Thursday 31 March 2016

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN : PENDERAAN KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN
Oleh :
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus (Khamis 31 hb Mac 2016)

PENDERAAN KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS

1.                  Kes penderaan kanak-kanak merupakan antara fenomena jenayah keluarga yang semakin meningkat. Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipetik oleh sebuah laporan akhbar menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak daripada 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013.

2.                  Kes jenayah ini berlaku apabila hilang atau menipis 3 unsur kehidupan berkeluarga iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah).

3.                  Allah berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan-Nya) ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada jenis kamu sendiri pasangan-pasangan, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
4.                  Antara matlamat pembinaan sesebuah keluarga ialah bagi melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai 3 ciri dan sifat yang menjadi anak kunci kepada kebahagiaan hidup iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah). Apabila ketenangan, perasaan kasih sayang dan perasaan kasihan belas semakin menipis maka lahirlah pelbagai permasalahan dalam sesebuah institusi keluarga.


5.                  Ketenangan hidup berkeluarga boleh dinikmati apabila 4 asas utama berkeluarga dapat ditunaikan iaitu pasangan yang baik dan soleh, jiran yang soleh dan baik, kediaman yang selesa dan kenderaan yang baik. Ia diisyaratkan oleh sabda baginda saw:


أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الهنيء

Maksudnya: “Empat sumber kebahagian iaitu isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)
Justeru, menjadi antara kewajipan pemerintah untuk memberi peluang rakyat mendapat kediaman yang selesa dengan harga mampu milik dan juga memiliki kenderaan yang selesa dengan harga mampu milik.

6.                   Pasangan dan jiran yang tidak mempunyai akhlak dan ketrampilan yang soleh merisikokan kehidupan berkeluarga dan kejiranan yang rosak. Persekitaran kehidupan sebegini membuka ruang untuk berlakunya penderaan kepada kanak-kanak. Di sinilah sistem pendidikan negara perlu diperkasakan perananannya bagi melahirkan masyarakat yang bukan hanya mempunyai latar belakang akademik yang baik, tetapi yang lebih utama ialah keperibadian yang baik dan mulia.

7.                  Begitu juga dengan jawatankuasa di peringkat kampong dan taman perumahan serta institusi masyarakat seperti surau dan masjid perlu berfungsi untuk membentuk persekitaran kejiranan yang baik, prihatin dan penuh dengan kasih dan sayang.

8.                  Sifat kasih dan sayang serta kasihan belas perlu sentiasa dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat. Syariat dan akhlak Islam menampilkan pelbagai praktik yang boleh memupuk kedua-dua perasaan tersebut. Antaranya menerusi amalan mengucup anak-anak kecil sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda saw, menyebarkan amalan memberi salam meskipun kepada kanak-kanak, ziarah menziarahi, melunaskan jemputan kenduri, menziarahi kematian, mendidik sifat bersabar, dan tidak mudah marah serta bertoleransi yang tinggi.   


Sekian.

Tuesday 15 March 2016

PERCERAIAN : INSTITUSI KEKELUARGAAN MAKIN RAPUH

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

8 Mac 2016 | 28 Jamadilawal 1437H

PERCERAIAN : INSTITUSI KEKELUARGAAN MAKIN RAPUH

[ Rujuk : http://pas.org.my/artikel-berita-dupp/7836-penceraian-institusi-kekeluargaan-makin-rapuh ]

1. DUPP melahirkan rasa kebimbangan terhadap peningkatan kes perceraian yang berlaku di negara ini. Ia menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan ini sedang mengalami masalah dan semakin rapuh sedangkan ia adalah institusi terpenting bagi membangunkan modal insan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

2. Pada 4 Mac lalu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan terdapat 92,678 pasangan mendaftaran perceraian bagi tempoh 2012 hingga 2014 dan ia menunjukkan trend peningkatan iaitu pada 2012 sebanyak 29,253 pasangan, 2013 (29,583) dan 2014 (33,842) yang mendaftarkan perceraian.

3. Sebelum ini juga Jabatan Mahkamah Malaysia mengeluarkan statistik bahawa lebih daripada 274,000 pasangan di seluruh negara bercerai dalam tempoh enam tahun. Satatistik yang lain pula menunjukkan bahawa 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.

4. Berdasarkan angka-angka ini, dianggarkan secara puratanya terdapat 5,567 pasangan bercerai pada setiap bulan atau 186 pasangan pada setiap hari.

5. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati sikap curang dan tiada persefahaman antara satu sama lain adalah merupakan punca utama perceraian. Manakala Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (Perak) pula meletakkan isu kewangan sebagai punca utamanya.

6. DUPP juga berpandangan bahawa bebanan kerja yang dihadapi oleh kedua-dua pasangan bagi mendepani peningkatan kos sara hidup pada hari ini menjadi salah satu faktor yang meningkatkan tekanan mental dan perasaan disamping kesempitan masa untuk mengisi kejiwaan masing-masing justeru mengakibatkan nilai akhlak, sifat sabar dan toleransi serta hormat-menghormati antara pasangan semakin terhakis sehingga membawa kepada perceraian.

7. Oleh itu, sewajarnya institusi kekeluargaan ini dipulihkan semula termasuk dengan menyediakan serta membangunkan ruang dan suasana yang kondusif kepada setiap pasangan khususnya kepada golongan isteri agar dapat menjalankan fungsinya yang sebenar di rumah sebagai isteri dan ibu.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Saturday 12 March 2016

PERKASAKAN TUGASAN SEBAGAI ISTERI DAN IBU DISAMPING KERJAYA

http://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/7886-perkasakan-tugasan-sebagai-isteri-dan-ibu-disamping-kerjaya

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sabtu 12 Mac 2016 | 3 Jamadilakhir 1437H

PERKASAKAN TUGASAN SEBAGAI ISTERI DAN IBU DISAMPING KERJAYA

1. Tulisan saya beberapa hari lepas dalam menghuraikan fenomena perceraian yang semakin meningkat mendapat perhatian banyak pihak termasuk pergerakan wanita. Berita asal boleh dirujuk di pautan berikut : http://pas.org.my/artikel-berita-dupp/7836-penceraian-institusi-kekeluargaan-makin-rapuh.

Beberapa portal lain turut membuat liputan terhadap kenyataan saya itu antaranya boleh dirujuk di pautan berikut :

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/08/pas-desak-kerajaan-pandang-serius-isu-perceraian/

http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/pas-ulama-says-womens-place-is-at-home-as-wives-and-mothers

2. Memperkasakan fungsi dan tugasan sebagai isteri dan ibu tidak bermaksud para isteri dan ibu perlu meninggalkan pekerjaan dan kerjaya di luar rumah mereka. Tetapi ia dilakukan dengan meletakkan tugasan sebagai isteri dan ibu sebagai tugasan utama disamping kerjaya seharian sebagai tugasan kedua.

3. Kerjaya adalah satu medium untuk mendapatkan rezeki bagi membantu membahagiakan sesebuah keluarga menerusi rezeki yang lebih lapang dan baik. Tugasan sebagai isteri dan ibu pula adalah tugasan utama yang jika tidak dilaksanakan keluarga tidak mungkin bahagia meskipun harta membukit dan menggunung.

4. Hatta, kerjaya bersifat fardhu kifayah yang menyumbang kepada umat dan bangsa seperti pendidikan sekalipun tetap menjadi tugasan kedua selepas tugasan sebagai ibu dan isteri yang bersifat fardhu ain.

5. Kerjaya yang bertujuan mencari rezeki sepatutnya menjadi alat dan medium dan bukannya matlamat. Ia bertujuan membantu memenuhi keperluan jasadiyyah makan dan minum serta kehidupan fizikal. Tetapi menjadi seorang isteri dan ibu pula adalah keperluan batiniyyah dan kejiwaan yang tidak mungkin manusia mendapat kesempurnaan bahagia tanpanya bahkan institusi bermasyarakat pasti rosak tanpanya.

6. Kerosakan sosial hari ini ialah apabila para wanita berkeluarga mengutamakan kerjaya lalu mengabaikan tugasan utama sebagai isteri atau ibu.

7. Lebih merosakkan apabila sebahagian pergerakan wanita hanya menyeru wanita untuk berkerjaya tetapi tidak menyeru wanita memperkasakan institusi "keisterian" dan "keibuan". Malah ada yang bergerak songsang seolah memperkecilkan kedua-dua institusi tersebut.

8. Namun, yang lebih utama diperdebatkan ialah bagaimana masyarakat dan sistem bernegara boleh membantu para ibu dan wanita memperkasakan tugasan sebagai isteri dan ibu?

9. Saya mencadangkan antaranya dengan mengurangkan tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga daripada 8 jam sehari kepada 5 atau 6 jam sehari tetapi dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari. Meskipun kelihatan sukar kerana melibatkan kos, ia adalah satu hadiah bagi wanita yang sudah berkeluarga.

10. Bahkan, kerjaya sebagai usahawan di bidang yang tidak menuntut mereka menghabiskan sebahagian besar masa mereka di luar lingkungan keluarga perlu diperkasakan dan menjadi sebahagian sasaran kempen pergerakan wanita. Ia boleh dilaksanakan menerusi konsep memanfaatkan "masa berkualiti" dan bukan hanya "kuantiti masa".

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Friday 11 March 2016

Politik Matang - Taklimat Untuk Perak

🔴 Perak Darul Ridhuan

Taklimat Khas PAS Pusat
Peringkat Negeri Perak

♦ PAS Menerajui Budaya Politik Matang dan Sejahtera ♦

Tarikh : 19 Mac 2016
Hari : Sabtu
Masa : 9.00 am - 1.30 pm
Tempat : Markaz PAS Kawasan Tambun Ipoh Perak Darul Ridzuan.

Pendaftaran : RM 10 perindividu
Sasaran :

AJK Badan Perhubungan PAS Negeri
AJK Dewan - Dewan Peringkat Negeri
AJK PAS Kawasan
AJK Dewan - Dewan Peringkat Kawasan

Tentatif :

8.00 am - 9.00 am : Pendaftaran
9.00 am - 9.05 am : Aluan Pengerusi
9.05 am - 9.45 am : Ucapan Perasmian
Oleh : Yb. Dato' Dr Khairudin Aman Razali at Takiri.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Malaysia.

9.50 am - 10.30 am : Kertas Kerja 1
Tajuk : PAS Menerajui Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
Oleh : Kamaruzaman bin Mohamad
Pegawai Khas Presiden PAS

10.35 am - 10.45 am : Minum pagi

10.50 am - 11.30 am : Kertas Kerja 2
Tajuk : Hala Tuju Politik PAS ke arah PRU 14
Oleh : Dr Khazani Abdullah
AJK Lajnah Politik PAS Pusat

11.35 am - 12.55 pm : Dialog.
Panel :

a) Yb. Dr Khairudin Aman Razali at Takiri
b) Dr Zuhdi Marzuki
c) Dr Khazani Abdullah
d) Kamaruzaman Mohamad

01.00 pm - 01.30 pm : Ucapan Penutup
Oleh : Ybhg Tuan Hj Razman bin Zakaria.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

01.35 pm : Solat Zohor dan bersurai.

Anjuran : Lajnah Penerangan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri.

Tuesday 8 March 2016

Takziah atas pemergian Dr Hasan Turabi

PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

7 Mac 2016 | 27 Jamadilawal 1437 H

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ

DUPP merakamkan ucapan takziah kepada seluruh kaum Muslimin khususnya kepada ahli keluarga almarhum Sheikh Hassan ‘Abdullah al-Turabi (1932-2016) yang telah kembali ke rahmatullah pada 5 Mac 2016 akibat serangan jantung.

Almarhum adalah seorang ulama’ Islam dan peguam yang amat disegani di Sudan berkelulusan ijazah undang-undang daripada Gordon Memorial College (kini University of Khartoum) selain turut mendapat pendidikan di University of London dan Paris-Sorbonne University. Ketokohan almarhum di dalam bidang perundangan ini sehingga diangkat sebagai Peguam Negara Sudan pada 1979 hingga 1982.

Almarhum yang juga dikenali sebagai tokoh ahli politik dan pemimpin Islam yang paling berpengaruh dalam sejarah politik moden Sudan telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam mengkanunkan undang-undang syari’ah di bahagian tertentu di negara itu. Almarhum juga pernah memegang jawatang sebagai Menteri Luar Sudan pada 1989 dan juga Yang Dipertua Dewan Negara pada 1996 hingga 1999 iaitu semasa pemerintahan Presiden Omar al-Bashir.

Almarhum semasa hayatnya juga telah beberapa kali dipenjarakan akibat pelbagai tuduhan seperti terlibat dan merancang aktiviti keganasan serta rampasan kuasa yang dikenakan ke atasnya oleh pemerintah Sudan.

Sudah pasti pemergian beliau ini merupakan suatu kehilangan besar buat umat Islam secara amnya dan rakyat Sudan khususnya.

اللهُمَّ أْجُرْنا فِي مُصِيبَتِنا، وَأَخْلِفْ لنا خَيْرًا مِنْه

“Ya Allah, kurniakanlah kami ganjaran atas musibah kami dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan Almarhum berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) Almarhum.