan berhibur. Perlu memberikan hak kepada roh dan akalnya untuk mendapatkan ilmu. Perlu memberikan hak kepada ahli keluarga anak, isteri, ibu, bapa dan sanak saudara untuk bermesra dan berziarah. Perlu memberikan hak kepada jiran tetangga dan masyarakat untuk berhubung kasih dan bersosial serta melakukan kebajikan sesama manusia.

4. Manusia hidup bukan hanya untuk bekerja mencari nafkah. Tetapi dia perlu juga memakmurkan kehidupan dengan aktiviti ibadah khas beragama, aktiviti berkeluarga, aktiviti bermasyarakat dan pelbagai aktiviti yang boleh melapangkan akal, menenangkan minda dan merehatkan jasad. *Bukan hanya terpenjara dalam ruang lingkup pekerjaan mencari nafkah semata-mata.*

5. Perbezaan jantina makhluk bergelar manusia justeru menatijahkan hak dan tanggungjawab yang berbeza juga adalah suatu bentuk kemuliaan dan bukannya diskriminasi terhadap mana-mana jantina.

6. Berlainan dengan teori buruh yang dibangunkan berasaskan ideologi ciptaan manusia yang hanya menganggap bahawa manusia adalah semata-mata alat (machinery) bagi memacu produktiviti kebendaan dalam kehidupan; dan, lelaki dan perempuan pula adalah sama sahaja sehinggakan syariat Islam yang memperihalkan perbezaan antara lelaki dan perempuan ditentang lantang atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan gender.

7. Bertitik tolak daripada prinsip-prinsip inilah, PAS telah memperkenalkan dasar buruh yang berkebajikan kepada para pekerja. Contoh ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan oleh Kerajaan Negeri yang ditadbir atau pernah ditadbir oleh PAS di Kelantan dan Terengganu. Antaranya :

*(a) DASAR KERJA LIMA (5) HARI SEMINGGU.*

Bermula 1hb Januari 1996, Kerajaan Kelantan diterajui PAS menetapkan hari berkerja hanya lima (5) hari seminggu dan memperuntukkan dua (2) hari sebagai cuti rehat.

Rasionalnya ialah bagi menjadikan masyarakat lebih berilmu dengan menjadikan Jumaat sebagai hari ilmu dan menjadikan Sabtu hari bersama keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Tindakan ini dapat menggalakkan produktiviti kerja setelah mereka mendapat rehat yang cukup serta membantu sektor pelancongan domestik.

*Dasar ini kemudiannya ditiru oleh Kerajaan Persekutuan dengan memperkenalkan cuti tambahan pada Sabtu minggu pertama bermula Januari 1999 dan bermula Februari 2000 pula, Sabtu minggu pertama dan ketiga dijadikan sebagai hari cuti.*

Pada Julai 2005 barulah Kerajaan Persekutuan melaksanakan sepenuhnya dasar lima (5) hari berkerja dan cuti dua hari tetapi dengan memanjangkan tempoh masa berkerja pada 5 hari tersebut.

*(b) DASAR CUTI WANITA BERSALIN*

Pada tahun 1991 Kerajaan PAS Kelantan memberi hak kepada pekerja wanita yang bersalin dengan diberikan cuti daripada 42 hari sebelumnya kepada 60 hari.

Ia bagi memberikan tempoh yang secukupnya untuk bersama dengan anak yang baru dilahirkan dan memastikan ibu itu pulih sepenuhnya sebelum kembali berkerja.

*Ia juga satu pemberian hak terhadap anak yang baru lahir untuk dijaga dan dibelai sepenuhnya oleh ibu selepas kelahiran apatah lagi hak penyusuan susu ibu.*

*Pada 1hb Mei 1998 barulah polisi itu ditiru oleh Kerajaan Persekutuan menerusi pekeliling bilangan 2 tahun 1998.*

Pada Mei 2010, Kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan pula dasar cuti bersalin kepada 90 hari.

Pada 15 hb Oktober 2010 Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang sama memberikan cuti 90 hari TETAPI dengan had maksima 300 hari dan pekerja boleh memilih untuk mengambil cuti antara 60 hingga 90 hari.

Berkuatkuasa Januari 2018 pula had maksima ini ditambah kepada 360 hari dan dalam masa yang sama, cuti 90 hari ini juga diperluaskan ke sektor swasta pula .

8. Menariknya, dasar-dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh PAS ini yang kemudiaannya turut diikuti oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri yang lain dan juga sektor swasta membuktikan bahawa *ia adalah dasar yang sangat baik dan bermanfaat bukan sahaja kepada pekerja, bahkan kepada aspek-aspek lain juga.*

9. Ia juga mengingatkan kita dengan firman Allah
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ (73)

"Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang membimbing berdasarkan perintah Kami dan Kami ilhamkan kepada mereka perlakuan kebajikan...."
(Surah al-Anbiya ayat 73)

*Sesungguhnya Allah mengilhamkan kepada para pemimpin yang memerintah berpandukan Islam pelbagai polisi kebajikan yang memberi kebaikan kepada rakyat.*

10. Saya juga sebelum ini pernah mencadangkan supaya *tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga dikurangkan daripada 8 jam kepada hanya 5 atau 6 jam sehari dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari* bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan dan sebagai penghargaan kepada wanita yang berkeluarga.

11. Apabila PAS diberikan kepercayaan untuk mentadbir lebih banyak negeri dan mentadbir negara, saya percaya pelbagai lagi dasar berkebajikan yang akan diperkenalkan dan dilaksanakan yang akan menguntungkan para pekerja di negara ini. Pelbagai ilham akan dicurahkan oleh Allah insyallah.

Sekian.

_*“Sejahtera Bersama Islam”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1786071248078504&id=100000269374994