Monday 23 November 2015

TINTA ULAMAK ( Siri 30 ) Tapis Maklumat Sebelum Dibicara atau Disebarkan

Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK ( Siri 30 )

10 Safar 1437H/ 22 November 2015M

Tapis Maklumat Sebelum Dibicara atau Disebarkan

Nabi saw bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: "cukuplah seseorang berbohong dengan dia menceritakan segala apa yang didengarnya"

(Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibnu Hibban serta dinilai Sahih oleh Ibnu Abd al-Bar, Ibnu Hajar dan al-Sakhawi)

Pengajaran:

1. Setiap hari kita menerima pelbagai info dan maklumat daripada pelbagai sumber. Apatah lagi di alam langit terbuka menerusi pelbagai aplikasi perhubungan maya seperti muka buku, twitter dan whatsap.

2. Setiap orang pula mempunyai kecenderongan untuk berkongsi maklumat yang diterima dengan orang lain di sekitarnya.

3. Namun, info yang diterima itu ada yang betul dan ada yang palsu dan salah. Berkongsi info yang betul dan baik memberi manfaat. Sementara menyebarkan info palsu dan salah akan menatijahkan pelbagai kemudharatan, baik terhadap diri sendiri mahu pun terhadap masyarakat.

4. Justeru, Islam menggariskan etika dalam berkongsi maklumat. Antaranya, maklumat yang diterima perlu diperhalusi kesahihan dan ketepatannya. Ia boleh dilakukan dengan menyelidiki tahap kebolehkepercayaan sesuatu sumber. Seorang yang fasik gemar melakukan kemungkaran memiliki tahap kebolehpercayaan yang sangat rendah. Menerima dan menyebarkan maklumat daripada sumber sebegitu tersangat berisiko untuk tergolong sebagai berita palsu atau kurang tepat.

5. Apabila seseorang bermudah dalam menerima maklumat lalu menyebarkan segala apa yang diterima dan didengar tanpa tapisan maka dirinya sangat terdedah untuk  melakukan pembohongan.

6. Bersabar dalam mendapatkan pengesahan info sehingga terlepas menyebarkan satu maklumat yang bermanfaat adalah lebih baik daripada gelojoh lalu tersilap menyebarkan satu khabar angin yang mungkin palsu.

Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ketua Penerangan DUPP

✳ Layari Website DUPP http://www.pas.org.my/tinta-ulamak/6931-tinta-ulamak-siri-30-tapis-maklumat-sebelum-dibicara-atau-disebarkan

✳ Like & Share Pages FB DUPP:
https://www.facebook.com/dewanulamakpas

✳ Langganilah https://telegram.me/UlamakBot Untuk Info Sahih Dan Pantas

KELAB USAHAWAN HARAKI (KU-HARAKI) & Portal Usahawan Haraki

📢📢📢

KELAB USAHAWAN HARAKI (KU-HARAKI) & Portal Usahawan Haraki

1. Kelab Usahawan Haraki atau KU-HARAKI ditubuhkan oleh Lajnah Ekonomi PAS Pusat bertujuan menghimpunkan para usahawan yang bergiat dalam gerakan Islam PAS dengan moto Jihad Ekonomi Ummah.

2. Usahawan-usahawan PAS dijemput mendaftar sebagai Ahli KU-HARAKI dengan mendaftar di web portal www.usahawanharaki.com.

3. KU-HARAKI juga menyediakan peluang untuk para usahawan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan politik berkongsi maklumat dan promosi perniagaan mereka secara PERCUMA dengan mendaftar sebagai Ahli Portal di www.usahawanharaki.com.

4. Aplikasi Android Usahawan Haraki juga boleh dimuat turun bagi memudahkan Ahli Portal berkongsi maklumat mereka.

5. Layari segera portal kami hari ini dan jadilah Ahli Portal secara percuma.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Pusat
Ahad 22hb Nov 2015

Sunday 22 November 2015

Obama Tidak Hormat Dasar Bernegara Malaysia

Kenyataan Media
Ketua Penerangan DUPP

Obama Tidak Hormat Dasar Bernegara Malaysia

1. Perkahwinan sejenis bukan satu hak tetapi ia satu pencabulan hak kemanusiaan dan hak ketuhanan. Tuhan tidak mencipta lelaki untuk berkahwin sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan. Ia adalah perlakuan songsang yang cuba dihalalkan atas nama undang-undang dan hak asasi manusia.

2. Apabila Obama secara terbuka mengajak rakyat Malaysia menghormati kononnya "hak perkahwinan sejenis" ia menggambarkan betapa songsangnya cara berfikir Presiden Obama yang bercanggah dengan naluri kemanusiaan yang normal.

3. Obama juga tidak belajar untuk menghormati norma, dasar dan asas bernegara sesebuah negara. Malaysia adalah negara yang menegaskan "Islam agama Persekutuan". Negara ini adalah negara beragama yang meletakkan antara Rukunegaranya ialah "kepercayaan kepada Tuhan". Agama mana yang mempercayai kewujudan Tuhan yang membenarkan perkahwinan sejenis??

4. Adil pada perhitungan Obama ialah apabila memberi hak kepada semua kehendak dan tuntutan rakyat meskipun songsang. Sedang adil yang sebetulnya ialah memberikan hak kepada yang berhak. Adakah setiap insan mempunyai hak untuk berkahwin sesama jenis? Jawapannya, tidak. Hak mereka ialah untuk berkahwin antara lelaki dan perempuan dan bukannya berkahwin sesama jenis yang merupakan perlakuan songsang seorang manusia. Itu bukannya "hak", tetapi pencabulan hak kemanusiaan dan pencabulan "hak" Tuhan yang tidak mencipta manusia untuk itu.

5. Kita perlu mengiktiraf hak kemanusiaan untuk hidup berasaskan lunas-lunas normal kemanusiaan bukannya mengiktiraf manusia untuk berkelakuan songsang daripada norma kemanusiaan.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahad 22hb Nov 2015

Saturday 21 November 2015

Kerajaan Pulau Pinang Semakin Goyah?

Kerajaan Pulau Pinang Semakin Goyah?

Sangat menarik untuk diperhatikan apabila 5 Adun PKR mengambil sikap berkecuali ketika Adun UMNO Pulau Betong Muhammad Farid Saad mengemukakan usul bahawa semua projek penambakkan tanah di Pulau Pinang perlulah melalui proses bantahan awam sebelum kelulusan diberikan.

Ketua Menteri Pulau Pinang menganggap mereka yang berkecuali ini sebagai "bersama Umno", lalu mendesak Presiden PKR "menilai dengan teliti" keputusan lima Adun parti itu yang berkecuali.

Sebelum ini Lim Guang Eng sangat lantang mengkritik PAS yang mengambil sikap berkecuali dalam undian kelulusan Bajet 2016 di Parlimen.

Adun Penanti daripada PKR pula dalam tangisan meluahkan rasa terkilan dan kekecewaannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam sidang DUN kerana tidak menjawab banyak persoalan yang beliau bangkitkan berkaitan pembangunan di Dun Penanti yang berada dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili Presiden PKR.

Usahlah disangka cerah hingga ke petang. Ingatlah juga kebarangkalian hujan di tengahari. Usahlah sombong dan angkuh apabila berkuasa sedang kuasa itu diperolehi bukan hanya dengan dokongan bersendiri.

Adakah ini tanda-tanda awal Pulau Pinang semakin goyah dan bakal terlepas daripada tangan DAP pada PRU ke14 di saat undi ahli-ahli PAS sudah pasti tidak akan dinikmati oleh DAP lagi???

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Sabtu 21hb Nov 2015

www.drtakiri.blogspot.com

Sumbangan Basikal Kepada Pelajar Miskin

Serahan sebuah basikal untuk pelajar miskin yang baru sahaja mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR. Moga kecermerlangan terus dikecapi dalam semua aspek kehidupan

Jangan Hanya Nilai Akademik Anak-Anak - Dato' Dr Khairuddin, Ahli Parlimen Kuala Nerus

Jangan Hanya Nilai Akademik Anak-Anak - Dato' Dr Khairuddin, Ahli Parlimen Kuala Nerus

Kuala Nerus: Sabtu, 21hb Januari 2015

Pencapaian akademik bukan segala-galanya, demikian ditegaskan oleh Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam ucapan perasmian Ihtifal Nurul Ain Wakaf Tengah pagi ini.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, manusia diberikan kemampuan dan bakat berbeza. Ada yang hebat pencapaian akademiknya. Ada yang berkemampuan pada pelbagai kemahiran lain walaupun lemah pencapaian akademik. Justeru, railah anak-anak dengan kepelbagaian bakat mereka. Nilailah kejayaan mereka menerusi bakat dan kemahiran tersendiri mereka.

"Kita selalu mengucapkan tahniah hanya kepada anak-anak cemerlang UPSR, PMR dan SPM sedangkan sepatutnya tahniah juga diucapkan kepada semua yang telah berjaya melepasi satu tahap pendidikan", ujar beliau lagi.

Tegas beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, "perangkaan oleh Tenaga Buruh awal tahun ini menunjukkan 442,000 orang penganggur daripada 14 juta buruh di Malaysia. Lebih 200,000 siswazah menganggur. Ini tidak termasuk lagi pengangguran tak setara, iaitu siswazah yang bekerja dengan gaji Diploma atau lepasan Diploma dengan gaji taraf SPM. Hal ini mengajak kita menilai semula sistem pendidikan kita untuk melahirkan mereka yang kendiri boleh mencipta pekerjaaan bukan hanya meminta dan memohon pekerjaan pada masa akan datang".

PASTI Nurul Ain, Wakaf Tengah telah beroperasi sejak 25 tahun lalu dengan pelajar yang bergraduasi pada tahun ini seramai 101 orang. Kesinambungan bagi pendidikan pra sekolah pasti akan diteruskan dengan penubuhan Madrasah al-Falah di lokasi yang sama bagi pengambilan pelajar tahun 1 sesi 2016. Bagi mereka yang berminat untuk mendaftarkan pelajar boleh menghubungi Ustaz Yusri di talian 01113299042.

Turut hadir YM Raja Arizal, Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan yang juga menyampaikan ucapan mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan.

www.drtakiri.blogspot.com

Thursday 19 November 2015

WAKAF TUNAI KOMPLEKS DARUL FUQAHA

WAKAF TUNAI KOMPLEKS DARUL FUQAHA

DARUL FUQAHA, Bangi mengalu-alukan sumbangan Wakaf Tunai untuk menyiapkan bangunan Kompleks yang sedang dibina. RM30k lagi diperlukan daripada keseluruhan kos RM200k.
Sumbangan Wakaf boleh dikreditkan ke akaun Maybank Akademi Tahfiz Fuqaha No Akaun 562263518583. Makluman sumbangan boleh whatsap ke 0133621236
Darul Fuqaha merupakan institusi pengajian integrasi Tahfiz & Akademik diasaskan oleh YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabda Rasulullah saw: "Harta tidak berkurang kerana Sedekah". Hadis Tirmizi
www.darulfuqaha2004.blogspot.com

PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2016 PERINGKAT JAWATANKUASA KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI Khamis 19hb Oktober 2015

PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2016 PERINGKAT JAWATANKUASA KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
Khamis 19hb Oktober 2015

Antara isi perbahasan saya di Peringkat Jawatankuasa Bekalan B21 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

131300 Tekun
Berapa bilangan penerima TEKUN di Parlimen Kuala Nerus?
Sejauh mana pemantauan dibuat terhadap perniagaan yang mereka uruskan dari sudut pembangunan perniagaan, peningkatan pemasaran dan adakah Kementerian mempunyai pegawai yang mencukupi untuk memantau dan membantu penerima untuk berjaya dalam perniagaan mereka berasaskan konsep mentor menti?

100100 Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia

Berapa bilangan nelayan Parlimen Kuala Nerus yang telah mengikuti sebarang kursus di LKIM pada tahun 2014?

27400 Pembangunan Usahawan Nelayan

Apa perancangan kerajaan untuk membangunkan industri keropok lekor di Seberang Takir dan Mengabang Telipot?
Berapa ramai usahawan keropok yang berdaftar dengan kementerian?
Bagaimana perancangan kementerian bagi membantu pemasaran produk ke peringkat antarabangsa?

Butiran 140100 Elaun Sara Hidup Nelayan

Berapa bilangan Nelayan di Parlimen Kuala Nerus yang mendapat elaun ini berdasarkan pecahan 4 DUN dan berapa jumlah amaun yang telah diperuntukkan?
Adakah pemutihan dari semasa ke semasa dibuat memndangkan sebahagian nelayan ada yang telah beralih kepada kerja-kerja boroh yang lain?

Bagaimana saya sebagai Ahli Parlimen boleh berperanan untuk memastikan tidak ada nelayan yang tertinggal daripada mendapat elaun disebabkan sentimen politik?

Adakah kajian dibuat sejauh mana kejayaan dasar pemberian elaun ini membantu nelayan?

Butiran 04700 Pembangunan Industri Padi

Berapa hektar tanah padi di Parlimen Kuala Nerus dan berapa hektarkah yang terbiar tidak diusahakan?
Apakah yang dilakukan oleh kerajaan untuk meransang anak-anak muda melibatkan diri dalam mengusahakan sawah padi?

Butiran 10710 Pembangunan Industri Lembu Daging

Berapa bilangan usahawan dalam bidang ini di Parlimen Kuala Nerus dan sejauh mana kejayaan program pembangunan penternak lembu ini mencapai sasaran?

JAWAPAN MENTERI
Menteri tidak menjawab kesemua soalan. Antara yang dijawab ialah
1. Penerima TEKUN di kawasan Kuala Nerus ialah 3754 orang dengan amaun pembiayaan RM40.6 juta berakhir 31 oktober 2015. Sebanyak RM25.5 juta telah dikutip kembali.
2. Bilangan nelayan Kuala Nerus yang menerima elaun ialah 2033 orang nelayan/.
3. penternak lembu daging Kuala nerus seramai 212 orang.

disediakan oleh
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

PERCUKAIAN TIDAK PATUH SYARIAH : PUNCA PENDAPATAN BERKURANG, TINDAS GOLONGAN MISKIN

Bicara Bajet 2016 [ Siri 5 - Akhir ]

PERCUKAIAN TIDAK PATUH SYARIAH : PUNCA PENDAPATAN BERKURANG, TINDAS GOLONGAN MISKIN

[ Rujuk : http://harakahdaily.net/index.php/headline/38529-cukai-berdasar-pendapatan-bukan-perbelanjaan ]

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. Bajet 2016 mengunjuran kutipan GST ialah sebanyak RM39 bilion pada 2016 iaitu pertambahan sebanyak RM12 bilion berbanding pada 2015.

2. Malangnya sistem percukaian yang tidak patuh syariah ini dianggap sebagai penyelamat kepada negara daripada berhadapan dengan peningkatan defisit sehingga 4.8% jika masih diteruskan dengan SST. Ungkapan “Nasib baik ada GST!” oleh YAB Perdana Menteri adalah amat tidak wajar untuk disebut oleh orang-orang yang beriman.

3. Pada hemat saya, cukai tidak patut syariah ini menjadi asbab Allah s.w.t. menarik pendapatan halal yang diperolehi oleh Kerajaan sebelum ini menerusi dividen PETRONAS dan hasil cukai petroliam. 

4. Pada 2015, dividen PETRONAS dan hasil cukai petroliam kepada negara berjumlah RM44 bilion tetapi pada 2016, ia dianggarkan hanya berjumlah RM31.7 bilion atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih RM30 bilion akibat penurunan harga minyak mentah dunia.

5. Suka untuk saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi bahawa pendirian PAS adalah tidak bersetuju serta menolak pelaksanaan GST ini disebabkan sistem cukai ini sendiri; bukannya semata-mata faktor kesesuaian masa dan keadaan.

6. Sistem percukaian menurut Islam mestilah menepati konsep zakat yang dikutip berdasarkan pendapatan (income); bukannya perbelanjaan (expenditure). Islam juga melarang cukai dikutip daripada perbelanjaan.

7. Dengan kutipan berdasarkan pendapatan, barulah dapat dibezakan diantara golongan yang mempunyai lebihan pendapatan yang boleh dicukai dengan golongan yang tidak mempunyai lebihan pendapatan atau langsung tidak mempunyai pendapatan. Perbezaan ini tidak dapat ditentukan jika cukai dikutip daripada perbelanjaan.

8. Hujah kononnya GST bagus kerana dapat mendidik orang miskin supaya berbelanja sedikit juga adalah mengarut kerana (i) orang miskin juga layak berbelanja untuk memenuhi semua keperluan (basic needs) dirinya serta tanggungannya dan (ii) Islam menegah cukai dikutip daripada orang miskin walaupun hanya sedikit. Inilah keindahan dan keadilan syariat Islam.

9. Pelaksanaan polisi ekonomi tidak patuh syariah hanya akan membawa kepada kemusnahan ekonomi kerana adalah mustahil Allah memberkati sesuatu yang ditegah olehNya.

_____

Siri Bicara Bajet 2016 ini adalah daripada draf asal teks Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Wednesday 18 November 2015

Pendaftaran Sek Ren Islam Pintar Tahfiz Fuqaha di buka

SEK REN ISLAM INTEGRASI PINTAR TAHFIZ FUQAHA
(SRIP TAHFIZ)
Institut Pengajian Rendah Tahfiz & Akademik
Sg. Merab, Bangi

PENGAMBILAN PELAJAR 2016 DIBUKA untuk Tahun 1 - Tahun 6
Keistimewaan;
1. Tahfiz jam 8 pg - 11 pg
2. Jalinan Akademik Kementerian  & Kurikulum  Jais 11 - 4 ptg
3. Peperiksaan PSRA Tahun 6
4. Peperikasaan UPKK Tahun 5

Hubungi
+60192665047 Datin Anili
+60145342756 Cikgu Nadiea
www.sriptahfiz.blogspot.com

Monday 16 November 2015

RUMAH MAMPU MILIK : KEKANG HARGA, SEMAK & STRUKTUR SEMULA INDUSTRI PERUMAHAN NEGARA

Bicara Bajet 2016 [ Siri 4 ]

RUMAH MAMPU MILIK : KEKANG HARGA, SEMAK & STRUKTUR SEMULA INDUSTRI PERUMAHAN NEGARA

[ Rujuk : http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/38476-kaji-semula-harga-rumah-mampu-milik ]

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. Pada Ogos lalu, kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendedahkan bahawa harga purata rumah di negara ini adalah 4.4 kali ganda lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia; sedangkan sepatutnya harga mampu milik rumah adalah pada kadar hanya 3 kali median pendapatan tahunan isi rumah.

2. Berdasarkan pendapatan bulanan isi rumah bernilai RM4,585, median harga kediaman di negara ini berada pada paras RM242,000 seunit. Namun di KL, harganya mencecah RM490,000 seunit dan dikategorikan dalam skor ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau sangat mahal. Turut berkongsi skor yang sama ialah Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah.

3. Lebih awal mendedahkan perkara ini ialah Laporan Pasaran Hartanah 2014. Laporan tersebut menyatakan, harga purata rumah di negara ini pada 2013 ialah RM266,304 manakala pada 2014 ialah RM295,345 iaitu meningkat sebanyak RM30,000.

4. Susulan itu, komitmen Kerajaan untuk membina sehingga 351,500 unit rumah termasuk sebanyak 20,000, 2,000 dan 2,000 unit rumah masing-masing untuk FELDA, FELCRA dan RISDA seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016 adalah suatu yang baik tujuannya dan saya secara peribadi memberikan pujian untuk itu.

5. Namun, ia tidaklah dapat menyelesaikan isu pokok harga rumah yang masih tinggi. Pemberian subsidi, penurunan dan pemotongan harga, pembiayaan dan pengecualian duti setem yang disediakan itu semuanya adalah berdasarkan kepada harga spekulasi yang tinggi dan sangat tinggi dalam pasaran hartanah.

6. Berkenaan spekulasi ini, menariknya KRI turut mengemukakan bahawa kenaikan harga rumah sebenarnya menjadi punca perningkatan harga hartanah; bukannya kos pembinaan dan harga hartanah yang tinggi menjadi punca harga rumah meningkat.

7. Usaha untuk menyemak dan menstrukturkan semula industri perumahan dalam negara kita melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkenaan, pemaju dan persatuan berkaitan serta aturcara dan caj guaman mesti dilakukan.

8. Langkah mengekang kenaikan harga hartanah melalui penggubalan akta khas juga mesti dibuat bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah ini secara berkesan dan jangka panjang. Menerusi akta ini, harga siling rumah mengikut jenis rumah dan lokasi wajar dikuatkuasakan justeru dapat mengelakkan pihak-pihak tertentu mengambil keuntungan atas angin dengan menindas para pembeli.

9. Agensi-agensi Kerajaan yang terlibat membangunkan projek perumahan pula tidak patut menjual rumah pada harga yang tinggi seperti yang dilakukan oleh pemaju swasta yang sememangnya berorientasikan keuntungan.

10. Sebaliknya, agensi-agensi ini harus memberikan saingan kepada pemaju-pemaju swasta bagi membantu mengawal peningkatan harga rumah termasuk dengan mengurangkan antara 20 hingga 30 peratus daripada harga asal rumah termasuk kos binaan bagi memastikan rakyat mampu untuk memilikinya.

11. Konsep sewa beli juga sangat baik jika dilaksanakan untuk mengimbangi pendapatan isi rumah khususnya bagi rakyat luar bandar yang berhijrah ke bandar raya yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

_____

Siri Bicara Bajet 2016 ini adalah daripada draf asal teks Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tuesday 10 November 2015

KERAJAAN TERENGGANU MESTI TOLAK PERMOHONAN LOMBONG BAUKSIT

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

KERAJAAN TERENGGANU MESTI TOLAK PERMOHONAN LOMBONG BAUKSIT

1. Saya menggesa agar Kerajaan Negeri Terengganu bersikap tegas tidak meluluskan apa-apa permohonan untuk melombong bauksit di negeri ini.

2. Kenyataan YAB DS Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu, beberapa hari lepas dikhuatiri akan membuka ruang kepada aktiviti perlombongan tidak terkawal dan mengakibatkan pencemaran serta menjejaskan kesihatan orang awam. [ Rujuk : http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/perinci-permohonan-lombong-bauksit-1.449046 ]

3. Kerajaan Negeri Terengganu diingatkan agar tidak berselindung di sebalik hujah “masih memperincikan”, “banyak perkara diambil kira”, “tetapi dengan syarat” dan “akan meneliti” untuk menjadi helah bagi meluluskan sebarang permohonan yang dibuat oleh syarikat pelombong demi meraih sedikit keuntungan yang tidak berbaloi untuk digadai dengan kepentingan awam rakyat Terengganu.

4. Sekiranya tetap diluluskan, masalah pencemaran bauksit seperti yang berlaku di sekitar jalan menghala ke Pelabuhan Kuantan dan kawasan perindustrian Gebeng yang berpunca daripada aktiviti perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh dengan lori-lori yang sering keluar masuk dalam keadaan yang sangat kotor, berhabuk dan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa serta turut menyumbang kepada kerosakan jalan adalah amat tidak mustahil akan berlaku pula di Terengganu. [ Rujuk : http://drtakiri.blogspot.my/search?q=bauksit ]

5. Demi negeri dan rakyat Terengganu yang tercinta, saya sekali lagi mengulangi gesaan agar Kerajaan Negeri Terengganu tidak berdolak-dalih dalam menolak semua permohonan untuk melombong bauksit di negeri ini.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Isnin, 9 November 2015 | 27 Muharram 1437H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Saturday 7 November 2015

NASIHAT & AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR ADALAH TANGGUNGJAWAB PAS

KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan DUPP

NASIHAT & AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR ADALAH TANGGUNGJAWAB PAS

1. Berasaskan prinsip ;

" الدِّينُ النَّصِيحَةُ "

"Agama adalah Nasihat" antaranya "kepada pemerintah muslim" sebagaimana disebut dalam Hadis sahih, PAS akan terus menjalankan tugas beragama dan bernegaranya iaitu MENASIHATI kerajaan untuk sentiasa menegakkan keadilan dan meninggalkan kezaliman, berhemah dalam perbelanjaan negara dan meninggalkan pembaziran, mengamalkan ketelusan dan meninggalkan kepincangan pengurusan.

2. Berasaskan prinsip yang diimani oleh PAS sejak dulu iaitu AMAR MAKRUF dan NAHI MUNGKAR, PAS terus konsisten menyuruh kerajaan melakukan perkara-perkara baik untuk rakyat dan menegur serta mencegah kerajaan melakukan sebarang bentuk kezaliman dan kemungkaran.

3. Sebagai satu-satunya Parti Islam di negara ini, PAS akan terus memberikan idea-idea pengurusan dan pentadbiran berdasarkan prinsip Islam kepada kerajaan pusat semasa pimpinan UMNO BN agar rakyat sentiasa menikmati hak berwarganegara mereka.

4. PAS bersedia menerima kemasukkan ahli UMNO beramai-ramai ke dalam PAS di saat krisis keyakinan terhadap UMNO dan BN semakin merosot.

5. Ketika UMNO BN berhadapan dengan pelbagai isu melibatkan ketelusan seperti 1MDB, skandal derma politik RM 2.6 bilion, kenaikan kos hidup disebabkan percukaian GST, kejatuhan mata wang ringgit, kemerosotan hasil negara, belanjawan defisit, hutang negara yang memuncak, hutang isi rumah yang tinggi, susut nilai pendapatan maka PAS telah sangat bersedia untuk menjadi payung pemerintah kepada rakyat menggantikan UMNO dengan moto PAS GANTI UMNO.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sabtu 7 hb Nov 2015
dari New Castle, Australia bersama delegasi Ahli Parlimen Asean