Monday 3 December 2018

APA AGENDA TERSIRAT DARI CADANGAN PENGHAPUSAN IDENTITI AGAMA DAN BANGSA?

Kenyataan Media

3 Disember 2018 | 25 Rabiulawwal 1440H

APA AGENDA TERSIRAT DARI CADANGAN PENGHAPUSAN IDENTITI AGAMA DAN BANGSA?

1. Cadangan supaya dibuang agama dan bangsa pada kad pengenalan kononnya bagi memelihara perpaduan mengandungi maksud jahat tersirat iaitu secara halus dan perlahan menghakis keistimewaan Islam dan Melayu yang menjadi identiti negara bernama Malaysia. Agama dan bangsa adalah identiti diri yang menjadi punca perpaduan sebuah masyarakat seperti Malaysia bukannya pertembungan dan perpecahan.

2. Cadangan ini adalah bunga-bunga idea Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Ia juga petanda bahawa perjuangan meratifikasi ICERD yang akan menghapuskan Islam dan Melayu di negara Malaysia sebenarnya sedang berjalan. Ia digerakkan dengan pelbagai cara dan helah.

3. Indentiti agama dan bangsa tidak boleh dihapuskan bahkan ia adalah identiti yang mesti dipertahankan. Kepelbagaian kaum adalah fitrah penciptaan alam oleh Allah s.w.t.. Manakala agama adalah pilihan diri sendiri berpandu petunjuk wahyu dan akal. Kedua-duanya menjadi keunikan identiti seseorang. Keunikan identiti perlu disantuni dengan betul kerana ia dapat memperteguh perpaduan dalam kalangan warganegara.

4. Menyantuni kelainan ini Allah s.w.t. memerintahkan supaya manusia saling berta’aruf (al-Hujuraat 49:13) iaitu berkenal-kenalan antara satu sama lain antaranya dengan beramah-mesra dan menghormati hak orang yang berbeza bangsa dan agama supaya dapat menunaikan tanggungjawab sewajarnya terhadap mereka.

5. Bukan kerana agama atau bangsa seseorang, perpaduan dalam kalangan kita menjadi bermasalah apatah lagi pernyataan agama dan bangsa pada kad pengenalan. Tetapi perpaduan menjadi masalah apabila ada individu dan kelompok yang tidak mahu mengiktiraf sejarah pembentukan negara Malaysia.

6. Perpaduan dalam kalangan kita juga bermasalah apabila ada pihak tidak mahu mengetahui dan sengaja tidak menghormati hak penganut agama dan bangsa lain lebih-lebih lagi yang merupakan populasi majoriti di negara ini.

7. Jangan dijolok sarang tebuan wahai saudara!

Sekian.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus