Friday 7 April 2017

BIODATA DATO' DR KHAIRUDDIN AMAN RAZALI - KEMASKINI 2017

BIODATA

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI merupakan anak kelahiran Kg Baru, Seberang Takiri, Kuala Nerus pada 9hb Disember 1973. Gelaran “at-Takiri” adalah nisbah kepada kampug kelahiran beliau Seberang Takir.

Mendapat pendidikan awal di Sek. Rendah Seberang Takir (1980 -1985), seterusnya ke Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (1986-1988), Sek. Men. Agama (Atas) Sultan Zainal Abdin, Batu Buruk (1989-1992) di Aliran Thanawi. Kemudian menyambung pengajian tinggi di peringkat Bachelor di Jabatan Bahasa & Kesusateraan Arab, University of Jordan (1992-1996), peringkat Master di Jabatan Bahasa & Kesusateraan Arab, Aal al-Bayt University of Jordan (1996-1999) dan seterusnya mendapat Phd Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010 menerusi kajian Partikel Waw dan Pengaruhnya Terhadap Terjemahan Makna al-Quran ke dalam Bahasa Melayu.

Beliau bertugas sebagai Guru Bahasa seterusnya pensyarah Bahasa di CELPAD, Univ Islam Antarabangsa (1999-2002), Tutor seterusnya Pensyarah di Jabatan Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (2002-2008) sebelum meletak jawatan pada 2008 untuk memberi tumpuan kepada perniagaan dan projek pendidikan.

Pada 2004 beliau mengasaskan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, sg. Merab, Bangi, sebuah pusat pendidikan Tahfiz & Akademik percuma untuk anak-anak yatim, seterusnya Sek Ren Islam Pintar Tahfiz Fuqaha pada 2007 dan Kolej Islam Fuqaha pada 2008 yang semuanya bernaung di bawah Muassasah Darul Fuqaha. Sehingga kini pelajar DARUL FUQAHA menjangkau 300 orang.
Beliau terlibat aktif menyampaikan ceramah dan kuliah di media elektronik TV dan radio seperti IKIM, Radio 1 (Klasik.Fm sekarang), RTM 1, TV9 dan TV3 sejak tahun 2000.

Beliau aktif dalam organisasi kebajikan dan dakwah dengan mengasas dan mempengerusikan Persatuan Prihatin Ummah Malaysia, Sekreteriat Penerbit & Pengedar Buku Islam Malaysia dan Nadwah Ilmuwan Muslim dan pernah memegang amanah AJK Persatuan Ulamak Malaysia selama 2 penggal. Sehingga kini beliau diberi amanah untuk menganggotai Majlis Perundingan Islam (MPI), Kluster Politik MPI, Dewan Agamawan, Majlis Dakwah Negara, juga sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Kelantan.

Beliau aktif menulis di akhbar dan majalah dan menghasilkan beberapa buah buku antaranya Hukum Berurusniaga dengan Yahudi Dunia, Hak Bukan Islam Dalam Negara Islam, Adab-Adab Berdoa, Perspektif Islam Dalam Pelbagai Isu, Hukum Intipan Khalwat, Hiburan dan Gurau Senda Dalam Islam, Azkar Solihin, Isu Hudud Inilah Jawapannya, Politik dan Pilihanraya dalam Islam dan Bahtera Ilmu dan Politik.

Beliau juga aktif sebagai Ahli Perniagaan dan Usahawan dalam beberapa bidang perniagaan khususnya selepas 2008 antaranya bidang pengeluaran dan pengedaran produk kesihatan dan kosmetik yang selalu diiklankan di media elektronik seperti TV Hijrah dan TV9 dan TV 3.
Dalam Parti Islam Semalaysia PAS beliau diamanahkan sebagai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (2013-2017), Ketua Lajnah Ekonomi PAS Pusat (2013-2017), Timbalan Pengarah Institut Strategi PAS, AJK PAS Pusat (2013-2017) dan Ahli Majlis Syura Ulamak (untuk sesi 2013 dan 2015-2020)

Pada pilihanraya umum 2013 beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Kawasan Kuala Nerus.


http:www.drtakiri.blogspot.com / http:www.facebook.com/drtakiri/

No comments:

Post a Comment