Saturday 26 April 2014

Aktiviti Khamis 25.4.2014

Bertolak dari Bangi jam 3 petang dengan beberapa tempat hujan di sepanjang jalan membolehkan saya tiba di Kg Banggol Tok Esah pada jam 8 mlm. Kuliah malam ini dihadiri oleh begitu ramai rakyat sekitar termasuk pengunjung tetap masjid Banggol Peradong. Saya mengulas hadis Nabi
اغتنم خمسا قبل خمس حياتك قبل موتك وشبابك قبل هرمك وصحتك قبل سقمك وغناك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك
Rebutlah 5 perkara sebekum datang 5 perkara. Hidup kamu sebelum mati kamu. Muda kamu sebelum tua kamu. Sihat kamu sebelum sakit kamu. Kaya kamu sebelum miskin kamu. Kelapangan kamu sebelum sibuk kamu.
Hadis ini saya pilih kerana di saat itu saya diuji dengan sakit kaki yang membengkak tanpa diketabui punca sejak seminggu yang lalu. Hadis ini memberi keinsafan tentang betapa nikmatnya kesihatan yang diberikan oleh Allah.
Berakhir kuliah maghrib diekori pula dengan perasmian mesyuarat PAS cawangan Jeram yang diketuai oleh Ustaz Khairul Azmi. Antara yang saya sentuh dalam ucapan ialah pentingnya memakmurkan surau dan kampung dengan kuliah ilmu agar kemenangan diberikan oleh Allah. Itukah antara aktiviti utama cawangan PAS yang tidak boleh diketepikan. Ada 4 program ilmu yang boleh disusun bersempena dengan israk mi'raj yang selalunya dibincangkan pada bulan rejab, program ramadhan, sambutan maal hijrah pada bulan Muharram dan kelahiran Rasulullah saw pada bulan Rabi'ul Awal. Barakah kuliah ilmu pasti akan dirasai oleh masyarakat sekitar dengan kehadiran para malaikat. Rakyat yang susah boleh diambil perhatian oleh cawangan menerusi program agihan beras sebagai kecaknaan kebajikan terhadap rakyat.

GST bercanggah Dengan Prinsip Percukaian Dalam Islam

GST bercanggah Dengan Prinsip Percukaian Dalam Islam

Konsep Negara Hidayah
Bukan Jibayah

1. Negara Islam tidak ditegakkan atas dasar negara percukaian (darul jibayah) tetapi berasakan lri sip negara hidayah dan berkebajikan.

2. Negara percukaian meletakkan cukai sebagai dasar hasilan utama negara yang perlu dioptimumkan sedangkan negara hidayah meletakkan cukai sebagai hanya tindakan sementara di kala terdesak dan perlu diminimakan dan bukan dimaksimakan.

3. Negara Islam meletakkan bebanan kewangan negara ditanggung oleh golongan berada yang mempunyai lebihan kewangan dan berkemampuan sebagai satu tanggungjawab harta bagi menampung keperluan rakyat yg miskin dan kewangan negara apabila bermasalah.

4. Golongan berada dalam Islam diberi pelbagai insentif galakkan bagi mengoptimumkan semangat menyumbang secara sukarela kepada negara di kala kewangan bermasalah dan kepada rakyat yang tidak berkemampuan seara berterusan menerusi tajaan kewangan, sedekah, hibah, hadiah dan wakaf negara.

Kehormatan Harta Rakyat

1. Islam menghormati hak pemilikan harta manusia. Harta rakyat tidak boleh diambil oleh kerajaan atas nama cukai dan sebagainya tanpa sebab.

2. Kerajaan mesti mengoptimumkan hasil negara menerusi pelbagai sumber bukan cukai.

3. Sekiranya berlaku kekurangan dana negara maka barulah cukai dibolehkan untuk dikenakan kpd rakyat atas nama dharurat dn keperluan dan ia mesti berlaku dengan pelbagai syarat yg ketat dan hanya dengan sekadarnya demi memenuhi keperluan tersebut.

4. Disyaratkan juga untuk dikenakan cukai bahawa tidak berlaku sebarang ketirisan dan pembaziran perbelanjaan. Sekiranya masalah kewangan negara berlaku kerana kegagalan kerajaan menguruskan harta secara berhemah maka cukai haram dan tidak boleh dikenakn kepda rakyat.

5. Apabila cukai rakyat diperlukan kerajaan hanya boleh mengambil cukai daripada golongan berada yang berkemampuan dan tidak boleh dikenakan kepada golongan miskin yang hanya cukup makan atau faqir yang tidak cukup makan.

GST cukai yg zalim yg bercanggah dgn Islam kerana beberapa sebab
1. Ia cukai atas perbelanjaan sedangkan cukai sepatutnya atas pendapatan.
2. Cukai atas perbelanjaan akan kena pd semua golongan kaya atau miskin sedsngkn cukai sepatutnya hanya pd golongan berada yg berkelapangan kewangan dan ada lebihan harta
3. Cukai GST bersifat sumber tetap bg kerajaan sedangkan cukai dlm islam sepatutnya bersifat sementara untuk menangani permasalahan kewangan negara yg terdesak. Apabila kewangan sudah stabil cukai mesti dihapuskan
4. GST berlaku dalam suasana kewangan negara bermasalah dgn kadar hutang melebihi 500 bilion kerana berlaku ketirisan dan pembaziran perbelanjaan negara. Ia bercanggah dgn prinsip cukai dlm Islam yg menegaskan tidak boleh dikenakan cukai kpd rakyat di saat berlaku pembaziran kewangan negara.

5. Kadar cukai Gst sebanyak 6% atas perbelanjaan bercanggah dgn prinsip cukai Islam yg sepatutnya tidak melebihi 2.5 %. Kadar zakat yg wajib pun maksimanya 2.5% atas pendapatan orang yg berkemampuan atau perniagaan atau simpanan. Inikan pula cukai yg sepatutnya bersifat sementara tidak boleh melebihi 2.5%. 

Kesan GST
1. Kajian yg banyak terhadap negara2 yg telah melaksanakan gst menunjukkan peningkatan harga barang yg tidak terkawal kerana gst. Yg jadi mangsa akhirnya rakyat yg tidak berkemampuan.

2. GST akan menyebabkan berlaku inflasi yg tinggi. Kesannya bersifat jangka pendek dan jangka panjang terhadap kemampuan rakyat berbelanja di saat pendapatan rakyat pula berada pd tahap sederhana.

3. Kesan GST pd kewangan peribadi rakyat bawahan dn berpendapatan rendah disebabkan kenaikan harga barang dan susut nilai pendapatan akan membawa negara pd suasana jenayah melibatkan kewangan seperti curi, rompak dan penipuan.

4. Gst akan meletakkan rakyat bawahan berada pada situasi berhutang berpanjangan hanya untuk melunaskan keperluan harian. Si kaya yang berkemampuan tidak akan terasa dgn gst. Ia akan mewujudkan jurang yg makin lebar antara si kaya dan si miskin yg akhirnya menggugat kestabilan kehidupan bermasyarakat

Nota ringkas disediakan oleh Dr Khairuddin Takiri

Ceramah Penerangan di Jerangau

Sabtu 24.4.2014 - Ceramah Penerangan di Felda Jerangau bersama ADUN Sura YB Cikgu Hj Wan Hafandi Wan Nik dan Ustaz Ghazali Sulaiman Pengarah MTD Bukit Besi merangkap SU PAS Kawasan Dungun

Wednesday 23 April 2014

Hudud Brunei : PBB tak perlu campurtangan - Harakahdaily

Hudud Brunei: PBB tak perlu campur tangan - http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/27352-hudud-brunei-pbb-tak-perlu-campur-tangan

Kenyataan Media Berhubung Tindakan PBB Menyelar Pelaksanaan Hukuman Jenayah Islam Di Brunei

Kenyataan Media Berhubung Tindakan PBB Menyelar Pelaksanaan Hukuman Jenayah Islam Di Brunei

1. Saya merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (OHCHR) PBB yang mengkritik keputusan Brunei yang mahu melaksanakan hukuman hudud di negara itu.

2. Kenyataan itu menyebut dengan jelas kritikan PBB mengenai hukuman mati dalam pelaksanaannya itu sebagai bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa.

3. Malah, PBB juga mengklasifikasikan hukuman rejam sampai mati itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ini ditambah pula dengan tindakan boikot oleh kumpulan LGBT terhadap sebuah hotel di Brunei.

4. Perlu ditegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak perlu prejudis terhadap hak asasi umat Islam dalam melaksanakan undang-undang agama dan kenegaraan mereka.

5. Bantahan PBB terhadap hak negara berdaulat Brunei mengkanunkan undang-undang jenayah Islam menggambarkan kegagalan PBB memahami erti hak asasi manusia yang sebenar.

6. Malah banyak tindakan-tindakan oleh PBB di pentas antarabangsa membayangkan sikap "double standard" dalam isu-isu hak asasi manusia dan tidak mencerminkan mereka memahami konsep keadilan dan slogan ‘human right’ yang dilaung-laungkan. Ia hanya menjadi omongan kosong.

7. Saya mendesak PBB untuk tidak campur tangan terhadap keputusan yang diambil oleh Brunei yang mahu melaksanakan hukuman hudud di negara itu apatah lagi menjadi ‘hero’ kononnya atas nama hak asasi manusia atau ‘human right’.

8. Masih banyak isu-isu kemanusiaan sebenar yang tertunggak tidak diuruskan oleh PBB terutamanya melibatkan jenayah kemanusiaan oleh negara haram Yahudi yang telah merampas tanah, mengusir serta membunuh umat Islam Palestine sejak sekian lama untuk tempoh yang panjang melebihi 60 tahun. Apakah ianya bertepatan dengan prinsip ‘human right’ yang sering digembar-gemburkan?

9. Rampasan kuasa di Mesir terhadap pemerintahan presiden Dr Muhammad Mursi yang dipilih secara sah oleh rakyat Mesir melalui jalan demokrasi, adakah ianya juga seiring dengan slogan ‘human right’ yang kononnya diperjuangkan PBB? Tiada pula tindakan atau sekatan ekonomi dibuat.

10. Begitu juga isu penghapusan etnik umat Islam di Myanmar dan Republik Afrika Tengah yang hanya didiamkan PBB walaupun mereka mempunyai kuasa untuk bertindak lebih daripada itu.

11. Ironinya, tiba-tiba PBB tampil membuat kenyataan berhubung ‘human right’ kepada sebuah negara yang ingin mengamalkan undang-undang Islam. Saya kira tindakan itu tidak perlu. Brunei juga tidak memerlukan nasihat dan pandangan daripada PBB.

12. Malah, saya juga ingin menegaskan dalam pentadbiran PBB itu sendiri mengalami krisis ‘human right’. Kuasa veto dan kuasa pembatal yang diberikan ‘khas’ kepada 5 negara tetap anggota keselamatan PBB seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, United Kingdom dan Perancis sebenarnya juga tidak bertepatan dengan semangat demokrasi dan ‘human right’.

13. Saya juga menggesa mana-mana pihak yang tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenai hukuman jenayah Islam khususnya Hudud tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang menyeleweng terhadap pelaksanaan hukuman hudud.

YB DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
AHLI PARLIMEN KUALA NERUS
Rabu 23 APRIL 2014

Hudud Sana Sini

HUDUD SANA-SINI

(1) Maximus Ongkili [ Menteri ] Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS)

Pelaksanaan hudud walaupun hanya terpakai ke atas umat Islam, namun penguatkuasaannya akan memberi kesan juga kepada cara hidup semua orang termasuk bukan Islam...kami menentang perancangan PAS untuk laksanakan hudud di Kelantan.

(2) Teo Chee Kang, Presiden Liberal Democratic Party (LDP)

Sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara teokratik adalah menafikan asas bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dibina di atas kepelbagaian etnik, budaya dan agama...LDP sekeras-kerasnya menentang pembentangan rang undang-undang (hudud) tersebut di parlimen.

(3) Darrel Leiking, Timbalan Setiausaha Agung PKR

Dengan mengambil jiran kita, Brunei sebagai contoh yang melaksanakan undang-undang hudud. Orang Islam dan bukan Islam di sana mempunyai satu garis panduan kod pemakaian yang berbeza untuk dipatuhi. Ini menunjukkan bahawa walaupun bukan Islam tidak perlu mematuhi sepenuhnya dengan undang-undang hudud, hak asasi mereka masih akan dicabar, walaupun tuntutan dibuat, mereka tidak akan terjejas..

(4) Jimmy Wong, Pengerusi DAP Sabah

Jika kami dapat keluar dari Barisan Alternatif pada tahun 2001 kerana perbezaan ketara berkenaan isu Negara Islam, kami juga boleh lakukannya sekali lagi (terhadap isu hudud). Saya beri jaminan bahawa tidak akan ada kompromi untuk pertahankan prinsip kami. Dalam senario keadaan terburuk, kami akan memilih untuk tinggalkan PR.

(5) Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP

Pendirian PR (berkenaan hudud) tidak pernah berubah kerana pendirian DAP yang menentang pelaksanaan undang-undang Islam. Di bawah PR, mesti ada konsensus oleh ketiga-tiga parti mengenai sesuatu dasar.

Semua parti komponen PR boleh capai objektif parti masing-masing dalam ruang demokrasi. Bagaimanapun, tumpuan dan keutamaan mestilah pada dasar-dasar yang telah dipersetujui secara bersama oleh ketiga-tiga pihak. Antaranya; memerangi rasuah, memastikan urus tadbir yang baik, memastikan kedaulatan undang-undang dan keadilan tertegak serta memastikan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi secara saksama dengan rakyat dan tidak hanya dinikmati oleh kroni.

(6) Mahathir Mohamed, bekas Timbalan Perdana Menteri

Dalam Islam, prinsip utama ialah keadilan dan terdapat 43 ayat dalam al-Quran yang menyentuh berkenaan keadilan dalam menjatuhkan hukuman. Jika tiada keadilan, kita tidak boleh menghukum.

Di dalam negara kita ada Islam dan bukan Islam. Sekiranya seorang Islam mencuri, tangannya akan dipotong, tetapi jika bukan Islam mencuri, dia akan dipenjarakan. Adalakah ini keadilan atau tidak?

Kelantan perlu memikirkan semula perancangannya untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

(7) Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA

Kedudukan PAS amat jelas. Ia hanya mahu memerangkap UMNO. Selama ini mereka menyeru UMNO "kafir", kini tiba-tiba sahaja beralih kepada UMNO untuk mendapatkan ihsan, seolah-olah mereka ikhlas.

PAS mahu kelihatan baik dalam kalangan pengundi tradisional Melayu dan DAP pula menentang kerana ia tidak mahu kehilangan pengundi Cina.

(8) Tan Keng Liang, Ketua Pemuda Gerakan

Tindakan PAS akan mewujudkan dua set undang-undang jenayah di negara kita dan akan membawa kepada berlakunya krisis perlembagaan.

Ia adalah lebih baik untuk memperbaiki kelemahan undang-undang jenayah yang sedia ada dalam negara kita daripada merombak keseluruhan sistem.

Isunya ialah bukan menentang undang-undang dan prinsip-prinsip Islam. Tetapi ia persoalan adakah ia praktikal dan haruskan kita meninggalkan prinsip-prinsip dalam perlembagaan persekutuan.

Friday 18 April 2014

LPT2 tertanggu - Harakahdaily

LPT2 tertangguh lagi? - http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/27227-lpt2-tertangguh-lagi

Tarikh Lebuh Raya Pantai Timur 2 Siap Beranjak Lagi

Tarikh Lebuh Raya Pantai Timur 2 Siap Beranjak Lagi

1. Pada 15 April 2014, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, YB Ir. Rosli Othman, dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Jabor - Kuala Terengganu sepanjang 184 kilometer yang dianggarkan membabitkan perbelanjaan RM4.25 bilion dijangka siap sepenuhnya Disember 2014.

2. Menariknya pada 26 Januari 2014, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof dilaporkan berkata, ia dijangka siap pada September 2014. Ia disebut ketika perasmian pembukaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi-Paka melibatkan peruntukan RM514 juta sejauh 35 kilometer.

3. Menurut beliau, Kerajaan Terengganu memohon projek itu disiapkan sebelum Aidilfitri ini dan Kementerian akan berusaha agar permintaan tersebut dapat ditunaikan kerana kira-kira 80 kilometer lagi LPT2 yang masih belum disiapkan di mana kerja-kerja pembinaan kini mencapai 70 peratus.

4. Sebelumnya pada Oktober 2013, YB Ir. Rosli Othman juga memberi jaminan projek itu akan siap dan dibuka sepenuhnya pada September 2014 semasa menjawab soalan lisan Azan Ismail (PKR-Bandar) pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 yang lalu.

5. Jun tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata sehingga 30 Jun 2013, projek LPT2 sepanjang 184 kilometer itu telah mencapai kemajuan fizikal pada 88.5 peratus.

6. Sebelumnya lagi pada penghujung 2012, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Soon mengumumkan di Parlimen bahawa LPT2 hanya dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada Ogos 2014.

7. Timbalan Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa sebab utama berlakunya kelewatan ia disiapkan adalah kerana  kegagalan kontraktor menyiapkannya mengikut tempoh yang ditetapkan kerana kesan daripada kenaikan harga barangan pembuatan pada 2007-2008. Akibatnya, 10 dari pakej lebuhraya itu terpaksa ditender semula.

8. LPT2 merupakan projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk Terengganu sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu. Ia kesinambungan daripada projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer .

9. Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

10. Ia dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion dan dijadualkan siap akhir 2010. Namun ia gagal disiapkan mengikut jadual dan telah beberapa kali distruktur semula oleh kerajaan dan akhir sekali 70 peratus projek berkenaan telah diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

11. Kos asal RM3.7 bilion telah meningkat sekarang kepada RM4.5 bilion disebabkan pertambahan tempoh masa dan pengstrukturan semula projek beberapa kali dan pertukaran kontraktor.

12. Pada 22 Ogos 2011, selepas 5 tahun 5 bulan projek berjalan, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.

13. 2 tahun 5 bulan kemudiannya, pada Januari 2014 laluan dari Bukit Besi ke Paka sejauh 35 kilometer disiapkan dan dibuka.

14. Sekarang, selepas 8 tahun projek berjalan dengan 105 kilometer telah disiapkan daripada 184 kilometer keseluruhan projek, berbaki lagi 79 kilometer sedang disiapkan. Tempoh yang ada sekarang sehingga Disember 2014 ialah 8 bulan. Adakah rakyat Terengganu boleh percaya ia akan siap pada Disember 2014 atau akan tertangguh lagi dengan pelbagai alasan? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

15. Saya mendesak kerajaan negeri dan kementerian yang bertanggungjawab untuk menjelaskan status sebenar projek LPT2 dan tempoh sebenar projek ini dapat disiapkan. Ini kerana projek LPT2 mengalami kelewatan dan penangguhan projek yang tidak munasabah memandangkan perubahan demi perubahan dan percanggahan tentang tempoh akhir yang berlaku di antara kerajaan negeri dan kementerian.

16. Saya juga menggesa kementerian yang terlibat supaya memantau dengan lebih mendalam mengenai pengurusan projek secara keseluruhan supaya proses penyiapan projek yang mencecah kos berbilion ringgit ini dapat disegerakan.

17. Doa saya agar ia mampu disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada Disember 2014.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat 18 hb April 2014

Thursday 17 April 2014

HUKUM TAKZIAH KEMATIAN BUKAN ISLAM

Hukum Takziah Kematian Bukan Islam

1. Para Ulamak berbeza pandangan dalam hukum mengucapkan takziah kematian kepada orang bukan Islam. Imam Syafie dan Abu Hanifah membolehkan muslim mengucapkan takziah kepada bukan Islam. Apatah lagi jika diharapkan keluarga mereka menjadi lunak dengan Islam kerana ia merupakan antara maqasid dan matlamat syariat. Syeikh al-Albaani pula di kalangan ulamak kontemporari mensyaratkan selagi mana ia bukan kafir harbi yang memerangi dan memusuhi umat Islam.

2. Boleh ketika takziah menggesa keluarga si mati agar bersabar dengan kematian dan memperingatkan mereka bahawa itu adalah sunnah kehidupan.

3. Tidak boleh ketika takziah mendoakan keampunan dosa atau rahmat atau syurga kerana Allah berfirman:

{ مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ }(9)
"Tidak wajar bagi Nabi dan orang-orang beriman memohon keampunan bagi orang-orang yang syirik meskipun mereka adalah kaum kerabat setelah mana ternyata bagi mereka bahawa mereka adalah penghuni-penghuni neraka" Surah Taubah: 113

Saturday 5 April 2014

Usaha Mengkanun dan Melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam

Usaha Mengkanun dan Melaksanakan Undang-Undang Jenayah Islam

1. Negara Islam adalah sebuah negara yang terserlah dan terlaksana padanya hukum-hakam dan undang-undang Islam. Hukum-hakam Islam pula tidak hanya terbatas pada hukum hakam ibadah, munakahat dan muamalat tetapi juga merangkumi hukum-hakam dan perundangan jenayah.

2. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dalam sesebuah negara umat Islam merupakan satu kewajipan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada pemerintah Islam yang telah sabit dalam al-Quran dan Sunah serta disepakati oleh seluruh Ulamak dan Sarjana Islam sejak 14 kurun yang lalu hingga sekarang.

3. Atas kesedaran itu maka PAS sebaik berkuasa memerintah negeri dengan kuasa majoriti kuat yang ada telah mengkanunkan undang-undang jenayah Islam menerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2002.

4. Namun, PAS menyedari bahawa pelaksanaan undang-undang yang telah dikanunkan terbatas dan terhalang oleh jadual 9 perlembagaan yang meletakkan kuasa perundangan jenayah adalah di bawah kuasa kerajaan persekutuan dan bukannya kuasa kerajaan negeri.

5. Maka menjadi kewajipan bagi ahli Parlimen Islam di Malaysia berusaha dengan apa sahaja kaedah dan cara di parlimen yang membolehkan pelaksanaan undang-undang tersebut di peringkat negeri.

6. Kita menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di parlimen baru-baru ini yang menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak ada halangan untuk mana-mana negeri melaksanakan undang-undang jenayah islam. Kenyataan itu perlu disusuli dengan tindakan oleh kerajaan pusat untuk membawa sebarang pindaan perlembagaan ke Parlimen atas nama kerajaan yang berkuasa yang membolehkan ia dilaksanakan di peringkat negeri.

7. Kita juga mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang membawa mandat pengundi-pengundi Islam atas kesedaran bahawa undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan beragama bagi muslim dan hanya dikenakan kepada orang Islam serta  sebagai satu usaha yang telah terbukti berkesan menurut rekod sejarahnya dalam menangani permasalahan jenayah berat melibatkan nyawa, harta dan maruah rakyat yang semakin meningkat dan menggangu kestabilan dan keamanan negara.

8. Juga menyedari bahawa kerajaan 9 negeri-negeri Melayu beraja sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan negeri-negeri yang meletakkan Islam sebagai asas perundangan dan perlembagaan negeri.

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 5 hb April 2014

Kenangan Ilmu dan Dakwah AlMarhum Tuan Guru Hj Awang Jidin

Kenangan Ilmu dan Dakwah AlMarhum Tuan Guru Hj Awang Jidin

1. Khamis 3hb April malam Jumaat jam 9 malam menyaksikan   pemergian guru dan mursyid saya Tuan Guru Hj Awang Nasiruddin bin Abu Bakar  atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Hj Awang Jidin ke rahmatullah pada usia 71 tahun setelah mula uzur sejak awal 2000.

2. Beliau dilahirkan di kg yang sama dengan kg kelahiran saya iaitu Seberang Takir, Kuala Nerus pada tahun 1943. (30 tahun sebelum kelahiran saya pada 1973)

3. Pendidikan awal beliau ialah di Pondok Tok Jiring yang diasaskan oleh tokoh Ulamak terkenal negeri Terengganu iaitu Tuan Guru Hj Abas yang kemudiannya menjadi mertua almarhum.

4. Pengajian almarhum seterusnya ialah Universiti DEUBOND, India dan Universiti AL-AZHAR, Mesir sezaman dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan almarhum Tuan Guru Hj Harun Taib.

5. Antara jasa besar beliau dalam dakwah ialah mewujudkan suasana persekitaran tarbiyah Islam, ilmu dan dakwah khususnya di pekan Batu 6 dengan memakmurkan masjid Taqwa, Batu 6. Kuliah maghrib pengajian kitab Bugyah al-Tullab karya Syeikh Dawud al-Fatani dan Wisyah al-Afrah oleh almarhum di Masjid Taqwa sebelum keuzuran almarhum dihadiri oleh ribuan ahli masyarakat. Kawasan sekitar masjid diisytiharkan sebagai kawasan larangan membuka aurat wanita. Begitu juga dengan kuliah setiap pagi jumaat di Kg Bukit Tok Beng, Seberang Takir.

6. Saya mula menghadiri kuliah ilmu almarhum setiap pagi Jumaat di Bukit Tok Beng pada usia 13 tahun pada tahun 1986 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan sekampung dan sesekolah Zainal Abidin Ladang. Seterusnya secara lebih aktif pada usia 16 tahun. Rakan-rakan saya di Sek Men Agama Sultan Zainal Abidin,  Batu Burok selalunya ke Masjid Rusila setiap pagi Jumaat mengikuti kuliah Tafsir dan Hadis Riyad Solihin Tuan Guru Hj Abdul Hadi, tapi saya di samping ke sana, lebih kerap pulang ke Seberang Takir dengan mengayuh basikal semata-mata untuk mengikuti pengajian Tafsir, kitab fiqh Sabilul Muhtadin dan kitab tauhid Aqidah Najihin yang disampaikan oleh almarhum. Terlalu banyak mutiara kata dan cerita yang masih saya ingat ketika berguru dengan almarhum.

7. Dalam parti beliau pernah menjawat jawatan sebagai AJK  Badan Perhubungan PAS Terengganu1968 - 2001, YDP PAS Kuala Nerus 1971 -2001, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu sejak 1987-2001, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu 1981-1982 dan Ajk Dewan Ulamak PAS Pusat 1995-1999.

8. Dalam politik pilihanraya almarhum diamanahkan bertanding sebagai calon PAS  dalam pilihanraya kecil Batu Rakit 1971, PRU 1974,1978, 1982, 1986 dan 1990. Almarhum menjadi ADUN Jeram 1974-1978 dan sekaligus Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Terengganu kerana ketokohan almarhum di bidang Fiqh.

9. Almarhum terkenal sebagai tokoh pidato yang hebat dan lantang sehingga digelar "tukul besi". Pidatonya membangkitkan semangat jihad para pendengar untuk menentang kemungkaran. Ketegasan prinsip dalam menyatakan sesuatu pandangan dihormati oleh rakan dan masyarakat. Fiqhnya sangat terbuka dengan perbandingan pelbagai mazhab dan tidak terikat dengan mazhab Syafie. Pandangannya terhadap amalan bida'ah sangat tegas terutamanya melibatkan amalan bida'ah seperti kenduri kematian. Amalan talqin yang diamalkan oleh masyarakat kampung Melayu di kubur ditinggalkan dan diganti dengan zikir dan bacaan al-Quran.

10. Antara kenangan manis saya dengan almarhum ialah pertemuan di Mekah ketika beliau menunaikan umrah. Saya ketika itu masih menuntut di Jordan. Saya bertanyakan satu amalan yang beliau tidak pernah tinggalkan. Jawab beliau amalkanlah berzikir dengan membaca ayat Kursi!!!

11. Moga Allah merahmati beliau. Segala jasa perjuangannya diwarisi oleh para pejuang selepasnya. Bumi subur Kuala Nerus yang telah disemai dan dibaja oleh almarhum dengan ilmu dan dakwah akan terus disiram dan disemarakkan oleh jenerasi seterusnya. Hari ini saya mengambil inspirasi ketokohan beliau dengan menghidupkan kuliah Jumaat di Seberang Takir dan kuliah mingguan Jumaat malam Sabtu di Masjid Taqwa dengan harapan untuk meneruskan legasi ilmu dan dakwah beliau.

Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
2.30 pm 4hb April 2014

JASA / KHIDMAT MASYARAKAT

1. TENAGA PENGAJAR MASJID/SURAU
2. PENGASAS SEKOLAH RENDAH DARUL TAQWA BATU 6
3. PENGASAS MASJID TAQWA BATU 6
4. AHLI LEMBAGA PENGARAH SEKOLAH RENDAH ISLAM (DAR-DAR)
5. PEMIDATO YANG LANTANG DENGAN GELARAN “ TUKUL BESI”

ANUGERAH YANG DIPEROLEHI

1. PINGAT JASA KEBAKTIAN (PJK)
2. TOKOH PAS TERENGGANU 2001 (SEMPENA JUBLI EMAS PAS PUSAT)
3. TOKOH PAS TERENGGANU 2006 (SEMPENA JUBLI EMAS PAS TERENGGANU)

PERISTIWA HEBAT DALAM PERJUANGAN 

1. PENCERAMAH HEBAT AKHIR 70-AN HINGGA AWAL 80 –AN SEHINGGA DIGELAR US AWANG TUKUL BESI.
2. DAPAT MEMBANGKITKAN SEMANGAT JUHAD / PENGORBANAN DI DALAM CERAMAH YANG DISAMPAIKAN SEHINGGA ADA YANG TERUJA DENGAN CERAMAHNYA
3. CERAMAH DAN PENGAJIANNYA DI ‘TAPE’KAN TETAPI TIDAK DIBUKUKAN

DISEDIAKAN OLEH

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

KERJASAMA

DEWAN ULAMA PAS NEGERI TERENGGANU

02/05/2009
إنا لله وإنا إليه راجعون
Guru saya dan Mursyid saya Al-Fadhil Tuan Guru Hj Awang Abu Bakar atau dikenali juga Tuan Guru Awang Jidin bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu telah kembali ke rahmatullah semalam. Jenazahnya akan disolatkan jam 11 nanti. Jasanya mengembangkan kerja Jihad dan Dakwah Islam di Terengganu khususnya di parlimen Kuala Nerus dengan menghidupkan Masjid Taqwa Batu 6 dan kuliah jumaat di Bukit Tok Beng Seberang Takir selama puluhan tahun sebagai pusat perkembangan ilmu insyallah menjadi amalan pahalanya yang berpanjangan. Beliau juga adalah bekas AJK Dewan Ulamak PAS Pusat dan bekas exco Negeri Terengganu

Dr Khairuddin at-Takiri