Thursday 20 April 2017

HARGA KERETA :* *ADA CARA TURUN, TETAPI KERAJAAN SENGAJA TIDAK MAHU TUNAI JANJI*

*Kenyataan Media*

12 April 2017 | 15 Rejab 1438H

*HARGA KERETA :*
*ADA CARA TURUN, TETAPI KERAJAAN SENGAJA TIDAK MAHU TUNAI JANJI*

1. Pada 4 April (Selasa) lalu, saya telah menerima jawapan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terhadap soalan saya berkenaan janji Kerajaan untuk *menurunkan harga kereta sehingga 30% menjelang 2018 dan kesediaan Kerajaan untuk menghapuskan duti eksais*. Soalan ini berikutan janji yang telah *dikemukakan oleh BN dalam manifesto mereka pada PRU13 lalu*.

2. Jawapan tersebut menjelaskan, *bagi tempoh 2013 hingga 2015, harga kereta telah turun sebanyak 14.68% namun meningkat semula sebanyak 2.13% pada 2016 menjadikan penurunan keseluruhan harga kereta sehingga 2016 hanyalah sebanyak 12.55%*. Dinyatakan juga bahawa Kerajaan tiada perancangan untuk mengkaji dan mengstruktur semula cukai eksais kenderaan.

3. Berdasarkan jawapan yang diberikan ini menunjukkan satu lagi janji yang gagal ditunaikan oleh Kerajaan *atau lebih tepat sebenarnya Kerajaan sengaja tidak mahu menunaikan janji tersebut; kerana, terdapat cara-cara bagi mengurangkan harga kereta.*

4. Mendukacitakan juga apabila Kementerian menyatakan, _“Harga kereta tidak ditetapkan oleh Kerajaan, sebaliknya dintentukan oleh syarikat-syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan berdasarkan faktor pasaran (market forces)...”_, *seolah-olah mahu berlepas tangan dengan janji yang telah pun diumumkan kepada rakyat*. Soalnya, jika sungguh alasan ini menjadi penghalang kepada Kerajaan untuk menurunkan harga kereta, kenapa berjanji kepada rakyat?

5. Sedangkan, keperluan untuk Kerajaan menurunkan harga kereta amat mustahak memandangkan *36% daripada jumlah yang diisytiharkan muflis di negara ini ialah kerana hutang kenderaan*.

6. Namun, realiti harga kenderaan yang mahal di negara ini sudah diketahui dan diakui; sehingga Malaysia pernah disenaraikan di kedudukan 10 tertinggi tempat paling mahal untuk memiliki kereta di dunia oleh sebuah portal antarabangsa. Harga kereta di negara ini juga lebih mahal berbanding negara-negara ASEAN yang lain seperti Thailand.

7. Harga yang mahal ini disebabkan oleh *adanya duti eksais yang dikenakan pada kadar yang sangat tinggi iaitu 65% hingga 125%* bagi sesebuah kenderaan. Contohnya, kereta Proton Preve Premium 1.6 yang dijual pada harga melebihi RM72,000 jika tanpa duti eksais harganya hanya sekitar RM45,000 sahaja.

8. Sekalipun tempoh pinjaman kenderaan di negara ini agak panjang menjadikan seseorang berkemampuan untuk memiliki kenderaan, namun *kesannya ia membawa kepada peningkatan hutang isi rumah sehingga boleh menyebabkan seseorang bankrap.*

9. Oleh itu, sebagai penyelesaian terhadap isu ini, saya menggesa Kerajaan agar hasil cukai yang berjumlah RM7 bilion hingga RM10 bilion yang diperolehi daripada duti eksais itu *dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pemberian rebat untuk pembelian kereta terutamanya kepada pembeli kereta pertama yang dikategorikan sebagai B40*.

10. Selain itu, saya juga mencadangkan agar Kerajaan *memperkenalkan pinjaman kenderaan berasaskan _al-Qard Hassan_ menerusi institusi khas yang ditubuhkan* (seperti PTPTN untuk pinjaman pendidikan). Ini sangat penting bagi *mengurangkan unsur perniagaan dan keuntungan yang keterlaluan dalam perkara yang melibatkn keperluan rakyat marhaen*.

11. Tambah pula, memiliki kenderaan adalah sesuatu yang penting bagi menjamin kebahagiaan seseorang seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. :

(Maksudnya) _"Antara kebahagian anak Adam 3 perkara dan antara kecelakaan anak Adam juga 3 perkara. Antara kebahagiannya ialah wanita yang solehah, kediaman yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan antara kecelakaan anak Adam ialah wanita yang jahat, kediaman yang tidak baik dan kenderaan yang tidak bagus."_ (Hadis di nilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)

Sekian.

_*“Inilah Penyelesaian Kita”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

FB : http://www.facebook.com/drtakiri/

No comments:

Post a Comment