Tuesday 31 March 2015

Membawa Rang Undang-undang Persendirian Membuka Laluan Kepada Pelaksanaan Hudud adalah Satu Kemuliaan dan Fadhilat Yang diberikan Pahala

KENYATAAN MEDIA
Ketua Penerangan
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
31 Mac 2015
Membawa Rang Undang-undang Persendirian Membuka Laluan Kepada Pelaksanaan Hudud adalah Satu Kemuliaan dan Fadhilat Yang diberikan Pahala

1. Menegakkan Undang-undang Jenayah Islam termasuk Hudud adalah kewajipan umat Islam yang diimani oleh PAS. Membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat yang membuka jalan untuk pelaksanaan undang-undang Allah adalah satu kemuliaan dan fadhilat yang pasti diberikan pahala. Ia tidak patut diserahkan kepada orang lain kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab PAS sebagai Parti Islam.

2. Kita jangan mudah percayakan orang lain untuk membawa apa yang kita perjuangkan sekian lama. Sesiapa yang ingin membantu dipersilakan. Tidak mahu menyokong pun tidak mengapa.

3. Kepada wakil rakyat muslim di Parlimen kita menjemput mereka bersama-sama mencari pahala dan fadhilat berdasarkan konsep
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan dan syurga yang keluasannya adalah keluasan langit dan bumi yang disediakan kepada orang-orang yang bertaqwa". Surah Aali Imran ayat 133

4. Jika ada yang ingin membantu dialu-alukan. Adakah bantuannya ikhlas ataupun tidak? Keikhlasan adalah sesuatu yang tersembunyi di dalam hati. Kita serahkan kepada Allah.

5. Jika ada yang berniat jahat dan serong kita serahkan kepada Allah sebagaimana yang diajar oleh Allah dalam al-Anfaal ayat 62;

وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوك فَإِنَّ حَسْبك اللَّه هُوَ الَّذِي أَيَّدَك بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ

"Dan sekiranya mereka berhasrat memperdayakan kamu maka sesungguhnya cukuplah untuk kamu 
Allah (menjaga kamu daripada tipudaya). Dialah yang menyokong memperkuatkan kamu dengan bantuan kemenangan-Nya dan dengan orang-orang beriman".

6. Kita sudah banyak berdailog secara ilmu dan harmoni dengan pimpinan politik kalangan bukan Islam menjelaskan tentang Undang-undang jenayah Islam lebih daripada 25 tahun sejak 1990. Malah sebelumnya lagi sejak penubuhan PAS pencerahan dan penjelasan diberikan. Ada yang berdolak-dalik enggan menerima kebenaran. Ada yang enggan menerimanya walaupun atas konsep hak demokrasi. Setelah penjelasan yang panjang kita menyerahkan kepada mereka untuk menerima atau menolak. Kita tidak memaksa mereka bersetuju. Malah kita menghormati hak mereka untuk tidak bersetuju. Namun perjuangan, penjelasan dan dakwah kita tetap diteruskan.

7. Kepada umat Islam kita sama-sama beringat dengan peringatan Allah dalam surah al-Maidah ayat 49-50.
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
"Dan hendaklah kamu berhukum kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka"
Allah peringatkan lagi
وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
"Dan berwaspadalah (beringatlah) dengan mereka menggoda (memalingkan kamu meninggalkan) sebahagian apa yang diturunkan Allah kepada kamu"

8. Marilah kita mengambil pengajaran dengan ayat seterusnya
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ ( 50 )
"Maka adakah hukum Jahiliyyah yang mereka cari. Dan siapakah yang terbaik berbanding Allah hukumannya bagi kaum yang yakin"

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
AJK Kerja PAS Pusat


Tarikh : 31 Mac 2015 / 10 Jamadilakhir 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sunday 29 March 2015

Butiran Perkara 76(A): Perkara 76A. Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri.

Butiran Perkara 76(A):
Perkara 76A. Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri.

(1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

(2) Walau apa pun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.

(3) Apa-apa perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri dibenarkan pada masa itu oleh Akta Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah, bagi maksud Perkara 79, 80 dan 82, dikira berkenaan dengan Negeri yang berkenaan seolah-olah perkara itu ialah suatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama.

Friday 27 March 2015

UNDANG-UNDANG JENAYAH MALAYSIA PERLUKAN REFORMASI

Kenyataan Media
Ketua Penerangan
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Jumaat 27 Mac 2015

UNDANG-UNDANG JENAYAH MALAYSIA PERLUKAN REFORMASI

1.Hampir genap 58 tahun sejak kemerdekaan negara pada 1957, Malaysia menjadikan undang-undang jenayah yang bersumberkan Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code) sebagai undang-undang yang mengawal kesalahan yang dilakukan terhadap masyarakat atau tingkah laku antisosial yang merbahaya dan bertentangan dengan nilai moral masyarakat serta melanggar kepentingan sosial dan awam.

2.Namun begitu, undang-undang yang terpakai sekian lama ini dilihat dan terbukti tidak dapat mencegah dan membasmi kegiatan jenayah daripada terus berlaku seiring dengan perkembangan sosial masyarakat dan kepesatan pembangunan negara itu sendiri atau dengan bahasa yang lebih mudah ialah – semakin maju negara, semakin giat dan berleluasa jenayah berlaku.

3.Hakikat ini diakui sendiri oleh statistik polis yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang melaporkan bahawa jumlah jenayah kekerasan yang meliputi kes bunuh, rogol, samun dan mencederakan bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 meningkat kepada 15,098 kes daripada 14,811 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2012.

4. Jika dibandingkan antara tahun 2012 dan 2013 pula, kes bunuh meningkat kepada 627 kes daripada 602 kes, kes samun bersenjata api meningkat kepada 21 kes daripada 17 kes, dan samun tanpa senjata api meningkat kepada 3,565 kes daripada 3,275 kes. Bagi kes curi kereta dan kenderaan komersial pula, masing-masing meningkat daripada 16,196 kepada 16,733 dan daripada 4,526 kepada 4,981.

5.Merujuk kepada data-data dan situasi ini, tidakkah wajar undang-undang yang sedia ada ini disemak semula? Bukankah telah jelas bahawa undang-undang hari ini tidak berupaya untuk membasmi dan mencegah jenayah? Harus kita akui bahawa sebenarnya kita sangat memerlukan sebuah undang-undang baru yang dapat memastikan keamanan dan hak-hak kita terpelihara daripada ancaman salah laku jenayah.

6.Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana telah mensyariatkan kepada kita Undang-undang Jenayah Islam (UUJI) yang merangkumi Hudud, Qisas dan Takzir. Hudud adalah bertujuan untuk menangani dua jenayah berat melibatkan harta iaitu mencuri dan merompak, dua jenayah melibatkan maruah iaitu bersetubuh luar nikah dan menuduh seseorang melakukan persetubuhan luar nikah, satu melibatkan penjagaan akal iaitu meminum arak dan satu lagi melibatkan agama iaitu murtad.

6.Oleh itu, amat padan sekali jika undang-undang jenayah Islam (UUJI) ini diterima pakai sebagai undang-undang jenayah yang baru dalam negara kita bagi membendung kesalahan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda yang makin berleluasa dalam negara kita saban hari.

7.Natijah paling utama daripada pelaksanaan UUJI ini ialah keberkesanan menangani jenayah itu sendiri. Keduanya, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan perbelanjaan pengurusan penjara. Menurut Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, secara puratanya dibelanjakan sebanyak RM35 untuk seorang banduan bagi setiap hari atau RM1,050 sebulan.

8.Sebagai contoh, pada tahun 2013, bagi kes berulang sahaja, terdapat 6,796 orang banduan; 5,553 orang daripadanya merupakan kes jenayah. Untuk angka ini sahaja, keberkesanan pelaksanaan UUJI bakal menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM5,830,650 (RM1,050 x 5,553) sebulan. Untuk pengetahuan semua, kini terdapat kira-kira 45,000 orang banduan di 35 penjara di seluruh Malaysia.

9.Saya rasa, sudah tiba masanya rakyat Malaysia dididik dan dibentuk dengan alternatif undang-undang lain iaitu undang-undang jenayah Islam. Ini kerana;

PERTAMA
Ia merupakan undang-undang yang telah diamalkan oleh 9 negeri Melayu sebelum membentuk Persekutuan.

KEDUA
Ia terbukti dalam sejarah moden hari ini telah berjaya mengekang jenayah mencuri dan merompak. Sebagai contoh, jumlah kes jenayah di Arab Saudi sepanjang 2012 ialah hanya 2,669 sahaja berbanding Malaysia yang mencecah 63,221 kes bagi tempoh Januari hingga Mei tahun yang sama sahaja. Merujuk kepada Seventh United Nations Survey of Crime Trends and Operations of Criminal Justice Systems pula, pada tahun 2000, jenayah rompakan perkapita memaparkan bahawa Malaysia berada pada tangga ke-26 berbanding Arab Saudi yang berada pada tangga ke-60.

10.Kenapa keadilan dan keamanan ini dapat diwujudkan? Ini kerana undang-undang jenayah Islam menekankan kedua-dua aspek; pencegahan dan hukuman. Hakikatnya, undang-undang jenayah Islam ini bukanlah asing buat rakyat Malaysia. Ia pernah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan semula. Insya-Allah.

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tarikh : 27 Mac 2015 / 6 Jamadilakhir 1436H

Thursday 26 March 2015

SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM“ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”

SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM
“ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”

Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.


“Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat. 


Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya تيسير الفقه للمسلم المعاصر [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan :
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.

1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.

2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W. : “Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut Qaedahالأمور بمقاصدها (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).

3- Fiqh Aulawiyyat 

Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.
“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297)

4- Maslahah
“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan. 

Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :
1- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.

2- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.
3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.

Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam, al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah:
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ (49) أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ (50) المائدة.
(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Serangan Provokatif Bersiri DAP Terhadap Presiden PAS; Apa Motifnya?

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 26.3.2015

Serangan Provokatif Bersiri DAP Terhadap Presiden PAS; Apa Motifnya?

1. Sejak isu MB Selangor dan Kajang Move secara bersiri DAP melancarkan serangan provokatif khususnya terhadap peribadi Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS.
2. Tuduhan khianat, membelakangi PR dan seumpamanya meniti di bibir bukan seorang di kalangan pimpinan DAP. Terakhirnya pula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS?
3. Namun peliknya, tindakan bersendiri PKR dalam Kajang Move tidak pula dikatakan membelakangi PR. Memecat Tan Sri Khalid untuk membuangnya daripada jawatan MB tanpa persetujuan bersama PAS tidak pula dikira khianat. Lim Kit Siang pula mencadangkan pakatan dengan BN atas tema "save malaysia"? Tidakkah itu pengkhianatan terhadap Dasar Bersama PR?
4. Lebih ketara apabila isu undang-undang jenayah Islam (UUJI) dibangkitkan DAP telah memperlihatkan wajahnya yang sebenar dalam menentang sebarang usaha mendaulatkan UUJI sehingga melupakan prinsip bersama PR iaitu "bersetuju untuk tidak bersetuju".
5. Perlu diingat bahawa PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam. Kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam. Begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihanraya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam.
6. Saya sangat bimbang dengan tindakan berterusan DAP menyerang, memfitnah dan menghina Presiden Parti Islam Semalaysia PAS dan terlalu keras menentang usaha mendaulatkan UUJI boleh menyebabkan hilangnya segala alasan syarie beragama untuk ahli-ahli PAS bekerjasama dan mengundi DAP dalam pilihanraya.
7. Justeru, saya menasihatkan DAP agar lebih berhemah dan tidak lagi meneruskan kenyataan provokatif terhadap PAS khususnya Presiden PAS jika PR masih diharapkan menjadi medium bersama menentang segala ketirisan, salahguna kuasa, rasuah dan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Khamis 26 Mac 2015 / 5 Jamadil Akhir 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Wednesday 25 March 2015

"Bicara Hudud adalah Bodoh" ; Itu Kenyataan Orang Bodoh

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 25.3.2015
"Bicara Hudud adalah Bodoh" ; Itu Kenyataan Orang Bodoh

1. Kebodohan yang sebenar-benarnya ialah Kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, bahawa orang yang berbicara tentang Hudud adalah bodoh.
2. Ia memperingatkan kita dengan firman Allah perihal perilaku golongan Munafikin dalam ayat 13 surah al-Baqarah
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لَا يَعْلَمُونَ
"Apabila dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman, mereka membalas; adakah kami patut beriman sebagaimana orang-orang bodoh beriman? Ketahuilah merekalah sebenar-benar orang yang bodoh tetapi malangnya mereka tidak tahu"
3. Undang-undang Jenayah Islam termasuk Hudud, Qisas dan Ta'zir adalah undang-undang Allah, Tuhan yang mencipta Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz dan memberi beliau nyawa, jasad, makan dan minum. Ia dibicarakan oleh Allah dalam al-Quran. Adakah Allah itu bodoh pada perkiraan Dato Seri? Memperbodohkan hukum-hakam Allah adalah memperbodohkan Allah. Ia tindakan yang boleh membawa kepada kekufuran.
4. Saya menasihati Dato Seri selaku seorang muslim agar segera bertaubat kepada Allah. Tidak ada manusia yang sempurna. Kesilapan dan keterlanjuran masih boleh diperbetulkan.
5. Ashaab al-Samahah, Mufti-mufti dan ahli agama dalam kerajaan juga perlu segera menasihati Dato Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz kerana beliau adalah seorang menteri kerajaan.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Rabu 25 Mac 2015 / 4 Jamadil Akhir 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Tarik Balik Keputusan Putus Hubungan dengan Presiden PAS, Kembalikan Keharmonian PR - Dato Mahfuz Omar

Kenyataan Media: Tarik Balik Keputusan Putus Hubungan dengan Presiden PAS, Kembalikan Keharmonian PR
1. Saya mendesak agar DAP menarik kembali keputusan yang pelik lagi aneh iaitu kekal berada di dalam Pakatan Rakyat tetapi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kerjasama di dalam Pakatan Rakyat melibatkan antara parti dan juga kepimpinan setiap parti. Mana mungkin kerjasama dapat diteruskan dalam keadaan DAP membuat keputusan tidak menghormati Presiden PAS sebagai yang mewakili PAS secara keseluruhannya di dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
2. DAP wajar menimbang semula keputusan ini kerana jika tidak ia akan menjadi bahan lawak-jenaka dalam kalangan rakyat yang melihat gelagat ahli politik. DAP sebagai parti yang dipimpin oleh pemimpin senior yang agak lama dan berusia sepatutnya bertindak dengan lebih matang, seperti ‘stateman’ bukannya berkelakuan seperti kanak-kanak. Negarawan sifatnya lebih terbuka dan bertoleransi dalam hal yang tidak disepakati bukannya melihat kepentingan sendiri sahaja.
3. Keputusan yang dibuat DAP ini memberikan impak buruk kepada Pakatan Rakyat. Pastinya ia turut menghampakan rakyat yang berharap kepada PR sebagai alternatif pengganti kepada Barisan Nasional  yang mentadbir negara ini sejak sekian lama. Ruang dan peluang untuk berpakat dalam perkara yang disepakati masih ada, mengapa DAP masih memilih untuk membesarkan isu yang berkait prinsip dan dasar perjuangan parti rakan yang sepatutnya dihormati.?
4. Serangan peribadi yang tajam dan kasar kepada Presiden PAS seperti tuduhan mengatakan beliau khianat, tidak jujur, tidak bermaruah dan bergabung dengan UMNO adalah serangan yang pasti mencalarkan hati dan perasaan sekalian ahli PAS. Tuduhan kononnya Presiden PAS bekerjasama dengan UMNO dalam isu Hudud ini adalah tidak munasabah kerana hak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memilih untuk menyokong pindaan yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan. Di Parlimen sendiri, sudah menjadi perkara normal dan tidak pelik apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut bersetuju dan menyokong usul yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional seperti contoh Usul berkenaan Gaza, MH 370, ISIS dan begitu juga rang undang-undang yang lain.
5. Ironinya, yang terbaru Ahli Parlimen Gelang Patah, YB Lim Kit Siang yang merupakan Penasihat DAP pula mencadangkan gabungan “Save Malaysia” yang menggabungkan ahli parlimen BN dan PR untuk mentadbir Malaysia. Bukankah ini juga boleh dikatakan perbuatan khianat kepada PR dan melanggar Dasar Bersama dan Konsensus PR.?
6. Justeru, saya mempertegaskan kembali agar DAP menarik kembali keputusan yang aneh lagi pelik itu kerana tidak ada kerjasama yang menafikan ketua untuk mewakili partinya sendiri. Kami para pimpinan dan ahli PAS tetap berdiri teguh dan bersama dengan Presiden parti kami, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

DAP Jangan Cuba Pecah-Belahkan PAS - Dato Dr Mahfodz

KENYATAAN MEDIA
PEMANGKU KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

DAP jangan cuba pecah belah PAS - http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/34528-dap-jangan-cuba-pecah-belah-pas
DAP Jangan Cuba Pecah-Belahkan PAS
1. DAP jangan cuba menusukkan jarum beracun memecah-belah kesatuan Parti Islam Semalaysia (PAS) menerusi kaedah "pecah dan perintah" apabila membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS.
2. DAP jangan memisahkan Dato' Seri Tuan Guru Presiden daripada PAS sedangkan PAS diketuai dan dipandu oleh Presiden sebagai ketua parti. Keputusan Presiden adalah keputusan bersama parti termasuk dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam menerusi Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 (Pindaan 2015).
3. Benarlah kata Setiausaha Agong PAS, Dato' Mustafa Ali tindakan DAP itu adalah kebudak-budakan.
4. Benar juga penegasan Naib Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat bahawa memutuskan hubungan dengan Presiden PAS bererti memutuskan hubungan dengan PAS.
5. Dewan Ulamak PAS Pusat menasihatkan DAP agar jangan memberi peluru kepada musuh bertepuk tangan melihat pertembungan dalam Pakatan Rakyat. Hormati pendirian PAS untuk memperjuangkan Undang-undang Jenayah Islam kerana ia bukan dasar bersama Pakatan Rakyat tetapi dasar bersendiri PAS.
6. Dengan memutuskan  hubungan  dengan Tuan Guru Presiden, pimpinan DAP jangan bermimpi di siang hari bahawa  ahli-ahli PAS akan  menggugurkan  hasrat  untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam kerana perjuangan untuk mendaulatkan Islam bukan sahaja perjuangan Tuan Guru  Presiden tetapi perjuangan yang didokong oleh seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS di semua peringkat.
7. Kita perlu teruskan konsep "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam Pakatan Rakyat dalam isu undang-undang jenayah Islam.
8. Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan pendirian sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden kami.
Dato' Dr Mahfodz Mohamed
Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Rabu 25 Mac 2015 / 4 Jamadil Akhir 1436H

Sunday 22 March 2015

KENAPA PR PERLU BERPECAH KERANA HUDUD?

KENAPA PR PERLU BERPECAH KERANA HUDUD?

1. PR tidak perlu berpecah kerana Undang-undang Jenayah Islam (UUJI) merangkumi Hudud, Qisas dan Ta'zir. Hal ini kerana
PERTAMA;
UUJI sememangnya perjuangan PAS sahaja dan bukannya perjuangn DAP dan PKR dan bukan perjuangan bersama PR sebagaimana ia juga bukan perjuangan UMNO dan BN.
KEDUA;
Ketika penubuhan PR tahun 2009 sememangnya UUJI bukannya perjuangan yang disepakati bersama. Maka kenapa perlu berpecah hari ini selepas 6 tahun kerana perkara yang sememangnya tidak disepakati dari awal lagi ?
PR dibentuk bukan untuk menegakkan UUJI tetapi untuk perjuangan bersama menentang kezaliman, ketidakadilan, salah urus tadbir, ketirisan pengurusan kewangan, rasuah dan penyelewengan.
Dalam perkara yang tidak disepakati bersama maka ia kekal menjadi perjuangan bersendirian masing-masing parti tanpa prejudis.
Tolak ansur dalam perkara berbeza adalah semata-mata supaya PR boleh dibentuk.
KETIGA;
Di atas konsep "agree to dis-agree" bersetuju untuk tidak bersetuju, maka PAS bersetuju untuk DAP dan PKR tidak bersetuju dengan perjuangan untuk melaksanakan UUJI.
Maka di atas konsep itu jugalah DAP dan PKR perlu menghormati hak demokrasi PAS untuk memperjuangkan UUJI menurut lunas demokrasi, bukan dengan mengugut atau menuduh PAS sebagai pengkhianat.
KEEMPAT;
Tidakkah DAP dan PKR sedar bahawa PAS tidak mungkin menggugurkan UUJI daripada diari perjuangan mereka di saat menubuhkan PR?? Sebagaimana PAS sedar bahawa DAP dan PKR sememangnya tidak akan menyokong UUJI?
Justeru, kenapa kita bersetuju untuk bersama menubuhkan PR? Jawapannya tentulah kerana kita bersetuju pada perkara bersama dan bertolak ansur dalam perkara berbeza.
KELIMA;
UUJI diperjuangkan sebagai hak beragama orang Islam. Ia tidak melibatkan bukan Islam.
KEENAM;
UUJI diperjuangkan oleh PAS menurut lunas demokrasi menerusi DUN dan Parlimen yang dibenarkan oleh perlembagaan.
2. Alangkah baik kalau DAP dan PKR boleh menyatakan "kami tidak menyokong dan  bersetuju dengan Hudud tapi kami menghormati hak demokrasi PAS untuk memperjuangkan Hudud.
3. Alangkah baik kalau DAP dan PR mengisytiharkan; "Kami berbeza dalam bab Hudud tapi kami bersama dalam menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta ketidakadilan"
Maka tidak ada sebab untuk PR berpecah kerana Hudud!!!
4. Sekali lagi saya ingin mengajak DAP dan PKR;
Hormatilah PAS dan hak demokrasi PAS untuk melaksanakan Hudud dan membawa RUU ke Parlimen dan anda bebas untuk tidak bersetuju!
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Ahad 22 Mac 2015 / 1 Jamadil Akhir 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/
Terima kasih.

Thursday 19 March 2015

SOLIDARITI UNTUK 13 OKT Pejuang Menentang Kezaliman Penguasa & Rakan yang Khianat

Kenyataan Media
SOLIDARITI UNTUK 13 OKT
Pejuang Menentang Kezaliman Penguasa & Rakan yang Khianat

1. Pasca PRU12 pada Mac 2008, gabungan PAS, PKR dan DAP telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri walaupun hanya dengan majoriti 3 kerusi DUN; 31 kerusi dikuasai oleh gabungan 3 parti ini manakala 28 kerusi lagi dimenangi oleh BN. DS Mohammad Nizar Jamaluddin pada 17 Mac 2008 telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.
2. Kerajaan yang dibentuk tanpa kekuatan majoriti 2/3 ini akhirnya tumbang bermula dengan isu 2 Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu ADUN PKR yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta.
3. Walaupun pada 25 Januari 2009 ADUN Bota daripada UMNO, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada BN untuk menyertai PKR, ia diikuti dengan peristiwa pelik 2 ADUN PKR; Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu hilang bermula 26 Januari 2009 sehinggakan DS Mohammad Nizar Jamaluddin terpaksa meminta 2 ADUN tersebut mengisytiharkan segera pendirian mereka sama ada masih bersama PR Perak atau sebaliknya pada 1 Februari 2009.
4. Lebih mendukacitakan apabila pada 4 Februari 2009, 3 ADUN PKR; Datuk Nasaruddin Hashim (Bota), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), dan seorang ADUN DAP iaitu Hee Yit Foong (Jelapang) didapati berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya diikuti dengan pengumuman oleh TPM pada ketika itu iatu DS Najib Razak bahawa BN mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila kesemua ADUN itu tadi telah mengisytiharkan keluar parti.
5. Berikutan daripada peristiwa pengkhianatan inilah berlakunya insiden bantahan terhadap majlis angkat sumpah Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sehingga mengakibatkan 13 orang peserta demostrasi membantah rampasan Kerajaan Negeri Perak telah disabitkan salah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari semalam dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan penjara.
6. Mereka adalah Mujahid, pejuang kebenaran sebagaimana yang digambarkan oleh hadis Nabi saw;
أَلاَ إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
"Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik Jihad ialah kalimah yang benar berhadapan dengan penguasa yang zalim" (Hadis riwayat Ahmad).
7. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar menghadapi kemungkaran pemerintah dengan lidah dan tenaga mereka.
8. Hari ini mereka membayar harga yang mahal melibatkan diri dan keluarga untuk perjuangan kebenaran tersebut apabila undang-undang negara menerusi Mahkamah Rayuan tidak memihak kepada mereka. Malah sebelumnya mereka berhadapan dengan perbicaraan mahkamah yang panjang lebih 5 tahun yang tentu sahaja mengganggu emosi dan kehidupan diri dan keluarga.
9. Saya menzahirkan rasa dukacita terhadap semua pejuang terhadap hukuman yang telah dikenakan ke atas mereka. Semoga semua pejuang dan ahli-ahli keluarga mereka dapat terus bersabar dengan ujian ini dan sentiasa berdoa kepada Allah semoga pejuang dapat terus istiqamah di atas jalan kebenaran.
10. Saya yakin dan percaya, mereka akan dikurniakan kebaikan dan ganjaran yang hebat oleh Allah kerana telah bersungguh-sungguh mempertahankan kebenaran yang dirosakkan oleh perbuatan khianat. Saya menyeru, marilah sama-sama kita bersolidariti membela hak dan nasib mereka serta keluarga mereka.
Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : 19 Mac 2015 / 28 Jamadil Awal 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Wednesday 18 March 2015

Hudud: DAP TIDAK PERLU UGUT PAS

HUDUD : DAP TIDAK PERLU UGUT PAS
Teguran Buat Lim Kit Siang & Athony Loke
http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/34403-enakmen-jenayah-syariah-dap-tidak-perlu-ugut-pas

Kenyataan Media Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
HUDUD : DAP TIDAK PERLU UGUT PAS
Teguran Buat Lim Kit Siang & Athony Loke
1. PAS berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keseluruhan Undang-undang Jenayah Syariah merangkumi Hudud, Takzir dan Qisas dilaksanakan tidak sedikit pun kerana kepentingan politik. Ia adalah kerana tuntutan agama Islam itu sendiri. Jaminan hak beragama ini harus diakui oleh DAP kerana ia adalah sebahagian daripada prinsip persefahaman politik yang membentuk Pakatan Rakyat (PR).
2. Oleh itu, apabila PAS mahu dan bekerja untuk ia dilaksanakan, tidak perlulah DAP mengugut PAS dengan ancaman PR akan berpecah jika PAS teruskan usaha itu. Pecah atau kukuh PR adalah di tangan kita yang menentukan bukan di tangan UMNO. Sebagai seteru di medan politik, memanglah hasrat UMNO mahu PR berpecah. Tetapi pendirian dan sikap kita sendirilah sebagai rakan sekawan akan menentukan nasib hubungan kita.
3. Jika DAP berpendirian menghormati perjuangan PAS ini dan bersikap tidak menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh PAS untuk merealisasikannya mengikut saluran demokrasi, PR pasti akan bertambah kuat dan kukuh; dihormati kawan, lawan dan seluruh rakyat. Lebih-lebih lagi perjuangan ini adalah aspirasi PAS sejak penubuhannya lagi dan DAP pun tahu tentang hal itu seawal penubuhan Barisan Alternatif dulu dan juga semasa PR dibentuk 2009.
4. Gerak-kerja dan usaha untuk memastikan Undang-undang Jenayah Islam ini dilaksanakan adalah lebih awal berlaku berbanding penubuhan PR itu sendiri. Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (1993) 2015 yang dibawa oleh Kerajaan Kelantan pada hari ini untuk pindaan adalah tetap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan penambahbaikan dari sudut laras bahasa dan akta bukannya undang-undang baru sebagaimana yang didakwa.
5. Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan PR itu adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita. Malangnya, DAP tidak bersikap demikian. Maka, jika lemahlah PR, ia adalah berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap PAS sendiri. Bukan kerana PAS bertegas mahu laksanakan Undang-undang Jenayah Islam.
6. Saya yakin dan percaya, jika DAP terus berkeras dengan PAS dalam isu Undang-undang Jenayah Islam ini, UMNO-lah paling gembira. Cita-cita mereka untuk melihat PR berpecah menjadi semakin cerah. PAS sudah pun berhabis lembut dan lunak menjelaskan semuanya kepada DAP tentang isu penggubalan dan pelaksanaan  Undang-undang Jenayah Islam ini.
7. Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 yang berbunyi seperti berikut;
“Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.”
Merujuk kepada kenyataan di atas, PAS sentiasa menghormati hak DAP untuk berbeza pandangan tetapi tidak untuk menghalang sebarang pindaan yang memperkukuhkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993.
8. Tahniah kepada Kerajaan Kelantan yang membawa rang undang-undang tersebut untuk pindaan pada hari ini di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
9. Nasihat tulus ikhlas saya pula buat Lim Kit Siang, Athony Loke dan seluruh pimpinan DAP – hormatilah PAS! Bersama kita kukuhkan PR.
Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh : Rabu 18 Mac 2015 / 27 Jamadilawal 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Monday 16 March 2015

‘DISPENSING SEPARATION’ : Ruang Kapitalis Kuasai Ekonomi Negara

Kenyataan Media
‘DISPENSING SEPARATION’ :
Ruang Kapitalis Kuasai Ekonomi Negara

1. Merujuk kepada isu pengasingan fungsi klinik dan farmasi (dispensing separation), saya membantah cadangan tersebut dan mendesak supaya pengamalan sekarang iaitu klinik juga memberikan ubat kepada pesakit dikekalkan. Adalah terlalu bermudah dan dangkal untuk menyimpulkan bahawa kualiti penjagaan kesihatan akan bertambah lebih baik dengan penguatkuasaan undang-undang pendispensan (dispensation) wajib oleh ahli farmasi. Bantahan dan penegasan ini telah saya sampaikan semasa memberikan ucapan Menjunjung Kasih Titah YDPA di Dewan Rakyat minggu lalu.

2. Sekiranya pengasingan dilakukan, ia hanya akan menambahkan kos yang perlu ditanggung oleh rakyat untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

3. Dalam sistem sedia ada sekarang, pesakit hanya dikenakan caj RM0 hingga RM15 sahaja untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor di klinik. Bahkan, pesakit juga boleh secara langsung mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada doktor untuk diskaun dan ubat-ubatan generik yang lebih murah harganya.

4. Jika diasingkan, ia akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan kerana rakyat atau pesakit perlu membayar kos konsultasi dengan doktor dan kos ubat secara caj berasingan ditambah pula dengan kos sampingan lain seperti kos pengangkutan. Hong Kong, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan telah melakukan kajian dan membuktikan hal ini. Keadaan ini juga sekaligus menjadikan proses melengkapkan rawatan kesihatan menjadi lebih rumit dan tidak efektif.

5. Sebagai Kerajaan, sepatutnya perlu melihat dan menyediakan cara untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung oleh rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan harga runcit petrol mula mengalami kenaikan yang pasti sekali memberi kesan kenaikan berantai terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain; GST pula akan dilaksanakan bermula April ini; tarif elektrik juga akan dinaikkan pada tahun hadapan setelah ditangguhan pada tahun ini.

6. Persoalan yang ingin saya kemukakan ialah kenapa pengasingan ini tetap mahu dilaksanakan dalam sistem kesihatan di Malaysia dalam keadaan negara telah diiktiraf sebagai negara ke-3 terbaik mempunyai sistem kesihatan dan negara maju seperti UK pun menilai semula pelaksanaan ‘dispensing separation’ ini akibat kesan-kesan negatif yang timbul daripada pelaksanaannya.

7. Saya bimbang pengasingan ini akan menjadi satu lagi mata rantai untuk jerung kapitalis bermodal besar menguasai ekonomi melalui industri farmasi. Taikun-taikun dalam industri farmasi akan menapak lebih kukuh dalam pasaran ekonomi negara sehingga menjejaskan pendapatan farmasi-farmasi kecil di negara ini. Keadaan ini mestilah dicegah, kerana ia dilarang oleh Allah s.w.t. dalam firmaNya :

كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ

“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” (Surah al-Hasr : 7)

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 16 Mac 2015 / 25 Jamadilawal 1436H

__________

Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Friday 13 March 2015

SEMAK SEMULA FATWA GST

Kenyataan Media
SEMAK SEMULA FATWA GST

1.   Semasa menyampaikan ucapan Menjunjung Kasih Titah YDPA semalam di Dewan Rakyat, saya telah mendesak agar fatwa keharusan GST yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-106, yang bersidang pada 21-22 Oktober lalu disemak semula.

2.   Dalam ucapan tersebut, saya telah menyatakan beberapa hujah bahawa GST bercanggah dengan prinsip percukaian Islam. Boleh teliti ucapan saya di sini : https://www.youtube.com/watch?v=kK2MCBXd96I.

3.   Secara ringkasnya, ia haram dikutip kerana tidak menepati 3 syarat pengharusan cukai dalam Islam iaitu :

I)     Kerajaan benar-benar terdesak memerlukan cukai untuk menampung keperluan negara.

        Apabila disemak belanjawan negara ternyata realitinya kerajaan masih mempunyai sumber selain cukai GST yang boleh dioptimumkan bagi menambah hasil pendapatan negara tanpa perlu mengenakan cukai GST.

II)    Keperluan mendesak itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan.

        Realitinya ialah kerajaan masih berboros dalam berbelanja sehingga berlaku belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut dan masih berlaku ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara sehingga dianggarkan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion setahun sebagaimana semakan berdasarkan Laporan Audit Negara.

III)   Hanya dikenakan kepada golongan berkemampuan yang mempunyai pendapatan melebihi keperluan.

        Realitinya, GST dikenakan berasaskan perbelanjaan dan perkhidmatan bukannya berasaskan pendapatan menyebabkan individu rakyat yang tidak mempunyai lebihan pendapatan boleh guna juga terpaksa membayarnya. Contoh yang paling mudah ialah setiap rakyat yang mengeluarkan wang menggunakan kad bank daripada ATM berbeza (MEPS) akan dikenakan caj 6 sen GST selain RM1 caj perkhidmatan MEPS. Sedangkan orang yang mengeluarkan duit barangkali seorang miskin yang tidak mencukupi pendapatannya untuk keperluan seharian.

4. Sebelum ini juga, saya telah menulis beberapa artikel bagi menjelaskan konsep percukaian dalam Islam dan percanggahan GST dengan Islam. Boleh rujuk di sini : http://drtakiri.blogspot.com/2014/04/gst-bercanggah-dengan-prinsip.html dan di sini : http://drtakiri.blogspot.com/2014/05/gst-adalah-cerminan-pertembungan-2.html.

5. Saya sendiri dengan rendah hati bersedia untuk hadir jika dipanggil oleh Jawatankuasa Fatwa bagi mewakili PAS untuk menyatakan pandangan syarak berkenaan masalah ini.

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

13 Mac 2015 / 22 Jamadilawal 1436H

# sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel lain dalam pelbagai isu nasional

Tuesday 3 March 2015

Krisis Ekonomi : IMPLIKASI & PENYELESAIAN ISLAM

Krisis Ekonomi :
IMPLIKASI & PENYELESAIAN ISLAM

1. Kejutan minyak (oil shock) berikutan kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel telah mengakibatkan Malaysia mengalami krisis ekonomi pertama sejak 1970 iaitu pada 1973/74. Kesannya, bagi tempoh 1970 hingga 1980, pertumbuhan ekonomi negara hanya meningkat 0.8% pada 1975 iaitu paras terendah bagi tempoh itu.

2. Revolusi Iran pula sekali lagi menyebabkan berlakunya ‘oil shock’ pada 1978. Ia sehingga menyebabkan negara-negara maju yang menganggotai Organisation for Economic Cooperation dan Developement (OECD) yang berpendapatan tinggi dengan Indeks Pembangunan Manusia (Human Developement Index, HDI) yang tinggi mengalami kemelesetan ekonomi. Negara membangun seperti Malaysia juga turut terjejas apabila pertumbhan KDNK meningkat perlahan pada awal 1980an berikutan kejatuhan eksport dan harga komoditi.

3. Akibat kelembapan ekonomi dunia dan kejatuhan harga komoditi seperti petroleum, kelapa sawit dan timah, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1% pada 1985. Berbanding pada 1984, kadar penggangguran meningkat sebanyak 2.7% kepada 8.5% pada 1985. Kesannya, perbelanjaan mengurus tidak dapat ditampung oleh Kerajaan kerana hasil pendapatan yang merosot teruk. Ia terus meningkat kepada RM20.1 bilion pada 1986 iaitu peningkatan sebanyak 7%. Defisit berkembar yang terjadi pada 1986 berpunca apabila akaun semasa imbangan pembayaran dan akaun semasa Kerajaan Persekutuan mengalami defisit serentak pada tahun tersebut.

4. Setelah Thailand diserang oleh penyangak matawang, Malaysia turut menimpa nasib yang sama pada Julai 1997 sehingga membawa kepada jualan menyeluruh di pasaran saham dan pasaran tukaran wang. Krisis kewangan Asia yang bermula pertengahan 1997 ini merebak sehingga hampir ke semua negara ASEAN termasuk Indonesia, Jepun, Republik Korea selain daripada Thailand dan Malaysia. Pada tahun tersebut, nilai Ringgit ialah RM4.10 bagi setiap dolar, iaitu kemerosotan sebanyak 50% daripada RM2.50 sebelumnya.

5. Sekali lagi Malaysia berhadapan dengan masalah ekonomi ialah pada akhir 2008 apabila pertumbuhan ekonominya hanya 0.1% dalam suku keempat diikuti dengan KDNK menguncup sebanyak 1.6% pada 2009. Kemerosotan kualti ‘subprime asset’ yang menyebabkan kegagalan institusi kewangan Amerika Syarikat pada 2007 membangkitakan kebimbingan secara meluas dalam pasaran kewangan global. Malaysia terkesan dengan kemelesetan global itu sehinggakan eksport merosot sebanyak 7.4% manakala pengeluaran kilang merosot sebanyak 11.1%.

6. Pada akhir 2014 pula berlakunya kejatuhan harga minyak global yang sudah pasti  memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai negara pengeluar minyak. Kejatuhan ini sehingga mengakibatkan Kerajaan terpaksa melakukan semakan semula terhadap Bajet 2015 yang telah dibentangkan pada Oktober 2014. Dengan unjuran purata paras harga minyak baru iaitu AS$55 setong, defisit yang dikaji semula ialah 3.2% berbanding 3.0% seperti yang diumumkan sebelumnya dan perbelanjaan mengurus (operating expenditure) pula dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion. Pendapatan negara juga berkurang RM13.8 bilion berikutan kejatuhan harga minyak ini. Mata wang juga mengalami susut nilai yang agak tinggi. Kini ia berada pada paras RM3.60 bagi setiap dolar.

7. Pada 2015 dijangkakan harga barangan akan meningkat sekaligus meningkatkan kadar inflasi. Pelaksanaan GST bermula April dan kenaikan semula harga minyak global khususnya akan lebih ketara bermula suku kedua nanti turut meningkatkan harga runcit bahan api itu dalam pasaran tempatan. Ia pastinya akan menambahkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat.

8. Walaupun pada keenam-enam senario kelembapan atau kejatuhan ekonomi negara seperti yang dinyatakan ini dilihat berlaku kerana faktor luaran,  namun, persoalan kesensitivitian persekitaran ekonomi negara terhadap perubahan luar agar mempunyai upaya kendiri bagi mengurangkan impak itu dan membangunkan ‘sustainble economic growth’ adalah sangat penting untuk dinilai dan disemak khususnya dengan kaca mata Islam.

Malaysia sebagai negara yang mempunyai pelbagai sumber yang melebihi keperluan sepatutnya berada dalam situasi ekonomi yang sihat dan segar.

9. Akibat urus tadbir ekonomi dan kewangan negara yang bermasalah, keadaan bertukar menjadi sebaliknya; sumber yang ada tidak berkecukupan untuk menampung keperluan.

Justeru, ia akan boleh membawa kepada kegawatan dan ketidakstabilan masyarakat, lalu memaksa negara itu meminjam, berhutang dan meminta bantuan daripada negara lain.

Keadaan ini akan selamanya berterusan jika ia tidak ditangani melalui penyelesaian-penyelesaian yang bertepatan dengan kebijaksanaan akal manusia yang berteraskan wahyu Ilahi serta sifat amanah para pemimpin.

10. Bagi mencapai apa yang saya maksudkan tadi, panduan-panduan yang dikemukakan oleh Islam di dalam al-Quran dan al-Hadis serta amalan Sahabat perlu kembali menjadi teras pembangunan dan pengurusan ekonomi negara.

Antara solusinya ialah;

PERTAMA; Perbelanjaan mestilah dibuat berdasarkan keperluan dan lebihan yang ada. Bukannya merancang dan berbelanja melebihi pendapatan.

“Mulakanlah dengan dirimu sendiri dan bersedekahlah. Sekiranya terdapat lebihan, maka ia untuk ahli keluargamu. Sekiranya terdapat lebihhan lagi (selepas penggunaan ahli keluargamu), maka berikannya kepada kaum kerabatmu. Sekiranya masih ada lebihan juga, maka begitu dan begitu.

(Riwayat Muslim)

Bajet dengan perbelanjaan melebihi pendapatan selama 18 tahun berturut-turut menunjukkan kita membelakangkan panduan Islam ini.

KEDUA; Menegah daripada berlakunya pembaziran dan ketirisan; sama ada disebabkan kecuaian ataupun sikap tidak amanah.

“.....dan makanlah, minumlah serta janganlah kamu membazir. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada mereka yang membazir.”

(Surah al-A’raf : 31)

Laporan Ketua Audit Negara menjadi bukti kukuh bahawa pembaziran dan ketirisan sentiasa wujud. Sama ada pencegahannya tidak berkesan atau sengaja dibiarkan perkara itu berlaku demi menjamin kepentingan-kepentingan pihak tertentu, ia tetap memberikan impak yang sangat negatif kepada kedudukan kewangan negara.

KETIGA; Menyediakan instrumen membolehkan rakyat memperolehi keupayaan memiliki "pendapatan boleh guna" (disposible income) bagi memenuhi keperluan asas minima seseorang.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan pemberian bulanan oleh kerajaan sebagaimana berlaku di zaman Umar bin al-Khatab atau oleh tabung bantuan bersasar oleh korporat-korporat negara.

Ini kerana konsep asas Islam ialah kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat lapar tidak cukup makan dan tidak cukup pendapatan untuk keperluan asasi. Keadaan ini mendorong berlakunya jenayah.

Di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab seorang hamba milik Hatib bin Abi Balta'ah telah mencuri dan menyembelih seekor unta milik seorang lelaki daripada Muzainah kerana Hatib tidak memberinya cukup makan. Lalu Umar menegaskan kepada anak Hatib yang menguruskan hamba tersebut;

ِ وَاللَّهِ لَأُغَرِّمَنَّكَ غُرْمًا يَشُقُّ عَلَيْكَ
"Demi Allah, aku pasti mendenda kamu dengan denda yang sangat berat"

Umar lalu mengenakan ganti rugi 400 dirham bagi unta yang dicuri dan disembelih dan 400 dirham lagi sebagai denda membiarkan hamba berlapar sehingga terpaksa mencuri

(Riwayat Imam Malik)

Hamba Hatib sepatutnya dipotong tangan kerana mencuri. Tetapi oleh kerana kelaparan menjadi sebab dirinya mencuri maka ia menjadi sebab untuk hukuman Hudud potong tangan digugurkan. Kesalahan pula dibebankan kepada tuan punya hamba yang menyebabkan hambanya lapar lalu mencuri.

Ia menjadi satu asas konsep bernegara bahawa tuan punya hamba atau majikan atau kerajaan tidak boleh membiarkan rakyatnya berlapar tidak cukup makan. Apabila berlaku rakyat kelaparan maka bebanan dan kesalahannya mesti dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.

Bagaimana pula kerajaan hari ini yang gagal menguruskan ekonomi dan mengenakan pelbagai sistem percukaian seperti GST, cukai kenderaan yang tinggi, kenaikan harga rumah kerana monopoli dan manipulasi sehingga rakyat kelaparan tidak cukup makan? Apakah kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan?

Harga barangan dan perkhidmatan, gaji bulanan pekerja dan item-item yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat termasuklah kos perumahan dan pengangkutan mestilah direvisi. Jika ia benar-benar berpadanan dengan kemampuan rakyat, pasti jenayah dan perkara munkar yang berlaku dalam masyarakat dapat dikurangkan dan dibasmi.

11. Saya rasa, memadailah tiga panduan yang ditunjukkan oleh Allah, RasulNya saw dan sahabat Nabi seperti Umar ini kita patuhi. Keberkatan pasti akan mencurah-curah ke atas kita semua. Keberkatan inilah “parameter” yang tiada dalam sistem atau model ekonomi selain Islam. Itulah punca sebenar kegagalan ekonomi sesebuah negara.

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
(Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat)

Tarikh : 3 Mac 2015 / 12 Jamadilawal 1436H