Thursday 26 February 2015

KEFAQIHAN ADALAH PRASYARAT UTAMA SEORANG KETUA DALAM ISLAM

Faqih adalah prasyarat utama ketua dalam Islam - http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/34069-faqih-adalah-prasyarat-utama-ketua-dalam-islam

KEFAQIHAN ADALAH PRASYARAT UTAMA SEORANG KETUA DALAM ISLAM

1. Dasar PAS adalah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Untuk mentafsirkan dasar Islam yang dipegang oleh PAS mandat diberikan kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai keanggotaan seramai 17 orang kalangan Alim Ulamak. Apabila tafsiran dan huraian Majlis Syura Ulamak dipertikaikan berkaitan dasar dan prinsip Islam maka bermulalah kerosakan dalam perjuangan.

2. Ketaatan kepada Ulil Amri  yang menghuraikan Islam dapat difahami menerusi firman Allah

﴿ يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴾
"Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri kalangan kamu. Maka apabila kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. " surah al-Nisa' ; 59

3. Ulil Amri bermaksud yang memiliki arahan dan memegang urusan. Ulil Amri ditafsirkan oleh sahabat Nabi iaitu Ibnu Abbas dan juga Tabi'in seperti Mujahid, Ata', Hasan Basri dan Abu al-Aaliyah merujuk kepada Ahli Fiqh dan Agama. Imam Ibnu Kathir pula mentarjihkan, Ulil Amri merujuk kepada semua yang memiliki perintah iaitu para pemerintah dan Alim Ulamak.

(Tafsir Ibni Kathir, juz 1, ms 568, Dar al-Khair 1991).

Para pemerintah wajib ditaati kerana mereka memerintah dengan perintah Allah. Ulamak pula ditaati kerana mereka menjelaskan perintah Allah.

4. Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa keutamaan untuk menjadi ketua ialah kombinasi 2 sifat iaitu 'sifat kepimpinan' dan 'sifat faqih' kerana di saat itu pada  dirinya terdapat 2 sebab ketaatan iaitu 'ditaati sebagai pemerintah yang memerintah dengan perintah Allah' dan 'ditaati sebagai Ulamak yang menjelaskan perintah Allah'.

5. Apabila membincangkan tentang kuasa ketua dalam Islam, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Aam kepada Majlis Syura Ulamak berhujah dengan firman Allah

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِين

"Dan hendaklah kamu bermesyuarat dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila kamu wahai Muhammad telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah kepada Allah".

6. Bertekad ertinya membuat keputusan. Menurut pandangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ayat ini mengarahkan ketua bermesyuarat.
"Dan hendaklah kamu (wahai ketua) bermesyuarat dengan mereka".

Setelah bermesyuarat dengan mereka yang layak dibawa untuk bermesyuarat, ketua akan membuat keputusan lalu Allah berfirman: "maka apabila kamu (wahai Muhammad) telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah /berserah dirilah kepada Allah".

7. Allah tidak menyatakan "apabila kamu semua (ahli mesyuarat) bertekad" tetapi Allah menyebut "apabila kamu (wahai seorang ketua) bertekad". Maka, dalam konteks amalan Islam setelah mesyuarat dijalankan maka tanggungjawab ketua untuk membuat keputusan.

8. Oleh kerana ketua berperanan membuat keputusan selepas mendengar pandangan ahli mesyuarat maka ketua mestilah mempunyai ilmu dan kefahaman yang membantunya untuk membuat keputusan yang sejajar dengan kehendak Islam. Apatah lagi dalam pentadbiran sebuah negara berlandaskan Syariat Islam kedudukan seorang ketua yang memahami Islam dengan mendalam sangat diperlukan.

9. Kerana itulah sarjana-sarjana Fiqh Siyasah / Fiqh Tatakenegaraan menegaskan SYARAT KEUTAMAAN selain daripada syarat sah kelayakan untuk menjadi Khalifah dan ketua kerajaan dalam Islam ialah seorang yang Faqih mampu berijtihad dalam perkara-perkara semasa dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah. 'Faqih' itu adalah satu kelebihan dan lambang keilmuan. Namun, majoriti ulamak daripada Mazhab Syafie, Maliki dan Hambali meletakkan Faqih sebagai syarat sah bukan hanya syarat keutamaan.

10. Imam al-Maawardi (hidup pada tahun 370-450 H) dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan 7 syarat yang mesti diambilkira untuk menjadi Ketua Negara iaitu adil, ilmu yang membolehkan dirinya berijtihad dalam perkara semasa dan hukum-hakam, sempurna pancaindera, selamat anggota badan daripada kekurangan yang menghalang untuk bergerak, mempunyai kebijaksanaan yang membolehkannya mengurus rakyat dan mentadbir maslahat, keberanian dan kemampuan yang membantunya untuk berjihad menghadapi musuh dan nasab yang baik iaitu daripada kalangan Quraisy.
(Al-Ahkam al-Sultaniyaah; ms 32 cetakan Dar al-Kitab al-Arabi 1990)

11) Kata Imam al-Haramain (meninggal 478 H); antara sifat yang diraikan pada ketua negara ialah ilmu dan kewarakan.

فأَما العلم فالشرط أَن يكون الإِمام مجتهدا بالغا مبلغ المجتهدين مستجمعا صفاة المفتين ولم يؤثر في اشتراط ذلك خلاف والدليل عليه أَن أمور معظم الدين تتعلق بالأئمة ....
فلو لم يكن الإمام مستقلا بعلم الشريعة ، لاحتاج إلى مراجعة العلماء في تفاصيل الوقائع وذلك يشتت رأيه

"Adapun ilmu, maka syaratnya ialah ketua negara itu seorang mujtahid yang mencapai tahap para mujtahidin dengan menggabungkan sifat para mufti. Dan tidak ditemui sebarang perselisihan Ulamak tentang syarat ini. Dalilnya ialah urusan sebahagian besar agama berkaitan dengan pemerintahan...Sekiranya ketua negara tidak memiliki ilmu Syariat secara bersendiri tentulah berhajat kepada merujuk kepada para Alim Ulamak dalam memperincikan setiap situasi dan ini mencelarukan pandangannya."
(Rujuk Ghiyaath al-Umam, ms 94, cetakan Dar Dakwah 1979)

12. Syarat Mujtahid dan Faqih sebagi syarat keutamaan ini juga dijelaskan oleh Ibnu Khaldun, al-Baghdadi, al-Jurjani, al-Nawawi, al-Aamidi, al-Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibn al-Humam.

13. Namun, apa yang menariknya Imam Syatibi pernah menyatakan bahawa para Alim Ulamak menukilkan kata sepakat bahawa ketua negara tidak sah melainkan bagi orang yang mencapai tahap Mujtahid dan Fatwa dalam ilmu Islam. Namun, Imam Syatibi sendiri berpandangan bahawa ilmu kefaqihan adalah satu kelebihan yang diraikan dalam menentukan perjawatan ketua negara.

14. Perbahasan ini menunjukkan bahawa syarat Faqih keilmuan tentang Islam di samping warak untuk seorang yang menjadi ketua negara adalah sangat penting. Hal ini kerana negara wajib ditadbir dengan prinsip dan dasar Islam. Pemimpin yang faham dan Faqih Islam diperlukan untuk memerintah dengan cara Islam.

15. PAS berjuang untuk mendapat kuasa memerintah negara dengan Islam. Dalam kontek hari ini, PAS diketuai oleh Presiden yang mempunyai kemampuan berijtihad dan Faqih yang telah diiktiraf dunia. Keadaan ini meletakkan PAS berada di landasan yang betul dari sudut kelayakan keutamaan sebagai pemimpin tertingi dalam Islam.

16. Ada segelintir pimpinan telah membuat kenyataan terbuka bahawa Presiden PAS tidak semestinya di kalangan Ulamak. Apakah tujuan disebalik kenyataan ini? Tentu ia bermaksud membuka gelanggang kempen terbuka untuk menukar Presiden yang ada di kalangan Alim Ulamak dan Faqih kepada bukan Ulamak. Maksudnya, berkempen daripada sesuatu yang Afdhal dan Utama dalam Islam iaitu Ketua Utama di kalangan Alim dan Faqih kepada sesuatu yang kurang afdhal iaitu Ketua bukan daripada kalangan Alim dan Faqih.

17. Sekiranya dilihat dengan lebih jauh lagi, ada pemimpin yang ingin memulakan gelanggang jawatan Presiden perlu ditandingi atau ingin berkempen bahawa terdapat individu yang lebih baik lagi untuk menjadi Presiden PAS berbanding Tuanguru Prseiden.

18. Dengan merujuk kepada Islam yang menjadi dasar PAS, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa KEUTAMAAN untuk menjadi Presiden mestilah daripada kalangan Fuqaha yang faqih dan mujtahid.

Disediakan oleh;

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Khamis 7 Jamadil Awal 1436 H / 26 Februari 2015

Wednesday 25 February 2015

PAS Gabung Umno Idea Karut

PAS gabung Umno idea karut dan merapu - http://m.harakahdaily.net/index.php/headline/34032-pas-gabung-umno-idea-karut-dan-merapu

PAS GABUNG Umno IDEA KARUT

1. Perdamaian Hudaibiyah antara Nabi s.a.w. dan musuh iaitu Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah berlaku di saat Islam berada dalam kedudukan yang kuat dan gagah. Kesannya, selama tempoh perdamaian itu, umat Islam daripada Madinah berjaya meresap masuk ke kota Mekah dan menyebarkan Islam kepada kaum keluarga mereka di Mekah. Selepas 2 tahun, apabila Quraisy melanggar perjanjian damai Hudaibiyah, kota Mekah diserang oleh Nabi s.a.w. tetapi baginda berjaya membuka kota Mekah secara damai tanpa penentangan dan pertumpahan darah kerana orang Mekah bersedia menerima Islam.

2. Merujuk kepada sirah nabawiyyah tersebut, cadangan supaya PAS bergabung dengan Umno adalah idea karut dalam keadaan Umno kuat menguasai kerusi-kerusi Melayu di Parlimen berbanding PAS yang semakin menyusut. Adatnya, kumpulan yang kuat akan menindas kumpulan yang lemah cengkamannya.

3. Pasca PRU ke-13, Umno memenangi 83 kerusi majoriti Melayu daripada 119 kerusi Melayu; 50 kerusi dimenangi dengan majoriti besar dan hanya 33 kerusi dimenangi secara majoriti kecil. Manakala PAS pula hanya mendapat 21 kerusi Parlimen itupun termasuk kerusi parlimen di kawasan campuran. Idea karut gabungan PAS dan Umno hanya akan meletakkan PAS bagaikan melukut di tepi gantang.

4. Dalam PRU 1999, PAS mendapat 28 kerusi Parlimen ketika rata-rata Melayu melakukan undi protes terhadap Umno pasca reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu, DAP hanya mendapat 10 kerusi Parlimen dan PKR mendapat 5 kerusi kerana undi Cina dan India masih bersama Barisan Nasional. Kerana itu DAP sanggup keluar dari Barisan Alternatif pada 2002. Undi Melayu pula kembali kepada Umno pada PRU 2004 menjadikan BN semakin kuat.

5. Berbeza dengan PRU 2013, orang Cina memberikan undi hampir maksima kepada PR sehingga PR menyapu bersih 29 kerusi majoriti Cina dan 23 kerusi campuran. Hanya yang tinggal 13 lagi kerusi Parlimen campuran untuk diperjuangkan oleh PR.

6. Disebabkan sokongan pengundi Cina, DAP menambah 10 kerusi Parlimen dari 28 pada PRU 2008 kepada 38 pada PRU 2013. PKR pula menyusut dari 31 kepada 30 kerusi Parlimen.

7. Manakala orang Melayu pula selepas memberikan sokongan kepada PAS pasca PRU 2008, pada PRU 2013 mereka kembali menyokong Umno sehingga membolehkan Umno mendapat 83 kerusi Parlimen Melayu. Umno mendapat peningkatan kerusi daripada 79 kerusi pada tahun 2008 kepada 88 kerusi Parlimen termasuk kerusi campuran.

8. Kerusi Parlimen PAS menyusut kepada 21. PAS dirampas kerusinya oleh Umno di 5 kerusi Melayu di Kedah iaitu Pendang, Padang Terap, Jerai, Sik, Baling dan kerusi Melayu PKR dirampas oleh Umno di Kelantan iaitu Machang, Ketereh, Tanah Merah dan Merbok di Kedah. Kerusi PAS juga dirampas di kerusi campuran Titiwangsa dan Kuala Selangor.

9. Namun, sokongan Melayu kepada PAS meningkat di Terengganu sehingga mendapat 14 kerusi DUN manakala Umno hanya menang tipis di peringkat negeri dengan 17 kerusi. Manakala di kerusi Parlimen, PAS merampas Kuala Nerus dan Dungun dari Umno dan mengekalkan Kuala Terengganu dan Marang di tangan PAS.

10. Merujuk kepada senario pasca PRU ke-13 yang menyaksikan penyusutan undi Melayu terhadap PR khususnya PAS kecuali di Terengganu, maka solusinya ialah PAS perlu bekerja keras memenangi pengundi Melayu untuk memenangi PRU ke-14. Isu-isu mendasar melibatkan Islam mesti terus dijuarai oleh PAS. Isu Hudud adalah tuntutan agama yang sangat penting untuk diperjuangkan oleh kerajaan Kelantan dalam ruang lingkup kuasa demokrasi yang ada.

11. Lontaran idea penyatuan oleh PAS dan Umno oleh pimpinan Umno bukan bertujuan untuk memulihkan sokongan Melayu terhadap Umno kerana sememangnya sokongan Melayu telah meningkat kepada Umno. Apa yang ada pada PAS? Sekadar 21 kerusi Parlimen dengan sebahagiannya adalah kerusi campuran iaitu Parit Buntar, Bukit Gantang, Kota Raja, Sepang dan Temerloh. Sebenarnya Umno tidak memerlukan PAS langsung. Malah Umno tidak teringinkan pun gabungan Umno dan PAS.

12. Kalau begitu apa tujuan Umno? Jawapannya ialah Umno hanya berhasrat memecahkan dominasi menerusi Pakatan Rakyat. Keperluan Umno sebenarnya ialah undi-undi Cina untuk kembali bersama BN. Maka, idea dan solusi terbaiknya ialah Umno memujuk PKR atau DAP yang mempunyai undi Cina bersama BN.

13. Kerana itulah idea gabungan PAS Umno awal-awal lagi ditolak mentah-mentah oleh Tuan Guru Presiden PAS pasca PRU ke-13 meskipun Umno berkali-kali melontarnya di media.

14. Apa yang perlu dilakukan oleh PAS sekarang ialah menuntut hak demokrasi yang sepatutnya dimiliki oleh PAS. Hak kerajaan Kelantan untuk mendapat pelbagai nikmat pembangunan sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan. Itulah kebijaksanaan yang mesti digarap oleh PAS dengan memanfaatkan sebarang bentuk kerjasama "goverment to goverment" antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan PAS Kelantan untuk mengukuhkan lagi kekuatan PAS di Kelantan.

15. Kelantan sebagai sebuah negeri Melayu yang masih gagah dikuasai oleh PAS mesti dipertahankan. Begitu juga Terengganu sebagai sebuah negeri majoriti Melayu perlu diperkasakan untuk dimenangi pada PRU ke 14 nanti. Idea gabungan Umno dan PAS tidak menguntungkan PAS di Kelantan dan Terengganu.

16. Kerana itu saya katakan idea gabungan PAS Umno adalah idea karut dan merapu. Ia adalah lontaran Umno untuk menghalang PAS ke depan menguasai kembali undi pengundi Melayu.

Ditulis oleh;
DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tarikh : 25 Februari 2015 / 6 Jamadilawal 1436H

#sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk lain-lain artikel dalam pelbagai isu negara

Monday 23 February 2015

ÀWAS; Terma Ulamak vs Profesional Panah Beracun Musuh PAS


ÀWAS; Terma Ulamak vs Profesional Panah Beracun Musuh PAS

1. Terma "Pertembungan antara Ulamak dan Profesional" adalah saraf beracun musuh khususnya UMNO meskipun ia diungkapkan oleh pimpinan PAS tanpa sedar atau tidak. 

2. Sejak penubuhan PAS 1951, UMNO dan Barisan Nasional gagal menggugat keutuhan PAS meskipun menjadi pembangkang dalam negara kerana kekuatan pegangan Islam dan Ulamak yang menjadi teras kepada perjuangan Islam dengan paduan golongan aktivis dan profesional yang menjadi pemimpin dan ahli di pelbagai peringkat.

3. Sejak PAS ditubuhkan sehinggalah ke era Kepimpinan Ulamak dijadikan teras dalam perlembagaan pada tahun 80 an, kepimpinan PAS adalah terdiri dari pelbagai golongan sama ada Ulamak, Profesional atau Aktivis. Pemimpin PAS sama ada ketua cawangan, pengarah MTD, YDP Kawasan, Pesuruhjaya Negeri dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat terdiri di kalangn Ulamak, Profesional dan Aktivis tanpa ada sebarang pertembungan.

4. Konsep Kepimpinan Ulamak tidak bererti hanya Ulamak menjadi ketua di semua peringkat kecuali Ketua Tertinggi parti kerana Islam memberikan kredit kepada mereka yang faqih dan mampu berijtihad merujuk kepada al-Quran dan Sunnah untuk menjadi ketua tertinggi dalam Islam.

5. Hakikatnya para Ulamak dalam PAS tidak pernah bertembung dengan profesional atau sesiapa sahaja daripada kalangan aktivis dan ahli dalam PAS yang mengikut dasar PAS iaitu al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas. Ulamak tidak bertembung dengn mana-mana ahli atau pemimpin PAS yang merujuk kepada Islam, beraqidah dengan aqidah Islam dengan kefahaman ahlu sunnah wal jamaah, bersyariat dengan Syariat Islam dan berakhlak dengan Akhlak Islam serta tidak khianat kepada amanah kepimpinan atau melanggar baiah dengan Ketua Syarie.

6. Dulu, kini dan selamanya Ulamak sama ada yang berada dalam Dewan Ulamak atau Majlis Syura Ulamak atau mana-mana entiti parti adalah penasihat dan juru pandu kepada PAS agar sentiasa berada di landasan Islam dalam setiap pergerakan dan strategi perjuangan.

7. Sejak awal penubuhan PAS sehingga sekarang para Ulamak menjadi Tuan Guru dan Ustaz yang membimbing ahli di kalangan profesional dan aktivis untuk beriman dan beramal dengan al-Quran dan Sunnah, untuk mencari redha Allah dalam kehidupan bukannya redha manusia, berjuang untuk menegakkan Islam dan pemerintahan berasaskan sistem Islam, menentang kemungkaran sistem pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional yang berasaskan perkauman sempit dan sekuler memisahkan agama daripada politik, menolak semua pemikiran songsang samada sekuler, sosialis, demokratis, liberalisma dan kapitalisma dalam berekonomi.

8. Untuk itu, mana mungkin Ulamak bertembung dengan profesional kerana profesional atau aktivis adalah anak-anak murid mereka dalam memahami Islam. Mereka adalah sasaran dakwah para Ulamak di masjid, surau, markaz PAS menerusi kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah asar dan kuliah maghrib. Mereka anak didik Ulamak dalam Usrah, Tamrin dan Mukhayyam. Hasil didikan dan ilmu yang diberikan oleh Ulamak maka lahirlah pemimpin-pemimpin di kalangan profesional dan aktivis yang mampu memimpin PAS berasaskan Islam berpandukan wahyu al-Quran dan Hadis. Hasil tarbiyah mereka maka umat bangkit menentang kemungkaran politik dan ekonomi UMNO dan Barisan Nasional.

9. Namun, pertembungan akan berlaku antara Ulamak dan profesional atau aktivis yang mula lari daripada asas perjuangan Islam yang digariskan oleh al-Quran dan Rasul . Pertembungan berlaku dengan mereka yang hanya merancang strategi kemenangan parti dengan akal tanpa panduan wahyu dan sirah Rasul saw. Pertembungan berlaku dengan mereka yang berakidahkan kemenangan kerana manusia ramai yang menyokong bukan kerana Allah yang membuka hati mereka.

10. Pertembungan berlaku antara Ulamak dengan profesional atau aktivis yang cuba mentafsirkan sendiri al-Quran dan Hadis dengan akal atau pembacaan sendiri tanpa merujuk huraian Ulamak Muktabar menerusi karya-karya agong yang memerlukan kefaqihan dan penguasaan bahasa Arab yang tinggi untuk memahaminya.

11. Ulamak akan bertembung dengan profesional dan aktivis yang meletakkan walak kesetiaan kepada parti lain melebihi Parti Islam Semalaysia PAS yang memperjuangkan Islam.

12. Ulamak akan bertembung dengan profesional yang mula berdolak-dalik dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam kerana ingin menjaga hati rakan-rakan PR iaitu DAP dan PKR dan bimbangkan sokongan bukan Islam akan beralih.

13. Ulamak akan bertembung dengan profesional yang mula mencerca atau memaki Ketua Syarie dalam PAS iaitu Presiden PAS sama ada berdepan atau di belakang dan menjadi syaitan manusia yang menghasut dan mencocok ahli mempertikaikan Majlis Syura Ulamak yang diberikan kuasa dan kepercayaan oleh perlembagaan untuk menghuraikan Islam.

14. Ulamak akan bertembung dengan pimpinan profesional atau aktivis yang lupa kewajipan taat dalam perkara makruf yang dinikmati oleh seorang Ketua dalam Islam selagi dia tidak melanggar al-Quran dan Hadis.

15. Malah Ulamak akan bertembung juga dengan mana-mana Asatizah yang juga berfikir hanya dengan akal tanpa panduan wahyu jika ada dalam PAS.

16. Kepada profesional dan aktivis yang faham Islam, yang bersedia tunduk kepada panduan al-Quran dan Hadis dalam perjuangan, yang memahami konsep walak HANYA kepada Parti Islam dalam keadaan negara belum diperintah berlandaskan Islam dan taat kepada Presiden, yang berakhlak tidak menghentam para Ulamak maka persilakanlah menjadi sebahagian kepimpinan Parti Islam Semalaysia PAS kerana PAS adalah milik semua yang berjuang berlandaskan Islam.

Yang menjalankan amanah peringatan;

Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Isnin 4 Jamadilawal 1436 H /  23 Februari 2015

Friday 20 February 2015

Roslan SMS Corner Unity Government 2013: Berkatalah yang benar (19/2/15)

Roslan SMS Corner

Unity Government 2013: Berkatalah yang benar (19/2/15)

Terlalu lama dah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menjadi “kambing hitam” di atas apa yang dikatakan “Kerajaan Perpaduan” atau UG pasca PRU 2008 dahulu. Macam-macam yang buruk-buruk, cemuhan, fitnah, maki hamun dihamburkan pada Presiden PAS bukan hanya dari rakan-rakan PR tetapi juga dari orang-orang PAS sendiri yang menggunakan isu itu sepenuh-penuhnya untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti Tuan Guru.

Namun Tuan Guru ternyata terus “hidup” dan istiqamah mengemudi bahtera besar PAS ini.

Dalam musim-musim pemilihan ini sekali lagi isu UG ini dimain-mainkan, guna untuk merampas jawatan Presiden parti dari Tuan Guru. Kononnya UG ini dahulu mahu merobohkan PR. Kononnya UG ini dahulu adalah bukti Tuan Guru dan ulamak PAS lebih cenderung berpeluk-pelukkan dengan Umno. Apa sahaja berkaitan UG dengan Umno dikira jijik dan kotor.

Dalam kesungguhan kerja-kerja jahat ini dimainkan, dengan takdir Allah swt terbongkar pula UG yang baru. Versi 2008 sekaligus menjadi “akademik” (Bahasa undang-undang) lantaran terpacul versi 2013. Kali ini UG nya bukan Umno-PAS tetapi kali ini UG nya Umno-PKR dan apabila ia hampir gagal dirangkul pula PAS sekali atas usaha orang-orang tertentu.

Saya mengulas pendedahan pengkritik dan penganalisa politik veteran Raja Petra Kamaruddin (RPK) melalui portalnya Malaysia Today berkenaan apa yang dikatakan UG versi 2013 ini.

Tambahan ada kalangan pimpinan PKR sendiri telah mengiakannya. Bahawa Datuk Seri Anwar dijanjikan jawatan TPM, bahawa PKR akan diberi 5 kerusi kabinet, yang ini bukan dari RPK tetapi terbit dari pengakuan Nurul Izzah dan Rafizi.

Saya mengambil minat pendedahan ini kerana saya merasakan jika UG 2008 digunakan semaksima mungkin untuk menyerang dan mencemuh Tuan Guru Presiden PAS, terbaru turut dinyanyikan oleh Penasihat DAP Lim Kit Sianghttp://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2015/02/17/kit-siang-umno-pas-unity-govt-conspiracy-against-pakatan/

Apa istimewanya pula UG 2013 ini sehingga ia disorok dan dirahsiakan. Kalau UG2008 itu kotor dan jijik kenapa UG 2013 ini suci dan bersih?

Tidakkah ia membuktikan Datuk Seri Anwar dan PKR juga ada bekerja atas agenda yang hampir sama. Yang menurut RPK dalam postingnya, agendanya untuk menyelamatkan Anwar dan mewujudkan kerajaan campuran Umno-PKR (tanpa PAS dan DAP pada mulanya). Dan kemudiannya apabila hampir gagal diheret pula PAS untuk membentuk UG Umno-PKR-PAS.

Orang-orang dalam PAS yang dahulunya mencemuh Tuan Guru Presidennya sendiri, rupa-rupanya dalam pendedahan RPK ini menjadi tali-barut, dan turut terlibat.

Samada pendedahan RPK ini benar atau tidak ianya wajib diperjelaskan oleh mereka yang terlibat.

Ada yang menyatakan RPK ini penulis amatur yang separuh masak, ada yang mengtakan RPK ini lidah fitnah.

RPK yang saya kenal adalah seorang pejuang kebebasan yang tidak tunduk pada tekanan mana-mana pihak tak kiralah BN termasuklah PR. RPK ini salah seorang kolumnis Harakah sebelum meletusnya Reformasi Jalanan dahulu lagi. Beliau menyumbang kepada Harakah English Section bersama-sama saya ketika ada pemimpin PAS hari ini belum PAS pun lagi.

Namun samada benar atau tidak pendedahannya terserah lah.

Saya terpanggil mengulasnya kerana pimpinan kanan PKR hari ini pun mengakuinya tetapi dari versi yang berbeza. Cuma apabila RPK memberikan versinya ianya tampak lebih kemas teratur, masalahnya RPK membabitkan pemimpin PAS tertentu yang dakwanya turut terlibat.

Pemimpin itu Dr Syed Azman (AJK PAS Pusat) telah memberi respon (responnya turut dinaikkan RPK) terhadap apa yang dikatakannya fitnah RPK. Beliau menafikannya dengan versi berlainan, ada jumpa tetapi isu lain tidak ada kena-menegena dengan UG. Dan dipenghujung responnya beliau mengkritik RPK dan mereka yang sealiran RPK (agaknya termasuk saya) sebagai amatur dan separuh masak.

Menariknya tak berapa lama Dr Syed membuat penafian, RPK terus bangkit dan membuat lagi pnededahan. Saya rasakan RPK punya “peluru” yang lengkap kali ini, yang terlibat jangan tersalah langkah.

Terbaru RPK menyebut bahawa respon Dr Syed sesungguhnya membuktikan memang ada perjumpaan di London sebagaimana didakwanya. Di London ada Zahid Hamidi, ada Mustafa Ali dan ada SETPOL Presiden. Dan Dr Syed juga akui Hadi (Tuan Guru) walau berada di London tetapi tidak hadir.

Cuma kata Dr Syed perjumpaan itu bukan kerana agenda UG sebaliknya atas isu Palestin. (RPK atau Dr Syed yang berbohong?)

Kata RPK lagi:

Dr Syed Azman also did not talk about the role of Jusof Kalla in this whole thing, the Indonesian leader who played the role of middleman and who was later very angry with Anwar for violating the ‘agreement’. And what exactly was this ‘agreement’? Was the breakdown in the talks due to Anwar pushing for a Unity-Government while Prime Minister Najib Tun Razak only agreed to a ‘Konsensus Nasional’ and not to a Unity-Government?

(Dr Syed Azman tidak pula menyatakan peranan Jusof Kalla dalam hal ini, pemimpin Indonesia itu telah menjadi orang tengah, beliau (Jusof) kemudiannya berang dengan Anwar kerana memungkiri “perjanjian”. Apakah “perjanjian” itu sebenarnya? Adakah perundingan itu gagal kerana Anwar mendesak untuk membentuk UG sedangkan Perdana Menteri Najib Tun Razak Cuma bersetuju membentuk “Konsensus Nasional” bukannya UG?)

Pendedahan terbaru RPK boleh diikuti di

http://www.malaysia-today.net/the-unity-government-talks-in-london-confirmed/

Yang menarik dalam pendedahan kali ini Dr Syed menafikan ada perundingan UG di London sedangkan menurut RPK sebulan selepas mesyuarat London itu iaitu pada 30 Januari 2014, Zulkiflee Sulong bekas Ketua Pengarang HARAKAH sendiri telah menulis dalam portal berita TMI laporan bertajuk:

Kerajaan perpaduan’ Najib: Jangkaan presiden PAS benar belaka

Antara lain Zul menyebut:

Namun, apabila wakil perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menemuinya untuk membincangkan versi baru gagasan ini iaitu “Rekonsiliasi Nasional” di London awal bulan ini, Abdul Hadi tidak mahu menyertainya. Beliau hanya menghantar Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtaruntuk bertemu Zahid walaupun ketika itu beliau sudah berada di London.

Bermakna Zul mengakui ada pertemuan di London (Zul setahu saya akrab dengan Dr Syed) dan agenda pertemuan adalahmembincangkan versi baru gagasan ini iaitu “Rekonsiliasi Nasional” sedangkan Dr Syed menolak sama-sekali pertemuan atas isu lain selain Palestin.

Kalau RPK menurut Dr Syed membikin fitnah takkan TMI dan Zul Sulong (yang akrab dengan Dr Syed)pun sama?

Cuma kalau kita perhatikan artikel Zul itu tiada nama Dr Syed yang disebut sedangkan dari versi Dr Syed beliau dan Saifuddin Nasution hadir tetapi sekadar membincangkan isu Palestin.

Lalu apa sebenarnya yang berlaku di London? Dan sebelum London?

Bagi saya jika Hadi (Tuan Guru Presiden PAS) diperkatakan macam-macam, diserang hingga hari ini kerana kononnya mencetuskan UG Umno-PAS 2008, mengapa pula dalam UG 2013 ini yang Anwar dikatakan akan dilantik sebagai TPM kerajaan UG Umno-PKR selain 5 menteri kabinet buat PKR, tiada siapa berani ungkit apalagi mengkritik?Kenapa umpamanya UG 2008 Lim Kit Siang anggap sebagai satu konspirasi terhadap Pakatan Rakyat, tetapi UG 2013 yang lebih terbaru Kit Siang bisu seribu bahasa?Kenapa rakyat yang mengundi calon-calon Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 lalu langsung tidak diberitahu atau dimaklum tentang UG 2013 ini?

Sudah tiba masanya untuk semua pihak berterus-terang dan jujur pada rakyat dan parti masing-masing.

Tidakkah anda seperti saya, mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku?

at 10:41:00 PM
http://n32.blogspot.com

Wednesday 18 February 2015

Kempwn Kebersihan Tandas Masjid dan Surau

Kempen Kebersihan Tandas Masjid Surau

ALLAH berfirman bermaksud: "sesungguhnya Allah cintakan orang yang sentiasa bertaubat dan cintakan orang-orang sentiasa menyucikan dirinya". Surah al-Baqarah; 222.

Sangat malang apabila penghayatan terhadap kesucian dan kebersihan gagal dihayati termasuk di masjid-masjid dan surau-surau. Sedangkan rumah Allah yang terlebih layak untuk sentiasa dibersihkan dan disucikan.

Saya menyeru seluruh masyarakat Islam berkempen bermula hari ini untuk memastikan tandas-tandas surau dan masjid sentiasa bersih dengan tindakan-tindakan berikut;
1. Menanam kesedaran dalam diri sendiri bahawa rumah Allah adalah wajib disucikan termasuk persekitarannya. Ia adalah kewajipan beragama yang akan disoal di hari Akhirat.
2. Setiap orang berkempen menerusi media maya kewajipan menjaga kebersihan tandas surau dan masjid.
3. Masjid dan surau meletakkan papan tanda kesedaran kepada para pengguna tandas dan surau masjid sebagai satu kempen
4. Masjid dan surau menerusi jawatankuasanya mewujudkan jawantankuasa khas kebersihan tandas untuk memantau kebersihannya secara berterusan.
5. Masjid dan surau menganjurkan gotong-royong sepanjang bulan mac nanti sebagai permulaan kempen kebersihan tandas.
6. Pemimpin tempatan menganjurkan kempen dan pertandingan tandas masjid dan surau yang paling bersih sebagai satu motivasi.

Mohon menyokong
Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Rabu 18.2.2015 jam 8.30 mlm

#Catatan dalam perjalanan k program Hiwar Siyaasi di Manjoi, Perak.

Ust Mohd Khairuddin At-Takiri - https://m.facebook.com/DrKhairuddinTakiri?fref=nf&pn_ref=story

Krtitikan Terhadap Sistem Belanjawan Menurut Sistem Kewangan Islam

Krtitikan Terhadap Sistem Belanjawan Menurut Sistem Kewangan Islam

1. Belanjawan adalah rancangan kemasukan pendapatan dan perbelanjaan untuk tahun mendatang. Sistem ini tidak wujud dalam sistem kewangan Islam kerana sistem kewangan Islam ialah  merancang perbelanjaan semasa berdasarkan kewangan semasa. Allah berfirman bermaksud "hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya maka berbelanjalah menurut apa yang dikurniakan oleh Allah".

2. Dalam sistem belanjawan hari ini yang berasaskan anggaran pendapatan dan perbelanjaan kedepan berbangkit satu persoalan; adakah keutamaan diberikan kepada persoalan pendapatan atau perbelanjaan? Dengan kata lain adakah perancangan Belanjawan dilakukan berdasarkan saiz anggaran pendapatan atau dirancang perbelanjaan yang diperlukan lalu dirancang bagaimakah saiz anggaran pendapatan lalu apabila anggaran pendapatan tidak mencukupi maka berlakulah defisit?

3. Jawapan kepada persoalan ini dapat dilihat dalam sistem agihan zakat. Pendapatan hasil zakat telah ditetapkan saluran agihannya iaitu 8 golongan dikenali sebagai Asnaf Zakat. Sejarah praktikal Nabi saw dalam menguruskan kewangan negara menunjukkan bahawa Nabi saw tidak menetapkan terlebih dahulu berapakah keperluan fakir miskin sebagai contoh tetapi hasil zakat diagihkan berdasarkan amaun yang telah dipungut.

Ust Dato Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Rabu 18.2.2015

Sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk tinjauan artikel dalam pelbagai isu negara

MOGA CERIA DI TAHUN BARU CINA

MOGA CERIA DI TAHUN BARU CINA

Terlebih dahulu kepada mereka yang meraikan Tahun Baru Cina di Parlimen Kuala Nerus khususnya dan di seluruh negara umumnya saya ucapkan:

新年快乐
Xin Nian Kuai Le
恭喜发财
Gong Xi Fa Cai

Wishing you a prosperous year, 'goat' health and happiness for you and family.

Dengan kemeriahan ‘Reunion Dinner’, gantungan lampu merah, bunyi mercun, nyalaan bunga api dan angpau merah, diharapkan Tahun Baru Cina yang disambut pada tahun ini menjadi detik-detik terindah buat anda semua bersama ahli-ahli keluarga beberapa generasi yang berhimpun untuk meraikannya.

Keluarga adalah antara nikmat yang perlu dihargai dan dinikmati kerana ia adalah antara asas kepada kebahagiaan dan kegembiraan hidup. Hargailah ia sementara masih ada.

Semangat hubungan kekeluargaan ini perlu dikembangkan merentas kaum dan bangsa supaya dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat dalam kalangan kita. Sikap bersopan-santun, bersimpati, baik hati dan keadilan yang dikaitkan dengan Tahun Kambing Kayu dalam Kalendar Cina perlu menjadi teras pembinaan interaksi antara kaum di negara ini. Ia juga selaras dengan ajaran Islam seperti yang dianjurkan oleh Allah s.w.t. berikut :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujuraat : 13)

Perpaduan yang kita bentuk ini adalah sangat penting untuk berhadapan dengan pelbagai ancaman pemikiran sempit perkauman yang ditiupkan oleh setengah pihak dan juga berhadapan dengan kecelaruan pengurusan kewangan negara sehingga mengakibatkan ketidaktentuan dalam prestasi ekonomi negara.

Saya percaya, peringatan supaya berhati-hati dengan krisis kewangan semasa Tahun Kambing Kayu, akan menjadikan seluruh kaum Tiong Hwa sentiasa bersama dengan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara berkebajikan, aman, makmur dan sejahtera. InshaaAllah.

“Moga Ceria di Tahun Baru Cina”

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tarikh : 18 Februari 2015 / 28 Rabiulakhir 1436H

Sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk tinjauan artikel dalam pelbagai isu negara.

Tuesday 17 February 2015

NELAYAN TERENGGANU ANTARA TERMISKIN, PERLUKAN PEMBELAAN

Nelayan Terengganu antara termiskin, perlu pembelaan - http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/33918-nelayan-terengganu-antara-termiskin-perlu-pembelaan

Kenyataan Media
NELAYAN TERENGGANU ANTARA TERMISKIN, PERLUKAN PEMBELAAN

Oleh :
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 17 Februari 2015 / 27 Rabiulakhir 1436H

1. Merujuk kepada Laporan Sosio-Ekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah yang diterbitkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), purata pendapatan nelayan ke laut bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 sebulan dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1600 sebulan.

2. Berbanding Negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang, semuanya berada di atas purata pendapatan nelayan negara ini. Purata pendapatan serendah RM1,400 ini juga memposisikan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).

3. Lebih mendukacitakan, suatu kajian terbaru mendapati pendapatan nelayan hanya mengalami peningkatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan GST pada April nanti, bahkan mungkin akan lebih teruk jika TPPA ditandatangani oleh Kerajaan kelak.

4. Berhubung hal ini, saya mendesak agar pihak berkenaan; Kerajaan Negeri Terengganu, LKIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, menumpukan perhatian dan menyelesaikan beberapa perkara berikut :

(i) Pendapatan nelayan Terengganu adalah terjejas akibat daripada pencerobohan nelayan asing khususnya oleh warga Vietnam.

Mereka menggunakan pukat tunda haram dan cara haram bagi menangkap ikan sehingga menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan dan ekosistem laut Terengganu. Isu ini adalah isu lama dan berulang, bahkan sehingga 14 Februari lalu, terdapat 6 orang lagi nelayan asing ditahan. Sikap tegas Jokowi, Presiden Indosnesi harus dicontohi dalam menyelesaikan isu pencerobohan ini.

(ii) Mengurangkan campurtangan orang tengah dengan memperkemaskan sistem pemasaran hasil tangkapan nelayan.

Selain penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, Kerjaan perlu menyediakan suatu mekanisme lain bagi memastikan nelayan merasakan pendapatan mereka terjamin seperti mewujudkan mekanisme yang dapat menunjukkan pulangan yang bakal mereka dapati berdasarkan kuantiti dan kualiti tangkapan ikan mereka. Misalnya ialah dengan mempelbagaikan sistem pemasaran ikan mengikut suatu tujuan tertentu seperti pasaran ikan segar, eksport, ditinkan atau lain-lain jenis ikan yang diproses.

(iii) Mempermudahkan urusan pengeluaran lesen kepada semua nelayan bagi mengelakkan wujudnya nelayan tidak sah sehingga mengakibatkan mereka sukar atau tidak mendapat apa-apa bantuan yang ditawarkan dan terpaksa pula menanggung sendiri apa-apa risiko kemalangan jika berlaku.

Sebagai contoh, daripada 10,730 nelayan di Terengganu, hanya 5,000 orang sahaja yang dapat menikmati peruntukan RM12 juta yang diberikan secara RM200 sebulan. Baki sebanyak 5,730 orang lagi tidak terbela. Bantuan bakul sebanyak RM100 seorang juga sehingga kini masih belum diberikan kepada nelayan.

5. Saya mengharapkan agar nasib para nelayan ini dapat segera dibela dengan bersungguh-sungguh oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Sekian.

Boleh layari www.drtakiri.blogspot.com untuk lain-lain artikel dalam pelbagai isu semasa negara

Saturday 14 February 2015

Ziarah Warga Tiong Hwa di DUN Bukit Tunggal

Ziarah warga Tiong Hwa setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru menjadi sebahagian agenda tahunan sejak berkempen pilihanraya 2013 seterusnya pada 2014 dan begitu juga tahun ini 2015. Agihan Limau Mandarin kepada rakyat Kuala Nerus di Dun Bukit Tunggal dijalankan hari ini bersama-sama YB Dr Alias Razak bermula jam 10 pg sehingga jam 12 tghari bermula di Tmn Semarak.

PEMERGIAN TOK GURU; SATU KEHILANGAN BESAR

PEMERGIAN TOK GURU; SATU KEHILANGAN BESAR
 
Firman Allah Taala:
 
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: Dikalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka.
( Al-Ahzab: 23 )
 

Hari ini terasa sangat hiba, baharu sehari rakyat di Negeri Kelantan kehilangan sosok Rijal yang agung dalam harakah islamiyah dan pengasas Kerajaan Membangun Bersama Islam. Saya pernah diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Besar oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada 23 Mac 2004. Tok Guru banyak mengajar serta memberi pengalaman kepada saya dan hari ini saya sangat terasa kehilangan beliau dengan pemergian buat selamanya ini. Dialah bapa dialah sahabat saya dalam mengemudi bahtera Kerajaan Kelantan. 
 
 
Masih saya ingat ketika Tok Guru meminta saya menjadi wakil rakyat pada tahun 1995 bagi sama-sama membantu beliau dalam menegakkan perjuangan Islam di Kelantan, saya terus meletakkan jawatan dengan notis 24 jam sebagai guru siswazah selama 15 tahun hanya matlamat saya semata-mata untuk berbakti kepada perjuangan islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebelum itu saya telah diberi amanah untuk menjawat jawatan Pengarah Pilihanraya DUN Sungai Pinang dan juga Bendahari PAS Kawasan Tumpat pada tahun 1986 demi untuk mengurus tentang kewangan kawasan secara lebih teratur.
 
 
Tok Guru kemudian meminta saya bersama berjuang dengan beliau dan sahabat-sahabat pada masa itu untuk membangunkan pentadbiran Negeri Kelantan secara lebih menepati kehendak islam dan Tok Guru memberi mandat kepada saya untuk menumpukan kepada bahagian pengurusan dan tadbir urus Kerajaan Negeri. Jawatan saya yang pertama ditugaskan oleh Tok Guru sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia iaitu pada tahun 1997.
 
 
Saya amat tenang dan rasa lapang berkhidmat dibawah kepimpinan Tok Guru kerana beliau tersangat unik dan begitu hikmah dalam memimpin Kerajaan Negeri tambahan pula dengan kehebatan ilmu yang dimiliki dan bertaraf seorang Tuan Guru dapat memimpin sebuah Kerajaan adalah satu peristiwa terpenting yang dicatat dalam sejarah politik Negeri Kelantan. Latar belakang pendidikannya yang berkemahiran dalam bidang tafsir, bahasa arab dan juga perundangan islam tidak sama dengan Menteri-Menteri Besar lain. Beliau sering menekankan soal mendaulatkan islam dan beliau tidak bertindak serta tidak melakukan sesuatu kecuali untuk kepentingan islam semata-mata.
 

Pesanannya sentiasa terngiang-ngiang ditelinga saya betapa beliau seorang murabbi yang tidak lekang daripada memberi nasihat dan tazkirah walau dimana berada. Teringat saya kepada ‘kuliah senafas’ yang sentiasa mendidik rohani dan memberi thaqafah di kalangan pimpinan parti, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat jelata. ‘Kuliah senafas’ ini sentiasa diberikan oleh beliau sejurus solat subuh setiap hari di masjid beliau di Pulau Melaka juga sebelum bermulanya mesyuarat perhubungan Negeri dan lain-lain mesyuarat.
 

Setiap pagi jumaat, akan kedengaran suaranya menyapa masyarakat di sekitar Bandar Kota Bharu dan selepas ini saya dan pasti seluruh rakyat akan sangat terasa dengan kehilangan sosok besar perjuangan. Rasa hormat dan rasa sayang kepada Tok Guru ini sentiasa mekar disanubari kami dan beruntunglah Tok Guru kerana Allah telah mengambilnya ketika beliau sudah mencapai taraf kekasih Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ، فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبُّوهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الأَرْضِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila kasih kepada seseorang hamba-Nya lantas Allah memanggil Jibril seraya menyatakan; Sesungguhnya Aku kasih kepada si fulan maka kasihilah dia. Lalu Jibril mengasihinya dan mengumumkan kepada para penduduk langit bahawa Allah mengasihi si fulan maka kasihilah kalian semua akan dia, maka semua penduduk langit mengasihinya seraya berkata; kemudian letakkanlah rasa kasih sayang ini juga kepada semua penduduk bumi.
( Riwayat Muslim )
 
 
Sesungguhnya Tok Guru amat dikasihi oleh rakyat, walaupun terdapat rakan politik yang tidak sehaluan pandangan, mereka akhirnya tetap menghormati dan tidak berdendam kepada Tok Guru. Hari pemergiannya, lautan manusia dari seluruh Negeri dan Negara luar turut hadir, daripada sekecil-kecil pangkat manusia hinggalah sebesar-besar pangkat dan daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya. Allahlah yang meletakkan rasa hormat dan kasih ini kepada hamba-Nya yang bagi saya telah mencapai keahlian ‘Kekasih Allah’ yang sentiasa diimpikan oleh kita semua dan Tok Guru telah melaksanakan dengan penuh amanah terhadap segala janjinya kepada Allah. Bersemadilah dengan tenang wahai Murabbi Ummah.

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

24 Rabiul Akhir 1436 / 14 Januari 2015

Monday 9 February 2015

KPWKM MESTI IKUT ACUAN ISLAM DALAM ISU MODUL PENDIDIKAN SEKS


KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

KPWKM MESTI IKUT ACUAN ISLAM DALAM ISU MODUL PENDIDIKAN SEKS

1. Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mulai tahun 2016 akan diperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, di mana modul tersebut akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual. Saya berpandangan ia tidak akan dapat menyelesaikan krisis sosial yang dihadapi masyarakat hari ini.

2. Turut dinyatakan juga bahawa pelaksanaan modul tersebut kelak adalah dengan harapan dapat membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga. Masih kabur soal faktor utama yang mendesak modul pendidikan seks ini kembali diperkenalkan. Sama ada ia disebabkan peningkatan angka kelahiran anak tidak sah taraf, atau bertambahnya jumlah penghidap HIV/AIDS atau atas alasan lain, ia tidak jelas pada pengamatan saya.

3. Munculnya idea memperkenalkan pendidikan seks mengikut bacaan sejarah ialah ketika era 1960-an di Amerika Syarikat. Namun, sebelum itu lagi sekitar 1940-an Agensi Perkhidmatan Kesihatan Awam A.S (U.S. Public Health Service) telah mengeluarkan satu pekeliling menyatakan bahawa pelaksanaan pendidikan seks adalah sebagai "urgent need".

4. Sebaliknya di Malaysia, idea sedemikian muncul pada 1980 setelah diadakan Simposium Seksualiti Manusia bagi mewujudkan silibus atau suatu modul pendidikan seks. Isu tersebut berlanjutan beberapa kali pada 1990-an dan kali terakhir pada 2010. Sorotan tersebut menunjukkan bagaimana sikap pihak kerajaan Malaysia beberapa kali mencedok model Barat bagi mengatasi keruncingan sosial yang semakin kritikal.

5. Asas dan hujah pihak KPWKM untuk melaksanakan pendidikan seks tersebut dilihat terlalu simplistik. Ini kerana krisis sosial yang berlaku jauh lebih serius dan tidak mungkin dapat diselesaikan dengan pendekatan semudah itu. Tindakan yang kerajaan ingin ambil seperti tikus membaiki labu. Langkah yang diambil tidak menepati apa yang syariat telah gariskan kepada manusia.

6. Langkah yang sama diambil sebelum ini pada tahun 1994 dan sehingga 2010 memperlihatkan hasil yang negatif. Bukti yang menyokong adalah statistik kehamilan remaja pada 2013 menunjukkan terdapat lebih daripada 18,000 kes direkodkan dan menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya. Dalam kes anak tidak sah taraf pula peningkatan mendadak seramai 234,647 orang didaftarkan tamat 2011. Angka ini menunjukkan langkah tersebut langsung tidak membaiki keadaan tapi sebaliknya mengeruhkan masalah.

7. Perkara lain yang menyokong kenapa saya tidak bersetuju dengan langkah yang ingin diambil berasaskan satu kaedah fiqh yang terkandung dalam sepotong Hadis Sahih yang masyhur iaitu :
لا ضرر ولا ضرار
"Tidak ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan".

Kaedah ini menjelaskan bahawa kelakuan manusia itu tidak boleh adanya mudarat dan apatah lagi memudaratkan. Keputusan KPWKM tersebut akan menimbulkan mudarat yang lebih besar iaitu para muda-mudi menjadikan alasan pendidikan seks untuk melayari web pornografi. Fakta menyokong hujah saya adalah satu kajian yang diadakan di UK mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks.

8. Islam agama yang memuliakan anak Adam pasti memandu manusia untuk menangani permasalahan yang berlaku. Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan melalui tulisan beliau 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam', Islam telah memperkenalkan apa yang disebut sebagai 'Tarbiyah Jinsiyyah' atau Pendidikan Gender. Pendidikan tersebut merangkumi aspek penegahan, penegasan hukum hakam, sunnah tadarruj (berperingkat-peringkat) dalam membentuk minda anak-anak. Ia menjadi salah satu dari tujuh aspek penting dalam pembentukan anak-anak yang perlu dipakejkan bersama.

9. Sehubungan dengan isu pendidikan seks ini, Islam melihat orang yang lebih sesuai untuk melakukannya ialah ibubapa sendiri bukan melalui suatu sistem yang dimodulkan. Kenapa dikatakan ia adalah tanggungjawab keluarga, ini diasaskan kepada petunjuk al-Quran bahawa institusi perkahwinan sebagai sebuah institusi suci yang mampu memberi ketenangan dan merealisasikan erti kasih sayang yang sebenar. Ini seiring dengan firman Allah yang bermaksud :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenang tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah Al-Rum: 21)

10. Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan bahawa pendidikan seks bermaksud mengajar anak secara berterus-terang dan secara berperingkat sejak ia mula berakal. Pendidikan seks ini perlu diberi secara bertahap mengikut perkembangan umur anak-anak.

11. Misalnya, pada usia 7 – 10 tahun perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab memandang. Pada usia 10 – 14 tahun berikutnya, dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Manakala pada usia sekitar 14 – 16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Sehinggalah pada usia baligh atau dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu berkahwin. Keutamaan-keutaman perkara yang perlu diajar kepada anak-anak ini perlulah diolah sesuai dengan penerimaan mereka dan adat tradisi dalam budaya masyarakat kita. Perinciannya boleh dilihat dalam tafsiran Surah an-Nur yang mengajar sebahagian modul pendidikan seks dalam Islam.

12. Di samping itu, saya lebih suka jika pakej pendidikan seks ini diterapkan bersama tuntutan syariah yang lain. Antaranya fiqh berkait solat dan puasa, kita perlulah suci dari haid dan nifas juga tidak dalam keadaan berjunub. Jadi, akhirnya ibubapa perlu menerangkan kepada anak-anak tentang makna perkataan berjunub itu. Signifikan saya mengatakan sedemikian kerana ia berupa cara Islam membentuk paradigma baru tentang bagaimana menghadapi dan membendung permasalahan sosial.

13. Keistimewaan utama Islam kepada masyarakat adalah ia sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusiawi. Isu krisis sosial yang berlaku adalah pada hakikatnya telah meruntuhkan satu tonggak penting maqasid syariah iaitu menjaga zuriat. Ia termasuk dalam perkara yang menjadi 'dharuriyyat' atau terlalu penting. Islam menegaskan soal menjaga kehormatan diri kerana ia adalah sebahagian dari kemuliaan manusia sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya kami muliakan anak-anak Adam dan kami memelihara darjat mereka di daratan dan lautan. Kami berikan rezeki daripada yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna daripada sekelian makhluk yang telah kami cipta iaitu akal.”

(Surah al-Isra’ : 70)

14. Kesimpulannya, sekali lagi saya menegaskan bahawa pelaksanaan modul pendidikan seks ini tidak akan membawa kesan positif bahkan akan memberikan impak yang lebih teruk kepada permasalahan sosial dalam masyarakat sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut kaedah Islam. Maka kembalilah kepada modul pendidikan seks menurut Islam.

Sekian.

Disediakan oleh :

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 9 Februari 2015 / 17 Rabiulakhir 16 Rabiulakhir 1436 H.

Saturday 7 February 2015

MULTAQA ULAMAK SEMALAYSIA II (MUS II)

📣Ayuh kosongkan tarikh anda untuk bersama kami !!!

📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣
📣📣MULTAQA ULAMAK SEMALAYSIA II (MUS II)📣📣
📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣📣

Tarikh: Sabtu 21 Feb 2015
Waktu : 8 pg - 6 ptg
Tempat : Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor

Tema :

"TERUS BERISTIQAMAH BERSAMA KEPIMPINAN ULAMAK”

💐UCAPTAMA :

YAB Ustaz Dato' Hj Ahmad Yaakob
Pemangku Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat/Menteri Besar Kelantan

💐ULASAN UCAPTAMA

YB Dato' Mohd Amar bin Nik Abdullah
AJK PAS Pusat
Timbalan Menteri Besar Kelantan

💐PERBAHASAN

14 Wakil Dewan Ulamak PAS Negeri

💐PEMBENTANGAN

👉1. Walak & Ketaatan dalam Parti Islam

1-YB Ust Nasruddin Hasan Tantawi
2-Hj Razman Zakaria

👉2. Krisis Ekonomi Negara; Solusi Urus Tadbir Islam

1-Ust Nazri Chik
2-Ust Zaharuddin Mohamad

👉3. Gerakan Islam Pasca Arab Spring

1-Ust Dr Riduan Mohd Nor
2-Dr Mohd Zuhdi Marzuki

👉4. Fiqh Siyaasah Dalam Sirah Nabawiyyah

1-YB Ust Nik Abduh Nik Abdul Aziz
2-YB Ust Abdullah Husin

👉ULASAN PENGGULUNGAN

Ust Dato' Dr Mahfouz Mohamad
Ust Dato' Nik Zawawi Hj Soleh
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

👉PENGGULUNGAN PENUTUP

Dato' Tuan Guru Harun Din
Timbalan Mursyidul Am

🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃

📢Peserta Wajib :

1- AJK Dewan Ulamak PAS Pusat
2. AJK Dewan Ulamak PAS Negeri/Wilayah
3. 10 orang Ulamak Pelapis Negeri/ Wilayah
4. 10 orang Alimat Negeri/Wilayah
5. 10 orang wakil Urusan Ulamak Kawasan

Peserta Pemerhati

Seluruh ahli PAS di semua peringkat

📢Anjuran :

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Kenapa Kita Bersama Perjuangan Parti Islam Semalaysia PAS?

Kenapa Kita Bersama Perjuangan Parti Islam Semalaysia PAS?

1. Perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik Islam adalah perjuangan berasaskan Aqidah Islam yang mengajar hakikat bahawa Allah adalah RABB yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam dan bahawa Allah adalah ILAAH yang mesti diberikan kepadaNya sepenuh ketaatan dan ketundukan pengabdian diri.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
"Tiada sebenar-benar urustadbir melainkan milik Allah. Dia memerintahkan agar kamu jangan mengabdikan diri melainkan kepada-Nya. Itulah agama ketundukan yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Surah Yusof; 40.

2. Setiap ahli PAS yang menggabungkan diri mereka ke dalam parti Islam meyakini bahawa penglibatan mereka dalam PAS adalah tuntutan Aqidah Islam yang menyeru mereka memperjuangkan negara dan masyarakat yang beriman dengan Islam dan beramal dengan sistem Islam dalam pengurusan kenegaraan samada pengurusan politik, ekonomi, sosial dan kebajikan.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ

"Dan hendaklah kamu mengurustadbir/memerintah di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka. Dan berwaspadalah bimbang mereka memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu". Surah al-Maidah; 49.

3. Setiap ahli PAS meyakini bahawa kewajipan mereka ialah meneruskan legasi pemerintahan Nabi saw dengan menegakkan kerajaan Islam yang bermatlamatkan "menegakkan Agama Islam dan mentadbir negara dan bumi dengan Agama Islam" seperti penegasan para Alim Ulamak
الخلافة خلافة عن النبوة في  إقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Khilafah itu adalah penggantian terhadap kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama".

4. Setiap ahli PAS meyakini bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah dan menghindarkan diri mereka daripada neraka. Perjuangan mereka adalah untuk bahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat. Perjuangan mereka ialah untuk berkongsi kebahagiaan yang diperolehi menerusi Islam dan pemerintahan Islam dengan manusia sejagat. Itulah asas moto "PAS untuk Semua".

5. Setiap ahli PAS meyakini bahawa segala tindak-tanduk serta strategi perjuangan  mereka mestilah berlandaskan hukum halal dan haram dan berlandaskan panduan al-Quran dan Sunnah, Ijma' dan Qiyas yang dihurai dan dijelaskan oleh para alim ulamak yang berilmu dan soleh. Maka begitulah strategi politik termasuk kerjasama politik dengan mana-mana parti yang tidak Islam dilakukan berlandaskan hukum dan rujukan al-Quran dan Sunnah bermatlamat menegakkan Islam dan dakwah Islam.

6. Aqidah ahli-ahli PAS ialah bahawa bumi ini mesti diperintah dan ditadbir oleh hamba-hamba yang beriman dengan Aqidah Islam, yang beramal dengan Syariat Islam, yang berakhlak dengan Akhlak Islam. Dan untuk itu dan ke arah itu mereka berjuang kerana Allah berfirman;

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
"Dan sama sekali Allah tidak membiarkan bagi orang kafir jalan menguasai orang-orang beriman"
Surah al-Nisa'; 56.

7. Aqidah dan keyakinan serta pegangan Ahli-ahli PAS ialah bahawa bumi ini mesti diperintah dan ditadbir dengan Islam sama ada dalam pengurusan pentadbiran politiknya, mahupun pengurusan ekonomi kewangannya ataupun pengurusan sosial kemasyarakatannya.

8. Aqidah dan keyakinan serta pegangan ahli-ahli PAS ialah bahawa hanya Islam yang sebenar-benar mampu memberikan keadilan kepada manusia.

9. Kebajikan yang diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS ialah kebajikan berasaskan kaca mata Islam dan bukan kebajikan pada kacamata sosialis atau komunis atau demokratis atau sekularis.

10. Keadilan sosial dan ekonomi yang diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS ialah keadilan sosial dan ekonomi berasaskan kacamata Islam dan bukannya keadilan pada sudut pandangan sekular atau sosialis atau liberalis atau komunis atau demokratis.

Maka marilah kita istiqamah meneruskan perjuangan suci dan murni ini agar hidup kita terus dirahmati.

Nukilan;
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sabtu 7 Februari 2015 / 17 Rabiulakhir 1436H jam 12.30 tghri.

Aktiviti YB pada 7.2.2015

Sabtu 7.2.2015 - Pagi ini Solat subuh dn tazkirah ringkas di surau Alor Kuda, Seberang Takir, seterusnya minum pagi bersama rakyat di depan pondok polis seb takir kmdn menziarahi Ustaz Ngah yg uzur di seb takir. Beliau guru yg banyak membimbing saya ketika bersekolah rendah di seb takir. Seterusnya ziarah beberapa kluarga di Bukit Petiti, Teluk Pasu.

DATO ASRI MUDA: MELURUSKAN SEJARAH SOSOK BESAR PAS. Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

DATO ASRI MUDA: MELURUSKAN SEJARAH SOSOK BESAR PAS.
Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

Sesepuh PAS ini mempunyai rakaman sejarah yang berwarna warni, bermula dengan gerakan pemuda kiri seterusnya memimpin syabab Hizbul Muslimin, menjadi petugas sepenuh masa PAS, seterusnya mendaki puncak sebagai pemimpin PAS. Beliau menjadi Presiden PAS yang keempat, dengan memangku jawatan Dr Burhanuddin pada tahun 1964 yang mendekam dalam tahanan ISA. Beliau juga menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1964 sehinggalah tahun 1972, juga menjadi Menteri kabinet semasa PAS dalam kerajaan campuran. Menubuhkan HAMIM pada tahun 1983, seterusnya menganggotai UMNO sehinggalah beliau meninggal pada tahun 1992.

Di Malaysia, perkembangan senario politik pasca tragedi 13 Mei 1969 telah mendesak PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1973, isu besar ini dibahas hangat dalam muktamar khas parti itu dalam tahun 1971. Penerimaan ahli PAS begitu berwarna warni, bahkan Dewan Pemuda PAS yang pada awalnya menolak pembentukan Kerajaan Campuran ini kemudiannya telah berjaya memanfaatkan kedudukan PAS dalam kerajaan untuk menyemarakkan lagi kebangkitan Islam yang berlangsung dalam dekad 70an.

Kongres Dewan Pemuda PAS pada 21 September 1973 yang memilih Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ahli Parlimen Dungun sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru menggantikan Ustaz Hassan Shukri, alumni Universiti Baghdad telah meletakkan fokus supaya Dewan Pemuda PAS dapat berfungsi dengan efektif untuk menggerakkan jentera kerajaan sebagai alat untuk mengembangkan kesedaran Islam dalam masyarakat dan negara ini. PAS telah melunaskan tajribah politik yang sangat besar apabila Dato Asri mengambil langkah untuk parti Islam ini berada di koridor kuasa,bahkan intrig dan polemik berlangsung dalam menentukan halatuju harakatul ummah ini, samada bersendirian atau bersama pemuafakatan politik dalam BN.

PAS terbukti berjaya memainkan peranan yang amat berkesan dalam mencanangkan kesedaran Islam dalam kerajaan. Melalui penyertaan beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, exco negeri, Ahli Parlimen, Adun, ahli lembaga pengarah badan-badan kerajaan dan sebagainya, pelbagai program penerapan nilai-nilai Islam berjaya dilaksanakan. PAS telah berjaya memperkenalkan kesenian Islam, menghapuskan arak dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, menghapuskan tempat minum arak (bar) di Parlimen dan memperkenalkan kuliah agama di jabatan-jabatan kerajaan. Badan Dakwah seperti YADIM dan PERKIM digerakkan, tentangan terhadap arak, perjudian dan filem lucah ditingkatkan, mengadakan seruan-seruan Islam kepada kakitangan kerajaan, meningkatkan prasarana pendidikan Islam, menggesa rakyat bersemangat Al-Quran, menanamkan semangat tauhid dan keimanan sebagai asas disiplin anggota tentera serta menambahkan rancangan bercorak Islam di radio dan televisyen. Maktab Perguruan Islam dan Bank Islam juga wujud di atas cadangan PAS. Perkembangan ini merupakan fasa pertama penerapan nilai- nilai Islam dalam kerajaan jauh sebelum Anwar dan penyokongnya menyertai pihak kerajaan pada tahun 1982.

Dato Asri pernah mengalami fasa kurang harmoni dengan Dewan Pemuda PAS Pusat,Ketika pergeseran Dewan Pemuda PAS-Datuk Mohd Asri sedang menebarkan aroma, di luar Dewan Pemuda PAS, kumpulan radikal anak muda Islam seperti ABIM  sedang hebat merangsang supaya ulama mengambil alih kepemimpinan PAS terutama pasca kekalahan gerakan Islam itu di Kelantan pada tahun 1978. Kemasukan tokoh-tokoh ABIM seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor, ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan beberapa tokoh besar ABIM yang lain ke dalam PAS telah menguatkan lagi asakan Dewan Pemuda PAS terhadap kepemimpinan Dato Mohd Asri.

Dunia Islam sedang bergelombang kebangkitan anak muda menyongsong perjuangan revivalism Islam, antara tanda arasnya ialah pencerobohan Soviet di Afghanistan, Revolusi Iran, penawanan Masjidil haram oleh puak pelampau, kebangkitan Islam di Afrika Utara dan sebagainya. Aromanya turut menebar ke negara ini, terutama melalui gerakan pentarbiahan anak muda Islam.

Pada 1978, Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepemimpinan parti dilakukan secara syura dan ulama diberikan kedudukan yang lebih strategik. Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd Asri yang dilihat mengamalkan 'demokrasi terpimpin' dalam kepemimpinannya. Ada pemberontakan dalaman yang dihidu oleh almarhum terutama generasi muda PAS yang bergerak melalui platfom usrah dan kegiatan kaderisasi dakwah yang lain.

Kekalahan PAS dalam Pilihanraya  1978 di Kelantan juga telah memberi makna bermulanya zaman kejatuhan PAS yang hanya menang di dua buah DUN sahaja.kalangan pendokong tegar PAS iaitu ulama dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS, 1978 dianggap sebagai 'turning point' ke arah kebangkitan semula PAS. Sidang Ulama PAS di pondok Pasir Tumbuh Kelantan pada tahun 1978, meluluskan usul supaya gerakan ini dipimpin oleh pemimpin yang faqih. Semua ini menjadi rencah bermulanya asakan kepimpinan ulama yang akhirnya didokong oleh Dewan Pemuda PAS beberapa tahun selepas itu.

Dewan Pemuda PAS telah memutuskan untuk mengadakan Muktamar Tahunan Ke-23 berasingan dengan Muktamar PAS Pusat. Dato Mohd Asri menyifatkan tindakan Dewan Pemuda PAS sebagai 'pengisytiharan perang' terhadap beliau. Apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang mula menebar pesona kepada ahli-ahli PAS di seluruh negara, arus kekaguman terhadap ulama yang vokal itu bergelombang dan memercikkan suara supaya PAS memposisikan diri sebagai gerakan Islam yang syumul. Muktamar pada 1982 itu telah meluluskan dua usul iaitu usul kepemimpinan ulama dan usul penubuhan Majlis Syura Ulama PAS yang menjadi punca kejatuhan Datuk Mohd Asri pada 22 Oktober 1982.

Insan ini tetap berjasa kepada PAS, walau hayatnya tidak habis bersama harakatul ummah ini. Beliau terlibat menyuburkan pendidikan dalam PAS semasa menjadi Menteri Besar Kelantan, ramai pelajar Kelantan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Pada tahun 1964, seramai 10 orang pelajar ditaja belajar ke Universiti Baghdad, mereka antaranya ialah Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Mohamad Daud, Ustaz Hashim Jasin,  Ustaz Dahlan, dan lain-lain lagi. Kota Bharu menjadi pusat penerbitan buku dan kegiatan ilmu sangat subur, Kelantan menerima ramai tokoh-tokoh ilmuan dari luar negara di zaman beliau termasuk Prof HAMKA, bahkan YPTIK, sekolah-sekolah agama  berkembang dizaman pemerintahan Dato Asri.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Friday 6 February 2015

Hiwar Siyaasi 14.2.2015 di Kampar, Perak

Hiwar Siyaasi

HARGA BARANG NAIK : BOIKOT KERAJAAN YANG MEMBIARKAN MONOPOLI BUKAN BOIKOT PENIAGA


HARGA BARANG NAIK : BOIKOT KERAJAAN YANG MEMBIARKAN MONOPOLI BUKAN BOIKOT PENIAGA

1. Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang menyarankan para pengguna agar memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barangan walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak dua kali bermula Disember tahun lalu, saya ingin menyatakan bahawa yang lebih wajar untuk diboikot dalam hal ini adalah Kerajaan kerana sistem pengurusan ekonomi Kerajaanlah punca pada permasalahan ini . – Soal kenyataan beliau yang menimbulkan pelbagai reaksi itu saya serahkan sahaja kepada pihak PDRM untuk menyiasat bagi diambil tindakan sewajarnya.

2. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pula mengulangi lagi penegasan beliau untuk mengenakan tindakan keras ke atas mana-mana peniaga yang tidak menurunkan harga barangan mereka menerusi Akta Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan. Gesaan itu dibuat dengan para peniaga diminta untuk mencontohi Kerajaan yang sanggup menangguhkan kenaikan tarif elektrik sebagai usaha mengurangkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

3. Walaupun Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menyatakan kesediaan untuk melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap peniaga atau syarikat yang menjual barangan pada harga yang tinggi dan saya juga dengan ini ingin menyatakan sokongan 100% terhadap usaha ini, namun alasan para peniaga khususnya pada peringkat pengeluar atau pengilang dan pemborong ada munasabahnya dan harus diambil kira.

4. Mereka tidak dapat menurunkan (bahkan terpaksa menaikkan) harga barangan kerana berikutan kejatuhan nilai Ringgit, ia menambahkan lagi kos pengeluaran mereka khususnya untuk tujuan pembelian bahan mentah.

5. Peliknya apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengulas berkenaan penyusutan nilai Ringgit ini dengan berkata bahawa ia adalah positif untuk negara. Dengan beberapa huraian dikemukakan, beliau berkesimpulan bahawa keadaan itu akan dapat meningkatkan penggunaan barangan buatan tempatan dalam kalangan rakyat serta dapat mengembangkan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

6. Dalam penjelasan beliau itu, tidak pula dinyatakan secara jelas dan pasti apakah punca kejatuhan nilai ringgit, bagaimana negara boleh terjejas dengan keadaan itu dan bagaimana pula Kerajaan akan mengatasinya? Bahkan, dengan berkeyakinan penuh terhadap kenyataannya itu, beliau menegaskan bahawa keadaan masih tidak membimbangkan dan tiada keperluan untuk melakukan semakan terhadap KDNK.

7. Keyakinan beliau itu akhirnya disanggah sendiri oleh Semakan Bajet 2015 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Dalam semakan itu, KNDK baru yang digariskan ialah 4.5% – 5.5% berbanding 5% - 6% seperti yang disasarkan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan pada Oktober 2014 lalu; dan defisit fiskal pula ialah 3.2% berbanding 3% seperti yang disasarkan sebelum ini.

8. Ini membuktikan bahawa negara sebenarnya sangat terjejas dengan kejatuhan harga komoditi dan nilai Ringgit walau apa juga aspek positif seperti apa yang diberitahu oleh Datuk Ahmad Maslan.

9. Keadaan harga barangan yang tetap naik ketika harga petrol naik dan turun boleh sahaja difahami dengan mudah melalui teori ‘demand-pull inflation’ atau ‘cost-push inflation’; termasuklah isu etika atau sikap peniaga. Ia hanya sekadar persoalan sampingan yang dibisingkan oleh Kerajaan untuk mengalih perhatian awam terhadap permasalahan yang lebih besar.

10. Sebenarnya yang berlaku ialah ‘economic circulation’ dalam negara kita sedang bermasalah dan Kerajaan pula tidak dapat menanganinya dengan berkesan. Kita berhadapan dengan MONOPOLI kekayaan sebagaimana peringatan Allah dalam al-Quran

ِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
bermaksud;
"agar harta kekayaan tidak berlegar antara orang-orang kaya kamu sahaja"

11. Berdasarkan data kepenggunaan isi rumah (household consumption) bagi tempoh 2000 – 2009 yang dikeluarkan oleh Bank Negara, perbelanjaan ke atas makanan dan minuman bukan beralkohol adalah yang tertinggi iaitu 23% daripada jumlah perbelanjaan isi rumah (household expenditure), diikuti oleh perbelanjaan ke atas perumahan dan utiliti (18.9%); pengangkutan (13.4%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (12.8%); dan restoran dan hotel (7.5%). Kelima-lima komponen perbelanjaan ini adalah mewakili 75.6% daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan isi rumah.

12. Perbelanjaan ke atas perumahan dan utiliti (18.9%); pengangkutan (13.4%); komunikasi (6.3%); dan pendidikan (1.6%) yang berjumlah 40.2% daripada perbelanjaan isi rumah yang menjadi keperluan semua orang pada ketika ini, adalah di bawah kawalan Kerajaan. Masalahnya, samada rumah atau pengangkutan atau telekomunikasi semuanya sedang dikawal oleh kuasa MONOPOLI yang anti persaingan dan akibatnya harga kurang kompetitif kepada pengguna. Lebih teruk, syarikat-syarikat berkaitan ini dimiliki oleh kroni kepada parti pemerintah.

13. Inilah masalah utama dan sebenarnya dalam persekitaran ekonomi negara kita sehingga mengakibatkan para pengguna iaitu rakyat berdepan dengan tanggungan kos sara hidup yang melambung tinggi. Malangnya, Kerajaan cuba mengalihkan beban untuk meletakkan kesalahan 100% ke atas para peniaga demi memastikan kelangsungan kuasa mereka.

14. Oleh itu, sekali lagi saya tegaskan bahawa yang lebih wajar untuk diboikot dalam hal ini adalah Kerajaan; UMNO dan BN yang menggunakan sistem yang salah dalam urustadbir ekonomi negara dengan membiarkan MONOPOLI EKONOMI berlaku.

Sekian.

Disediakan oleh :

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 6 Februari 2015 / 16 Rabiulakhir 1436H

Kuliah Mingguan Jumaat di Kuala Nerus

☀ PENGUMUMAN
KULIAH MINGGUAN JUMAAT 6 hb FEBRUARI 2015
YB Ust Dato' Dr Khairuddin at-Takiri

☀9.00 PAGI - 11 PAGI
SURAU AYAH ITAM WAN ALI
Kg. Baru, Seb Takir

Pengajian
TAFSIR Surah Aali 'Imran Ayat 169
HADIS Riyad Solihin
SOAL JAWAB FIQH

☀8.00 MALAM - 9 MALAM
MASJID TAQWA, BATU 6

Pengajian KITAB BAHRUL MAZI
Juz 13 Bab Kebaktian & Hubungan Rahim

Semua dijemput Hadir

Wednesday 4 February 2015

DATO ASRI MUDA: MELURUSKAN SEJARAH SOSOK BESAR PAS. Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

DATO ASRI MUDA: MELURUSKAN SEJARAH SOSOK BESAR PAS.
Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

Sesepuh PAS ini mempunyai rakaman sejarah yang berwarna warni, bermula dengan gerakan pemuda kiri seterusnya memimpin syabab Hizbul Muslimin, menjadi petugas sepenuh masa PAS, seterusnya mendaki puncak sebagai pemimpin PAS. Beliau menjadi Presiden PAS yang keempat, dengan memangku jawatan Dr Burhanuddin pada tahun 1964 yang mendekam dalam tahanan ISA. Beliau juga menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1964 sehinggalah tahun 1972, juga menjadi Menteri kabinet semasa PAS dalam kerajaan campuran. Menubuhkan HAMIM pada tahun 1983, seterusnya menganggotai UMNO sehinggalah beliau meninggal pada tahun 1992.

Di Malaysia, perkembangan senario politik pasca tragedi 13 Mei 1969 telah mendesak PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1973, isu besar ini dibahas hangat dalam muktamar khas parti itu dalam tahun 1971. Penerimaan ahli PAS begitu berwarna warni, bahkan Dewan Pemuda PAS yang pada awalnya menolak pembentukan Kerajaan Campuran ini kemudiannya telah berjaya memanfaatkan kedudukan PAS dalam kerajaan untuk menyemarakkan lagi kebangkitan Islam yang berlangsung dalam dekad 70an.

Kongres Dewan Pemuda PAS pada 21 September 1973 yang memilih Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ahli Parlimen Dungun sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru menggantikan Ustaz Hassan Shukri, alumni Universiti Baghdad telah meletakkan fokus supaya Dewan Pemuda PAS dapat berfungsi dengan efektif untuk menggerakkan jentera kerajaan sebagai alat untuk mengembangkan kesedaran Islam dalam masyarakat dan negara ini. PAS telah melunaskan tajribah politik yang sangat besar apabila Dato Asri mengambil langkah untuk parti Islam ini berada di koridor kuasa,bahkan intrig dan polemik berlangsung dalam menentukan halatuju harakatul ummah ini, samada bersendirian atau bersama pemuafakatan politik dalam BN.

PAS terbukti berjaya memainkan peranan yang amat berkesan dalam mencanangkan kesedaran Islam dalam kerajaan. Melalui penyertaan beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, exco negeri, Ahli Parlimen, Adun, ahli lembaga pengarah badan-badan kerajaan dan sebagainya, pelbagai program penerapan nilai-nilai Islam berjaya dilaksanakan. PAS telah berjaya memperkenalkan kesenian Islam, menghapuskan arak dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, menghapuskan tempat minum arak (bar) di Parlimen dan memperkenalkan kuliah agama di jabatan-jabatan kerajaan. Badan Dakwah seperti YADIM dan PERKIM digerakkan, tentangan terhadap arak, perjudian dan filem lucah ditingkatkan, mengadakan seruan-seruan Islam kepada kakitangan kerajaan, meningkatkan prasarana pendidikan Islam, menggesa rakyat bersemangat Al-Quran, menanamkan semangat tauhid dan keimanan sebagai asas disiplin anggota tentera serta menambahkan rancangan bercorak Islam di radio dan televisyen. Maktab Perguruan Islam dan Bank Islam juga wujud di atas cadangan PAS. Perkembangan ini merupakan fasa pertama penerapan nilai- nilai Islam dalam kerajaan jauh sebelum Anwar dan penyokongnya menyertai pihak kerajaan pada tahun 1982.

Dato Asri pernah mengalami fasa kurang harmoni dengan Dewan Pemuda PAS Pusat,Ketika pergeseran Dewan Pemuda PAS-Datuk Mohd Asri sedang menebarkan aroma, di luar Dewan Pemuda PAS, kumpulan radikal anak muda Islam seperti ABIM  sedang hebat merangsang supaya ulama mengambil alih kepemimpinan PAS terutama pasca kekalahan gerakan Islam itu di Kelantan pada tahun 1978. Kemasukan tokoh-tokoh ABIM seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor, ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan beberapa tokoh besar ABIM yang lain ke dalam PAS telah menguatkan lagi asakan Dewan Pemuda PAS terhadap kepemimpinan Dato Mohd Asri.

Dunia Islam sedang bergelombang kebangkitan anak muda menyongsong perjuangan revivalism Islam, antara tanda arasnya ialah pencerobohan Soviet di Afghanistan, Revolusi Iran, penawanan Masjidil haram oleh puak pelampau, kebangkitan Islam di Afrika Utara dan sebagainya. Aromanya turut menebar ke negara ini, terutama melalui gerakan pentarbiahan anak muda Islam.

Pada 1978, Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepemimpinan parti dilakukan secara syura dan ulama diberikan kedudukan yang lebih strategik. Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd Asri yang dilihat mengamalkan 'demokrasi terpimpin' dalam kepemimpinannya. Ada pemberontakan dalaman yang dihidu oleh almarhum terutama generasi muda PAS yang bergerak melalui platfom usrah dan kegiatan kaderisasi dakwah yang lain.

Kekalahan PAS dalam Pilihanraya  1978 di Kelantan juga telah memberi makna bermulanya zaman kejatuhan PAS yang hanya menang di dua buah DUN sahaja.kalangan pendokong tegar PAS iaitu ulama dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS, 1978 dianggap sebagai 'turning point' ke arah kebangkitan semula PAS. Sidang Ulama PAS di pondok Pasir Tumbuh Kelantan pada tahun 1978, meluluskan usul supaya gerakan ini dipimpin oleh pemimpin yang faqih. Semua ini menjadi rencah bermulanya asakan kepimpinan ulama yang akhirnya didokong oleh Dewan Pemuda PAS beberapa tahun selepas itu.

Dewan Pemuda PAS telah memutuskan untuk mengadakan Muktamar Tahunan Ke-23 berasingan dengan Muktamar PAS Pusat. Dato Mohd Asri menyifatkan tindakan Dewan Pemuda PAS sebagai 'pengisytiharan perang' terhadap beliau. Apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang mula menebar pesona kepada ahli-ahli PAS di seluruh negara, arus kekaguman terhadap ulama yang vokal itu bergelombang dan memercikkan suara supaya PAS memposisikan diri sebagai gerakan Islam yang syumul. Muktamar pada 1982 itu telah meluluskan dua usul iaitu usul kepemimpinan ulama dan usul penubuhan Majlis Syura Ulama PAS yang menjadi punca kejatuhan Datuk Mohd Asri pada 22 Oktober 1982.

Insan ini tetap berjasa kepada PAS, walau hayatnya tidak habis bersama harakatul ummah ini. Beliau terlibat menyuburkan pendidikan dalam PAS semasa menjadi Menteri Besar Kelantan, ramai pelajar Kelantan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Pada tahun 1964, seramai 10 orang pelajar ditaja belajar ke Universiti Baghdad, mereka antaranya ialah Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Mohamad Daud, Ustaz Hashim Jasin,  Ustaz Dahlan, dan lain-lain lagi. Kota Bharu menjadi pusat penerbitan buku dan kegiatan ilmu sangat subur, Kelantan menerima ramai tokoh-tokoh ilmuan dari luar negara di zaman beliau termasuk Prof HAMKA, bahkan YPTIK, sekolah-sekolah agama  berkembang dizaman pemerintahan Dato Asri.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

"BEBASKAN UMAT ISLAM DARI NAJIS ARAK"

KENYATAAN MEDIA 

2 Februari 2015 | 12 Rabi'ul Akhir 1436 

"BEBASKAN UMAT ISLAM DARI NAJIS ARAK" 

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana akan menguatkuasakan pengharaman penjualan minuman keras (arak) di kedai serbaneka mengikut taburan populasi masyarakat setempat. Ini satu tindakan yang wajar dan harus dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

Polisi yang diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka ini pernah dilakukan oleh bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali pada tahun 2009. Tindakan tersebut adalah berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Kita menghargai usaha untuk menjaga kesucian Islam dan membantu umat Islam daripada terjebak dalam industri yang diharamkan dalam agama. Ini secara tidak langsung membantu individu-individu yang terbabit mendapatkan sumber rezeki yang halal.

Sebagai individu Islam, penjualan arak adalah ditegah menurut Syariat. Ia termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah dan Rasulullah SAW dalam urusan pemprosesan serta penyediaan arak.

Merujuk perkembangan yang sama, Parlimen Singapura telah meluluskan satu Rang Undang-Undang Liquor Control (Supply and Consumption) pada 30 Januari lalu. Rang tersebut melarang orang ramai daripada minum di kawasan awam dan menjualnya pada waktu tertentu kerana berlaku peningkatan jenayah.

Ini jelas menunjukkan bawah arak memberikan dampak kepada masyarakat. Apatah lagi, penjualan arak di Malaysia khususnya di kawasan bandar amat mudah didapati di kedai-kedai serbaneka dan tiada tindakan tegas boleh diambil.

Oleh yang demikian, kami menggesa agar polisi kerajaan negeri berkaitan arak dapat diselaraskan di seluruh negara. Malah, setiap usaha untuk membebaskan umat Islam daripada industri arak wajib disokong bersama.

Sekian, terima kasih.

Nasrudin bin Hasan
Ahli Parlimen Temerloh | AJK PAS Pusat

Dato' Dr. Khairuddin bin Aman Razali At-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus | AJK PAS Pusat

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas | AJK PAS Pusat