Wednesday 30 September 2015

Jadual Prog 9 dan 10 Oktober 2015



YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 9 Okt 2015
9.00 - 11 pg
Masjid Rusila







HIGH TEA & DIALOG YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Bersama MUSLIMAT
Jumaat 9 Okt 2015
3.00 - 4.30 ptg
DUN TELUK PASU
Semua dijemput Hadir




PENGAJIAN KITAB MINGGUAN YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 9 Okt 2015
8.00 - 9 mlm
Masjid Taqwa, Batu Enam
# Kitab Bahrul Mazi
Semua dijemput Hadir


KULIAH SUBUH YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10 Okt 2015
6.30 - 7.30 pg
Masjid Banggol Peradong
Teluk Pasu
Kitab Bahrul Mazi
Semua dijemput Hadir
Sila sebarkan


KULIAH DHUHA YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10 Okt 2015
9.30 - 11 pg
Surau Kg Petaling, Tepoh
Semua dijemput Hadir







KULIAH MAGHRIB YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10 Okt 2015
8.00 - 9 mlm
Surau Kebor Besar, Teluk Pasu
Semua dijemput Hadir

Kuliah Dhuha Surau Petaling 10.10.15


KULIAH DHUHA YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10 Okt 2015
9.30 - 11 pg
Surau Kg Petaling, Tepoh
Semua dijemput Hadir

Kuliah Maghrib Kebor Besar 10.10.2015


KULIAH MAGHRIB YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10 Okt 2015
8.00 - 9 mlm
Surau Kebor Besar, Teluk Pasu
Semua dijemput Hadir

Tuesday 29 September 2015

Kuliah Kebor Besar 10.10.2015


KULIAH MAGHRIB YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 10 Okt 2015
8.00 - 9 mlm
Surau Kebor Besar, Teluk Pasu
Semua dijemput Hadir

Pengajian Kitab Mingguan


PENGAJIAN KITAB MINGGUAN YB PARLIMEN
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 9 Okt 2015
8.00 - 9 mlm
Masjid Taqwa, Batu Enam
# Kitab Bahrul Mazi
Semua dijemput Hadir

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 5)Berdoalah Wahai Para Hujjaj

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 5)

Berdoalah Wahai Para Hujjaj

1. Mereka yang diberi kemudahan oleh Allah untuk mengerjakan ibadah Haji adalah orang yang sangat bertuah. Antaranya kerana mereka berpeluang untuk berdoa kepada Allah subhanahu wa taala pada waktu, tempat dan situasi serta keadaan yang terbaik untuk berdoa.

2. Pertamanya mereka berada pada waktu yang sangat baik dan afdhal untuk berdoa iaitu waktu wukuf di Arafah sebagaimana Hadis riwayat Tirmizi, Nabi saw bersabda;
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: "Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah".

3. Keduanya, mereka di tempat yang paling afdhal untuk berdoa iaitu di dalam Masjid Haram, di dalam Hijir Ismail yang merupakan sebahagian Kaabah, di belakang Maqam Ibrahim, di tempat Tawaf, di Safa dan Marwah dan antara Safa dan Marwah ketika Saei, di Arafah, di Masy'aril Haram, di Jamrah Sughra, Wusta dan Aqabah selepas melontar.

4. Ketiganya, mereka berada di situasi terbaik untuk berdoa iaitu ketika sedang beribadah. Mereka berada dalam keadaan ihram Haji, keadaan berwukuf, keadaan bermalam di Mina, keadaan tawaf dan dalam keadaan saei. Mereka juga boleh berdoa sebagai seorang musafir yang dimustajab doanya.

5. Mereka boleh membanyakkan solat untuk berdoa ketika sujud di Masjidil Haram dan seluruh kawasan Haram Makkah. Nabi saw bersabda:
{ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ }  .
"Keadaan terdekat seorang hamba dengan Rabbnya ialah di saat dia sujud. Justeru, banyakkanlah berdoa" [Hadis riwayat Muslim]

Nabi juga bersabda:
{صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ المَسْجِدَ الحَرَامَ وَصَلاَةٌ فِي المَسْجِدِ الحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ}.
"Satu solat di Masjidku lebih afdhal berbanding 1000 solat di tempat lain kecuali Masjid Haram. Solat di Masjid Haram lebih afdhal berbanding 100,000 solat di tempat lain."  [Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah].

6. Ramai yang minum air zamzam kerana kehausan semata-mata akibat kepanasan. Sedangkan zam zam boleh diminum dengan pelbagai niat dan tujuan.
Nabi saw bersabda:
" مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ ، فَإِنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي بِهِ شَفَاكَ اللَّهُ ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ مُسْتَعِيذًا عَاذَكَ اللَّهُ ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ لِيَقْطَعَ ظَمَأَكَ قَطَعَهُ "
"Air zamzam adalah berdasarkan tujuan apa ia diminum. Sekiranya kamu minum bertujuan memohon kesembuhan pasti Allah sembuhkan. Sekiranya kamu minum memohon perlindungan pasti Allah lindungkan. Sekiranya kamu minum untuk menghilangkan kehausan pasti Allah hilangkan"
وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ إِذَا شَرِبَ مَاءَ زَمْزَمَ قَالَ : " اللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا وَاسِعًا ، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ " .


Ibnu Abbas radiyallahu anhu apabila minum zamzam berdoa; Ya Allah aku mohon ilmu yang bermanfaat, rezki yang lapang dan kesembuhan daripada segala penyakit".
[Hadis Sahih riwayat Hakim].


Tidak sedikit yang hadir ke Mekah dalam keadaan menderita pelbagai penyakit kronik seperti kanser. Mohonlah doa kepada Allah agar disembuhkan dengan berkat minum air zamzam.
Imam Nawawi menyebut dalam kitab Tahzib al-Asma', maksud Hadis ialah sesiapa yang minum untuk hajat tertentu ia pasti mendapatnya. Ia telah dicuba oleh para Ulamak dan Solihun untuk pelbagai hajat dunia dan akhirat lalu mereka memperolehinya dengan izin Allah.

Antara pedoman minum zam zam sebagaimana dihurai oleh para Ulamak antara mereka Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj ialah berkata;

Ya Allah! Sesungguhnya Nabi-Mu bersabda bahawa Air Zamzam berdasarkan tujuan ia diminum. Sesungguhnya aku minum zam zam ini dengan tujuan sekian sekian. Bismillah....lalu diteguk beberapa teguk.

Dilakukan seumpama itu sebanyak 3 kali. Itulah antara pedoman oleh Ulamak ketika minum zam zam.
[Boleh juga rujuk perincian adab minum zamzam dalam Ensiklopedia Islam keluaran Kementerian Hal Ehwal Islam Saudi Arabia - http://www.al-islam.com/Page.aspx?pageid=695&BookID=510&PID=9467&SubjectID=19760 ]

Sebahagian ulamak pula berpandangan boleh berdoa selepas selesai minum air zam zam.

7. Doa adalah ibadah. Hal ini kerana  seseorang yang berdoa adalah seorang yang mengakui hakikat dia adalah hamba dan Allah adalah Tuhan yang mampu menunaikan hajat dan keperluannya. Itulah sebenar-benar ibadah atau perhambaan diri kepada Allah. Nabi saw bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
"Doa adalah ibadah"
[ Hadis Sahih riwayat Tirmizi ]


8. Amat rugilah sesiapa yang telah berpeluang untuk menunaikan haji tapi gagal untuk memanfaatkannya untuk benar-benar berdoa kepada Allah.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 14 Zulhijjah 1436 H / 28 September 2015
Jam 4.20 ptg Masjidil Haram.

# boleh rujuk 4 siri sebelumnya dengan melayari www.drtakiri.blogspot.com.

Bersedekah Barang Yang Elok

Lajnah Penerangan 
Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK ( Siri 6 )

Bersedekah Barang Yang Elok

Allah berfirman:




يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن 
تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

"Wahai orang-orang beriman, berilah infak
 (bersedekah) daripada barang-barang yang elok yang kamu perolehi (daripada perniagaan) dan daripada apa yang Kami keluarkan untuk kamu daripada bumi. Janganlah kamu mensasarkan yang buruk daripadanya untuk kamu infakkan sedangkan kamu sendiri tidak akan mengambilnya melainkan dengan memejam mata. Dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha kaya lagi Maha terpuji."
                                                                                                              [Surah al-Baqarah ayat 267]

Kata Ibnu Abbas infak di sini bermaksud Sedekah. Kata Mujahid perolehan pula merujuk kepada hasil perniagaan. Kata Ibnu Abbas lagi, menerusi ayat ini Allah mengajar kita mensasarkan sedekah harta-benda yang paling elok dan terbaik bukannya dengan yang buruk dan jelek. (rujuk Tafsir Ibnu Kathir)

Selalu berlaku sedekah hanya dilakukan apabila sesuatu barang itu tidak diperlukan lagi. Baju-baju terpakai yang tidak mahu lagi dipakai, sofa buruk, almari buruk, peti ais buruk, HANYA itulah yang disedekahkan kepada fakir miskin. Ia tidak bertepatan dengan fiqh bersedekah dalam Islam.
Yakinlah bahawa sedekah tidak akan menjadikan seorang kaya itu miskin.

Disediakan oleh: 
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat


Layari Website DUPP http://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/6422-tinta-ulamak-siri-6-bersedekah-barang-elok
Langganilah https://telegram.me/UlamaBot Untuk Info Sahih Dan PantasDewan Ulamak PAS Pusat

Sunday 27 September 2015

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 3)BUMI MINA MENCATAT SEJARAH TITIK MULA PERKEMBANGAN DAKWAH NABI KE YATHRIB

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 3)
BUMI MINA MENCATAT SEJARAH TITIK MULA PERKEMBANGAN DAKWAH NABI KE YATHRIB

1. Para jamaah Haji bermula malam ini bermalam selama 3 malam di Mina. Ia sebahagian wajib Haji. Mereka dikehendaki bermalam melebihi tempoh separuh malam sekitar 5 jam setengah. Diikuti dengan melontar 7 biji batu di setiap 3 jamrah keesokkannya selepas zohor.

2. Mina mempunyai sejarah menarik perkembangan dakwah Islam di zaman Nabi saw yang wajar dihayati oleh jamaah Haji yang sedang bermalam. Ia menjadi titik tolak untuk Islam berkembang di Yathrib, seterusnya Hijrah baginda yang membawa kepada pembentukan negara Islam Madinah.

3. Sejarahnya bermula selepas baginda kembali semula ke Mekah dari berdakwah di bumi Taif. Baginda saw mula menumpukan dakwah kepada jamaah haji yang bermalam di Mina bermula tahun ke 11 baginda menjadi Nabi. Baginda mengambil kesempatan kehadiran orang-orang Arab yang saban tahun mengerjakan haji berdasarkan agama Nabi Ibrahim.

4. Baginda masuk ke khemah-khemah mereka dan meminta izin untuk berbicara tentang Islam diiringi oleh Abu Bakar dan Ali. Akhirnya Allah membuka hati 6 orang pemuda Khazraj dari Yathrib untuk beriman dengan baginda saw. Ia menjadi titik mula perkembangan Islam di bumi Yathrib. Mereka kembali ke Yathrib dan mengambil tanggungjawab dakwah di Yahtrib. Kesannya ramai orang Yathrib terbuka hati menerima Islam.

5. Selanjutnya pada musim haji seterusnya (tahun ke 12 baginda menjadi Nabi) mereka hadir seramai 12 orang bertemu dengan baginda saw ketika bermalam di kawasan Mina juga. 10 orang daripada suku Khazraj termasuk 5 orang daripada 6 orang yang Islam pada tahun sebelumnya dan 2 daripada suku Aus. 

6. Di saat itulah tercatat sejarah Baiah pertama dilakukan oleh baginda saw dengan mereka seramai 12 orang yang dikenali sebagai Baiah Aqabah kerana di menterai di kawasan Jamrah Aqabah.

7. Isi kandungan Baiah sebagaimana diriwayatkan oleh sahabat Nabi Ubadah bin Somit radiyallahu anhu bahawa Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih riwayat Bukhari:

" بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا ، وَلا تَسْرِقُوا ، وَلا تَزْنُوا ، وَلا تَقْتُلُوا أَوْلادَكُمْ ، وَلا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ ، وَلا تَعْصُونِي فِي مَعْرُوفٍ 

"Hendaklah kamu berbaiah denganku untuk tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah, jangan mencuri, jangan berzina, jangan membunuh anak-anak kamu, jangan mendatangkan berita palsu yang kamu reka di kalangan kamu dan jangan menderhakaiku dalam perkara ma'ruf."


Baginda menegaskan lagi kebaikan menepati Baiah dan akibat melanggar Baiah;

فَمَنْ وَفَّى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ فِي الدُّنْيَا ، فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثَمَّ سَتَرَهُ اللَّهُ فَهُوَ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَفَا عنه ، وَإِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ " .

"Maka sesiapa yang menunaikan Baiah di kalangan kamu maka ganjarannya ditunaikan oleh Allah. Sesiapa yang melakukan sesuatu daripadanya (melanggar Baiah) lalu dia dihukum  di dunia maka ia merupakan kaffarah bagi dirinya. Sesiapa yang melakukannya kemudian ditutup oleh Allah maka ia terpulanglah kepada Allah. Sekiranya Dia mahu Dia maafkan dan sekiranya Dia mahu Dia menghukumnya."

Kata Ubadah "lalu kami berbaiah dengan baginda"

8. Baiah ini menjadi dalil keharusan bahkan sunnah berbaiah dengan pemimpin untuk melakukan perkara yang baik atau meninggalkan perkara haram.

9. Syirik, mencuri, zina, membunuh dan mereka-reka cerita bohong adalah haram dilakukan meskipun tanpa Baiah. Namun, Baiah menjadi akujanji yang mengikat diri mereka untuk tidak melakukannya. Sesiapa yang melanggar Baiah dan akujanji di samping berdosa kerana melakukan perkara-perkara haram tersebut, turut berdosa kerana melanggar Baiah. Kerana itu ia diberi amaran oleh Nabi saw kebarangkalian ia dihukum oleh Allah di dunia.

10. Baiah ini digelar kemudiannya sebagai Baiah Wanita kerana isi kandungan Baiah adalah sama seperti Baiah yang dibuat oleh Nabi saw dengan para wanita pada tahun ke 8 Hijrah ketika baginda membuka Kota Mekah. Ia disebut oleh Allah dalam surah Mumtahanah ayat 12.

11. Selepas Baiah ini mereka kembali semula ke Yathrib dengan iringan seorang Sahabat Mekah bernama Mus'ab bin Umair. Kerja dakwah diteruskan di Yathrib.

12. Kesannya, setahun kemudian (tahun ke 13 baginda menjadi Nabi) 70 orang lebih daripada Yathrib turun pada musim haji dan bertemu dengan baginda saw ketika bermalam di Mina.

13. Ketika inilah dimenterai satu lagi Baiah bersama Nabi saw, juga di kawasan Aqabah. Ia dikenali sebagai Baiah Aqabah II.

14. Ubadah bin Somit radiyallahu anhu yang hadir ketika Baiah pertama  meriwayatkan bahawa;
بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ ، فِي الْيُسْرِ وَالْعُسْرِ ، وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ ، وَ أَلَّا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ ، وَأَنْ نَقُولَ أَوْ نَقُومَ بِالْحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا لَا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ .

"Kami berbaiah dengan Nabi saw untuk mendengar dan taat ketika senang dan sukar, ketika cergas dan keterpaksaan, untuk kami tidak mempertikai arahan bagi yang berhak dan agar kami berkata atau menegakkan kebenaran di mana sahaja kami berada dalam keadaan kami tidak takut demi agama Allah kepada celaan orang yang mencela". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

15. Baiah ini menjadi asas kepada Baiah ketaatan yang diberikan kepada pemimpin. Nabi saw selepas daripada Baiah ini mengarahkan para sahabat untuk berhijrah ke Yathrib. Tidak lama kemudian baginda sendiri berhijrah lalu memerintah bumi Yathrib sebagai seorang pemimpin bagi sebuah negara. Baiah Aqabah ke dua menjadi asas kepada Baiah ketaatan terhadap Nabi sebagai seorang pemimpin.

Kesimpulan;

Demikianlah bumi Mina menjadi saksi peristiwa bersejarah perkembangan dakwah Islam.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 11 Zulhijjah 1436 H / 25 September 2015.
Dicatat Jam 2.20 pg waktu Makkah ketika bermalam di Mina.

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 4)Ibadah Haji Menggamit Renungan Terhadap Siri-Siri Ujian Allah Terhadap Ibrahim Alaihissalam

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 4)

Ibadah Haji Menggamit Renungan Terhadap Siri-Siri Ujian Allah Terhadap Ibrahim Alaihissalam

1. Ibadah Haji adalah sunnah yang dimulakan oleh Nabi Ibrahim dengan perintah Allah selepas membina kembali Kaabah yang telah runtuh sejak zaman Nuh alaihissalam.

2. Ibadah Haji mengajak para jemaah Haji khususnya dan umat Islam umumnya untuk menghayati sejarah hidup Ibrahim alaihissalam yang dipenuhi dengan ujian dalam bentuk perintah dan pengalaman kehidupan namun ianya dapat disempurnakan dengan baik oleh Ibrahim. Allah berfirman;
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ
"Dan ingatlah ketika mana Ibrahim diuji oleh Rabbnya dengan beberapa kalimah (perintah) lalu dia menyempurnakannya. Allah berfirman; Sesungguhnya Aku jadikan kamu bagi manusia sebagai pimpinan ikutan"
{Surah al-Baqarah ayat 124}


3. Ulamak memberikan beberapa tafsiran bagi maksud "kalimah". Antaranya menurut Ibnu Abbas ia bermaksud syariat Islam. Kata sebahagian Ulamak ia bermaksud perintah dan larangan. Kata yang lain pula ia merujuk kepada risalah kerasulan. Menurut Imam Qurtubi tafsiran-tafsiran tersebut tidak jauh maksudnya.

4. Ujian Ibrahim alaihissalam bermula dengan kehidupan membesar dalam masyarakat yang syirik kepada Allah dengan menjadikan patung-patung sebagai sembahan.
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً ۖ إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ (74)
"Dan ingatlah tatkala mana Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar; adakah kamu menjadikan patung-patung berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya saya melihat kamu dan kaum kamu dalam kesesatan yang nyata".
{Surah al-An'am ayat 74}


5. Setelah dilantik menjadi Nabi baginda berhadapan dengan raja yang kufur dan zalim sehingga akhirnya baginda dibakar dengan api. Allah menyelamatkan Ibrahim alaihissalam sebagaimana firman-Nya.
قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ . قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ  وَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَخْسَرِينَ
"Mereka berkata; bakarlah Ibrahim dan bantulah tuhan-tuhan kamu sekiranya kamu lakukan. Kami berfirman; wahai api, jadilah kamu sejuk dan sejahtera ke atas Ibrahim. Mereka mahu kenakan terhadap Ibrahim satu kejahatan lalu Kami jadikan mereka di kalangan orang yang paling rugi"
{Surah al-Anbiya ayat 68-70}


6. Ibrahim berhijrah meninggalkan bumi kelahiran di Iraq ke bumi Palestin dengan perintah Allah. Kemudian baginda ke bumi Mesir berikutnya kembali menetap di Palestin. Hijrah meninggalkan kampung halaman adalah ujian kejiwaan yang besar.
{وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ}
"Dan berkata Ibrahim; sesungguhnya saya berhijrah kepada Rabb saya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha bijaksana".
{Surah al-Ankabut ayat 26}


7. Ibrahim alaihissalam diuji dengan isteri cantik bernama Sarah yang cuba diganggu oleh Raja Mesir yang jahat sehingga baginda berhelah dalam bicara untuk menyelamatkan isteri baginda sebagaimana hadis Sahih Bukhari yang panjang menceritakannya. Dengan izin Allah Sarah terselamat daripada gangguan Raja tersebut lalu Sarah dikurniakan Hajar sebagai khadam untuk berkhidmat kepada Sarah.

8. Seterusnya Ibrahim alaihissalam diuji dengan tidak mendapat anak sehingga usia yang sangat tua. Tidakkah kehidupan berkeluarga tanpa anak merupakan satu ujian perasaan? Namun doanya yang dipanjatkan tanpa putus akhirnya dikabulkan oleh Allah. Baginda dikurniakan dua anak, Ismail dan Ishak pada usia tua daripada dua isteri. Allah berfirman menceritakan kesyukuran Ibrahim:
"الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء"
"Segala pujian kesyukuran adalah milik Allah yang mengurniakan bagiku dalam keadaan tua Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Rabbku benar-benar Maha mendengar doa".
{Surah Ibrahim ayat 39)


Menurut Ibnu Abbas, sebagaimana dinukilkan oleh Imam Qurtubi, Ismail dilahirkan ketika Ibrahim berusia 99 tahun manakala Ishak dilahirkan ketika baginda berusia 112 tahun.

9. Setelah mendapat anak menerusi isteri kedua seterusnya isteri pertama pada usia tua, Ibrahim alaihissalam diuji lagi dengan ujian perpisahan dengan salah seorang anak yang disayangi beserta isteri baginda. Baginda diarahkan untuk membawa anaknya Ismail beserta isterinya Hajar untuk ditinggalkan bersendirian jauh di bumi Mekah yang gersang tanpa tanaman, tanpa sumber air dan tidak berpenghuni ketika itu. Bagaimana mereka mahu hidup tanpa sebarang sumber makanan? Namun keyakinannya ialah ianya adalah perintah Allah. Maka ia dilaksanakan dengan jayanya.
Ibrahim bertawakkal kepada Allah dengan doa ; 
رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ
"Wahai Rabb kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian zuriatku di satu lembah yang tiada tanaman di sisi Rumah-Mu yang diberi kehormatan".
{ Surah Ibrahim ayat 37}


10. Dengan kehendak Allah bumi Mekah berkembang menjadi kampung berkat sumber air zamzam yang dikurniakan oleh Allah kepada Hajar dan Ismail.

11. Apabila anak bernama Ismail yang tinggal berjauhan itu membesar, Ibrahim di arah dengan perintah baru pula iaitu menyembelih anak tersebut. Ujian itu pun berjaya dilalui dengan jaya.
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
"Maka tatkala Ismail menjangkau (usia) boleh berusaha beserta Ibrahim, Ibrahim berkata; wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku bermimpi menyembelih kamu maka lihatlah apa pandanganmu. Ismail berkata; wahai bapa kesayanganku. Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Kamu akan dapati diriku sekiranya diizinkan Allah tergolong di kalangan orang-orang yang sabar".
{ Surah al-Sooffat ayat 102 }


12. Seterusnya Ibrahim diarah bersama Ismail membina kembali Kaabah di tapak asal yang telah runtuh sekian lama. Perintah itu juga dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebaik dibina Ibrahim berdoa kepada Allah dengan beberapa siri doa yang dirakamkan oleh al-Quran.
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ 
"Dan ingatlah ketika Ibrahim meninggikan tapak-tapak binaan Baitullah (Kaabah) beserta Ismail sambil berdoa; Wahai Rabb kami, terimalah daripada kami. Sesungguhnya Kamulah yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui."
{Surah al-Baqarah ayat 127}


13. Berikutnya Ibrahim alaihissalam diarahkan pula membuat perisytiharan kepada orang ramai untuk mereka datang mengerjakan ibadah Haji di Mekah.
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27)
"Dan buatlah perisytiharan di khalayak ramai untuk mereka laksanakan ibadah Haji pasti mereka datang kepada kamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus, mereka datang dari seluruh pelusuk negeri yang jauh"
{Surah al-Haj ayat 27}

Allah memberi tunjuk ajar kepada Ibrahim segala aturcara ibadah Haji bermula dengan wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bermalam di Mina, tawaf di Kaabah dan saei di Masjidil Haram.

14. Perisytiharan Haji oleh Ibrahim alaihissalam disambut oleh manusia dengan kehendak dan izin Allah. Sehingga kini manusia tidak putus datang menghidupkan Makkah dengan ibadah Haji malah juga untuk mengerjakan umrah.

15. Semuanya memberi pahala yang berpanjangan kepada Ibrahim sebagai nabi yang memulakan sunnah amalan ibadah ini.

16. Benarlah janji Allah untuk Ibrahim setelah kejayaannya melalui pelbagai ujian Allah;
قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ
"Allah berfirman; Sesungguhnya Aku jadikan kamu bagi manusia sebagai pimpinan ikutan" 
{Surah al-Baqarah ayat 124}

Ujian ketaatan, kesabaran dan ibadah Ibrahim menjadi ikutan bagi manusia. Ikutan ini menjadikan Ibrahim memperolehi pahala yabg berpanjangan berasaskan kaedah hadis "sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik maka dia mendapat pahala tersebut dan pahala orang-orang yang mengikutinya". (Hadis Sahih Muslim)

17. Berbahagialah Ibrahim alaihissalam yang berjaya menunaikan segala ujian Allah dengan sempurna. Sejauh mana pula kejayaan kita melalui ujian-ujian kehidupan bagi mendapat redha Allah?
Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 13 Zulhijjah 1436 H / 27 September 2015. Jam 9 pg Makkah al-Mukarramah.

Friday 25 September 2015

NASIHAT PERJUANGAN PEJUANG ISLAM MENGHARAPKAN REDHA ALLAH

LAJNAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

NASIHAT PERJUANGAN

PEJUANG ISLAM MENGHARAPKAN REDHA ALLAH

1. Akhiran ini kedapatan mereka yang penampilannya agamanya dilihat baik turut terikut-ikut mempermain dan mempersenda ungkapan "mendapat redha Allah" dalam konteks bicara tentang kemenangan perjuangan politik.

2. Mereka terikut-ikut dengan pemikiran bahawa keutamaannya ialah menang kuasa politik dengan mendapat sokongan dan redha manusia. Bagi mereka, jika kita berjuang dalam politik maka apalah ertinya jika manusia tidak memberikan sokongan!!! Tiada langsung ikatan dan kaitan dengan Redha Allah!!!

3. Bagi mereka yang melihat politik sekadar urusan dunia yang terpisah daripada tuntutan agama tentulah memandang remeh matlamat untuk mendapatkan redha Allah.

4. Namun, bagi seorang yang memahami Islam sebagai agama yang lengkap merangkumi segala aspek kehidupan ia tentulah tidak memisahkan perjuangan politik dari matlamat tertinggi untuk mendapat redha Allah yang ganjarannya ialah syurga.

5. Mendapat Redha Allah adalah matlamat kehidupan setiap insan yang soleh yang mahukan syurga. Ia adalah matlamat perjuangan para Nabi.

6. Para Sahabat yang beriman, berhijrah dan berjihad bersama Nabi saw, mereka melakukannya kerana mengharapkan redha Allah.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (218)

Maksudnya: "Sesungguhnya mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, merekalah orang yang MENGHARAPKAN RAHMAT ALLAH sedang Allah itu Maha Pengampun lagi Maha bersifat Rahiim".
(Surah al-Baqarah ayat 218)

7. Allah menegaskan bahawa segala aspek kehidupan Rasulullah hanya mampu dicontohi oleh mereka yang mengharapkan Redha Allah. Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

"Sememangnya bagi kamu pada diri Rasulullah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang MENGHARAP ALLAH dan hari Akhirat dan menyebut serta mengingati Allah dengan banyak".
Surah al-Ahzab ayat 21.

8. Dalam surah al-Kahfi ayat 28 Allah mengarahkan Nabi saw untuk menahan diri bersabar untuk terus bersama kelompok manusia yang sentiasa mengharapkan Redha Allah. Allah berfirman;

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
"Dan hendaklah kamu sabarkan dirimu berada bersama orang-orang yang sentiasa berdoa kepada Rabb mereka di waktu pagi dan petang dalam keadaan mengharapkan Wajah-Nya (Redha-Nya). Dan janganlah pandangan kedua matamu beralih melepasi mereka dalam keadaan kamu inginkan perhiasan dunia ".

Imam Tabari dalam Tafsir Jaami' al-Bayan mentafsirkan, janganlah kamu mengalih pandangan mata mu meninggalkan golongan beriman untuk bersama golongan bangsawan musyrikin kerana mengharapkan penghormatan dan kebanggaan dengan duduk semajlis bersama mereka.

9. Malah Allah menegaskan lagi kepada Nabi saw agar jangan menurut kehendak golongan yang leka hatinya dan mengikut hawa nafsu;

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا (28)
"Dan janganlah kamu menurut perintah sesiapa yang Kami lekakan hatinya daripada mengingati Kami dan mengikut hawa nafsunya sedang urusannya adalah sia-sia".

10. Mendapat Redha Allah bermaksud menjadikan segala tindakan dalam kehidupan atau dalam sesebuah perjuangan sentiasa di bawah panduan al-Quran dan Hadis Nabi saw.

11. Mendapat Redha Allah bermaksud tidak meletakkan manusia sebagai tempat harapan dan pergantungan atau matlamat perjuangan. Kehendak manusia juga tidak menjadi perhitungan dalam segala tindakan tetapi perhitungannya ialah tindakan itu bertepatan dengan kehendak Allah dan juga Rasul-Nya.

12. Kita berjuang dengan segenap tenaga, masa dan harta kita semata-mata untuk mendapat redha Allah.

13. Kita mengajak manusia menyokong perjuangan politik Islam menerusi kaedah dan cara yang diredhai Allah agar mereka bahagia di dunia dan Akhirat.

14. Kita mengajak mereka menyokong perjuangan Islam supaya mereka juga mendapat redha Allah. Kebahagiaan bakal dikecapi mereka di dunia seterusnya di Akhirat.

15. Kita tidak menerima sebarang perjuangan politik yang membawa kepada mengenepikan kehendak dan perintah Allah kerana ia menjauhkan kita daripada redha Allah.

16. Mengharapkan Redha Allah adalah keistimewaan golongan yang berjuang atas nama Islam. Musuh merasai keperitan perjuangan sepertimana yang dirasai oleh para pejuang Islam. Namun, bezanya ialah pejuang Islam mengharapkan Redha Allah, sesuatu yang memang tidak diharapkan oleh orang lain sepertimana firman Allah

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ

"Dan janganlah kamu lemah (semangat) dalam mendapatkan kaum (yang kufur) tersebut. Sekiranya kamu merasai kesakitan mereka juga merasai kesakitan sebagaimana kamu rasai sedang kamu mengharapkan daripada Allah sesuatu yang mereka tidak harapkan"
Surah al-Nisa ayat 104.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan DUPP

Jumaat 11 Zulhijjah 1436 H / 25 September 2015
Jam 3.30 ptg waktu Mekah; Masjid Haram.

Thursday 24 September 2015

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 2) Mati "Husnul Khatimah"

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 2)

Mati "Husnul Khatimah"

Allah berfirman;

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ ۗ
Maksudnya: "Di mana kamu berada pasti kamu tetap ditemui oleh kematian meskipun kamu berada dalam bangunan megah kukuh lagi tinggi". Surah al-Nisa ayat 78.

Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhu, apabila ramai yang mati syahid dalam peperangan Uhud orang-orang Munafik yang mengundur diri dari medan Uhud berkata; "jika mereka berada bersama kita mereka tidak akan mati atau terbunuh". Allah Taala lalu menurunkan ayat di atas.

Tentu ramai juga yang akan berkata dalam bentuk ratapan dan keluhan apabila berlaku sesuatu tragedi kematian seperti mana kata-kata Munafikin; jika mereka tidak ke situ tentu tidak berlaku kematian"

Kematian adalah sesuatu yang pasti. Tinggal lagi ialah persoalan bila, di mana dan bagaimana.

Berbahagialah mereka yang ditakdirkan mati di bumi suci di saat menunaikan ibadah yang mulia seperti Haji.

Nabi saw bersabda;

« إِذَا أَرَادَ اللهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اِسْتَعْمَلَهُ .، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، كَيْفَ يَسْتَعْمِلَهُ ؟ ، قَالَ : يَهْدِيهِ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ » .
Maksudnya: "Apabila Allah mahukan bagi seorang hamba satu kebaikan Allah jadikan dirinya beramal".
Rasulullah saw lalu ditanya, bagaimana Allah jadikan dirinya beramal?  Baginda menegaskan: "Allah memberi hidayah kepadanya untuk melakukan amalan soleh sebelum matinya".
Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi.

Dalam riwayat lain oleh Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim yang dinilai Sahih oleh al-Albaani menyebut bahawa Nabi saw bersabda;

« إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَّلَهُ .؛ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَ مَا عَسَّلُهُ ؟ ، قَالَ : يَفْتَحُ لَهُ عَمَلاً صَالِحًا بَيْنَ يَدَيْ مَوْتِهِ ، حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ مَنْ حَوْلُهُ » .
"Apabila Allah mahukan bagi seorang hamba satu kebaikan Allah kurniakan kemanisan umpama madu untuknya beramal". Mereka bertanya; apa maksudnya? Kata baginda: "Allah membuka untuknya satu amalan soleh di ambang kematiannya hingga orang di kelilingnya meredhainya".

Kemanisan untuk beramal amalan yang baik di hujung usia menjadikan dirinya bahan pujian manusia di samping redha Allah. Itulah juga maksud kinayah daripada perkataan " عسل  " yang bermaksud jadikan ia semanis madu kerana madu adalah makanan baik yang disukai manusia.

Allah takdirkan untuk dirinya amalan soleh di ambang kematian agar dosa-dosanya yang lampau diberikan keampunan dan dalam masa yang sama pula beroleh limpahan pahala.

Amat wajar bagi setiap muslim memohon kepada Allah untuk mati dalam keadaan amal soleh moga syurga menjadi milik kita semua. Ia disebut sebagai "husnul khatimah" penutup yang baik.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 10 Zulhijjah 1436 H / 24 September 2015
Jam 6 ptg waktu Mekah dalam perjalanan untuk bermalam di Mina.

Wednesday 23 September 2015

HAYATILAH KELEBIHAN HARI ARAFAH

LAJNAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

HAYATILAH KELEBIHAN HARI ARAFAH

Hari Arafah yang jatuh pada hari ke sembilan Zulhijjah merupakan hari yang mulia yang diberikan kelebihan oleh Allah. Antaranya;

1. Ia adalah hari di mana para jemaah haji berwukuf di Arafah bagi melunaskan salah satu rukun Haji. Tanpa berwukuf haji mereka tidak sah sebagaimana Hadis Sahih riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah bahawa Nabi saw bersabda bermaksud "Haji itu Arafah".

2. Ia adalah hari terbaik untuk berdoa sebagaimana Hadis riwayat Tirmizi, Nabi saw bersabda;

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي:
Maksudnya: "Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan para Nabi sebelumku ialah

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
(Tiada Ilaah (Tuhan yang diberikan pengabdian) melainkan Allah satu-satunya, tiada sekutu bagi-Nya. Hanya Dia memiliki sebenar-benar kerajaan dan hanya Dia memiliki sebenar-benar pujian syukur dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa).

Kelebihan berdoa pada hari tersebut bukan hanya khusus untuk jemaah Haji yang sememangnya wajar menjadikannya sebagai amalan utama ketika sedang berwukuf tetapi juga umum kepada seluruh umat Islam.

Imam Ahmad menukilkan bahawa 2 sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Abbas dan Amru bin Huraith antara yang memulakan majlis berhimpun dan berdoa pada hari Arafah di masjid di Basrah.

3. Hari Arafah disunatkan berpuasa bagi selain para jemaah Haji sebagaimana Hadis dengan Isnad yang Sahih riwayat Abu Dawud:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنْ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ " .
"Bahawa Rasulullah saw berpuasa pada sembilan Zulhijjah, Hari Asyura' (10 Muharram) dan 3 hari daripada setiap bulan iaitu isnin pertama dan dua khamis"

4. Hari Arafah termasuk salah satu hari dalam 4 bulan Haram yang diberikan kehormatan oleh Allah iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. (Rujuk surah Taubah ayat 39).

5. Hari Arafah termasuk salah satu hari dalam bulan-bulan Haji iaitu bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. (Rujuk surah al-Baqarah ayat 139.)

6. Hari Arafah termasuk dalam salah satu hari-hari yang dimaklumi (ma'luumat - معلومات ) sepertimana disebut oleh Allah dalam surah al-Hajj ayat 28.

Ata' melaporkan daripada Ibnu Abbas, hari-hari yang dimaklumi ialah Hari Arafah, Hari Raya Korban dan 3 hari Tasyrik.

disediakan oleh;

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / AJK PAS Pusat

Rabu 9 Zulhijjah 1436 H / 23 September 2015

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 1)

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 1)

Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27;

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27)
Maksudnya; "Dan buatlah perisytiharan di khalayak ramai untuk mereka laksanakan ibadah Haji pasti mereka datang kepada kamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus, mereka datang dari seluruh pelusuk negeri yang jauh"

Allah Taala mengarahkan Nabi Ibrahim alaihissalam membuat perisytiharan ibadah haji. Jaminan daripada Allah ialah manusia pasti datang meskipun berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus.

Berjalan kaki menunjukkan kesungguhan. Meskipun tiada kenderaan mereka sanggup berjalan kaki walaupun ke tempat yang jauh demi menunaikan Haji.

Unta yang kurus ditafsirkan dengan dua keadaan. Sama ada kerana ketiadaan unta yang gemuk namun kerana keinginan membuak-buak untuk hadir ke Mekah maka mereka sanggup menunggang unta yang kurus.

Atau dengan maksud jauhnya perjalanan hinggakan unta yang gemuk asalnya menjadi kurus.

Dalam riwayat Ibnu Abbas, Mujahid dan Ikrimah melaporkan Nabi Ibrahim bertanya bagaimanakah suaraku akan sampai kepada manusia? Allah menjawab; tugasanmu ialah menyeru dan Kami yang menyampaikannya.

Demikiankah janji Allah. Manusia hanya perlu melaksanakan perintah-Nya. Jaminan selanjutnya adalah milik Allah. Namun, berapa ramai yang bersedia untuk yakin?

Seruan haji sampai kepada manusia sejak zaman Ibrahim alaihissalam bersambung ke zaman Nabi kita Muhammad saw sehingga ke hari ini tanpa putus.

Sehingga kini bumi Mekah tidak pernah sunyi daripada manusia. Tiada yang menarik melainkan Kaabah. Mekah adalah bumi panas gersang tanpa tumbuhan. Tanpa air melainkan Zamzam. Ibadah Haji menjadi sebab berkembangnya pelancongan ibadah. Terbentuknya pasar dan transit barangan antara Yaman di selatan dan Syam di utara di zaman silam.

Sehingga kini ia memberi sumber rezki kepada jutaan manusia yang berniaga dan menguruskan pelbagai perkara melibatkan ibadah haji.

Ibrahim alihissalam hanya melaksanakan perintah mengisytiharkan ibadah haji. Kehadiran manusia adalah jaminan daripada Allah kerana Dia yang membuka hati manusia.

Demikianlah yang perlu kita yakini dalam apa jua pekerjaan. Tugasan kita hanyalah melaksanakan perintah Allah. Hasilnya terserahlah kepada Allah.

Bagi pendakwah, tugasannya ialah menyampaikan seruan lalu hasilnya sama ada manusia menerima atau menolak terserahlah kepada Allah. Namun, Allah pasti membuka hati sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
8 Zulhijjah 1436 H / 22 September 2015 jam 11.30 pg waktu Mekah

Tuesday 15 September 2015

SAHAM FGV : BUKTI KEGAGALAN MEMBELA PENEROKA FELDA

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

SAHAM FGV : BUKTI KEGAGALAN MEMBELA PENEROKA FELDA

(Rujuk : http://harakahdaily.net/index.php/headline/37405-saham-fgv-bukti-umno-bn-gagal-bela-peneroka-felda)

1. Semalam, nilai semasa saham Felda Global Ventures (FGV)  ialah RM1.64 seunit. Pun begitu, harga dagangan terakhir saham itu setakat sehingga 25 Ogos 2015 lalu ialah RM1.21 iaitu merosot sebanyak 73.4% berbanding RM4.55 seunit saham semasa ia mula disenaraikan pada 28 Jun 2012.

2. Sekalipun nilainya pernah mencecah sehingga RM5.39 pada hari pertama ia diniagakan di Bursa Malaysia dan pernah melonjak ke RM5.45 lima minit selepas ia didagangkan, hakikatnya sehingga minggu pertama September 2015 ia terus mengalami trend penurunan.

3. Berikutan itu, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) telah dikeluarkan daripada senarai 30 syarikat utama Bursa Malaysia akibat kejatuhan nilai sahamnya dan keuntungan yang berkurang.

4. Paling terkesan dengan kejatuhan nilai saham FGV ini ialah 112,635 orang peneroka di seluruh negara. Jika setiap peneroka membeli 800 unit saham dan membayar sebanyak RM3,560 untuk jumlah itu, kini setiap peneroka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,592 atau berjumlah RM291,949,920 (RM291.9 juta) secara keseluruhannya.

5. Justeru, sasaran untuk meraih RM10.5 bilion daripada penyenaraian tersebut kelihatan semakin tidak berkesampaian dan durian runtuh untuk peneroka pun tidak lagi didendangkan kini.

6. Tidak dinafikan bahawa naik turun saham adalah bermusim. Namun, tiada siapa yang dapat mengunjurkannya secara pasti dalam keadaan kejatuhan berterusan harga minyak sawit mentah di pasaran global ditambah pula dengan peningkatan kos pengurusan dan hasil tuaian yang tidak bertambah kerana kebanyakan pokok kelapa sawit sudah berusia serta faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada ketidaktentuan ini.

7. Inilah bahana yang terpaksa ditanggung oleh para peneroka akibat tindakan UMNO/BN yang mentadbir Kerajaan. Setelah berbuat licik mahu menyenaraikan Felda Holdings Berhad (FHB) di zaman Mahathir pada 2004 – walaupun gagal – UMNO/BN sekali lagi menggunakan jalan belakang dengan cara menyenaraikan FGVHB yang memiliki 49% saham dalam FHB pada 2012.

8. Akibatnya, para peneroka yang memiliki pegangan saham sebanyak 51% dalam FHB melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) terpaksa turut menanggung kerugian akibat penyenaraian tersebut. Tanah milik para peneroka kini terdedah kepada ancaman dimiliki oleh pelabur-pelabur asing dan golongan kapitalis yang tamakkan keuntungan.

9. Sewajarnya para peneroka mula dan bersungguh membuat perubahan agar 54 parlimen dan 92 DUN di Felda tidak lagi terus menjadi mangsa UMNO/BN tanpa pembelaan yang sewajarnya.

10. Sementara pendekatan ‘top-down’ belum berjaya mengubah Kerajaan dalam mengenakan polisi yang bermanfaat terhadap warga Felda, pendekatan ‘bottom-up’ juga seharusnya digerakkan secara konsisten dan konstruktif bagi membolehkan suatu anjakan berlaku dalam kalangan warga peneroka menjelang PRU14 akan datang.

11. UMNO/BN ternyata telah gagal membela nasib para peneroka dan tidak harus lagi kegagalan ini dibiarkan berterusan pada masa hadapan.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Selasa, 15 September 2015 | 1 Zulhijjah 1436 H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.