Friday 24 August 2018

67 TAHUN BAHTERA PAS BELAYAR. TAHNIAH BUAT SEMUA PEMIMPIN, AHLI & PENYOKONG PAS

67 TAHUN BAHTERA PAS BELAYAR. TAHNIAH BUAT SEMUA PEMIMPIN, AHLI & PENYOKONG PAS

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tahun ini, PAS telah pun berusia 67 tahun. Sejak cetusan awal penubuhannya bermula 23 Ogos 1951 diikuti penubuhannya secara rasmi pada 24 November tahun yang sama sehingga kini PAS telah dipimpin oleh tujuh (7) orang tokoh bervariasi latar belakang dan kompetensi menghadapi cabaran dan menempa kejayaan di zaman masing-masing.

Menerusi syura yang diinstitusikan menjadi badan tertinggi bagi memelihara dasar dan memandu perjalanan parti; kepimpinan yang kolektif di semua peringkat organisasi bagi merencana operasi yang strategik; dan ahli yang mempunyai nilai kesetiaan dan ketaatan yang tinggi, menjadikan PAS terus istiqamah di atas prinsip Islam memimpin ummah di medan siyasah.

Merentas usianya ini, PAS sedayanya berkreativiti dan berinovasi dalam mengeluarkan ijtihad berasaskan petunjuk wahyu dan ilmu alat yang lain seperti _fiqh al-aulawiyyat_, _fiqh al-muwazanat_ dan _fiqh al-waqie_ demi mencapai _maslahah_ untuk rakyat dan negara ini dengan kepentingan dan penyelesaian secara Islam didahulukan daripada yang lain.

Sekalipun ada langkahan PAS itu merugikan jika dilihat menerusi kacamata politik sekularisme, ia tidak pernah menjadikan PAS lumpuh apatah lagi luput ditelan zaman. Sebaliknya, PAS terus menongkah arus ke hadapan meraih kejayaan demi kejayaan dalam usaha mendaulatkan Islam.

Pun begitu, di era informasi tanpa sempadan dengan kecanggihan pelbagai alat peranti dan aplikasi pada hari ini, manusia semakin mudah dan cepat terdedah kepada bermacam-macam maklumat menjadikan pembentukan pandangan alam (worldview) dan persepsi mereka terhadap sesuatu perkara sentiasa berada di persimpangan antara kebenaran dan kepalsuan.

Justeru, setiap pemimpin, ahli dan penyokong PAS mesti berperanan sebaiknya menghadapi cabaran di zaman ini. Semua kita mesti sentiasa tegas dan berani menzahirkan kebenaran; mengambil posisi masing-masing dan melaksanakan tugasan secara berobjektif dan efektif; serta saling percaya-mempercayai dan lengkap-melengkapi antara pemimpin, ahli dan penyokong demi memastikan PAS terus kekal relevan dalam arena politik tanah air dan menjadi pilihan utama rakyat.

Saya mengucapkan selamat ulang tahun buat semua pimpinan, ahli dan penyokong PAS. Semoga kita semua dikurniakan ikhlas dan istiqamah.

”Sejahtera Bersama Islam"

Tarikh : Jumaat, 24 Ogos 2018 | 12 Zulhijjah 1439H
_____

PENULIS juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, AJK Kerja PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan dan Pengarah Strategi PAS Pusat. Pandangan dan aktiviti beliau boleh diikuti menerusi akaun FB (@drtakiri) dan Twitter (@drtakiri2016) rasmi beliau.

Thursday 23 August 2018

Korban Perdana Parlimen Kuala Nerus: Terjemahkan Nilai Pengorbanan Bersama Masyarakat

Korban Perdana Parlimen Kuala Nerus:  Terjemahkan Nilai Pengorbanan Bersama Masyarakat
Oleh : Zulhafeez Ahmad Zahidi


KUALA NERUS : Program Korban Perdana dan Kenduri Perdana anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus yang diadakan di Padang Batu Enam ternyata memberikan peluang kepada masyarakat tempatan saling berkerjasama membantu segalanya berjalan lancar.

Tiga ekor lembu yang disembelih telah diagihkan dan diproses untuk majlis Kenduri Perdana pada sebelah petang manakala sembelihan diadakan sekitar jam 10 pagi di kediaman YB Dato' Dr Khairuddin, ahli Parlimen Kuala Nerus, di Kg Baru, Seberang Takir.

Beliau turut sama menyembelih binatang korban dan gotong royong menyediakan masakan untuk kenduri perdana.

Acara tahunan sejak 2013 itu ternyata mendapat sambutan baik dari rakyat tempatan dan sekaligus membuktikan kebersamaan untuk menghayati erti pengorbanan sebenar.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut dan mengharapkan aktiviti itu boleh dianjurlan pada masa akan datang.

Thursday 16 August 2018

BERITA TIDAK BENAR APARATUS PH?

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2120290394647646&id=569086473101387

Kenyataan Media

16 Ogos 2018 | 4 Zulhijjah 1439H

BERITA TIDAK BENAR APARATUS PH?

1. RUU bagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (AATB) baru sahaja diluluskan. Saya tidak berpeluang berbahas walaupun beberapa kali bangun berdiri kerana masa berbahas sangat singkat berbanding ketika Akta AATB tersebut di bawa ke Dewan Rakyat pada 29 Mac dan 2 April 2018 lalu.

2. Ia menunjukkan betapa kerajaan PH sangat tergesa-gesa dalam mengemukakan sesuatu RUU tanpa memberi peluang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk memberikan pandangan secukupnya. Ia seolah-olah meludah ke langit kerana itulah yang menjadi bahan kritikan mereka terhadap BN ketika menjadi pembangkang dahulu.

3. Saya menjadi wakil tunggal PAS berucap mewakili PAS menyokong AATB pada 2 April 2018 lalu. Sila rujuk
http://drtakiri.blogspot.com/2018/08/teks-ucapan-perbahasan-rang-undang.html?m=1
Untuk itu, pada kali ini PAS menerusi 2 Ahli Parlimen iaitu Kubang Kerian dan Pasir Putih tegas menolak pemansuhan akta tersebut.

4. Mesej yang perlu disampaikan ialah berita palsu adalah jenayah kemanusiaan. Ia jenayah terhadap kehormatan manusia yang menjadi mangsa terhadap berita palsu. Berita palsu adalah satu kezaliman terhadap kehidupan bermasyarakat kerana ia boleh menimbulkan ketidaktenteraman dan pertelingkahan dalam masyarakat.

5. Bagi saya pemansuhan akta ini menunjukkan PH tidak serius menangani penyebaran berita tidak benar.

6. Secara meritnya, tiada pertikaian besar terhadap Akta tersebut. Hanya pada beberapa aspek teknikaliti sahaja yang dipertikaikan. Ia boleh sahaja dipinda tetapi bukannya dimansuhkan.

7. Jika dirujuk kepada penyata rasmi Dewan Rakyat pada 29 Mac 2018 dan 2 April 2018 serta perbahasan di Dewan Rakyat pada hari ini, dua (2) perkara utama yang menyebabkan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang dahulu dan sebagai Kerajaan pada hari ini mempertikaikan Akta Antiberita Tidak Benar adalah kerana :

     (i) Kebimbangan Akta ini disalahgunakan oleh Kerajaan terutamanya yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini memandangkan ia dikemukakan di Dewan Rakyat menjelang PRU14.

     (ii) Sudah ada akta lain yang dikatakan boleh menangani penularan berita tidak benar.

8. PERTAMA, jika PH mendakwa Kerajaan di bawah terajunya adalah cekap, bertanggungjawab dan telus, sepatutnya PH tiada masalah dengan Akta ini dan bersedia melaksanakannya secara adil bagi melindungi kepentingan semua pihak daripada ancaman bahaya berita tidak benar dengan lebih berkesan. Adakah kerana PH juga tidak percaya mereka tidak akan melakukan penyalahgunaan kuasa? Jika ada peruntukan yang boleh menimbulkan salahguna kuasa, ia boleh sahaja diselesaikan menerusi pindaan dan bukannya pemansuhan.

9. KEDUA, PH mendakwa Akta Antiberita Tidak Benar tidak diperlukan antaranya kerana sudah ada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Perkara ini juga ada dinyatakan pada bahagian huraian RUU yang dikemukakan di Dewan Rakyat pada hari ini. Peliknya, pada masa sama, PM dan beberapa pemimpin PH sebelum ini juga menegaskan akan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini. Ini adalah pendirian dan tindakan yang saling bertentangan.

10. Ini menimbulkan persepsi, PH seolah-olah cuba menghapuskan semua had yang membataskan kebebasan bersuara atau berekspresi atas nama perjuangan hak asasi kononnya. Sedangkan setiap kebebasan perlu diletakkan had supaya ia berada dalam kawalan dan tidak membahayakan pihak lain dalam pelbagai aspek. Perlu dibezakan antara bebas dengan terbabas dan antara kritik dengan mengutuk. Apabila terbabas ia akan menceroboh hak manusia lain. Seseorang bebas bercakap tapi tidak boleh terbabas bercakap sesuatu yang palsu melibatkan orang lain.

11. Saya bimbang tujuan sebenar Akta Antiberita Tidak Benar ini mahu dihapuskan adalah kerana berita tidak benar itu sendiri adalah aparatus PH bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasa serta menjatuhkan lawan mereka.

12. PAS sendiri turut menjadi mangsa ini. Antaranya tuduhan menerima RM90 juta menerusi laporan oleh Sarawak Report. Sikap PAS terhadap skandal 1MDB dituduh PAS menyokong rasuah dan salah laku BN. Idea ‘Unity Government’ yang bermaksud perpaduan semua parti tanpa ada pembangkang diputarbelit kononnya agenda penyatuan PAS dan UMNO. Insiden Memali dan Amanat Haji Hadi dimanipulasi naratifnya supaya PAS dilihat pencetus perpecahan, pembawa fahaman ekstremisme dan kafir mengkafir.

13. Malangnya, para pemimpin dan _cybertrooper_ PH dengan sikap rakusnya terus mencipta dan menyebarkan berita tidak benar menerusi pelbagai platform media untuk menyekat pengaruh positif lawan mereka.

14. Sejak menjadi Kerajaan tidak kurang juga PH menipu rakyat. Bermula dengan plot jumlah hutang negara sehinggalah kepada pelbagai janji yang tidak ditunaikan dengan pelbagai alasan; manifesto bukan kitab sucilah, BN punya pasallah, akan kaji dululah dan macam-macam lagi.

15. Pada hari ini pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam penggulungan beliau secara terang berbohong menyatakan bahawa PAS menyokong SOSMA. Setelah dibantah dengan keras barulah beliau menarik balik tuduhan. Perdana Menteri, juga pada hari ini melakukan pembohongan apabila mengatakan beliau tidak pernah mengatakan bahawa tempoh Majlis Penasihat Kerajaan hanya 100 hari.

16. Kalau tidak dapat menipu, saya percaya PH pasti senak perut dan tertekan untuk menghadapi amarah rakyat. Sebab itulah saya luahkan kebimbangan bahawa berita tidak benar ini menjadi aparatus utama dan terpenting PH.

17. Suka saya memberi amaran awal kepada rakyat dengan satu pepatah iaitu “siakap senohong, gelama ikan duri; bercakap bohong, lama-lama mencuri” supaya kita sentiasa berwaspada dengan Kerajaan yang diterajui oleh PH pada hari ini. Saya khuatir, sikap berbohong pada awal menjadi Kerajaan ini akhirnya membarah menjadi curi dan rompak harta rakyat dan negara.

Sekian.

_*“Sejahtera Bersama Islam”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Kerajaan perlu tumpu golongan Bumiputera

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kerajaan-perlu-tumpu-golongan-bumiputera-1.869115


Kerajaan perlu tumpu golongan Bumiputera

NURULFATIHA MUAH

15 OGOS 2018
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali


SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada golongan Bumiputera di negeri-negeri pantai timur dan utara, menerusi penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibuat serta kongres masa depan Bumiputera September nanti.

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, berdasarkan data pada 2014, negeri-negeri pantai timur merangkumi Kelantan, Pahang dan Kedah serta negeri-negeri utara iaitu Perak, Perlis dan Kedah merupakan golongan yang masih terpinggir daripada aspek pembangunan dan kemajuan sosioekonomi, terutamanya kumpulan isi rumah B40.

"Mengikut data tersebut, bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kelantan, Pahang dan Terengganu mencatatkan kadar kemiskinan (2014) yang paling tinggi iaitu masing-masing 0.9 peratus, 0.7 peratus dan 0.6 peratus, berbanding negeri-negeri lain yang berada pada kadar 0.4 peratus dan ke bawah.

"Bagi peratus isi rumah berpendapatan kurang daripada RM6,000 sebulan (2014), negeri-negeri ini juga berada pada kedudukan yang paling tinggi iaitu masing-masing 84.8 peratus, 80.3 peratus dan 77.1 peratus masing-masing; selain Perak (81.1 peratus), Perlis (80.3peratus) dan Kedah (79.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, sekiranya perkara itu dibiarkan tanpa ditangani secara komprehensif dan kolektif, dikhuatiri ia akan melebarkan lagi jurang sosioekonomi antara kaum di negara ini.

"Justeru, pengagihan ekonomi yang adil yang mahu dicapai juga seharusnya melihat kepada aspek kaum ini," katanya.

Beliau berkata, sumber pendapatan kumpulan B40 selain gaji atau upah yang hanya menyumbang 70 peratus kepada pendapatan isi rumah, mereka juga bergantung sehingga 20 peratus kepada pindahan tunai seperti zakat, bantuan pendidikan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan tunai yang lain.

"Sekalipun pendapatan kumpulan B40 naik sebanyak 5.8 peratus setiap tahun sejak 2014, perbelanjaan pula meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu sebanyak 6 peratus, menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang yang sedikit untuk berbelanja.

"Penduduk di negeri-negeri ini juga umumnya bergantung kepada sektor perikanan, penternakan dan perladangan dengan bekerja sebagai nelayan, pengusaha sawah padi, penoreh dan pekebun kecil getah untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara kehidupan," katanya.

Kongsi berita ini:

BACK TO TOP

DAPATKAN BERITA


SINAR HARIAN

SETIAP HARI DI EMAIL ANDA.




© 2012 All Rights Reserved • Karangkraf Media Group
© 2012 Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Media Karangkraf


TEKS UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG ANTI BERITA TIDAK BENAR

TEKS UCAPAN PERBAHASAN

RANG UNDANG-UNDANG ANTI BERITA TIDAK BENAR

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Disampaikan di Dewan Rakyat pada 2 April 2018

AKTA ANTIBERITA TIDAK BENAR SELAMATKAN MARUAH MANUSIA

Hakikat Akhir Zaman

Nabi s.a.w. bersabda :

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda s.a.w. ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda s.a.w. menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.

(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.)

Melihat kepada keadaan kebenaran dan amanah yang diletakkan pada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik atau al-Ruwaibhidah iaitu orang yang keji atau kurang ilmunya dan pada masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya seperti yang berlaku sekarang ini, mungkin kita sedang berada di zaman yang telah diberikan petunjuknya ini oleh Nabi s.a.w.

*Tabayyun Adalah Kaedahnya*

Maka perlulah kita mempunyai cara yang betul dan berkesan untuk mencegah dan menanganinya serta menghadapinya dengan selamat.

Berkenaan hal ini, Allah s.w.t. telah memberikan petunjukNya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Hujuurat, ayat ke-6 yang bermaksud :

_”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”_

*Bahaya Berita Tidak Benar*

Secara ringkasnya, ayat ini diturunkan berikutan peristiwa utusan Rasulullah s.a.w., al-Walid bin Uqbah yang pulang semula kepada Nabi s.a.w. sebelum sampai ke perkampungan bani Mustaliq tanpa mengutip bayaran zakat.

Akibat salah faham terhadap sambutan bani Mustaliq terhadapnya, beliau melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa al-Harits bin Dhirar al-Khuza’i r.a, pemimpin bani Mustaliq tidak mahu membayar zakat dan sebaliknya ingin membunuhnya.

Salah lapor al-Walid bin Uqbah kepada Rasululluh s.a.w. akibat salah faham yang berlaku itu telah mengundang kemarahan Baginda terhadap al-Harits bin Dhirar al-Khuza’i r.a dan bani Mustaliq.

Kemudian, turunlah ayat ini yang menekankan perihal menyelidiki kebenaran sesuatu berita yang diterima.

Pengajaran besar daripada kisah dan ayat ini ialah sesuatu berita tidak benar yang disebarkan tanpa usul periksa boleh menghancurkan sesebuah masyarakat terutamanya pada aspek maruahnya; iaitu imej dan nama baik mereka.

Perkara ini juga boleh dilihat menerusi kisah yang berlaku ke atas Aisyah r.a., isteri Nabi s.a.w. yang ketinggalan rombongan.

Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang memang ditugaskan di bahagian belakang rombongan untuk mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal seorang wanita ketinggalan itu dan mengenali bahawa wanita tersebut adalah Aisyah, tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan beliau berjalan membuntuti unta tersebut.

Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi. Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka.

Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini.

Peristiwa ini telah menjejaskan maruah Rasulullah s.a.w. sendiri dan isteri Baginda, dan juga memberikan tekanan kepada kehidupan berpasangan Baginda berdua dalam tempoh masa yang lama.

Peringatan Allah tentang peristiwa ini juga dirakamkan dalam ayat ke-12 daripada surah an-Nuur yang bermaksud :

_”Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata"._

Demikianlah saranan al-Quran kepada kita apabila menerima sesuatu berita. Malangnya pada hari ini, bukan sahaja orang awam, bahkan pemimpin-pemimpin politik juga apabila menerima sesuatu berita, mulalah bersangka buruk dan menjaja berita yang belum pasti kesahihannya itu sehingga mengundang tuduhan dan fitnah yang bukan-bukan.

Contoh lainnya, baru-baru ini video seorang lelaki warga emas yang didakwa meraba paha seorang penumpang wanita di dalam transit aliran ringan (LRT) tular di media sosial. Kononnya, lelaki itu meraba paha seorang wanita yang duduk di sebelahnya dan sedang tidur. Sebaik penularan itu bermula, lelaki tua ini telah dipersalahkan dan dikecam dengan bermacam-macam kata. Imej dan nama baiknya dirosakkan sehabisnya.

Mujurlah ada seorang pemuda yang mendakwa dirinya turut berada di tempat kejadian tampil menafikan lelaki warga emas itu meraba wanita tersebut.

Demikiannya nyatanya bahaya berita tidak benar dan jelaslah bahawa membuat dan menyebarkan pembohongan dan fitnah seumpama ini adalah dosa yang sangat besar. Sekalipun bebas daripada hukuman di dunia, nescaya tidak akan sesekali bebas daripada hukuman di akhirat nanti.

Oleh itu saya mengatakan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar ini penting dan saya sangat menyokongnya.

*Undang-undang & Pelaksanaanya*

Soal kebimbangan berlaku ketempangan pada pelaksanaannya kerana wujud pelaku-pelaku yang bermasalah, tidaklah patut menjadi penghalang untuk undang-undang ini digubal dan dikuatkuasakan. Keperluan kepada undang-undang ini tetap berasas.

Menerusi PRU14 ini, ia adalah platform yang terbaik untuk menggantikan pemimpin yang tidak beramanah itu dengan pemimpin yang lebih berintegriti dan kompeten dalam menjalankan tugasan.

Pemimpin yang tidak beramanah ini pula tidak patut dikekalkan atau diberikan jawatan kerana hanya akan mendatangkan kerosakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya _“Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.”_ Ada seorang sahabat bertanya, _“bagaimana maksud amanah disia-siakan?”_ Nabi menjawab _“Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.”_

*Pembuktiaan Menentukan Kebenaran, Bukan Saman*

Apa yang penting juga berkaitan penyebaran berita tidak benar atau fitnah ini ialah seseorang yang dituduh itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah selari dengan kaedah fiqh _'al-aslu bara-atu az-zimmah'_ (اَلْأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ) yang bermaksud asal setiap manusia adalah bebas daripada sebarang tanggungan.

Malangnya pada hari ini, orang yang dituduh pula yang “dipaksa” mengemukakan saman bagi membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah. Saman pula menjadi penentu benar atau tidak sesuatu tuduhan itu.

Sedangkan Islam menuntut supaya pihak yang menuduh sepatutnya mengemukakan bukti dan selama mana tiada pembuktian dibuat, orang yang dituduh tadi bebas daripada sebarang kesalahan yang dituduh ke atasnya.

Adalah amat mengecewakan dan memeritkan apabila keadaan yang sepatutnya itu tidak berlaku dalam suasana pada hari ini.

PAS dan saya sendiri turut menjadi mangsa keadaan ini apabila dituduh menerima RM90 juta daripada 1MDB dan mendapat duit daripada UMNO. Sedangkan ia adalah pembohongan dan fitnah yang nyata.

*Saranan Al-Quran*

Sepatutnya masyarakat bersikap dengan saranan al-Quran apabila berhadapan dengan berita seperti ini bukannya dengan mengatakan atau menuntut yang bukan-bukan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nuur, ayat ke-16 yang bermaksud :

_”Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata : Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan"._

*Penutup*

Salah satu baiah yang dibuat antara Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat sebelum pembentukan negara Madinah ialah _“Jangan kamu datangkan berita bohong yang kamu reka-reka dalam kalangan kamu”_.

Ini menggambarkan bahawa asas penting bernegara ialah jangan buat dan sebar berita palsu. Jika ada, ia akan mengundang kerosakan yang sangat besar.

Wednesday 15 August 2018

KERAJAAN MESTI TUMPU MEMBERDAYA SOSIOEKONOMI BUMIPUTERA, MELAYU

KERAJAAN MESTI TUMPU MEMBERDAYA SOSIOEKONOMI BUMIPUTERA, MELAYU

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kelantan, Pahang dan Terengganu mencatatkan kadar kemiskinan (2014) yang paling tinggi iaitu 0.9%, 0.7% dan 0.6% masing-masing berbanding negeri-negeri lain yang berada pada kadar 0.4% dan ke bawah.

2. Bagi peratus isi rumah berpendapatan kurang daripada RM6,000 sebulan (2014), negeri-negeri ini juga berada pada kedudukan yang paling tinggi iaitu 84.8%, 80.3% dan 77.1% masing-masing; selain Perak (81.1%), Perlis (80.3%) dan Kedah (79.1%).

3. Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah (2016) bagi keenam-enam negeri ini pula berada antara RM3,079 hingga RM4,694 sahaja, lebih rendah daripada pendapatan penengah nasional iaitu RM5,228.

4. Jika dikelaskan mengikut kumpulan isi rumah, ia adalah termasuk dalam kategori 40% pertengahan (M40) dan 40% terendah (B40). Bagi kedua-dua kategori kumpulan isi rumah ini, Bumiputera adalah teramai iaitu 38.0% bagi M40 dan 17.0% bagi B40 berbanding kaum Cina dan India.

5. Berdasarkan data-data yang dinyatakan ini, kesimpulan yang boleh dibuat ialah Bumiputera – atau lebih tepat, Melayu – di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu) dan utara (Perak, Perlis dan Kedah) adalah golongan yang masih terpinggir pada aspek pembangunan dan kemajuan sosioekonomi terutamanya kumpulan isi rumah B40.

6. Sumber pendapatan kumpulan B40 ini selain daripada gaji atau upah yang hanya menyumbang 70% kepada pendapatan isi rumah, mereka juga bergantung sehingga 20% kepada pindahan tunai seperti zakat, bantuan pendidikan, BR1M dan bantuan tunai yang lain.

7. Sekalipun pendapatan kumpulan B40 naik sebanyak 5.8% setiap tahun sejak 2014, perbelanjaan pula meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu sebanyak 6%, menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang yang sedikit untuk berbelanja.

8. Penduduk di negeri-negeri ini juga umumnya bergantung kepada sektor perikanan, penternakan dan perladangan dengan bekerja sebagai nelayan, pengusaha sawah padi, penoreh dan pekebun kecil getah untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara kehidupan.

9. Secara puratanya nelayan di Semenanjung Malaysia memperoleh RM2,100 sebulan manakala Elaun Sara Hidup (ESH) yang diberikan pula hanya RM300 sebulan bagi nelayan zon A dan RM250 sebulan bagi nelayan zon B, C dan C2 kepada pemohon yang layak sahaja.

10. Pengusaha sawah padi pula amat bergantung dengan subsidi bernilai RM800 juta yang disediakan dan elaun RM200 sebulan yang diberikan kerajaan sebelum ini. Sekiranya ia dikurangkan atau ditiadakan, ia sangat menjejaskan golongan ini pada aspek hasil padi dan sumber pendapatan.

11. Penoreh dan pekebun kecil getah pula kini hanya memperoleh 30kg getah sehari bagi kebun seluas kira-kira 1.2 hektar berbanding sekitar 60kg hingga 70kg sehari sebelum ini memandangkan harga purata peringkat ladang getah sekerap di Semenanjung Malaysia berada pada paras RM2.10 sekilogram.

12. Sehingga kini, menteri dari Pakatan Harapan sama sahaja dengan BN sebelum ini turut menolak untuk menetapkan harga lantai bagi getah sebagaimana jawapan bertulis Menteri kepada saya pada 6 Ogos 2018. Sedangkan harga lantai itu bukan sahaja permintaan oleh PAS malah juga Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang dahulu.

13. Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 sebulan yang diberikan selama 3 bulan (November hingga Januari) melibatkan 440,000 pekebun getah sangat membantu. Malangnya dalam jawapan bertulis Menteri kepada saya pada 6 Ogos 2018, beliau memaklumkan BMT sedang diteliti semula. Saya bimbang ia tidak akan dilanjutkan.

14. Melihat kepada keadaan sosioekonomi golongan Bumiputera-Melayu di negeri-negeri Pantai Timur dan utara ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberikan lebih perhatian kepada golongan ini terutamanya menerusi penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibuat dan semasa kongres masa depan Bumiputera yang mahu dilaksanakan pada September nanti.

15. Sekiranya ia dibiarkan tanpa ditangani secara komprehensif dan kolektif, dikhuatiri ia akan melebarkan lagi jurang sosioekonomi antara kaum di negara ini. Justeru, pengagihan ekonomi yang adil yang mahu dicapai juga seharusnya melihat kepada aspek kaum ini.

”Sejahtera Bersama Islam"

Tarikh : Rabu, 15 Ogos 2018 | 2 Zulhijjah 1439H
_____

PENULIS juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, AJK Kerja PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan dan Pengarah Strategi PAS Pusat. Pandangan dan aktiviti beliau boleh diikuti menerusi akaun FB (@drtakiri) dan Twitter (@drtakiri2016) rasmi beliau.

Thursday 9 August 2018

PENYEBARAN HIV/AIDS : PERANGI PERLAKUAN LGBT

Kenyataan Media

9 Ogos 2018 | 27 Zulkaedah 1439H

PENYEBARAN HIV/AIDS : PERANGI PERLAKUAN LGBT

1. Saya tujukan seruan ini secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

2. Kita semua sudah bersatu hati sejak dahulu lagi memerangi dadah kerana ia menjadi punca utama merebaknya HIV/AIDS di negara ini.

3. Kini, pengambilan dadah melalui perkongsian jarum suntikan (IDU) bukan lagi punca utama penyebaran virus ini. Sebaliknya, ia merebak melalui tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual.

4. Statistik menunjukkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan kelompok tertinggi dijangkiti HIV yang mewakili 50.7% kes baharu (atau 1,697 orang) dilaporkan sepanjang 2017 lalu (2000 – 63 kes; 2016 – 1,553 kes). Jumlah ini adalah 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang mengambil dadah melalui IDU.

5. Jika kita bersungguh-sungguh mengisytiharkan dadah sebagai musuh utama negara kerana akibat buruknya, maka lebih patut lagi kita serius memerangi perlakuan LGBT di negara ini juga kerana akibat buruknya; bukan sahaja kerana menjadi sebab penyebaran HIV/AIDS, lebih daripada itu kerana ia bersalahan dengan fitrah kejadian manusia dan bercanggah dengan ajaran agama serta budaya kita.

6. Semoga para pelaku LGBT dapat kembali kepada fitrah asal manusia dan meninggalkan perlakuan songsang tersebut.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tuesday 7 August 2018

BN Akan Bantu PAS Di Seri Setia

Look what I shared: PAS yakin BN hulur bantuan di Seri Setia @MIUI| https://m.malaysiakini.com/news/437700

Monday 6 August 2018

PERTAHAN ASAS PERLEMBAGAAN : TITAH SULTAN PERAK SIGNAL ANCAMAN WUJUD, SERIUS

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2101994186477267&id=569086473101387

Kenyataan Media

6 Ogos 2018 | 24 Zulkaedah 1439H

PERTAHAN ASAS PERLEMBAGAAN : TITAH SULTAN PERAK SIGNAL ANCAMAN WUJUD, SERIUS

1.Patik menjunjung kasih atas perhatian dan keprihatinan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap ancaman kepada asas perlembagaan iaitu Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan Melayu dalam titah Baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari ini.

2.Titah Baginda ini menunjukkan ancaman kepada asas perlembagaan ini sememangnya wujud, merupakan isu yang serius dan perlu dicegah serta ditangani. Keadaan inilah yang mendesak rakyat bersolidariti dalam Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman pada 28 Julai 2018 lalu.

3.Justeru, rakyat terutamanya para pemimpin dan parti politik mesti memberikan taat setia terhadap apa yang diperintahkan oleh Tuanku Sultan ini.

4. Sebarang tindakan yang mencetuskan kontroversi dan bersifat provokasi terhadap asas-asas perlembagaan bertujuan mahu merombak kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama sejak merdeka lagi perlu dihentikan.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Kekuatan Pembangkang Boleh Digembeleng

https://m.malaysiakini.com/news/437555

Thursday 2 August 2018

TUNAI MANIFESTO : KERAJAAN NEGERI TERENGGANU WAJAR DICONTOHI

Kenyataan Media

2 Ogos 2018 | 20 Zulkaedah 1439H

TUNAI MANIFESTO : KERAJAAN NEGERI TERENGGANU WAJAR DICONTOHI

1. Saya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pelaksanaan pelbagai manifesto yang telah dijanjikan semasa PRU14 lalu demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

2. Terbaru, Kerajaan Terengganu telah memberikan pengecualian dan menghapuskan tunggakan cukai taksiran bagi kediaman di pihak PBT  Negeri Terengganu.

3. Sekalipun perlu membiayai sejumlah nilai mengikut kadar kehilangan hasil kepada pihak PBT dalam bentuk geran tahunan dan bagi tahun 2018 ini sahaja nilai ini berjumlah RM14.6 juta, ia tetap perlu dilaksanakan juga bagi memastikan tanggungan beban kewangan rakyat negeri ini dapat dikurangkan.

4. Tunggakan cukai taksiran pegangan atas kediaman di pihak PBT Negeri Terengganu dari 2015 hingga 2017 juga turut dihapuskan bagi merealisasikan agenda berkebajikan untuk rakyat negeri ini.

5. Kehendak politik (political will) yang lebih tinggi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Terengganu ini berbanding menjadikan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sebagai faktor penghalang adalah sangat wajar dicontohi terutamanya dalam menunaikan manifesto yang telah dijanjikan.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus