Tuesday 21 April 2015

GARIS PANDUAN HIBURAN – LANGKAH PROAKTIF BENDUNG MASALAH SOSIAL, MENDISIPLINKAN BUDAYA HIBURAN DALAM NEGARA

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

GARIS PANDUAN HIBURAN –
LANGKAH PROAKTIF BENDUNG MASALAH SOSIAL, MENDISIPLINKAN BUDAYA HIBURAN DALAM NEGARA

1. Saya menyokong penuh tindakan proaktif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap usaha menerbitkan dan mewartakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 pada 10 hingga 11 Februari 2015 lalu.

2. Bagi saya, Garis Panduan Hiburan ini adalah tersangat penting untuk membendung gejala sosial di peringkat awal lagi memandangkan trend anak muda sekarang amat mudah tertarik dan terpengaruh dengan lima (5) aspek utama yang digariskan dalam garis panduan ini iaitu artis, persembahan, lagu, penganjuran program hiburan dan klip video.

3. Oleh itu, apabila kelima-lima aspek ini diatur dengan suatu garis panduan yang tepat dengan ajaran agama dan adat tempatan, ia akan sekaligus dapat mendisiplinkan budaya hiburan di negara kita justeru mengelakkan daripada berlakunya masalah sosial dalam masyarakat kita.

4. Saya juga berpendapat adalah amat tidak tepat dan tidak wajar sekali apabila ada dalam kalangan penggiat seni dan pengajur program hiburan membantah dan mengkritik keras garis panduan yang disediakan ini semata-mata kerana tidak bersetuju dengan larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa mengadakan latihan atau raptai; dan larangan percampuran antara lelaki dan perempuan di kalangan penonton.

5. Seharusnya pihak pengajur program hiburan meneliti garis panduan ini secara holistik, mengakui kewajaran penguatkuasaannya dan memikul tanggungjawab bersama dengan pihak berkuasa untuk membendung masalah sosial yang kian semakin meruncing di negara kita.

6. Tanpa menafikan bahawa bahawa pembentukan karakter dan sikap generasi muda atau remaja bermula dari rumah, namun mesti diakui juga bahawa mereka amat terkesan dengan pengaruh rakan sebaya, persekitaran dan hiburan. Ini bererti, rakan sebaya yang dikenali, persekitaran yang dinikmati dan hiburan yang dihayati di konsert-konsert yang dianjurkan itu – jika tidak dipandu dengan suatu garis panduan yang tepat – sangat berupaya memesongkan nilai-nilai baik yang sedia wujud dalam diri seseorang seterusnya nilai negatif itu akan sebati menjadi nilai baru dalam diri mereka.

7. Apa yang dibimbangkan ialah mutakhir ini banyak sangat penganjuran berbentuk hiburan. Konsert mega ‘Life in Color’ yang dijadualkan pada 19 April 2014 nasib baik dibatalkan berikutan tragedi MH370 dan begitu juga dengan ‘Topless Friday Beach Party’ yang dibatalkan setelah mendapat bantahan orang ramai.

8. Malangnya tetap ada lagi konsert lain seperti konsert ‘Future Music Festival Asia’ yang telah meragut beberapa nyawa anak muda Islam akibat pengambilan dadah. Selepas itu ada lagi program hiburan yang sangat memalukan maruah umat Islam setelah terdapat insiden gadis Melayu-Islam dipeluk dan memeluk; dicium dan mencium artis dari Korea.

9. Suka untuk saya pertegaskan juga ialah Islam tidak sedikit pun melarang budaya berhibur. Cumanya Islam menggariskan bahawa hiburan mestilah secara terkawal dan terarah dan bukannya satu cara untuk mencari keseronokan semata-mata dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

10. Sekali lagi saya ingin menyatakan sokongan terhadap Garis Panduan Hiburan ini dan semoga usaha ini diberkati dan diramati oleh Allah s.w.t. Tahniah JAKIM.

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 21 April 2015 / 2 Rejab 1436H

__________

Sila lawati dan like page facebook serta blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di -

Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Monday 20 April 2015

BANTAH PENDAKWAAN, SOLIDARITI UNTUK UIA3M

Kenyataan Media
BANTAH PENDAKWAAN, SOLIDARITI UNTUK UIA3M

1. Saya membantah dan mengutuk pertuduhan ke atas tiga orang mahasiswa UIAM yang didakwa menyertai ‘Himpunan Jelajah Mahasiswa’ yang disifatkan sebagai perhimpunan haram oleh pihak pentadbiran UIAM.

2. Tindakan pihak pentadbiran UIAM menghadapkan ketiga-tiga mahasiswa ini ke Mahkamah Universiti pada hari esok adalah bercanggah dengan hak kebebasan berhimpunan dan bersuara yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tambahan pula, perhimpunan tersebut diadakan di luar perkarangan Universiti.

3. Ketiga-tiga mahasiswa tersebut bukannya melakukan jenayah atau salah laku moral. Mereka hanya menjalankan sebahagian daripada tugas kemahasiswaan untuk menjadi agen penerangan kepada masyarakat terutamanya komuniti mahasiswa dan sebagai ‘semak dan imbang’ kepada parti politik dan kerajaan.

4. Menyekat aktivisme dan aspirasi mahasiswa dengan kuasa undang-undang yang disalahgunakan seperti ini hanya akan menyekat pembangunan dan kelestarian kepimpinan generasi muda yang akan merugikan masa depan bangsa dan tanah air.

5. Datuk Seri Rais Yatim (Presiden UIAM), replika keris dan khat Iqra’ ala UMNO adalah lambang pengaruh dan kuasa UMNO mentadbir UIAM. Ayuh kita bersolidariti untuk UIA3M esok, bebaskan universiti daripada cengkaman UMNO.

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 20 April 2015 / 1 Rejab 1436H

__________

Sila lawati dan like page facebook serta blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di -

Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Hujah Mengharuskan Cukai GST Tidak Tepat dan Masih Perlu Disemak Secara Halus

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Hujah Mengharuskan Cukai GST Tidak Tepat dan Masih Perlu Disemak Secara Halus

1. Berkali-kali saya membaca di akhbar dan mendengar fatwa yang mengharuskan GST menurut Syarak sama ada oleh jawatankuasa fatwa kebangsaan atau beberapa Ashabus Samahah Mufti negeri. Terkini, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di media elektronik mempertahankan fatwa keharusan cukai GST.  Hujah yang dikemukakan oleh Ashaabus Samahah bagi mengharuskan cukai GST masih berlegar pada point bahawa negara memerlukan kewangan dan selagi ia digunakan untuk maslahah rakyat secara adil.

2. Apa yang saya bangkitkan ialah bukannya pada bagaimana ia dibelanjakan dan sejauh mana kerajaan memerlukan kewangan tersebut SAHAJA tetapi menjurus kepada bagaimana sistem percukaian GST itu berfungsi.

3. Telah saya nyatakan berkali-kali bahawa GST dikenakan berdasarkan perbelanjaan rakyat sama ada pembelian atau perkhidmatan. Selagi mana ia dikenakan berdasarkan perbelanjaan maka sistem percukaian ini gagal membezakan antara orang kaya berkemampuan atau orang miskin yang tidak berkemampuan. Kedua -dua golongan ini tetap akan dikenakan cukai 6% apabila membeli dan mendapatkan perkhidmatan.

4. Di sinilah cukai GST tidak menepati konsep pengharusan cukai dalam Islam iaitu syaratnya tidak boleh dikenakan kepada golongan miskin yang tidak berkemampuan.

5. Konsep zakat yang dikenakan dalam Islam ialah diambil daripada si kaya dan diberikan kepada si miskin.
Nabi saw bersabda;

فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِي فُقَرَائِهِمْ

"Maka bagitahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat terhadap harta mereka; diambil daripada golongan kaya berkemampuan di kalangan mereka dan dipulangkan kepada faqir miskin kalangan mereka".

Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi

6. Begitulah juga cukai. Antara syarat keharusan pengambilan cukai dalam Islam oleh kerajaan ialah hanya dikenakan kepada golongan yang kaya untuk dimanfaatkan bagi maslahat orang miskin.

7. Namun, dalam hadis yang sama Nabi saw memperingatkan juga;

َ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حجاب
"Berjaga-jagalah kamu (jangan diambil) harta berharga orang-orang kaya mereka. Dan takutlah kamu terhadap doa orang yang kena zalim. Sesungguhnya tidak ada antara doa itu dengan Allah sebarang hijab"

Ia satu isyarat bahawa mengambil harta tanpa hak adalah satu kezaliman. Orang-orang kaya dikenakan zakat. Itu kewajipan mereka. Namun, jangan sampai pula harta berharga mereka yang tidak patut dikenakan zakat pun diambil juga tanpa hak termasuklah menerusi cukai yang tidak diperlukan.

Cukai ertinya kerajaan mengambil harta manusia. Harta manusia tidak boleh diambil sewenang-wenangnya baik daripada si kaya atau si miskin.

Bagaimana pula apabila si miskin diambil hartanya yang sememangnya tidak cukup untuk makan???

Cukai yang dikenakan pada si miskin adalah satu kezaliman. Ia mengundang doa mereka yang merintih kesempitan kewangan.

Jika si kaya yang diambil hartanya tanpa hak diperingatkan oleh Nabi akan bahaya doa mereka apatah pula doa si miskin yang diambil hartanya menerusi cukai???

8. Saya tidak membangkitkan isu cukai harus atau tidak dalam Islam. Ulamak kontemporari telah bersetuju bahawa cukai dibolehkan dengan beberapa syarat iaitu;

Pertama;
Negara memerlukan kewangan dalam keadaan negara tidak kecukupan hasil daripada sumber-sumber selain cukai.

Kedua;
Negara tidak kecukupan hasil bukan kerana pembaziran, pemborosan atau ketirisan perbelanjaan.

Ketiga;
Cukai tidak dikenakan kepada orang miskin yang tidak berkemampuan.

Syarat ketiga gagal dipenuhi oleh sistem percukaian GST.

Syarat pertama dan kedua juga menimbulkan persoalan sejauh mana tahap kewangan negara benar-benar menepati kedua-dua syarat tersebut.

9. Justeru, saya masih lagi menegaskan bahawa sistem percukaian GST adalah bercanggah dengan syarat keharusan cukai dalam Islam.

10. Dalam masa yang sama saya juga membangkitkan sejauh mana keperluan negara terhadap cukai GST. Rakyat sudah dibebani dengan cukai korporat dan individu yang memberi pendapatan kepada negara di samping hasil-hasil lain seperti petroleum. Ia sudah cukup untuk masa ini bagi menampung perbelanjaan negara.

11. Jika negara berhadapan dengan masalah kewangan, punca yang mesti dikaji ialah bagaimana negara berbelanja. Selagi mana cara berbelanja secara berhemah tidak menjadi amalan kerajaan maka sampai bila pun negara tidak akan kecukupan hasil dan pendapatan walaupun GST menghasilkan pulangan berpuluh atau beratus bilion.

12. Sudikah jawatan kuasa fatwa untuk mengeluarkan fatwa tentang cara berbelanja kerajaan dengan melihat Laporan Audit Negara untuk sekurang-kurangnya 10 tahun terakhir???

13. Sekali lagi saya memohon untuk fatwa tersebut kembali disemak dengan lebih cermat.

14. Dan kepada kerajaan pusat saya menyatakan; tariklah balik pelaksanaan GST. Ia merupakan satu kezaliman.

Moga kerajaan lebih diberkati.

al-Faqiir ilaLlah

Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

8.45 mlm Isnin 20hb April 2015

Saturday 18 April 2015

Agihan Basikal Pelajar Miskin Siri 1

Agihan basikal hasil sumbangan dermawan kepada 3 orang pelajar di Kg Baru, Seberang Takir pada Selasa 14hb April 2015

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Nerus dirasmikan Ust Idris Ahmad

Mesyuarat Agong PAS Kawasan Kuala Nerus hari ini 18.4.2014 dirasmikan oleh Ust Idris Ahmad dgn kehadiran perwakilan lebih 500 org daripada 91 cawangan drpd keseluruhan 12674 ahli
Keahlian PAS di Terengganu berdasarkan kawasan
1. Marang 20,927 org
2. Kuala Nerus 12,674 org
3. Dungun 10,170 org
4. Kemaman 10,153 org
5. Besut 9,702 orang
6. K.Terengganu 9,649 org
7. Hulu Terengganu 8,441 org
8. Setiu 8,111 orang
Total 89827.
Data keahlian kawasan di atas ada yang belum dikemaskini sepenuhnya. Mesyuarat agong kawasan-kawasan yang sedang berlangsung skrg akan merekodkan jumlah keahlian terkini

Thursday 16 April 2015

BERI ELAUN SARA HIDUP YANG CUKUP KEPADA WARGA EMAS


Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

BERI ELAUN SARA HIDUP YANG CUKUP KEPADA WARGA EMAS

1. Pada 2009, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengunjurkan Malaysia akan mencapai status negara menua (aging nation status) pada 2030 iaitu menjelang Rancangan Malaysia ke-14 apabila 15% daripada keseluruhan penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas. Setakat tahun ini, unjuran jumlah penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas ialah 2,736,128 orang atau 8.5%.

2. Selain menambah bilangan kumpulan warga emas, faktor penurunan fertiliti (kesuburan) dalam kalangan orang muda dan peningkatan jangka hayat dalam kalangan warga tua pula meningkatkan umur median penduduk Malaysia; daripada 21.9 tahun pada 1991 kepada 29.2 tahun pada 2020.

3. Fenomena perubahan struktur umur penduduk ini mesti diberi perhatian serius oleh Kerajaan khususnya kepada kesejahteraan warga emas terutamanya pada aspek sosial dan ekonomi kumpulan penduduk ini. Kos penyediaan keperluan kesihatan yang meningkat serta penjagaan warga tua perlu menjadi agenda utama dalam menangani peningkatan peratusan penduduk warga emas di negara kita.

4. Pertambahan warga tua ini turut memberi kesan kepada beban tanggungan oleh penduduk dalam umur bekerja. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, pertambahan peratusan warga emas mengakibatkan beban bagi penduduk kumpulan umur bekerja menanggung seorang warga emas semakin berat iaitu 11 orang (11:1) pada tahun 2000 kepada 15 orang (15:1) pada tahun 2015 dan 17 orang (17:1) pada tahun 2020. Menjelang 2030, pasti nisbah ini akan menjadi lebih besar.

5. Oleh kerana itu, saya melihat wujud suatu keperluan untuk Kerajaan menyediakan elaun sara hidup kepada golongan warga tua ini. Elaun itu perlu diberikan secara berkala (bukan ‘one off giving’) pada kadar sama atau melebihi paras kemiskinan negara (RM880) kepada warga emas yang memerlukan penjagaan diri kerana tidak berupaya atau mempunyai penyakit sama ada tinggal secara bersendirian atau bersama keluarga.

6. Berbanding sekarang, Bantuan Orang Tua (BOT) yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya memperuntukkan sebanyak RM300 sahaja untuk tempoh penerimaan selama 12 bulan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada mata pencarian tertentu untuk menyara hidup dan tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan. Pada tahun lepas, sejumlah RM347.54 juta telah disalurkan kepada 131,571 penerima di seluruh negara.

7. Pada kadar ini yang diberikan untuk hanya tempoh terhad adalah tidak mencukupi untuk warga emas membiayai kehidupan mereka. Tambahan pula hanya kurang 5% sahaja daripada keseluruhan warga emas di negara kita menerima sumbangan melalui skim BOT ini yang perlu didapati dengan cara memohon.

8. Pemberian elaun sara hidup untuk warga emas ini adalah sangat penting antaranya ialah kerana mengikut Laporan Tahunan 2014 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 68% pencarumnya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka menjelang persaraan. Dengan anggaran setiap individu memerlukan perbelanjaan minimum sebanyak RM800 sebulan, jumlah itu hanya cukup untuk menampung gaya hidup ringkas mereka untuk tempoh lima tahun sahaja selepas bersara.

9. Kadar pengangguran pula turut meningkat. Pada November 2014 kadarnya ialah 2.7% manakala setakat Januari 2015 sahaja kadarnya telah meningkat kepada 3.3%. Peningkatan kadar pengangguran ini sekaligus mengurangkan lagi upaya penduduk dalam umur bekerja untuk menyara kumpulan warga emas. Ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi serta polisi percukaian yang membebankan, tekanan kepada golongan bekerja ini akan semakin bertambah.

10. Lebih membimbangkan tentang nasib golongan warga emas ini ialah apabila kesedaran dalam kalangan anak-anak atau generasi muda untuk memikul tanggungjawab memelihara orang tua mereka dilihat kian menipis. Tidak hairanlah jika terdapat tidak kurang 6,000 orang warga emas menjadi penghuni di 11 pusat jagaan JKM serta 165 pusat yang dikendalikan oleh NGO dan swasta di seluruh negara. Lebih mendukacitakan lagi, sebahagian daripadanya tidak diziarahi langsung oleh anak-anak atau saudara-mara mereka.

11. Kerajaan boleh mengambil panduan daripada polisi Khalifah Umar bin al-Khattab yang menetapkan elaun sara hidup untuk golongan tua yang miskin dan tak mampu lagi bekerja dengan amaun yang cukup untuk saraan hidup mereka sekeluarga.

12. Penulis karya Ketatanegaraan seperti Abu Ubaid dalam Kitab al-Amwal dan Ibnu Qayyim dalam Ahkam Ahli Zimmah menukilkan cerita Umar bin al-Khattab berjalan di pasar dan melihat seorang Yahudi buta meminta sedekah. Umar lalu berkata;

ما أنصفناك نأخذ منك الجزية شاباً، وندعك شيخاً، افرضوا لهذا وأمثاله من بيت مال المسلمين ما يغنيه ويغني عياله
"Kita tidak berlaku adil kepadanya. Kita mengambil cukai jizyah daripadanya ketika muda dan mengabaikannya ketika tua. Tetapkan untuk dirinya dan orang-orang sepertinya daripada khazanah Baitulmal Orang Islam (khazanah negara) kadar yang cukup untuk dirinya dan cukup untuk keluarganya"

13. Oleh itu amat wajarlah elaun kos sara hidup yang cukup untuk saraan keluarga ini diberikan kepada warga tua bagi memastikan kesejahteraan ekonomi dan sosial mereka lebih terjamin.

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 16 April 2015 / 26 Jamadilakhir 1436H

__________

Sila lawati dan like page facebook serta blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di -

Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Monday 13 April 2015

LARANGAN ARAK : MALAYSIA PATUT MALU, PERLU CONTOHI SINGAPURA

Kenyataan Media
LARANGAN ARAK :
MALAYSIA PATUT MALU, PERLU CONTOHI SINGAPURA

1. Sebagai sebuah negara yang memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam perlembagaan dan mempunyai penduduk majoriti Melayu dan Islam, Malaysia sepatutnya malu dengan tindakan proaktif dan realistik Kerajaan Republik Singapura yang memperkenalkan undang-undang baru melarang pengambilan alkohol di tempat-tempat awam selepas 10.30 malam hingga 7.00 pagi.

2. Lebih daripada itu, Singapura juga telah mewartakan dua “liquor control zones” iaitu di Little India dan Geylang. Di kedua-dua kawasan ini pengambilan alkohol tidak dibenarkan pada semua masa pada hujung minggu dan cuti am.

3. Melalui undang-undang yang baru diluluskan oleh parlimen negara itu awal tahun ini juga, hukuman bagi kesalahan menjual dan meminum arak dalam waktu larangan di tempat awam akan dikenakan denda sebanyak SG$1,000 (Singapore Dollar) manakala bagi kesalahan berulang pula dikenakan denda SG$2,000 dan boleh dipenjarakan sehingga tiga bulan. Bagi penjualan alkohol di luar waktu dagangan yang ditetapkan dalam lesen pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga SG$10,000.

4. Malangnya Malaysia yang mempunya 56.4% rakyat berbangsa Melayu dan 61.3% beragama Islam telah disenaraikan oleh World Health Organisation (WHO) dalam laporannya pada 2011 sebagai negara pengguna alkohol yang ke-10 terbesar di dunia walaupun saiz dan populasi penduduknya kecil berbanding negara-negara lain.

5. Statistik oleh sebuah badan antarabangsa juga mendapati rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada AS$500 juta (RM1.5 bilion) setiap tahun untuk alkohol dengan pengambilan per kapita sebanyak 7 liter. Walaupun angka ini adalah rendah berbanding negara-negara barat yang lain, namun ia adalah tinggi bagi negara-negara Asia. Penggunaan arak di Malaysia pula ialah sebanyak 11 liter per kapita. Angka ini dikira sebagai tinggi dan dikatakan hampir sama dengan negara-negara Eropah.

6. Perkara ini seharusnya dipandang serius oleh Kerajaan Malaysia. Sekiranya Singapura yang hanya mempunyai 14% rakyat berbangsa Melayu dan 14.9% beragama Islam boleh meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang seumpama ini, Malaysia sepatutnya boleh dan perlu melakukan lebih daripada itu.

7. Tanggungjawab ini juga wajib dilaksanakan selaras dengan ruh syariat Islam yang mengharamkan arak demi memelihara akal manusia dan kerana arak juga adalah ibu segala maksiat. Sekiranya penjualan dan pengambilan arak ini berjaya dibendung secara sewajarnya, nescaya pelbagai masalah sosial dan jenayah dapat dibanteras.

8. Data-data berikut dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan :

(i) Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

(ii) Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6% mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.

(iii) Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.

(iv) Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol adalah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.

(v) 48% daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alkohol.

(vi) Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3% kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5% kes penderaan kanak-kanak.

(vii) Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.

(viii) Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

(ix) Menurut satu statistik di UK, alkohol telah menyebabkan 45 hingga 46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.

9. Oleh itu, saya menyeru dan mendesak Kerajaan Malaysia agar segera memulakan inisiatif untuk menguatkuasakan larangan penjualan arak di dalam kapal terbang dan dan penjualan secara terbuka di kedai-kedai runcit.

10. Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan dengan amaran dan peringatan daripada Allah s.w.t. seperti di dalam firmanNya berikut yang bermaksud :

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

(Surah Al-Maaidah : 91)

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 13 April 2015 / 23 Jamadilakhir 1436H

__________

Sila lawati dan like facebook serta blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di -

Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Friday 10 April 2015

Kegagalan Mengurus Perbelanjaan Negara Menjadikan Rakyat Menderita Mangsa Rompakan GST Zalim; Ayoh Bantah GST


KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
10 April 2015

Kegagalan Mengurus Perbelanjaan Negara Menjadikan Rakyat Menderita Mangsa Rompakan GST Zalim; Ayoh Bantah GST

1. Malaysia sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapat sumber pendapatan negara tetapi sebenarnya negara bermasalah dalam menguruskan perbelanjaan. Kegagalan pengurusan perbelanjaan oleh kerajaan Barisan Nasional memangsakan rakyat hari ini dirompak oleh GST zalim yang dikenakan secara paksa ke atas diri mereka untuk menambah hasil negara.

2. Seawal penubuhan Malaysia, pelbagai cukai dikenakan kepada golongan berkemampuan untuk menjadi sumber kepada negara sama ada menerusi cukai langsung korporat dan individu dan cukai tak langsung menerusi duti eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan bagi sebahagian barangan dan perkhidmatan.

3. Malaysia juga memperolehi hasil lumayan dan mewah menerusi hasil bumi khususnya minyak sehingga menjangkau antara 70-80 bilion setahun.

4. Sekiranya kerajaan Barisan Nasional mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah, tidak boros dan mengelakkan ketirisan maka pendapatan daripada sumber cukai sedia ada dan hasil bumi sudah cukup untuk menguruskan sebuah negara dengan penduduk seramai 28 juta.

5. Namun, ternyata kerajaan untuk tempoh yang panjang telah gagal menguruskan perbelanjaan negara menurut panduan Islam dalam berekonomi. Ia dapat dilihat menerusi fakta-fakta berikut;

a. Belanjawan Tahunan

Kerajaan  Barisan Nasional membentangkan belanjawan defisit selama 18 tahun berturut-turut sejak 1998. Belanjawan defisit bermaksud perbelanjaan yang dirancang melebihi pendapatan yang dijangka akan diperolehi. Kerajaan hanya menjangka akan membentangkan belanjawan berimbang iaitu pendapatan seimbang dengan perbelanjaan pada 2020. Ertinya negara bakal menyaksikan belanjawan defisit untuk lagi 4 tahun mendatang.

Secara ringkas boleh dilihat perbezaan rancangan perbelanjaan kerajaan berbanding hasil yang dijangka sebagaimana tahun-tahun berikut;

Perbelanjaan (P)  Hasil (H)
2008 (P) 176 bilion (H) 148 bilion
2009 (P) 207 bilion (H) 161 bilion.
2010 (P) 191 bilion (H)148 bilion.
2011 (P) 212 bilion (H) 165 bilion
2012 (P) 232 bilion (H) 186 bilion
2013 (P) 251 bilion (H) 208 bilion
2014 (P) 264 bilion (H) 224 bilion
2015 (P) 273 bilion (H) 235 bilion

b. Hutang Negara

Belanjawan defisit menyumbang untuk negara meningkatkan hutang negara daripada setahun ke setahun. Pada 2006 hutang negara hanyalah 247 bilion. Tetapi pada 2013 hutang negara telah meningkat kepada 546 bilion dengan peningkatan 299 bilion. Laporan terakhir 2015 hutang negara telah menjangkau 847 bilion.

Perhatikan jadual Hutang Negara sebagaimana berikut mengikut tahun;
1997 RM90 bilion
1998 RM103 bilion
1999 RM112 bilion
2000 RM125 bilion
2001 RM145 bilion
2002 RM164 bilion
2003 RM188 bilion
2004 RM216 bilion
2005 RM232 bilion
2006 RM247 bilion
2007 RM274 bilion
2008 RM317 bilion
2009 RM376 bilion
2010 RM405 bilion 
2011 RM465 bilion
2012 RM501 bilion
2013 RM546 bilion
(Sumber International Monetary Fund)
2014 rm677 bilion
2015 RM847 bilion
(sumber The Economist)

Bayangkan, hutang kerajaan pada 1997 hanyalah RM90 bilion tetapi selepas 17 tahun pada tahun 2014 telah menjadi 677 bilion.

Pada 2003 ketika Tun Abdullah Badawi mengambil alih negara hutang negara ialah 188 bilion.

Selepas 6 tahun pada 2009 ketika beliau melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Najib ia meningkat sekali ganda sebanyak 188 bilion kepada 376 bilion.

Selepas 5 tahun Najib mengambil alih negara, hutang pada 2014 meningkat hampir sekali ganda sebanyak 301 bilion kepada RM677 bilion.

c. Ketirisan Perbelanjaan

Kajian yang dibuat oleh Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme terhadap laporan tahunan Ketua Audit Negara menunjukkan berlaku ketirisan dan salah urus perbelanjaan antara 23 bilion hingga 40 bilion. Sedangkan GST hanya dijangka menyumbang sebanyak 23 bilion pada tahun 2015. Jika ketirisan ditangani maka GST tidak diperlukan.

6. Pada tahun 2008 perbelanjaan untuk mengurus negara hanyalah 128 bilion tetapi untuk 2015 kerajaan merancang perbelanjaan mengurus sebanyak 223 bilion. Tidakkah ia merupakan peningkatan  yang melampau untuk tempoh yang pendek iaitu 7 tahun dengan peningkatan hampir 100 bilion?

7. Hasil daripada kegagalan menguruskan perbelanjaan inilah maka kerajaan mula berfikir untuk meluaskan lagi sumber kewangan negara sedangkan sebenarnya kerajaan tidak berhadapan dengan masalah sumber tetapi pada masalah berbelanja.

8. Penyelesaian mudah kerajaan ialah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) kerana GST adalah cara paling mudah untuk mengutip sumber daripada rakyat.

9. GST dikenakan pada semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang dikecualikan. Ertinya kerajaan mendapat ruang yang sangat besar dan luas untuk mendapat hasil menerusi cukai.

10. GST kena kepada semua rakyat tanpa mengira kaya atau miskin yang berbelanja dan mendapat perkhidmatan. Ertinya GST mempunyai cakupan cukai sangat luas. Jika sebelumnya hanya sekitar 1.7 juta terpaksa membayar cukai maka dengan GST berjuta-juta rakyat terpaksa membayar cukai setiap hari termasuk orang miskin.

11. Apabila cukai dikenakan kepada si kaya dan si miskin maka di sinilah ketidakadilan sosial dan kezaliman berlaku. Kerana itulah cukai GST adalah zalim dan haram menurut kaedah percukaian Islam kerana cukai sepatutnya hanya kena kepada orang yang berkemampuan sahaja.

12. Data 2012 menunjukkan 31.7% isi rumah Malaysia berpendapatan kurang daripada rm2500 dan 23.8% lagi berpendapatan antara 2500 - 4000. Ertinya lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah rm4000.

13. Untuk itu rakyat perlu bangkit menolak kezaliman cukai GST kerana negara tidak perlukan GST jika kerajaan berjaya menguruskan perbelanjaan berhemah.

14. Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia yang menyedari kezaliman GST ini untuk berhimpun beramai-ramai secara aman di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu 11.4.2015 bermula jam 4-30 petang hingga 8.30 malam untuk sama-sama membantah cukai yang zalim ini.

Nabi saw bersabda
  أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
"Sebaik-baik Jihad adalah kalimah yang benar di sisi seorang penguasa yang zalim".
Hadis riwayat Ibni Majah dan Nasaei dengan Isnad yang Sahih.

Ayuh sebarkan.
Terima kasih.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
AJK Kerja PAS Pusat

Tarikh : 10 April 2015 / 20 Jamadilakhir 1436H

__________

Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Friday 3 April 2015

Ambiga Keliru Konsep Kesaksian dalam Kanun Jenayah Kelantan dan Hanya Penjenayah Perlu Takut Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan

KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
3 April 2015

Ambiga Keliru Konsep Kesaksian dalam Kanun Jenayah Kelantan dan Hanya Penjenayah Perlu Takut Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan

Saya meneliti pandangan Datuk S Ambiga dalam satu wacana mengenai perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan yang dilaporkan berkata; “Sebagai bukan Islam, adakah saya takut terhadap hudud? Ya, memang saya takut. Ini adalah kebimbangan saya".

Kanun Jenayah Syariah Menakutkan Penjenayah Bukannya Mangsa Jenayah

1. Suka saya jelaskan bahawa Kanun Jenayah Syariah hanya menakutkan bagi pelaku jenayah bukannya mangsa jenayah. Jika Datuk Ambiga adalah mangsa, maka Datuk tidak perlu takut dan bimbang kerana keadilan Datuk akan terbela. Yang patut bimbang dan takut ialah penjenayah.

2. Hakikatnya, rakyat Malaysia  di seluruh negara sekarang sedang berhadapan dengan kebimbangan dan ketakutan melampau terhadap pelbagai ancaman jenayah termasuk ancaman pukul. Hal ini berlaku kerana undang-undang jenayah Malaysia sejak merdeka terbukti gagal menangani jenayah. Malah jenayah melibatkan ancaman terhadap nyawa dan jasad semakin meningkat. Sebagai  bekas Presiden Majlis Peguam saya yakin Ambiga lebih menyedari hakikat ini.

3. Kehadiran Kanun Jenayah Syariah II Kelantan adalah untuk menakutkan penjenayah dan memberi keamanan kepada rakyat,  bukan sebaliknya. Berilah peluang kepada rakyat Kelantan sama ada muslim dan bukan muslim merasai nikmat keamanan dengan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah nanti.

Datuk S Ambiga takut dipukul di Kelantan apabila Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan?

1. Sebenarnya apabila Kanun ini dilaksanakan ia akan memberi keamanan kepada rakyat. Jenayah akan berkurangan kerana kegerunan terhadap hukuman. Maka insyallah Datuk Ambiga akan lebih selamat apabila ke Kelantan berbanding berada di tempat-tempat lain di seluruh Malaysia.

2. Justeru, Datuk Ambiga sepatutnya melahirkan kebimbangan terhadap kegagalan undang-undang jenayah sekarang berbanding kebimbangan tidak berasas terhadap Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang belum lagi dilaksanakan pun.

3. Yakinlah, sesiapapun yang berada di Kelantan akan merasa selamat selepas Kanun Jenayah ini dilaksanakan. Pertama, kerana penjenayah akan merasa gerun dengan hukuman jenayah yang ditetapkan oleh Islam menyebabkan mereka tidak berani untuk melakukan jenayah. Kedua, jika mereka didapati melakukan jenayah, mereka akan dikenakan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan, bukan sekadar menghukum bahkan menyedarkan mereka terhadap kesalahan yang dilakukan.

Mangsa Jenayah Bukan Islam Tidak Mendapat Keadilan?

1. Beliau juga dilaporkan berkata; “Saya tidak setuju jika mengatakan ia tiada berkaitan dengan bukan Islam. Jikalau saya menjadi mangsa di Kelantan kerana dipukul oleh seseorang, apa akan jadi?
“Saya boleh bawa kes itu ke Mahkamah Syariah tetapi keterangan saya kurang daripada orang Islam. Adakah itu adil bagi saya sebagai mangsa?"

2. Perlu saya jelaskan, jika jenayah pukul berlaku terhadap bukan Islam maka bukan Islam selaku mangsa jenayah akan mendapat pembelaan di bawah undang-undang Qisas bukannya Hudud. Mangsa diberi pilihan sama ada mengenakan kecederaan yang sama ke atas penjenayah tersebut atas dasar "Qisas" atau menerima pampasan (diyyat) dengan sejumlah wang ganti rugi. Tidakkah itu satu keadilan? Justeru, apa yang ditakuti Ambiga? Adakah anda berasa selamat di tempat selain daripada Kelantan?

Kekeliruan Ambiga Tentang Konsep Kesaksian "BAYYINAH" dan "SYAHADAH"

1. Datuk Ambiga takut keterangan mangsa jenayah tidak diterima kerana mangsa bukan Islam?

Sebenarnya, Kanun Jenayah Shariah Kelantan hendaklah dibaca bersama dengan Enakmen Keterangan Shariah Kelantan 2002. EKSK 2002 tidak melarang bukan Islam menjadi saksi di Mahkamah Shariah bahkan dengan jelas menyebut orang bukan Islam boleh memberi penyaksian dan keterangan atau Bayyinah. Keterangan "Bayyinah" adalah sama sahaja tarafnya sama ada oleh muslim atau bukan muslim. Maka tidak berbangkit isu sebagaimana kata Ambiga "keterangan saya kurang daripada orang Islam. Adakah itu adil bagi saya sebagai mangsa?"

3. Ambiga mungkin keliru tentang konsep keterangan "bayyinah" dan "syahadah" (kesaksian) dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Mungkin beliau membayangkan "syahadah" adalah konsep kesaksian biasa yang di amalkan dalam perundangan moden.

4. Mengikut Fiqh Perundangan Islam,  "Bayyinah" adalah umum dan "Syahadah" adalah lebih khusus yang termasuk sebahagian definasi Bayyinah.

5. Sebenarnya, "syahadah" ialah satu konsep keterangan dengan menyebut perkataan "Asyhadu". Ia  diperuntukkan hanya kepada muslim yang adil yang tidak melakukan dosa besar kerana ia melibatkan akujanji. Tujuannya ialah mengukuhkan lagi keterangannya.

6. Dalam undang-undang keterangan Islam di Malaysia seseorang muslim yang menjadi saksi hendaklah memulakan dengan perkataan itu. Ini wujud dalam Enakmen Keterangan Jenayah Shariah Kelantan 2002 dan juga Enakmen Keterangan Jenayah Shariah negeri-negeri seluruh Malaysia.

7. Lafaz "Asyhadu" bukan sahaja tidak diperuntukkan kepada bukan Islam malah ia tidak diterima daripada muslim fasiq kerana ia melibatkan perlakuan dosa tegar.

8. Bagi non Muslim pula tidak ada istilah dosa dan pahala. Justeru, "syahadah" dengan lafaz Asyhadu tidak diperuntukkan bagi mereka.  Tetapi mereka boleh memberi keterangan dan kesaksian di bawah kaedah "bayyinah" tanpa menggunakan istilah perakuan "asyhadu".

9. Begitu juga kesaksian wanita diambil kira di bawah Bayyinah kategori lain yang tetap diterima oleh Hakim.

10. Kesimpulannya, kalau Datuk Ambiga selaku bukan muslim menjadi mangsa jenayah oleh seorang muslim, bagi menghukum pelaku jenayah tersebut, beliau boleh memberi keterangan dan kesaksian di bawah kategori "Bayyinah", lain daripada "Syahadah" di Mahkamah Syariah. Konsep Bayyinah sama sahaja sama ada bagi muslim atau bukan muslim.
Boleh rujuk Bab 2 tentang Saksi, perkara 83 ceraian 1 hingga 7 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 Kelantan tentang beza Bayyinah dan Syahadah.

Kempen Pindaan Undang-undang di Parlimen

1. Seperkara lagi, saya juga menganggap pandangan beliau supaya PAS meminda undang-undang di Parlimen terlebih dahulu sebelum membawanya ke peringkat negeri menunjukkan beliau secara asasnya bersetuju dengan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta 355 dan menggunapakai Perkara 76A Perlembagaan yang akan dibawa oleh PAS dalam Sidang Dewan Rakyat nanti bagi membuka laluan untuk Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II.

2. Harapnya beliau akan membantu kempen kepada ahli Parlimen bukan Islam juga untuk menyokongnya.

3. Bezanya, PAS mengambil langkah meluluskan Enakmen tersebut di peringkat negeri terlebih dahulu. Ini juga bermakna tindakan PAS ini tidak melanggari lunas-lunas demokrasi dan menggunakan ruang yang dibenarkan oleh perlembagaan negara.

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
AJK Kerja PAS Pusat

Tarikh : Jumaat 3 April 2015 / 13 Jamadilakhir 1436H

__________

Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Wednesday 1 April 2015

10 april di SIK; SEMINAR TEGAKKAN SYARIAT ( TEGAS 2.0)

✌SEMINAR TEGAKKAN SYARIAT ( TEGAS 2.0)

✅Tarikh :  10 April 2015
✅HARI : Jumaat
✅Masa : 3:00 ptg - 12:00 mlm
✅Tempat : Kompleks PAS Kawasan Sik, Sg Pau Sik Kedah.

☑Tema : Syariat Islam Membawa Kemakmuran.

Anjuran bersama:
Dewan Ulamak PAS Kedah
PAS Kawasan Sik
Lajnah Penerangan PAS Kedah
Lajnah Dakwah PAS Kedah

Dengan kerjasama:
Lajnah Dakwah PAS Pusat

Tentatif :

✅1:00 tgh  : Tazkirah dan Khutbah Jumaat - AlFadhil Ustaz Fauze Husain (Dewan Ulamak PAS Kedah)

✅3:00  pm - Perasmian YB. Dato' Hj Mahfuz Omar - Pesuruhjaya Pas Kedah

✅3:30 pm - Slot 1 - Ust Dr Ridhuan Mohd Nor - Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
👍 " Sejarah Pelaksanaan Hudud Di Tanah Melayu"

Pengacara: Ust Mohd Subky Sulaiman

4:30 - Solat Asar

✅5:00 - Slot 2 : Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi PPP
👍"Pelaksanaan Syariah dan Senario Pengundi Melayu". 

Pengacara: Ust Ahmad Tarmizi Sulaiman

✅6:00 - Slot 3 - Yb. Dato' Mohd Amar Nik Abdullah
👍"Taklimat Khas Pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan".

Pengacara: YB Ust Ahmad Yahya

✅7:30 - Solat Maghrib
Slot 4. YB Dato' Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri - Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat
👍"Keadilan Hudud dan Masyarakat Majmuk".

Pengacara: YB Ust Mohd Azam Samat.

✅9:20 - Ceramah Perdana: 👍"Hudud"
🚩1. YB Dato' Nik Amar Nik Abdullah (TMB Kelantan)
🚩2. YB Dato' Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri
🚩3. TG Haji Salleh Musa
🚩4. Dr Rhiduan Mohd Nor
🚩5. Ust Ahmad Tarmizi  Sulaiman .

Pengerusi: Muhammad Sanusi Md Nor (Penerangan PAS Kedah.

12:00 Bersurai