Tuesday 30 June 2015

BANTAH PENGAMBILAN 1.5 PEKERJA WARGA BANGLADESH

Nasional - Utusan Online - http://m.utusan.com.my/berita/nasional/mantapkan-polisi-utamakan-pengambilan-pekerja-tempatan-1.108813

Pemilihan Umno ada kaitan 1.5 juta pekerja Bangladesh? - http://m.harakahdaily.net/index.php/headline/36157-pemilihan-umno-ada-kaitan-1-5-juta-pekerja-bangladesh

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

BANTAH PENGAMBILAN 1.5 PEKERJA WARGA BANGLADESH

1. DUPP membantah keputusan Kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini seperti yang diumumkan oleh DS Zahid Hamidi pada hari Khamis lepas.

2. Keberadaan 6.7 juta orang warga asing dengan hanya 2.1 juta daripadanya memegang Pas Lawatan Kerja Sementara di negara ini (merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia pada November 2014) jika ditambah pula dengan kemasukan baru berjumlah 1.5 juta warga Bangladesh sudah pasti akan memberi implikasi kurang baik terhadap struktur sosial dan pemilikan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan.

3. Dalam keadaan kadar pengangguran rakyat Malaysia meningkat kepada 3.2% pada awal tahun ini, amat tidak wajar untuk keputusan ini dilaksanakan. Sepatutnya Kerajaan memantapkan polisi untuk menambah bilangan pekerja tempatan sesuai dengan penyediaan peluang-peluang pekerjaan seperti yang telah diumum oleh YAB Perdana Menteri dalam Bajet 2015 dan RMK11.

4. Pengambilan masuk warga asing ini juga memperlihatkan seolah-olah Kerajaan juga tidak yakin dengan agenda-agenda yang telah digariskan dalam “The National Graduate Employability Blueprint (GEB) 2012-2017” boleh berjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk memenuhi permintaan ekonomi sedangkan sejumlah dana telahpun diperuntukkan untuknya.

5. Kejadian jenayah melibatkan warga asing juga banyak berlaku sehingga mengundang rasa terancam warga tempatan walaupun ia dikatakan kurang 10% daripada keseluruhan kes jenayah yang berlaku. Penularan penyakit berjangkit seperti malaria dan tibi juga sangat membimbangkan.

6. Oleh itu, DUPP mendesak supaya perjanjian yang akan ditandatangani antara Kuala Lumpur dan Dhaka yang dijadualkan berlangsung pada Julai akan datang dibatalkan sehinggalah perkara ini dibawa dan dibahas dengan teliti di Parlimen seperti yang didesak oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam sidang yang akan datang.

7. Kenyataan DS Zahid Hamidi semalam yang mengatakan bahawa Kerajaan akan membawa keluar dahulu 2 juta pendatang asing yang bekerja secara haram di negara ini sebelum membawa masuk 1.5 warga Bagladesh untuk bekerja secara sah di negara ini dilihat tidak lebih daripada kenyataan untuk menyelamatkan diri. Sedangkan umum mengetahui bahawa isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak pernah selesai pun sebelum ini apatah lagi untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

8. DUPP juga ingin berkongsi kebimbangan kemungkinan bahawa pengumuman pengambilan masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia yang disusuli dengan pengumuman keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan daripada tarikh yang dijadualkan pada tahun hadapan adalah sebagai sebahagian daripada persiapan UMNO/BN untuk menghadapi dan memenangi PRU14 akan datang.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 29 Jun 2015 / 12 Ramadan 1436H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Thursday 18 June 2015

Naik Taraf Saliran Untuk Tangani Banjir di Kuala Nerus

Saya telah bangkitkan soalan di Parlimen tentang rancangan yang akan dilaksanakan untuk membaik pulih dan menaik taraf sistem pengairan dan saliran di Kuala Nerus bagi mengelakkan banjir berlaku.
Jawapan bertarikh 11 jun 2015 oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjelaskan bahawa menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah merancang Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kuala Nerus dan peruntukan telah dipohon menerusi RMK 11.
Antaranya mengandungi
1. kerja-kerja ukur dan reka bentuk
2. kerja menaik taraf sungai
3. kerja membentengi sungai
4. membina sistem saliran utama
5. menaik taraf parit sedia ada.
6. lain-lain struktur seperti pembentung jalan dan jambatan
7. Tidal gate dan rumah pam
8. Kolam takungan

Tuesday 16 June 2015

KENAIKAN TOL : KERAJAAN ANIAYA RAKYAT

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

KENAIKAN TOL : KERAJAAN ANIAYA RAKYAT

Oleh :

Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat)

1. Ura-ura kenaikan kadar tol pada tahun 2015 bagi 16 hingga 20 lebuhraya bukanlah suatu yang baru. Awal Mei lalu, portal Free Malaysia Today telah mendedahkan suatu laporan menyatakan bahawa 19 syarikat konsesi lebuhraya akan menaikkan kadar tol antara 50% hingga 100% pada Ogos ini. Sehari kemudian, laporan ini dinafikan oleh Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dengan mengatakan bahawa kadar tol di semua lebuhraya masih kekal pada kadar semasa.

2. Sejak Jumaat, 12 Jun lalu pula tersebar laporan di media sosial menyatakan bahawa kadar tol bagi 16 hingga 19 lebuhraya akan dinaikkan sebanyak 30%.  YAB Perdana Menteri dalam pada menyatakan kekesalan beliau terhadap anggota Kabinet yang membocorkan maklumat berhubung isu kenaikan kadar tol, beliau bererti tidak menafikan tentang kenaikan itu, cumanya ia belum dimuktamadkan.

3. Hakikat yang pasti ialah sebahagian duit rakyat tetap akan digunakan untuk memberikan keuntungan kepada syarikat konsesi lebuhraya; samada dibayar oleh rakyat secara langsung di kaunter-kaunter tol ditambah lagi dengan kenaikan kadar atau dibayar oleh Kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya melalui bayaran pampasan atau ganti rugi.

4. Berikutan negara berhadapan dengan masalah hutang yang bertambah, pendapatan yang berkurang, nilai Ringgit yang jatuh ditambah pula dengan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang pincang, saya berpandangan tidak mustahil Kerajaan sekali lagi akan memindahkan beban ini kepada rakyat melalui kenaikan kadar tol seperti yang diuar-uarkan.

5. Ini kerana, pada tahun lalu sahaja Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM458 juta sebagai pampasan kepada 20 syarikat konsesi kerana tidak menaikkan kadar tol ditambah pula kenaikan kadar tol bagi tahun 2015 adalah dibenarkan mengikut perjanjian yang telah ditermeterai. Kenyataan saya berkenaan isu ini telah saya keluarkan sebelum ini dan boleh dirujuk di : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/tol-sudah-wajar-dihapuskan-1.249470.

6. Samada berlaku kenaikan kadar tol atau tidak bagi tahun 2015, keadaan sedia ada dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak yang sekaligus memberi kesan berantai kepada kenaikan pelbagai barangan dan perkhidmatan pasti sekali akan menambah beban kewangan rakyat.

7. Kenaikan kadar tol pula jika tetap dibuat – berikutan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini – adalah amat tidak wajar dan membelakangkan kepentingan rakyat. 

8. Peningkatan jumlah kenderaan yang pesat dan ketara saban tahun di negara ini tidak memungkinkan jumlah pengguna lebuhraya bertol merosot sekaligus merugikan pemegang konsesi. Syarikat konsesi lebuhraya juga tidak menerima kesan ketara oleh faktor-faktor lain seperti kenaikan kadar elektrik dan harga bahan api, turun naik mata wang dan lain-lain seperti apa yang dialami oleh industri-industri lain terutamanya dalam sektor pembuatan.

9. Keadaan ini menjadikan syarikat konsesi sentiasa untung atau mengalami kerugian sifar. Lebuhraya Utara Selatan pula sebagai contoh telah mengumpul kutipan tol berjumlah RM23.5 bilion ditambah RM735.2 juta pampasan daripada Kerajaan sedangkan kos pembinaannya hanya mencecah RM6 bilion. Tidakkah wajar keuntungan berganda itu dikembalikan kepada rakyat yang menjadi pelanggan sama ada dalam bentuk tiada kenaikan tol atau pengurangan tol???

10. Oleh itu saya menggesa dan mendesak Kerajaan supaya :

(i) Segera memuktamadkan bahawa tiada kenaikan kadar tol bagi tahun 2015.

(ii) Menurunkan kadar tol di semua lebuhraya utama di Malaysia khususnya di lebuhraya yang digunakan oleh pengguna untuk berulang-alik dari tempat kediaman ke tempat kerja pada setiap hari bekerja.

(iii) Menyemak semula dan mendedahkan butiran perjanjian dengan konsesi lebuhraya serta mengemukakan perancangan pengambilalihan konsesi lebuhraya ke arah tol sifar bagi semua lebuhraya dapat direalisasikan.

11. Pembinaan jajaran lebuhraya yang dapat memendekkan jarak dan menyingkatkan masa perjalanan dengan jaminan keselamatan dan penyediaan pelbagai perkhidmatan untuk memudahkan serta keselesaan para pengguna adalah tanggungjawab Kerajaan bagi merancakkan ekonomi rakyat. Nikmat lebuhraya yang menyingkatkan perjalanan ini diisyaratkan oleh al-Quran sebagaimana berikut :

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ .

Maksudnya : Dan Kami jadikan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran) beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (sebagai persinggahan), dan Kami singkatkan jarak perjalanan di antaranya, (serta dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman". (Surah Saba’ 34:18)

Perjalanan antara utara dan selatan Semenanjung Tanah Arab menjadi singkat dengan adanya jalinan jalan yang baik menghubungkan antara keduanya. Itulah nikmat yang diberikan oleh Allah kepada mereka.

12. Apabila pembinaan lebuhraya yang asalnya menjadi  tanggungjawab kerajaan telah dipindahkan kepada pihak swasta maka menjadi kewajipan kerajaan memastikan hak rakyat terbela dan tidak dianiaya. Pihak swasta yang mengeluarkan kos perbelanjaan untuk membina lebuhraya berhak mendapat untung. Namun atas sifatnya mendapat keuntungan daripada perniagaan yang menjadi keperluan rakyat maka keuntungan itu hendaklah berpada-pada.

13. Justeru, mengenakan tol pada kadar yang tinggi, kenaikan pada kadar yang tidak berpatutan dan selama tempoh yang sangat panjang dalam situasi syarikat konsesi telah mendapat keuntungan berlipat kali ganda tanpa rugi adalah tindakan yang sangat menganiaya rakyat dan bercanggah dengan tuntutan Islam.

Sekian.

Tarikh : Selasa 16 Jun 2015 / 29 Syaaban 1436H

*Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.
__________

Lawati page dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :

Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

KEMISKINAN : TAKRIF SEMULA, TANGANI PUNCA

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

KEMISKINAN : TAKRIF SEMULA, TANGANI PUNCA

1. Pada Isnin lalu, 8 Jun 2015, sebagai menjawab soalan yang saya kemukakan, DS Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3% pada 1970 kepada 0.6% pada 2014 dengan semua negeri mecatatkan penurunan bilangan isi rumah yang miskin.

2. Berikutan kesan kejatuhan nilai matawang Ringgit dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan semasa, boleh saya sifatkan angka yang dikemukakan ini tidak menunjukkan realiti sebenar kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat.

3. Indikator yang menentukan angka ini ialah pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.

4. Bagi miskin tegar pula, indikatornya ialah PGK makanan iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi makanan yang minimum yang membolehkan setiap ahlinya mempunyai tubuh badan yang sihat.

5. Berdasarkan kepada penyiasatan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah tahun 2014 purata pendapatan garis kemiskinan untuk Malaysia secara keseluruhan adalah RM950 untuk miskin dan RM600 untuk miskin tegar.

6. Merujuk kepada item keperluan asas ‘bukan makanan’ yang disenaraikan – pakaian; sewa, minyak, elektrik; perkhidmatan asas; pengangkutan dan komunikasi; dan lain-lain – sahaja pun, jelas bahawa adalah tidak munasabah nilai RM950 dijadikan garis pemisah untuk membezakan golongan berkemampuan dan tidak berkemampuan.

7. Bank Negara di dalam data kepenggunaan isi rumah (household consumption) bagi tempoh 2000 – 2009 menyatakan bahawa perbelanjaan untuk makanan ialah 23% daripada jumlah perbelanjaan isi rumah (household expenditure), untuk perumahan sebanyak 18.9% dan untuk pengangkutan pula sebanyak 13.4%.

8. Berdasarkan peratusan ini dan jika RM950 dijadikan rujukan, bererti untuk setiap item tersebut bernilai RM220 untuk makanan, RM180 untuk perumahan dan RM130 untuk pengangkutan. Jika diteliti secara kasar pun nilai-nilai ini bolehlah dianggap terpesong dari realiti sebenar.

9. Ini kerana, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia ketika membuat penerangan tentang kewajaran rasionalisasi subsidi minyak menyatakan bahawa golongan berpendapatan rendah menggunakan minimum 150 liter iaitu membelanjakan RM307.50 sebulan untuk penggunaan petrol (RON95). Ia kemungkinan akan meningkat lagi kepada RM322.50 pada bulan hadapan apabila diunjurkan harga petrol itu bagi Jun 2015 ialah RM2.15 seliter.

10. Dalam suatu kajian membandingkan harga sewa bulanan rumah, mendapati ia bernilai RM700 di Kuala Lumpur, RM500 di Klang, RM400 di Kuala Terengganu, RM800 di Kuching, RM600 di Johor Bharu, dan RM350 di Alor Setar atau secara puratanya ialah RM560 sebulan. Boleh dikatakan tiada lagi harga sewa bulanan rumah berada di bawah paras RM350 apatah lagi RM180.

11. Jika kita kembali menggunakan data Bank Negara sebagai rujukan dan membuat ketetapan baru iaitu 18.9% bersamaan RM560 supaya lebih dekat dengan realiti, maka nilai bagi makanan mestilah RM680 dan pengangkutan pula bernilai RM400 menjadikan jumlah bagi ketiga-tiga item ini sahaja ialah RM1640.

12. Oleh sebab itulah, saya merasakan takrif kemiskinan ini harus dikaji dan dibuat semula sesuai dengan perspektif Islam. Takrif dan nilai bagi setiap item bagi membuat pengiraan PGK yang digunapakai pada hari ini jelas sekali tidak lagi munasabah kerana tidak menepati keadaan sebenar kemiskinan yang ditanggung rakyat.

13. Sebagai contoh, mengikut PGK pada 2013 iaitu RM720 bagi miskin dan RM430 bagi miskin tegar, kadar kemiskinan di Selangor adalah 0.7% dan kadar kemiskinan tegar adalah 0.1% sahaja. Tetapi selepas ditakrifkan semula oleh Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kepada paras RM1,500, rakyat Selangor berkategori miskin ialah 30%. Angka ini dilihat lebih tepat dengan hakikat sebenar.

14. Takrif menurut Islam termasuklah membezakan di antara miskin dan fakir sewajarnya dijadikan panduan. Bagi menentukan PGK pula, lima item keperluan asas wajib diperkirakan iaitu makanan, kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan.

15. Selain itu, punca kemiskinan seperti amalan ekonomi liberal kapitalis dan monopoli yang menyuburkan jurang antara golongan kaya dan miskin; penyusutan nilai mata wang Ringgit yang dipunyai oleh golongan miskin samada akibat perubahan pada kadar pertukaran mata wang asing atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan; dan pinjaman riba’ mestilah diberikan perhatian dan diberikan penyelesaian berpandukan Islam.

16. Suka juga untuk saya tegaskan ialah kelemahan utama konseptual kemiskinan konvensional ialah ialah ia menafikan hak ketuhanan sebagai salah satu komponen penting untuk mengurus fenomena kemiskinan yang berlaku dan tidak melibatkan golongan kaya sebagai satu golongan yang turut bertanggungjawab menyelesaikannya.

17. Jika ada sekalipun ialah konsep ‘corporate social resposibility’ (CSR) dan ‘kebajikan’ (endowment) yang baru diperkenalkan kerana ia tidak pernah wujud dalam fahaman ideologi kapitalis atau sosialis dan lain-lain sebelum daripada ini. Islam lebih awal dan lama mengemukakan penyelesaian terhadap masalah kemiskinan ini antaranya dengan pengsyariatan zakat dan pengharaman riba serta larangan monopoli dan pencatutan.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 15 Jun 2015 / 28 Syaaban 1436H

__________

Lawati page dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

Sila lawati dan "Like" page rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di : https://www.facebook.com/dewanulamakpas

Tuesday 9 June 2015

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RMK11 YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri Ahli Parlimen Kuala Nerus Selasa ; 9 hb Jun 2015

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RMK11
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa ; 9 hb Jun 2015
Assalamualaikum w.b.t.
PRINSIP PENGURUSAN EKONOMI JANGKA PANJANG

Terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua, seterusnya Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian;

1.       Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran (Surah Yusof : 47 – 49) satu kisah yang sangat menarik tentang kewibawaan Nabi Yusof a.s. yang merencanakan satu pelan strategik (strategic planning) jangka masa panjang yang berkesan.
Maksudnya: “Yusuf berkata, kamu menanam tujuh tahun seperti biasa maka apa sahaja hasil yang kamu perolehi maka biarkanlah pada tangkainya melainkan sedikit yang kamu makan. Kemudian akan datang selepas itu tujuh tahun yang sukar yang makan apa yang kamu simpan melainkan sedikit yang kamu bentengkan”

2.       Jika Bajet (atau Belanjawan Tahunan) ialah perancangan untuk tempoh 1 tahun dan Rancangan Malaysia (RMK) pula untuk tempoh 5 tahun, ‘economic strategic planning’ yang dicadangkan oleh Nabi Yusof a.s. pula adalah untuk tempoh 14 tahun.

3.       Saya tidak nafikan bahawa ia bukan soal lama mana tempoh sesuatu perancangan itu, tetapi keberkesanan perancangan untuk tempoh yang lama sebegitu harus diakui dan diambil pengajaran; perancangannya sangat strategik dan pelaksanaannya pula mencapai sasaran. Kaedahnya ialah memanfaatkan waktu ekonomi subur untuk persiapan menghadapi waktu sukar.

4.      Pendapatan mesti dibahagikan kepada tiga. Berbelanjalah 1/3 dan menyimpanlah 2/3. Tujuannya supaya di waktu sukar negara boleh berbelanja 1/3 yang disimpan dan baki 1/3 digunakan sebagai modal untuk bangkit selepas berakhir waktu sukar. Justeru, kayu ukur sebuah negara yang makmur ekonominya ialah apabila negara dengan hanya berbelanja 1/3 daripada pendapatan telah berjaya melunaskan segala keperluan. Begitulah juga dengan pendapatan individu rakyat.

5.       Namun, apabila melihat RMK11 yang dibentangkan dan setelah berlalu 10 RMK selepas merdeka atau 12 rancangan ekonomi negara sejak sebelum merdeka, saya merasakan amat jauh untuk negara kita mencapai tahap kayu ukur negara makmur menurut Islam ini.

6.       Mendepani situasi 7 tahun yang subur dan diikuti 7 tahun yang kemarau bukannya mudah untuk diurus jika tidak wujud nilai ‘good governance’ berteraskan Islam pada pentadbiran kerajaan dan pada individu setiap pemimpin negara.

7.       Justeru, sangat penting untuk negara memfokuskan pembinaan modal insan yang soleh yang mempunyai dua ciri utama iaitu Kuat dan Amanah sebagaimana firman Allah dalam al-Qasas ayat 26.
{إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِين}
Maksudnya: “sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu gajikan ialah yang kuat lagi amanah”.
Kuat ertinya sihat, berilmu, bijak dan berkemahiran tinggi. Negara tidak kekurangan golongan yang bijak, namun kita kekurangan golongan yang amanah lalu berlakulah rasuah dan pelbagai penyelewengan.

KEPENTINGAN RMK11

8.       RMK11 penghujungnya ialah tahun 2020 yang disasarkan Malaysia menjadi negara maju? Apa ukuran negara maju? Itu persoalan yang mesti kita garap. Seterusnya apakah perancangan RMK11 mensasarkan kejayaan negara maju yang kita tetapkan ukurannya?

9.       Negara maju telah diceritakan dalam al-Quran. Namun selalunya negara maju ini akan berhadapan dengan beberapa fenomena antaranya;
1.    Pembangunan tidak berasaskan keperluan tetapi menjurus kepada projek pembaziran dan kemegahan.
2.    Atau projek pembangunan yang dibuat hanya untuk keperluan pelobi projek atau kapitalis atau golongan pemodal bukan kerana keperluan pembangunan yang sebenar.

10.      Allah menceritakan tentang kaum Hud yang diberikan kemewahan dan ketamadunan serta teknologi pembinaan bangunan yang hebat
Maksudnya: “Adakah kamu membina di setiap tempat yang tinggi satu mercu tanda hanya untuk bermain-main dan kamu membina mahligai-mahligai yang besar dengan harapan kamu kekal selama-lamanya?” Surah Syu`ara’ ayat 128

11.      NEGARA MAJU digambarkan oleh ayat Quran dalam surah al-Nahl ayat 112:
﴿ وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ آَمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَداً مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ ﴾
Maksudnya: “Dan Allah membuat perumpamaan satu kampung yang asalnya aman tenteram datang rezki kepadanya selapang-lapangnya dari segenap penjuru.”

12.      Ia juga digambarkan menerusi Hadis:
أَرْبَعَةٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِئُ
Maksudnya: “4 antara punca kebahagian; isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang baik.”

13.      Mengambil kayu ukur Islam ini maka sewajarnya RMK11 mesti menjurus kepada dua asas iaitu negara aman dan rezki yang melimpah ruah. Atau lebih detailnya ialah beberapa perkara berikut:
1.    Pendapatan boleh guna rakyat yang tinggi
2.    Kemampuan rakyat memiliki kediaman
3.    Kemampuan rakyat mendapat kenderaan
4.    Kejayaan rakyat mendapat rumah tangga bahagia
5.    Kejayaan rakyat mendapat persekitaran perumahan yang aman dan sentosa
Untuk itu RMK11 perlu mengandungi strategic ekonomi jangka masa panjang

14.      Di antara prinsip pengurusan strategik ekonomi jangka panjang yang perlu dipelajarai dan dicontohi daripada kisah Nabi Yusuf ialah :

(i) Penjanaan pendapatan mestilah melebihi 3 kali ganda perbelanjaan. Malangnya bajet negara kita dibuat berdasarkan rancangan perbelanjaan bukannya rancangan pendapatan. Sepatutnya lihatlah pendapatan kemudian rangkalah perbelanjaan dan bukan sebaliknya. Justeru, tidak hairanlah jika bajet negara telah mengalami defisit selama 18 tahun berturut-turut.

(ii) Penyediaan rizab (reserve) yang cukup untuk negara. Seharusnya perbelanjaan yang berasaskan pendapatan bersekali dengan komitmen merizabkan sebahagian baki untuk disimpan bagi manfaat masa depan dan ketika kecemasan. Tetapi, jika berbelanja pun sudah melebihi pendapatan, bagaimana simpanan negara dapat ditambah? Komitmen untuk mengurangkan hutang pun tidak akan dapat ditingkatkan bahkan hutang itu sendiri akan bertambah.

(iii) Membuat perangkaan yang tepat dan dikemaskini. Kadar kemiskinan yang dikatakan berkurang kepada 0.6% pada tahun 2014 adalah masih berdasarkan takrif lama dan paras garis kemiskinan RM880. Purata pendapatan isi rumah yang meningkat kepada RM6,141 pada 2014 pula tidak menggambarkan pendapatan sebenar perindividu dan terhasil daripada jurang pendapatan yang tinggi. Pengukuran perangkaan yang tidak tepat ini akan menunjukkan realiti sebenar secara tidak tepat.

SUMBER BAHAN MENTAH DAN HASIL BUMI DALAM NEGARA

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

15.      Dalam konteks ekonomi konvensional, sumber bahan mentah atau hasil bumi dianggap terhad. Justeru, perebutan sering berlaku sehinggakan ada yang sanggup melakukan sesuatu yang di luar batas kemanusiaan dan undang-undang demi untuk memiliki atau menguasai sumber hasil tersebut.

16.      Namun, Islam mempunyai prinsip yang berbeza dengan teori-teori ekonomi Barat. Menurut perspektif Islam, asal sumber bahan mentah dan hasil bumi adalah mencukupi. Malah terdapat bukti bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan kepada manusia sumber rezeki yang luas di atas muka bumi ini berdasarkan firmanNya :
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
"”Dan tiadalah suatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya serta tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)."( Surah Hud 11:6 )

17.      Bagi menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini, sudah tentu Allah amat mengetahui keperluan manusia yang diciptakanNya dengan menyediakan segala bekalan dan keperluan asas seawal sebelum kejadian manusia itu sendiri. Bahkan, Allah s.w.t. terlebih dahulu menciptakan perkara tersebut dalam kuantiti yang mencukupi dan banyak serta mampu menampung kehidupan keseluruhan makhlukNya.

18.      Maka jelaslah kepada kita semua bahawasanya krisis yang berlaku perlulah dikembalikan kepada manusia dahulu sebagai pengendali dan pengguna sebelum mencari sebab yang lain. Kezaliman yang dilakukan terhadap dirinya sendiri dan orang lain, sikap manusia yang melampaui batas serta kekufuran mereka terhadap nikmat yang Allah s.w.t. anugerahkan kepadanya adalah sebab utama kepada sesuatu bala dan malapetaka berlaku.

PENDAPATAN NEGARA

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

19.      Islam mempunyai senarai asas pendapatan negara yang tersendiri. Antaranya ialah Zakat, Kharaj dan ‘Usyur yang dikenakan terhadap produk dagangan yang dibawa masuk ke dalam negara Islam sama ada produk dagangan tersebut kepunyaan muslim mahupun non-muslim.

20.      Begitu juga keuntungan daripada pemilikan/projek umum untuk rakyat. Maka negara yang kaya dengan hasil bumi seperti petroleum, bahan galian yang lain yang telah melalui proses-proses tertentu serta boleh dimanfaatkan oleh rakyat, seperti bekalan tenaga elektrik dan air yang bukan bersifat pemilikan individu, keuntungan daripadanya disenaraikan sebagai salah satu sumber pendapatan negara secara kitaran.

21.      Saya ingin mencadangkan agar hasil Petroleum yang diperolehi oleh negara dikenakan zakat. Sehingga kini syarikat petronas tidak membayar zakat hasil daripada galian berbentuk petrol dan gas. Sudah sampai masa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat kajian hukum tentang zakat petroleum yang dimiliknegarakan. Zakat petroleum itu boleh dijadikan sebagai sebahagian pendapatan negara bukan pendapatan Majlis Agama Islam Negeri. Ia disalurkan untuk kegunaan menyelesaikan masalah kemiskinan, masalah piutang rakyat yang berhutang dan juga keperluan pendidikan sebagai satu derma siswa dan tidak lagi bergantung kepada pinjaman PTPTN.

ISU KEMISKINAN

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

22.      Semalam saya telah bertanya kepada Menteri tentang takrif kemiskinan dan miskin tegar serta Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan yang terkini; dan statistik miskin dan miskin tegar di seluruh negara bagi tahun 2011 hingga 2015 mengikut pecahan negeri dan daerah. YB Menteri telah memberikan penjelasan terhadap persoalan yang telah saya kemukakan.

23.      Namun apa yang ingin saya bangkitkan ialah kayu ukur Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan. Kemiskinan merupakan suatu isu yang penting kerana ia melambangkan sejauh mana pertumbuhan ekonomi negara dinikmati oleh rakyat jelata. Oleh yang demikian kita mengharapkan kadar kemiskinan akan menurun sejajar dengan peningkatan ekonomi negara. Di sudut makroekonomi kemiskinan adalah hasil dari pengagihan kekayaan negara yang tidak sama rata.

24.      Tetapi, pengukuran kemiskinan di Malaysia dilihat menggunakan pendekatan satu dimensi iaitu samada mengikut keadaan pendapatan atau pun perbelanjaan. Masalah pada pengukuran satu dimensi ini ialah ia tidak atau kurang memberi petunjuk yang sebenar dan tepat tentang keadaan kemiskinan kerana menggunakan hanya satu pembolehubah.

25.      Biasanya, kaedah pengukuran berdasarkan satu indikator atau pembolehubah ini digunakan dalam analisis kemiskinan di negara-negara kurang maju. Amat tidak wajar sekali kepada Malaysia yang berhasrat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 masih menggunakan pendekatan ini untuk menentukan garis kemiskinan. Kesannya ramai yang sebenarnya masih miskin tetapi tidak dikategorikan sebagai miskin. Lalu akhirnya dibuat satu pengumuman kononnya kadar kemiskinan semakin menurun sedangkan ia tidak menggambarkan hakikat yang sebenar.

26.      Seharusnya pengiraan Paras Garis Kemiskinan (PGK) memasukkan 5 keperluan teras; makanan, kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan, bukannya hanya mengiranya sebagai makanan dan bukan makanan. Kelima-lima perkara ini adalah keperluan asas yang bersifat dharuriyyah dan hajiyat kepada setiap orang manusia.

27.      PGK ini juga harus mengambil kira perbezaan antara miskin dan faqir. Hal ini kerana orang miskin ialah golongan yang mempunyai pendapatan tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas hidupnya manakala Faqir pula ialah golongan yang tidak berpendapatan untuk menyara kehidupan mereka. Di kalangan mereka mungkin kumpulan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
PGK juga mesti mengambil kira status ekonomi dan taraf hidup persekitaran yang berbeza antara bandar dan luar bandar, antara pantai timur dan pantai barat.

28.      Sebenarnya ada beberapa perkara yang menjadi punca sebenar rakyat menjadi miskin dan program-program menangani kemiskinan oleh Kerajaan pula gagal untuk mengurusnya dengan berkesan. Berikut antaranya :

(i) Sistem ekonomi yang diamalkan bersumberkan ekonomi liberal kapitalis yang menyuburkan jurang besar antara kaya dan miskin serta agihan kek kekayaan negara pula tidak seimbang dan tidak sama rata.

(ii) Banyak polisi Kerajaan menyebabkan rakyat menghadapi susut nilai pada wang atau pendapatan yang mereka ada dengan kejatuhan nilai ringgit yang berterusan dan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.

(iii) Rakyat ditindas dengan percukaian yang zalim pada hampir segenap kehidupan masyarakat; GST pada barangan dan perkhidmatan; Zakat hanyalah 2.5 % sedangkan GST dikenakan oleh kerajaan sebanyak 6%. Adakah kerajaan ingin menjadi Tuhan atau lebih berkuasa daripada Tuhan? Begitu juga cukai kenderaan sehingga melebihi 100% kepada para pengguna kereta menyebabkan pengguna terpaksa mendapatkan kenderaan pada harga yang mahal.

(iv) Kenaikan harga hartanah akibat spekulasi pula menyebabkan ia meningkat khususnya di bandar justeru menatijahkan banyaknya miskin bandar dalam kalangan orang Melayu.

(v) Daya menyimpan wang dalam kalangan rakyat juga rendah dan hampir tiada yang sepatutnya keadaan ekonomi yang baik ialah apabila rakyat mampu berbelanja sebahagian daripada pendapatannya untuk memenuhi keperluan hidupnya dan sekurang-kurangnya 1/3 daripada pendapatan itu dapat disimpan.

(vi) Wang dan kekayaan negara hanya berlegar-legar dalam kalangan orang-orang kaya yang meliputi pemimpin-pemimpin negara yang tidak amanah dan golongan bangsawan serta koporat yang tamak.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP WANITA SEBAGAI TENAGA KERJA

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

29.      Islam sebuah agama pembawa rahmat bagi sekalian alam menawarkan pakej penyelesaian terhadap permasalahan manusia. Antara tawaran dan keindahan Islam adalah meliputi pengiktirafan isu gender lelaki dan wanita. Al-Quran dan As-Sunnah merekodkan sejumlah besar nas yang mengangkat martabat dan kemuliaan wanita. Sekaligus menafikan tohmahan golongan feminis dan gerakan emansipasi wanita kononnya ajaran Islam merendahkan kedudukan wanita.

30.      Islam meletakkan wanita berperanan sebagai pendamping dan pembantu golongan lelaki dalam kehidupan rumah tangga sebagai ibu dan isteri juga penolong dalam masyarakat. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah an-Nisa 4:34.

31.      Ini adalah peranan utama seorang wanita tetapi Islam juga menghidupkan fungsi wanita sebagai karakter yang boleh menerima tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan atas setiap perilakunya seperti kaum lelaki sebagaimana firman Allah s.w.t. maksudnya:          “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl 16:97)

32.      Hasrat dan usaha untuk meningkatkan kadar penglibatan tenaga kerja wanita daripada 54% pada tahun 2014 kepada 59% menjelang 2020 adalah suatu yang murni.

33.      Namun, meningkatkan tenaga kerja wanita pasti akan memberikan implikasi terhadap keluarga dan sosial yang perlu diberikan perhatian dalam semua aspek lebih-lebih lagi pada masa gejala sosial makin meruncing dan institusi keluarga pula banyak bermasalah.

34.      Impak daripada penglibatan tenaga kerja wanita ialah terabainya tugas utama golongan ini dalam mendidik generasi muda dalam rumahtangga mereka lantas anak-anak makin meliar. Kecenderungan berlakunya peningkatan kes penceraian juga adalah bentuk impak negatif yang berlaku.

35.      Kerosakan institusi keluarga akan turut menjejaskan sistem sosio-masyarakat.

36.      Namun tidak dinafikan ada aspek positif daripada peningkatan tenaga kerja wanita ini tetapi ia akan mengakibatkan aspek pembangunan wanita daripada sudut kemahiran insaniyah makin terabai.

37.      Justeru, saya mencadangkan satu sistem kerja yang meraikan keperluan ibu-ibu dan isteri diperkenalkan. Antaranya dalam perkhidmatan awam, bagi wanita yang berkeluarga sebagai isteri atau isteri dan ibu, masa kerja mereka dipendekkan daripda 8 jam sehari kepada 6 atau 7 jam sahaja dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja 8 jam. Anggaplah tugasan mereka di rumah sebagai satu kerja yang melayakkan mereka mendapat gaji daripada negara. Sistem ini nanti kemudiannya boleh diikuti pula oleh syarikat swasta yang mampu. Itu sebagai contoh.

38.      Penglibatan wanita dalam perniagaan perlu dipertingkatkan kerana selalunya ahli perniagaan boleh bekerja mengikut masa yang mereka mahu kerana masa adalah milik mereka. Untuk itu saya mencadangkan penglibatan wanita dalam bisnes online yang mana rumah mereka sendiri menjadi pejabatnya mesti menjadi sebahagian projek kerajaan dengan bantuan kewangan yang cukup menerusi pelbagai agensi. Suri rumah tangga boleh menjadi sasaran kerajaan untuk projek ini. Latihan keusahawanan bisnes online mesti dirancang dan dikempen secara bijak dan agresif.

DAERAH BARU KUALA NERUS

39.      Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan pusat yang telah menjadikan Kuala Nerus sebagai Daerah ke 8 di Terengganu. Daerah ini telah menikmati pelbagai bentuk pembangunan dengan adanya Airport Sultan Mahmud, Stadium runtuh yang baru sahaja siap dibaiki selepas 6 tahun, 2 hotel mewah, 2 universiti iaitu Unisza dan UMT, juga Institut Perguruan, institusi pendidikan terkenal seperti Sek Agama persekutuan, Sekolah Sains dan Sekolah Teknik dan 2 pasaraya besar Giant dan Mydin.

40.      Terkini Hospital Pengajar Unisza sedang dibina di Kuala Nerus sebagai  projek yang diluluskan dalam RMK10 untuk Fasa pertamanya iaitu sebanyak 200 katil dan dijangka siap pada akhir 2016. Fasa 1 Hospital ini baru dimulakan majlis pecah tanahnya pada 18 september 2014. Di penghujung rmk10. Ia dijangka siap akhir 2016.

41.      Namun, apabila saya merujuk kepada web Kementerian  Kerja Raya, tender kerja untuk reka bina baru ditutup pada 21.4.2015. Ertinya pembinaanya masih belum bermula. Saya ingin meminta penjelasan Kementerian berhubung status perjalanan projek ini. Saya mengharapkan projek ini berjalan menurut perancangan. Jangan lagi berulang isu LPT II yang tertangguh berkali-kali. Asal projek LPT II dijadualkan siap 2008 tapi realitinya hanya siap di awal 2015 selepas 7 tahun dengan kos berganda pula. Asalnya hanya 1.7 bilion tapi akhir 5 bilion lebih.

42.      Fasa ke 2 Hospital Unisza pula dengan penambahan 200 katil dijanjikan bakal diluluskan dalam RMK11. Namun, saya tidak melihat perkara ini disebut dalam pembentangan RMK11. Adakah janji itu akan diteruskan? Saya mohon penjelasan pihak kerajaan.

43.      Hospital ini sangat penting untuk mengelakkan kesesakan di Hosptal Nur Zahirah di bandar Kuala Terengganu. Juga masalah-masalah yang timbul bagi rakyat Kuala nerus yang terpaksa bertumpu mendapatkan rawatan ke sana.

44.      Sempena daerah baru, Saya ingin memohon satu Balai Bomba khusus untuk Daerah Kuala Nerus supaya tidak bergantung kepada Balai Bomba di bandar Kuala Terengganu dan bomba sukarela sahaja. Saya mendapat rungutan daripada para petugas bomba yang menghadapi kesukaran untuk menguruskan 2 parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang luas.

45.      Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan pusat menjadikan Kuala Nerus sebagai bandar pelancongan kerana ia mempunyai jajaran pantai yang cantik dan indah, beberapa industri kampong seperti keropok dan hasil ikan yang lain serta beberapa lagi aset pelancongan.

46.      Begitu juga, sesuai dengan kedudukannya sebagai daerah baru, pendapatan sebahagian rakyatnya yang menjadi nelayan perlu dipertingkatkan. Antaranya dengan mengaktifkan fungsi koperasi nelayan sebaik-baiknya sehingga boleh memberi pendapatan tambahan yang besar untuk nelayan khususnya ketika musim tengkujuh.

47.      Merujuk kepada Laporan Sosio-Ekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah yang diterbitkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), purata pendapatan nelayan ke laut bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 sebulan dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1600 sebulan.

48.      Berbanding Negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang, semuanya berada di atas purata pendapatan nelayan negara ini. Purata pendapatan serendah RM1,400 ini juga memposisikan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).

49.      Lebih mendukacitakan, suatu kajian terbaru mendapati pendapatan nelayan hanya mengalami peningkatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan GST bahkan mungkin akan lebih teruk jika TPPA ditandatangani oleh Kerajaan kelak.

PENGAMBILAN TANAH BANGGOL DONAS

50.      Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon kerajaan pusat menyelesaikan isu pengambilan tanah Banggol Donas dengan penyelesaian yang adil.  Berkali saya bangkitkan isu ini. Jawapan Kementerian ialah perlu merujuk kepada kerajaan negeri. Namun isunya ialah pengambilan tanah adalah tidak menepati Kanun Tanah Negara. Perubahan jajaran jalanraya yang dibuat sehingga terpaksa mengambil tanah orang kampong adalah berniat jahat sedangkan ia boleh sahaja mensasarkan tanah yang tidak diduduki oleh orang kampong. Saya meminta kerajaan pusat menerusi JKR mengubah jajaran jalanraya agar tidak melibatkan kediaman orang kampong. Berikan hak kepada orang kampong yang tidak mahu tanah mereka diambil di kala ada alternative lain. Penangguhan kes ini menyebabkan perancngan jalanraya yang memintas Kuala nerus terus ke bandar Kuala Terengganu tertangguh agak lama.

Sekian. Terima kasih.


Monday 8 June 2015

SOALAN LISAN DAN SOALAN TAMBAHAN DI PARLIMEN 8hb Jun 2015

SOALAN LISAN DAN SOALAN TAMBAHAN DI PARLIMEN
8hb Jun 2015

Ust. Datuk Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta
PERDANA MENTERI menyatakan :-

(a) takrif kemiskinan dan miskin tegar serta Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan yang terkini ; dan

(b) statistik miskin dan miskin tegar di seluruh negara bagi tahun 2011 hingga 2015 mengikut pecahan negeri dan daerah.

SOALAN TAMBAHAN

Tuan Yang diPertua,

Statitik kemiskinan rakyat menjadi kayu ukur taraf ekonomi sesebuah negara. Dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tidak dapat memenuhi keperluan hidup mereka. Saya rasa statistik yang dibentangkan oleh kerajaan tidak menggambarkan hakikat sebenar kemiskinan yang berlaku dalam negara.

Justeru, soalan  tambahan saya melibatkan takrifan kemiskinan. Adakah kerajaan berhasrat mentakrifkan semula miskin dan miskin tegar sebagaimana Islam membezakan antara miskin dan faqir. Miskin adalah golongan yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk melunaskan kehidupan. Manakala faqir pula merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan.

Miskin didefinasikan oleh kerajaan sebagai mereka yang mempunyai pendapatan di bawah PGK (Paras Garis Kemiskinan) melibatkan makanan dan bukan makanan seperti sewa dan lain-lain. sedangkan takrifan miskin dalam Islam lebih jelas iaitu mereka yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk melunaskan keperluan makanan, kediaman, pakaian, pendidikan dan kenderaan.

Kesan daripada takrifan kerajaan menyebabkan ramai yang miskin tetapi tidak dikategorikan sebagai miskin oleh kerajaan.

RENUNGAN MALAM; SIAPA PERLUKAN SIAPA?

RENUNGAN MALAM
Ahad 7hb Jun 2015 jam 9.30 mlm


SIAPA PERLUKAN SIAPA?

Adakah Islam memerlukan kita atau kita memerlukan Islam? Adakah syurga memerlukan kita atau kita yang memerlukan syurga? Adakah masjid memerlukan kita atau kita yang memerlukan masjid? Adakah bahtera perjuangan Islam memerlukan kita atau sebaliknya kita yang memerlukan bahtera ini?

Jawapannya ialah sebenarnya kita yang perlukan Islam, perlukan syurga dan perlukan masjid. 

Maka, bersyukurlah jika kita diberi hidayah untuk menjadi sebahagian muslim, dibuka peluang untuk memperolehi syurga dan diberi petunjuk untuk memakmurkan masjid.

Begitulah juga perjuangan Islam. Ia tidak memerlukan kita. Malah kita yang memerlukannya. Jika kita lari meninggalkan bahtera perjuangan ini ia tetap belayar dengan kelasi-kelasi dan nakhoda baru dan pasti sampai ke destinasinya sebagaimana janji Allah.

Persoalannya adakah kita masih diberi hidayah untuk menjadi sebahagian kelasi kapal perjuangan Islam ini? Atau ditarik hidayah lalu lebih terpikat dengan bahtera lain yang dilihat indah dan megah pelayarannya dan dihiasi pula dengan mimpi-mimpi indah bahawa ianya semakin mendekati pelabuhan? Sedangkan hakikatnya ia hanyalah berupa igauan dan impian kaca.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
KLIA2; www.drtakiri.blogspot.com

Sunday 7 June 2015

Kenyataan MediaKetua Penerangan Dewan Ulamak PAS PusatAhli PAS Tindak Perlu Gopoh Bertindak Mendahului Kepimpinan

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Ahli PAS Tindak Perlu Gopoh Bertindak Mendahului Kepimpinan

1. Antara ciri wacana fiqh Islam ialah memahami secara cermat, halus dan teliti setiap teks yang terpapar pada pemilihan kata dan susunan ayat sebelum membuat sebarang ulasan dan kesimpulan. Ketelitian ini gagal dipraktikkan oleh sebilangan kecil yang gopoh lalu bertindak pula secara kurang cermat dalam memahami Usul Dewan Ulamak PAS Pusat.

2. Usul tergempar yang diluluskan sebulat suara oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat  ialah "mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat." Usul itu merujuk kepada pelbagai tindak-tanduk menjolok mata oleh DAP terhadap PAS dan Presiden PAS.

3. Usul ini dipinda oleh Jawatankuasa Usul PAS Pusat dengan gaya bahasa lain yang memberi maksud "menggesa Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP".

4. Apabila Usul tersebut diputuskan untuk diterima tanpa bahas dalam Muktamar PAS Pusat oleh Jawatankuasa Usul PAS Pusat ia bermaksud; MELULUSKAN Usul itu untuk DIPUTUSKAN oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat. Ia bukan bermaksud meluluskan Usul untuk terus sahaja Muktamar membuat kepuusan memutuskan hubungan dengan DAP.

5. Persoalannya ialah kenapa usul itu diluluskan untuk diputuskan oleh dua badan tersebut? Kenapa tidak muktamar sahaja membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP?
Jawapannya ialah kerana keputusan memutuskan Tahaaluf Siyaasi dengan DAP adalah melibatkan hukum syarak. Badan yang akan bersidang untuk memutuskan hukum syarak itu ialah Majlis Syura Ulamak.

6. Sebagaimana Tahaaluf Siyaasi dengan DAP sebelum ini diputuskan hukum keharusannya oleh Majlis Syura Ulamak dengan 6 syarat maka begitulah untuk membatalkannya perlu dilihat hukum syarak sejauh mana syarat-syarat keharusan Tahaaluf Siyaasi telah dilanggar oleh DAP.

7. Seterusnya, setelah diputuskan hukumnya oleh Majlis Syura Ulamak maka terserahlah pula kepada Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan pelaksana untuk melihat dan mengkaji serta meneliti kebijaksanaan politik dalam pelaksanaannya menurut kesesuaian masa dan keadaan.

8. Maka sehingga MSU bersidang untuk membuat keputusan menerima atau menolak cadangan dan Usul tersebut berdasarkan perkiraan Syarak kerana melibatkan hukum Tahaaluf Siyaasi;
Dan sehinggalah setelah itu Jawatankuasa PAS Pusat melaksanakan mana-mana keputusan MSU menerusi arahan-arahan yang perlu dan tuntas kepada ahli;
Maka tidak perlu mana-mana ahli dan pimpinan PAS mendahului Majlis Syura Ulamak dan mendahului Jawatankuasa PAS Pusat dengan mengambil tindakan sendiri meletakkan jawatan dalam kerajaan di Pulau Pinang meskipun diminta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

9. Begitu juga, pimpinan PAS Selangor yang sama-sama membentuk kerajaan Selangor menerusi 15 kerusi Dun dan juga menerusi persetujuan bersama kepada Tuanku Sultan Selangor untuk membentuk kerajaan, tidak perlu keluar daripada kerajaan Selangor sekarang. Sementelah lagi kerajaan Selangor bukan milik bersendiri DAP tapi milik bersama 3 parti yang menyumbang kemenangan pilihanraya pada PRU ke 13.

10. Tambahan pula Usul DUPP juga dalam masa yang sama menegaskan "kekal dalam Pakatan Rakyat" dan bukannya keluar dari Pakatan Rakyat. PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat.

11. Sebagaimana juga penjelasan Dato Mustafa Ali selaku SU Agong di muktamar petang tadi ketika penggulungan; "kita masuk Tahaaluf Siyaasi dengan hukum maka keputusan keluar juga mesti berdasarkan hukum. Dan hukum itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak bukannya oleh muktamar".

12. Maka, saya menyeru pimpinan PAS di Pulau Pinang dan Selangor agar tidak terpengaruh dengan provokasi Lim Guang Eng supaya pimpinan PAS di Pulau Pinang meletakkan perjawatan mereka dalam kerajaan Pulau Pinang. Biarkanlah Lim Guang Eng dengan segala keangkuhannya bertindak menurut apa yang dikehendaki oleh partinya.
Sekian.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
7hb Jun 2015
jam 7 pg Kota Kinabalu

RENUNGAN PAGI;Dakwah Dengan Kata Lunak atau Keras

RENUNGAN PAGI
7hb Jun 2015 jam 8.15 pg
Dakwah Dengan Kata Lunak atau Keras
Allah berfirman;

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى 


"Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun kerana dia telah melampau. Lalu sebutlah kepadanya kata-kata yang lunak mudah-mudahan dia dia mengambil peringatan atau dia takut". Surah Taha ayat 43-44

Kejahatan Firaun selaku pemerintah yang kafir dan zalim terhadap rakyatnya adalah dimaklumi, namun dia tetap menjadi sasaran dakwah. Kata-kata lunak dijadikan jambatan untuk menjelaskan peringatan Tuhan. Perubahan pada manusia selagi namanya manusia tetap menjadi harapan.

Berkata Ibnu Asyur dalam tafsir Tahrir wa Tanwir; "kerana tujuan dakwah para Rasul ialah agar mereka mendapat hidayah bukannya menonjolkan kebesaran dan kekasaran bahasa tanpa sebarang faedah. Tetapi apabila kata-kata lunak tidak memberi manfaat kepada sasaran dakwah malah dia berpaling dan menonjolkan serta mempamerkan kesombongan dan keangkuhan maka haruslah berkeras dan berkasar dalam menasihatinya".

Maksudnya pendakwah perlu bijaksana menilai suasana dan keadaan bagi menentukan sama ada sasaran dakwah perlu dinasihati secara lunak atau secara keras.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Perjalanan ke Kundasang dan Ranau bersama rombongan Presiden PAS diiringi YB Ust Nik Abduh, Ust Khalil dan Dr Samsuri)
www.drtakiri.blogspot.com

Saturday 6 June 2015

RENUNGAN PETANG; Tugasan & Kepimpinan Dakwah

RENUNGAN PETANG
6 hb Jun 2015 jam 6 ptg.

Tugasan & Kepimpinan Dakwah

Tugasan dakwah adalah kewajipan bersama setiap muslim. Ia perlu dilaksanakan pada posisi mana pun kita berada sama ada sebagai jentera dan kader atau sebagai pimpinan yang merancang strategi dan membuat pengarahan.

Perubahan kepimpinan adalah perkara biasa dalam agihan tugasan. Sekali kita menjadi jentera, sekali kita menjadi jeneral.

Terpecatnya Khalid ibnil Walid radiyaalahu anhu oleh Khalifah Umar radiyaalahu anhu daripada perjawatan ketua tentera Islam tidak menghalangnya untuk lebih melipat gandakan tugasan jihad di jalan Allah.

Hakikatnya setiap orang sedang cuba mengumpul pahala pada setiap posisi di mana dia berada dalam bahtera dakwah. Tidak semestinya pemimpin terlebih banyak pahalanya daripada kader bawahan.

Alangkah rugi mereka yang meninggalkan bahtera perjuangan yang sedang belayar. "Istiqamah sehingga menang"!!!

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Kuala Selangor; sempena Muktamar PAS ke 61

Senarai AJK Dewan Ulamak PAS Pusat Bagi sessi 2015 - 2017

Senarai AJK Dewan Ulamak PAS Pusat
Bagi sessi 2015 - 2017

Pengerusi Tetap : Dr Hamdan Mohd
Timb Pengerusi : Ust Omar Hashim

Ketua : Dato' Dr Mahfuz bin Mohamad
Timb Ketua : Dato' Dr Nik Mohd Zawawi
Naib Ketua : Dato' Dr Johari bin Mat

AJK DUPP :

1. Dato' Dr Khairudin Aman Razali
2. Yb Ust Nasrudin Hassan
3. Dato' Dr. Abu Bakar Abdullah
4. Yb. Ustaz Abdullah Hussin
5. Dr. Azhari bin Ariffin
6. Dato' Hj Hussin Awang
7. Ustaz Mustafa Syaari
8. Ustaz Khir Mutanazzar Ismail
9. Ustaz Nazmi Nik Din
10. Ustaz Zulkifli Ismail
11. Ustaz Mohd Asri Daud
12. Ustaz Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman

Pemeriksa Kira :

Ibrahim Hj Omar
Hanafi bin Roshan

(Siri 4) Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H di KUIZM Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP

(Siri 4) Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H  di KUIZM

Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP

1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.

2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.

3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.

4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.

5. Menyedari bahawa DAP secara konsistant dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.

6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsistant melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam PR.

7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat Tahaaluf Siyaaasi (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

9. Menyedari bahawa sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti tidak Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak (penggabungan diri) dan walak ahli hendaklah kepada parti Islam.

MAKA Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Diterima dgn sebulat suara 644 perwakilan Alim Ulamak jam 6.40 ptg.