Wednesday 31 May 2017

Menjejaki Fuqara' Ramadhan

Menjejaki Fuqara' Ramadhan

Petang ini ke Banggol Nyiur, Gemuruh, Dun Tepoh bagi menziarahi 3 buah keluarga miskin.  Salah sebuah rumah didiami oleh sepasang suami isteri dengan anak seramai 10 orang yang sebahagian besar mereka masih kecil Tiada apa dalam rumah melainkan satu kerusi dan tilam lusuh. Si bapa menoreh. Anak-anak juga turut menoreh mewarisi kerja bapa. Pendapatan tidak lebih rm300 sebulan dengan cuaca tidak menentu.

Satu keluarga lagi kediaman mereka dikongsi dengan anak menantu dan cucu. Si anak menderita sakit buah pinggang tidak mampu bekerja.

Tentunya Zakat dan Sodakah adalah hak mereka yang perlu dilunaskan oleh si kaya.

Dr Khairuddin at-Takiri
31 hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1523176481034650&id=100000269374994

Sunday 28 May 2017

*Ganjaran Menyediakan Makanan Berbuka Puasa*

*Sejenak RAMADHAN (Siri 2)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Ganjaran Menyediakan Makanan Berbuka Puasa*

Nabi saw bersabda:

*مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا*

*“Siapa memberi makan berbuka bagi seorang yang berpuasa baginya seumpama ganjaran orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga."*
(Hadis riwayat Tirmidzi dan dinilai sebagai Hasan Sahih)

1. Hadis ini menjadi dalil menunjukkan bahawa menyediakan makanan untuk orang Berbuka Puasa adalah antara ibadah yang besar ganjarannya pada bulan Ramadhan sebagaimana Berbuka Puasa itu sendiri juga satu ibadah.

2. Hal ini kerana ia merupakan satu perlakuan memuliakan dan menghargai orang-orang yang beribadah dengan berpuasa.

3. Ia juga merupakan manifestasi jiwa dermawan yang sudi memberi sama ada atas nama sodakah kepada orang miskin yang berpuasa atau sebagai hadiah kepada orang kaya.

4. *Istimewanya ialah ia merupakan sodakah dan hadiah bagi menyempurnakan ibadah orang yang melakukan ibadah.*

5. Mengeluarkan belanja untuk tujuan ini mendidik seorang muslim melihat dunia sebagai kecil nilainya. Lantaran itu, ia mampu diberikan dan dikongsikan dengan orang lain untuk dinikmati. Seorang yang merasakan dunia itu sangat besar nilaiannya berbanding Akhirat tidak mampu melakukannya.

Sekian.
Ahad 2 Ramadhan 1438 H / 28hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1591538204189537&substory_index=0&id=569086473101387

Saturday 27 May 2017

Ibadah Ramadhan

*Sejenak RAMADHAN (Siri 1)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Bulan Ramadhan membina KETAQWAAN menerusi ibadah wajib dan ibadah sunat dan meninggalkan larangan haram dan makruh.

Ibadah wajib sepanjang hari ialah *Puasa*.  Ibadah sunat di malam hari yang utama ialah *Qiyam Ramadhan* atau dikenali juga sebagai Solat Tarawih.

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ "
"Sesiapa yang Qiyam malam Ramadhan kerana keimanan dan kerana mengharapkan pahala diampunkan untuknya apa yang lalu daripada dosanya"
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Lidah, mata, telinga dan tangan berpuasa daripada melakukan yang terlarang.

Ibadah sunat iringan pula seperti membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah diperbanyakkan.

Sekian.
Sabtu 1 Ramadhan 1438 H / 27hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1590460757630615&substory_index=0&id=569086473101387

Thursday 25 May 2017

Kutip Derma Guna Tin Milo atau Jualan Meja Makan Malam

*Berfikir Sejenak (siri 09)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Kutip Derma Guna Tin Milo atau Jualan Meja Makan Malam*

Mengumpul dana dengan mengajak orang ramai untuk bersedekah bagi kerja-kerja kebajikan dan dakwah adalah amalan mulia kerana ia satu seruan mengajak manusia melakukan satu kebajikan. Jika tiada yang menyeru tentu kurang kesedaran untuk menyumbang yang merupakan sebahagian tanggungjawab seseorang terhadap harta.

Allah berfirman

لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

"Tiada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka melainkan sesiapa yang *MENYURUH UNTUK BERSEDEKAH* atau menyuruh untuk melakukan satu perkara makruf atau menyuruh berlakunya perdamaian antara srsama manusia.  Dan sesiapa yang melakukan perkara demikian kerana mencari REDHA-REDHA ALLAH maka pasti Kami berikan mereka ganjaran yang besar"
surah al-Nisa' ayat 114.

*Mengumpul sumbangan amal itu boleh sahaja berlaku dengan menggunakan "tin milo" atau menerusi jualan meja makan malam amal bernilai besar puluhan ribu ringgit.*

Ada orang berkemampuan melakukan kebajikan dengan masa dan jasadnya dan ada pula yang menyumbang dengan hartanya. Ada yang mengumpul untuk dana kebajikan juga menyumbang dengan tenaga dan hartanya sendiri kerana dirinya juga orang berharta.

Sekian. Ahad 15hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1576876595655698&substory_index=0&id=569086473101387

Senantiasa Berkebajikan Terhadap Ibu - Berfikir Sejenak (siri 10)

*Berfikir Sejenak (siri 10)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Senantiasa Berkebajikan Terhadap Ibu*

Ibu adalah insan yang paling berhak untuk sentiasa menerima kasih sayang dan segala bentuk kebajikan daripada seseorang. *Ibulah yang mengandung lalu melahirkan, menyusu lalu membesarkan hingga seseorang mampu berdikari.*

Apabila Nabi saw ditanya sebanyak tiga kali oleh sahabat siapa yang paling berhak mendapat dampingan terbaik daripada dirinya, baginda mengulang jawap "ibumu" sebanyak tiga kali kemudian diikuti oleh bapa.
(Hadis Sahih Bukhari)

Ia menunjukkan betapa besarnya kedudukan ibu dalam kehidupan seseorang.

Hari Ibu yang diperingati setiap tahun *hanya peringatan* untuk setiap insan terhadap kewajipan tersebut dan bukannya bermaksud ibu diraikan hanya pada hari tersebut lalu dilupakan pada baki harinya.

Jangan pula ia diingati kerana mengambil adat Yunani purba yang memuja ibu pada hari tertentu.

"Ya Allah, ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami dan rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka mendidikku semasa kecil"

#buat ibunda Aisyah yang telah pergi pada 1989 dan ayahanda Aman Razali yang telah pergi pada 15 mei 2014

Sekian. Isnin 15hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1577033388973352&substory_index=0&id=569086473101387

Jangan Berebut Jadi PM - Berfikir Sejenak (siri 11)

*Berfikir Sejenak (siri 11)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Tidak perlu berebut untuk menjadikan individu tertentu sebagai Perdana Menteri Malaysia.  Apa yang penting ialah perjuangan memastikan negara dipimpin dengan dasar Islam dan negara dipimpin oleh *seorang yang beriman pada aqidahnya,  soleh pada amalan syariatnya dan berilmu untuk memimpin negara dengan Islam.*

PAS tidak berjuang untuk individu tertentu menjadi pemimpin nombor satu  negara tetapi berjuang untuk negara diperintah dengan dasar Islam.


*_"Sejahtera Bersama Islam"_*

Sekian. Rabu 24hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1587049231305101&substory_index=0&id=569086473101387

Dakyah Agama Selain Islam - Berfikir Sejenak Siri 12

*Berfikir Sejenak (siri 12)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Dakyah Agama Selain Islam*

Bukan muslim mempunyai hak mengamalkan agama masing-masing di negara ini. Ia perlu dihormati oleh semua pihak.

*Namun mereka tidak boleh menyebarnya kepada orang-orang Islam*. Pelekat terbuka mempromosi agama selain Islam di cermin belakang kereta dan risalah-risalah terbuka diedarkan perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa negara agar perlakuan itu tidak menggugat keharmonian beragama dan kehidupan bermasyarakat dalam negara ini.

Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

*_"Sejahtera Bersama Islam"_*

Sekian. Rabu 24hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1587277321282292&substory_index=0&id=569086473101387

Jangan Guna Akal Semata-mata - Berfikir Sejenak Siri 13

*Berfikir Sejenak (siri 13)*

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*Jangan Guna Akal Semata-mata*

Bincanglah sebarang tindakan politik melibatkan negara dengan *merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis*. Setelah itu *tawakkal berserah dirilah kepada Allah* kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui perkara mendatang yang bakal menjadi hasil bagi sebarang keputusan. *Usah terlalu banyak membuat andaian ke depan berdasarkan fikiran semata-mata* tanpa merujuk kepada panduan Allah dan Rasul kerana fikiran kita sangat terhad kemampuan berfikirnya.

Allah berfirman:

 وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ ۚ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ (62)
_"Dan sekiranya mereka cenderong untuk berdamai maka hendaklah kamu juga cenderong untuk berdamai dan bertawakkal berserah dirilah kepada Allah..... Sekiranya mereka berhasrat memperdayakan kamu maka sesungguhnya cukuplah bagi kamu Allah (yang menjaga). *Dialah yang menyokong kamu dengan bantuan-Nya dan bantuan orang-orang beriman."_*
Surah al-Anfal ayat 61-62

Sekian. Khamis 25hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1587720587904632&substory_index=0&id=569086473101387

Dr Khairuddin at-Takiri


Sunday 7 May 2017

Berfikir Sejenak (siri 01)*

*Berfikir Sejenak (siri 01)*

Negara Sejahtera yang mampu memberi kebahagiaan kepada seluruh rakyat mesti dibina atas asas Aqidah, Syariah dan Akhlak Islam.  Aqidah negara sejahtera tegak di atas asas keimanan kepada syurga dan neraka serta pertimbangan halal dan haram. Tiada polis terbaik yang boleh memantau perlakuan dan tindak tanduk pemimpin negara melainkan polis iman yang tegak atas keyakinan bahawa segalanya akan dihisab pula di alam kedua kehidupan iaitu Akhirat.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 6 hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1567505283259496&substory_index=0&id=569086473101387

Berfikir Sejenak (siri 02)

*Berfikir Sejenak (siri 02)*

Fitnah dan persepsi tidak wajar dijadikan asas berpolitik dalam negara ini.  Ia mungkin menguntungkan setengah pihak untuk jangka masa pendek tetapi dia merosakkan negara dan bangsa untuk jangka masa panjang. 

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahad 7hb mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1568890676454290&substory_index=0&id=569086473101387

Monday 1 May 2017

Menilai Fatwa Kebangsaan Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)*

*Menilai Fatwa Kebangsaan Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)*

oleh
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Kenyataan Ketua Pengarah Jakim menjelaskan kembali keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke 106 pada 21-22 Oktober 2014 menyebut bahawa "kerajaan melaksanakan GST ini adalah bagi memenuhi tujuan ekonomi, tujuan sosial dan kepentingan rakyat meliputi aspek kesihatan, pendidikan, tempat rekreasi, kebajikan dan keselamatan. Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi kepentingan umum (maslahah) ini."

2. *Dengan penuh hormat, kasih dan sayang serta pengiktirafan terhadap kewibawaan dan keilmuan anggota Muzakarah*, saya berpandangan bahawa *Fatwa ini adalah lemah, longgar dan tidak tepat pada penghujahan* yang menatijahkan hasil pandangan yang tersilap dan tersasar.

3. Kesilapan itu berlaku kerana fokus Muzakarah hanya pada *tujuan cukai dikutip* tapi tidak melihat kepada *bagaimana cukai itu dikutip*.

4. Penentuan boleh atau tidak mengenakan cukai tambahan kepada rakyat bukan hanya dilihat pada tujuannya sahaja tetapi hendaklah dilihat pada bagaimana ia dikutip.

5. Dalilnya ialah hadis Nabi saw

“لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ
"Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari Kiamat hingga disoal tentang empat perkara..... *tentang hartanya; daripada mana ia diperolehi dan pada apa ia dibelanjakan.*"
Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Tirmizi.

6. Ulamak Islam telah membicarakan topik cukai dalam tulisan-tulisan mereka sepanjang sejarah pemerintahan Islam selama 13 kurun. Antaranya Imam Ghazali, Imam Syatibi, Ibnu Abidin, Ibnu Taimiyah dan Ibu Hazm. 

7. Secara umumnya para Ulamak menegaskan beberapa syarat untuk membolehkan cukai dikutip iaitu:

a) Apabila kerajaan kehabisan sumber pendapatan atau tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menguruskan keperluan negara

b) Kekurangan pendapatan itu tidak berlaku disebabkan salah urus kerana penyelewengan, ketirisan dan pembaziran.

c) Cukai itu hanya diambil daripada orang-orang kaya sahaja bukannya daripada orang kaya dan miskin juga.

*Cukai Daripada Orang Kaya*

8. Antara syarat utama pengambilan cukai ialah hanya diambil daripada orang kaya yang mempunyai lebihan kewangan.

8. Dalilnya ialah sabda Nabi saw

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

"diambil daripada orang kaya mereka dan dipulangkan kepada orang miskin mereka".
Hadis Sahih Bukhari

9. *Syarat inilah tidak dapat dipenuhi oleh sistem percukaian GST kerana ia dikenakan berdasarkan perbelanjaan yang tidak boleh membezakan antara kaya dan miskin*,  bukannya berdasarkan pendapatan yang boleh dibezakan antara golongan yang mempunyai lebihan pendapatan dengan yang kurang.

10. Apabila cukai diambil juga daripada orang miskin yang tidak berkemampuan maka berlakulah kezaliman. BRIM yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak mampu memulangkan semula setiap sen yang mereka bayar. 

11. Apatah lagi percukaian GST juga telah menyebabkan kenaikan harga barang di semua peringkat yang menambahkan lagi bebanan rakyat miskin.

12. Imam Syatibi berkata:

إذا قدرنا إمامًا مطاعًا مفتقرا على تكثير الجنود لسد حاجة الثغور، وحماية الملك المتسع الأقطار، وخلا بيت المال، وارتفعت حاجات الجند إلى ما لا يكفيهم، فللإمام إذا كان عدلاًَ أن يوظف على الأغنياء ما يراه كافيًا لهم في الحال إلى أن يظهر مال في بيت المال

"Apabila kita andaikan seorang pemerintah yang ditaati mempunyai keperluan meramaikan tentera bagi memenuhi keperluan sempadan dan melindungi kerajaan yang luas kawasannya, sedang Khazanah Negara (Baitul Mal) kekosongan dana, di saat meningkatnya keperluan tentera terhadap perbelanjaan yang tidak mencukupi MAKA bolehlah pemerintah itu sekiranya beliau seorang yang ADIL *untuk mengenakan cukai terhadap ORANG-ORANG KAYA dengan amaun yang mencukupi* untuk mereka ketika itu sehinggalah terserlah dana dalam khazanah negara" (al-I'tisam juz 2/358)

13. Imam Ghazali berkata:

" إذا خلت الأيدي من الأموال، ولم يكن من مال المصالح ما يفي بخراجات العسكر، ولو تفرق العسكر، واشتغلوا بالكسب لخيف دخول العدو ديار المسلمين، أو خيف ثوران الفتنة من أهل الشر في بلاد الإسلام، جاز للإمام أن يوظف على الأغنياء مقدار كفاية الجند."

"Apabila pemerintah kehabisan wang sedangkan harta khazanah negara tidak mencukupi untuk perbelanjaan tentera, sekiranya anggota tentera berpecah ke sana sini dan sibuk mencari rezki pasti dibimbangi kemasukan musuh ke negeri orang Islam atau bimbang pemberontakan golongan yang jahat dalam negara maka *harus bagi pemerintah untuk mengenakan cukai terhadap orang kaya kadar yang cukup untuk tentera*"
(al-Mustashpa 1/426)

14. Menurut Dr Syauqi Allam, Mufti Mesir
إلا أنه ينبغى أن يراعى فى فرض الضرائب عدم زيادة أعباء محدودى الدخل وزيادة فقرهم، وأن تحصل الضرائب أصالة من الفئات التى لا يجهدها ذلك؛ كطبقة المستثمرين، ورجال الأعمال الذين يجب عليهم المساهمة فى واجبهم تجاه الدولة.(28)

"tetapi wajarlah diraikan dalam menetapkan pengambilan cukai itu *tidak menambah bebanan rakyat yang berpendapatan terhad dan menambahkan kemiskinan mereka* dan wajarlah *cukai itu dihasilkan asasnya daripada golongan yang tidak tertekan dengan bebanan tersebut seperti golongan pelabur dan golongan korporat ahli perniagaan* yang wajib  menyumbang tanggungjawab mereka terhadap negara"

15. Oleh kerana itu PAS menerusi Dokumen Hijau mencadangkan alternatif cukai terhadap orang kaya yang selaras dengan Islam iaitu *cukai simpanan korporat dan cukai keuntungan jual beli saham.* Ia adalah alternatif kepada percukaian GST.

16. Cukai sebagai sumber kewangan negara dibahaskan oleh para alim ulamak Islam sebagai satu sumber tambahan yang bersifat pengecualian. Ia bermaksud cukai asasnya tidak dibenarkan.  Namun dibenarkan sebagai pengecualian hukum dengan syarat-syaratnya.

17. Saya mengalu-alukan kenyataan Sahibus Samahah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan oleh media pada 29 hb April 2017 berpendapat bahawa *pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak sewajarnya dikenakan kepada rakyat negara ini berikutan kaedah tersebut hanya membebankan.*

18. Beliau berkata, kaedah pencukaian sebenarnya tidak wujud dalam hukum syarak dan kerajaan tidak sewajarnya mengenakan GST kepada rakyat yang terbeban dengan pelaksanaan itu bagi memberi keuntungan kepada negara.

19. Dewan Ulamak PAS Pusat seawal 2013 telah membuat Usul dalam Muktamar menegaskan bahawa GST adalah percukaian yang bercanggah dengan Syariat Islam.

20. Saya mencadangkan untuk Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengadakan Muzakarah Ilmu secara ukhuwwan dan mahabbah dengan para ulamak dalam PAS bagi mencerna isu percukaian GST lebih mendalam untuk kebaikan masyarakat.

Sekian

Isnin 1 hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1561817267161631&id=569086473101387

DANA PASARAYA WAKAF PAS PUSAT & DANA INFAK JIHAD*

*DANA PASARAYA WAKAF PAS PUSAT & DANA INFAK JIHAD*

SENANGPAY ONLINE untuk Lujnah Ekonomi PAS Pusat

Hanya menggunakan telefon bimbit sahaja untuk menyumbang tanpa perlu pergi ke bank. Dengan beberapa klik sahaja anda boleh membuat sumbangan terus kepada pengukuhan dana dan gerak kerja dakwah dan politik Islam.

*Pengenalan*

Lajnah Ekonomi PAS Pusat sedang menggerakkan 2 projek yang memerlukan sumbangan segera:

1. *Projek Wakaf Kormesial Pasaraya Wakaf* dengan kos RM12 juta di Dungun, Terenggganu yang akan bernilai lebih RM20 juta apabila siap 2 tahun nanti dan memberi pendapatan bulanan RM85k kepada PAS Pusat.

2. *Projek Dana Infak Jihad Dakwah* untuk kerja-kerja jihad dakwah dan pengurusan parti di peringkat PAS Pusat

*Product & Nilai Sumbangan*:

1. Pelaburan dan Wakaf Komersial Pasaraya Wakaf PAS Pusat (RM100)

2. Infaq Jihad Dakwah (RM30)

*Saluran Sumbangan Terus*:

*DANA WAKAF PASARAYA*
No Akaun Maybank 564025404697 Nama Akaun: *Dana Sanabil*

*DANA INFAK DAKWAH*
No Akaun Maybank 564294310536
Nama Akaun: *Dana Ekonomi Ummah*

*Sumbangan ONLINE* (Internet Banking & Kad Kredit)

http://bit.ly/wakafkomersial
http://bit.ly/InfaqDakwah

Pengurus Dana Sumbangan ONLINE : Muslim Care Malaysia

Cara-cara:
1. Hanya taip link dan anda akan dibawa terus ke website ONLINE yg tertera nama Muslim Care    Malaysia.
2. Sila isi jumlah bilangan sumbangan yang dihajati.
3. Isi nombor hp email dan pilih FPX(Internet Banking) atau Kad Kredit dan ikut arahan       seterusnya.
4. Pilih bank dan sahkan.

Link di atas boleh dikongsikan melalui aplikasi-aplikasi sosial seperti Whatappps, Telegram, Instagram Facebook dan website... mohon kongsikan.

PAMERAN

*sila lawati gerai pameran Pasaraya Wakaf di gerai Ku-Haraki no 14 sempena Muktamar PAS di Kota Sarang Semut untuk melihat pelan pembangunan Pasaraya Wakaf dan sumbangan terus menerusi kupon dana*

SELAMAT MENYUMBANG

Sekian.

Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat

#sebarkan

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=411983675838905&id=363992160638057

Takziah Atas Musibah Ribut; Moga Allah Ganti Dengan Yang Lebih Baik

Takziah Atas Musibah Ribut; Moga Allah Ganti Dengan Yang Lebih Baik

1. Saya mewakili Kelab Usahawan Haraki (Ku-Haraki) di bawah Lajnah Ekonomi PAS Pusat mengucapkan takziah kepada beberapa pengunjung dan peniaga yang cedera akibat musibah ribut yang berlaku di gerai pameran dan jualan Muktamar PAS semalam.

2. Juga takziah kepada para peniaga dan ahli Kelab Usahawan Haraki yang diuji dengan risiko kerosakan dan kerugian harta benda.

3. Moga Allah kurniakan pahala kesabaran dan menggantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik di dunia dan di akhirat.

4. Nabi saw bersabda

 مَا مِنْ عَبْدٍ  تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ : إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي ، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا ، إِلَّا أَجَرَهُ اللَّهُ فِي مُصِيبَتِهِ ، وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا "  ،

"Mana-mana hamba yang ditimpa dengan musibah lalu berkata:
(inna lillah wainna ilaihi raji'un -sesungguhnya kita milik Allah dan pasti kepadaNya kita kembali-,
Ya Allah berilah pahala kepadaku pada musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya), pasti Allah berikan pahala pada musibahnya dan pasti Allah gantikan untuknya yang lebih baik daripadanya"
Hadis riwayat Muslim

5. Moga ada hikmah yang besar daripada musibah ini untuk kebaikan kita, umat Islam dan perjuangan ini.

Sekian

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat

Ahad 30 hb April 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1560383207305037&id=569086473101387