Monday, 13 March 2023

Adil Apabila Menuduh Rakan dan Musuh

Adil Apabila Menuduh Rakan dan Musuh

Apabila kita menuduh seseorang tertuduh di mahkamah sebagai "sakau", "penyamun" dan sebagainya, ia adalah satu kezaliman terhadap tertuduh yang belum didapati bersalah tapi tanpa rasa bersalah ia disebarkan seluas-luasnya kerana dia dianggap musuh politik. Apabila orang yang kita suka pula dituduh di mahkamah kita berteriak dan menjerit ia adalah kezaliman. Adakah zalim dan tidak itu terikat dengan suka dan benci pada seseorang?

Islam mengajar kita berlaku adil dengan berpegang pada prinsip "seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya".

Keadilan itu mesti ditegakkan sama ada kepada orang yang kita suka atau kita benci. Itulah prinsip Islam.

Allah mengajar kita berprinsip
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8)
"Wahai orang-orang beriman. Jadilah kamu orang-orang yang menegakkan (keadilan) bagi Allah, menjadi saksi-saksi dengan hak yang adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap satu kelompok membawa kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah. Ia lebih dekat dengan taqwa."
(Surah al-Maidah: 8)

Dulu apabila PAS bersama UMNO dalam Muafakat Nasional tiada kedengaran tuduhan sakau dan penyamun kepada rakan tertuduh. Rakan politik dipertahankan atas nama keadilan Islam. Sebaik berakhir muafakat politik, neraca dan kayu ukur keadilan telah berubah. Seolah adil dan zalim itu berlandaskan neraca seseorang itu adalah rakan atau musuh dalam politik.

Berlaku adillah pada lawan atau kawan kerana itulah prinsip Islam. Adil bukan hanya bicara di lidah tetapi perlu ditegakkan.

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 12.3.2023

Masjid Platform Penyatuan

masjid dan surau perlu kekal menjadi platform menyatukan semua pihak yang berbeza pandangan politik selari dengan matlamat kewujudan rumah ibadat itu

https://www.sinarharian.com.my/article/248873/berita/politik/masjid-surau-bukan-tempat-promosi-politik-parti


Mutiara AMAL; Permudahkan Jangan Menyulitkan

Mutiara AMAL; Permudahkan Jangan Menyulitkan

Dasar pengurusan dalam Islam ialah berusaha memudahkan orang lain sebagaimana Hadis Nabi (saw)
يَسِّرُوا ولا تُعَسِّرُوا
"permudahkan dan jangan menyulitkan"
(Hadis riwayat Bukhari)

Permudahkan urusan manusia adalah bantuan besar kepada jiwa dan perasaan manusia lain yang memerlukan khidmat. Permudahkan itu boleh bermula dengan senyuman manis sebagai sedekah, bicara dan tutur kata yang baik diikuti dengan tindakan untuk mempermudahkan sebarang urusan sehingga jaya. 

Semuanya diberikan pahala oleh Allah. 

Dr Khairuddin Takiri
Isnin 13.3.2023

Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja

Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja

Saya difahamkan ada NGO yang menganjurkan program dengan mengajak anak muda Islam ke gereja. 

Kita mengalu-alukan sebarang program yang boleh membina persefahaman dan toleransi beragama dalam masyarakat. Ia boleh dianjur dan dipupuk dengan banyak cara menerusi program sosial, kebajikan dan pendidikan. 

Namun, ia tidak sesuai dilaksanakan dalam bentuk menjemput anak muslim ke gereja kerana ia boleh mendedahkan orang Islam kepada usaha dakyah ajaran kristian kepada orang Islam yang termasuk dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Kita juga memperingatkan NGO-NGO yang mempromosi program sebegini dengan enakmen kesalahan jenayah Selangor sebagai contoh yang melarang sebarang usaha mendedahkan orang Islam kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam sama ada dengan cara mengunjungi atau mengatur perjumpaan atau menghubungi orang Islam.

ENAKMEN 1 TAHUN 1988
ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PENGEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988

Seksyen 6. Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.

(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia---
(a) mengunjungi; atau

(b) mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan; atau

(c) dengan apa-cara lain pun menghubungi,
seorang berugama Islam bagi maksud mendedahkan orang berugama Islam itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.

(2) Seseorang yang melakukan kesalalahan di bawah seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
13.3.2023

Wednesday, 1 February 2023

Mutiara FIQH: Hukum Solat Orang Yang Tidak Bersuci

Mutiara FIQH
Hukum Solat Orang Yang Tidak Bersuci

1. Nabi saw bersabda:
لا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاةَ أحَدِكُمْ إذا أحْدَثَ حتَّى يَتَوَضَّأَ
"Allah tidak menerima solat seseorang kamu apabila dia berhadas sehinggalah dia berwudu' "
(Hadis Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa bersuci adalah syarat sah kepada ibadat solat. Maka seorang yang berhadas kecil atau besar perlu berwudu' atau mandi atau bertayammum untuk menyucikan diri bagi menunaikan solat.

2. Namun begitu, solat tetap wajib dikerjakan sebelum berakhir waktunya sekiranya berhadapan keadaan berhadas dan tidak boleh bersuci kerana ketiadaan air atau tayammum. Solat dilakukan bagi tujuan menghormati waktu.

3. Apakah solat yang dikerjakan itu wajib diulangi semula dalam keadaan suci?
Di sisi Mazhab Syafie dan Hanafi solat tersebut perlu diulang kembali dalam keadaan suci yang menjadi syarat sah solat.

Di sisi Mazhab Hambali ia tidak perlu diulang kembali. Manakala di sisi Maliki kewajipan solat gugur sama sekali dan tidak perlu lagi diqada kerana bagi mereka suci itu adalah syarat kepada wajib solat bukan hanya syarat sah.

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
30.1.2023




Mutiara FIQH: Hukum Membaca 3 Qul Sebelum Tidur Dalam Keadaan Berjunub

Mutiara FIQH
Hukum Membaca 3 Qul Sebelum Tidur Dalam Keadaan Berjunub

1. Membaca al-Quran adalah ibadah yang disunatkan namun bagi orang yang berjunub, ia tidak dibenarkan berdasarkan beberapa Hadis antaranya Hadis;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلِمَةَ قَالَ : أَتَيْتُ عَلِيًّا أَنَا وَرَجُلَانِ ، فَقَالَ : ( كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ مِنْ الْخَلَاءِ فَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ ، وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ ، وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ عَنْ الْقُرْآنِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ )

"Daripada Abdullah bin Salamah katanya; saya menemui Ali (r.a) bersama dua lelaki lalu Ali (r.a) berkata; Adalah Rasulullah saw keluar daripada Qada Hajat lalu baginda membaca al-Quran dan makan bersama kami daging. Tidak pernah menghalang baginda daripada al-Quran satu perkara pun kecuali berjunub"
(Hadis dinilai Hasan Sahih oleh Tirmizi. Ia dinilai Sahih oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim)

2. Namun, orang yang berjunub dibolehkan membaca ayat-ayat yang bertujuan "isti'zah" iaitu memohon perlindungan daripada Allah seperti Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas.

3. Begitu juga, seorang yang berjunub boleh membaca 3 Qul sebelum tidur dan ditiupkan pada dua telapak tangan sebelum disapukan ke seluruh badan, dilakukan sebanyak 3 kali. 

4. Amalan membaca 3 Qul sebelum tidur itu adalah sunnah yang wajar diamalkan sebagaimana sabit dalam Hadis Bukhari bahawa Aisyah radiyallahu anha meriwayatkan: 
 أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم كانَ إذا أوَى إلى فِراشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَع كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِما، فَقَرَأَ فِيهِما: {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ}، و{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ}، و{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ}، ثُمَّ يَمْسَحُ بهِما ما اسْتَطاعَ مِن جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بهِما علَى رَأْسِهِ ووَجْهِهِ وما أقْبَلَ مِن جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذلكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ
"Bahawa Nabi saw apabila mendatangi katilnya setiap malam, baginda mencantumkan kedua belah telapak tangan baginda kemudian meniup pada keduanya lalu membaca Surah 3 Qul. Kemudian disapu kedua tapak tangan itu pada apa yang boleh daripada jasadnya. Baginda mulakan dengan menyapu kedua tapak tangan itu ke atas kepala, muka dan bahagian depan jasad. Baginda lakukan sebanyak 3 kali"

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
Rabu 1hb Februari 2023

Monday, 23 January 2023

Bangkrap Ilmu dan Tandus Akhlak

Bangkrap Ilmu dan Tandus Akhlak

1. Islam agama ilmu dan akademik yang dipagari akhlak. Perbezaan pendapat ditangani dengan hujah dan dihiasi dengan akhlak berbeza pendapat. Hanya mereka yang bangkrap ilmu dan ketandusan akhlak sahaja menggunakan maki hamun dan sarkastik untuk berhadapan hujah orang yang berbeza.

Allah berfirman
قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
"katakanlah wahai Muhammad, datangkanlah bukti hujah kamu sekiranya kamu orang yang benar".
(Surah al-Baqarah: 111) 

2. Kejahilan ilmu dan ketandusan akhlak itu sangat mudah dinilai kerana kayu ukurnya bersifat universal.

3. Namun, yang perlu di ingat ialah kita tidak hanya dinilai oleh manusia tetapi oleh Allah menerusi catatan Malaikat yang tidak mudah dipadamkan melainkan dengan taubat dan permohonan maaf kepada yang dimaki hamun.

4. Teruskan mempromosi ilmu yang dihiasi akhlak tanpa jemu dan abaikan golongan yang rendah akhlak dan cetek pengetahuan kerana sememangnya Nabi saw menyebut di akhir zaman  lahir golongan "Ruwaibidoh" iaitu orang yang cetek ilmu dan jahil tapi berbicara perkara besar berkaitan umat.

Nabi saw bersabda
إنَّها ستَأتي على الناسِ سُنونٌ خَدّاعات... ويَنطِقُ فيها الرُّوَيبِضَةُ قيل وما الرُّوَيبِضَةُ قال السَّفِيهُ يتكَلَّمُ في أمرِ العامَّةِ
"Akan datang pada manusia tahun-tahun penuh tipu daya... dan berbicara pada zaman itu golongan "ruwaibidhoh". 
Baginda ditanya; siapa ruwaibidoh wahai Rasulullah? Baginda menjawab "Orang bodoh cetek pengetahuannya berbicara perkara melibatkan masyarakat awam"
(Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Hasan oleh Ahmad Syakir)

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 22.1.2023

Merompak dengan NIAT bersedekah pada fakir miskin macam Robin Hood halal?

Merompak dengan NIAT bersedekah pada fakir miskin macam Robin Hood halal? 

Dalam Islam kesahihan satu amalan bergantung pada 2 syarat iaitu niat yang betul dan amalan zahir yang menepati Syarak. 

Amalan yang batil tidak menjadi sah dan halal dengan sebab niat yang baik. 

Tapi niat boleh menukar status amalan yang harus menjadi sunat, makruh dan haram. Ia dibahaskan oleh Ulamak ketika menghuraikan  sabda Nabi saw : 
إنما الاعمال بالنيات
"Segala amalan itu berasaskan niat-niat"

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 22.1.2023

Tiada Kafir Bantu Islam?

Tiada Kafir Bantu Islam?

Ada orang menyebut dalam Sirah Nabi tidak berlaku si kafir mempertahankan Islam. Pendapat ini sangat tidak tepat. 

Mut'im bin Adiy terkenal dalam Sirah Nabi sebagai kafir musyrik yang mempertahankan Nabi dan orang Islam di Mekah di awal Islam. 

Dia orang yang awal merobekkan dan membatalkan perjanjian Quraisy yang memulau Banu Hasyim kerana Banu Hasyim mempertahankan Nabi dan orang Islam yang bersama baginda. 

Dia juga memberi perlindungan kepada Nabi saw untuk masuk semula ke Mekah selepas hijrah ke Taif sehingga diiring baginda saw untuk solat di hadapan Kaabah dan mengumumkan secara terbuka kepada Quraisy bahawa dia melindungi Rasulullah saw. 

Malah apabila peristiwa Baiah orang Yathrib dengan Nabi saw terbongkar dan Saad bin Ubadah radiyallahu anhu ditangkap oleh Qurasiy dalam perjalan pulang ke Yathrib maka Mut'im bin Adiy inilah yang memgambil tindakan tegas membebaskan Sa'ad daripada cengkaman Qurasiy.

Islam agama toleransi. Kepada si kafir yang mesra Islam dan berbuat baik pada orang Islam maka Islam mengarahkan untuk berbuat kebajikan kepada mereka. Permusuhan hanyalah kepada si kafir yang memerangi Islam dan umat Islam sebagaimana diaebut dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9.

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 22.1.2023

Mutiara SAHABAT: Ibnu Abbas Radiyallahu anhuma, Ulamak Yang Menjadi Umara'

Mutiara SAHABAT
Ibnu Abbas Radiyallahu anhuma, Ulamak Yang Menjadi Umara'

1. Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib, masyhur dengan panggilan Ibnu Abbas, dikenali sebagai tokoh ilmu Islam di bidang Fiqh dan Tafsir hasil doa Nabi (SAW) kepada beliau:

اللَّهمَّ فقِّهْه في الدِّينِ وعلِّمْه التَّأويلَ
"Ya Allah jadikan dia faqih (orang yang memahami dengan mendalam) perihal agama dan ajarkanlah kepadanya ilmu takwil (Tafsir)". 
(Hadis Sahih, Syarah al-Tahawiyyah dan Dala'il al-Nubuwwah) 

2. Beliau dilahirkan 3 tahun sebelum hijrah dan meninggal pada usia 71 tahun. Beliau dilantik menjadi gabenor wilayah Basrah di Iraq pada zaman pemerintahan Khalifah Ali (RA). Justeru beliau bukan hanya seorang yang alim dalam agama tetapi juga seorang yang terlibat dengan politik pentadbiran. 

Dato' Dr Khairuddin Takiri
Isnin 23.1.2023

Sunday, 22 January 2023

Politik Matang dan Sejahtera?

Politik Matang Sejahtera?

Dalam era politik matang dan sejahtera tidak wajar menuduh secara umum mana-mana pihak sebagai penipu, pencuri dan perompak bagi membina persepsi. Tidakkah salah satu tonggak Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) ialah politik benar bukan persepsi? 

Jangan hanya melihat orang lain tidak bersih lalu mengintai-ngintai kesalahan dan membuat tuduhan. Semak juga kelemahan tata kelola dan integriti dalam pentadbiran sendiri dan perbetulkan segera. Semak juga adakah terdapat kalangan mereka yang diberi amanah mengambil komisen daripada kontraktor-kontraktor.

Muhasabah diri lebih baik daripada hanya sibuk membuat tuduhan kepada orang lain. Sesungguhnya akhlak mulia seorang muslim telah dipaparkan oleh Rasulullah saw menerusi sabda baginda
ليسَ المؤمنُ بالطَّعَّانِ ولا اللَّعَّانِ ولا الفاحشِ ولا البَذيءِ
"Bukanlah muslim itu seorang yang menuduh, bukan juga seorang yang suka melaknat mencelakakan orang, bukan juga berbicara keji lucah dan bukan juga yang bermulut kotor"
(Hadis Sahih riwayat Tirmizi)

Cukuplah-cukuplah berpolitik gaya Jahiliyah memecah dan mencarik umat. Binalah politik Islam yang penuh dengan kasih sayang dan menyatukan.

Dr Khairuddin Takiri
Selasa 17.1.2023

Alim Ulamak Dalam Islam

Alim Ulamak Dalam Islam

Perkataan Ulamak adalah kata jamak bagi Alim. Ia merujuk kepada orang yang mempunyai ilmu dalam apa sahaja bidang. Namun, dalam penggunaan meluas dalam wacana Islam perkataan Alim dan Ulamak digunakan secara meluas merujuk kepada orang yang berilmu dalam pengajian Islam. Para Ulamak Islam dikategorikan pula berdasarkan kepakaran mereka kepada Fuqaha yang Alim di bidang hukum-hakam, Muhaddisun yang alim dibidang Hadis, Mufassirun yang alim di bidang Tafsir al-Quran, Usuliyyun yang pakar di bidang Usul Fiqh. 

Perkataan Faqih dan Fuqaha di dalam al-Quran dan al-Hadis merujuk kepada kefahaman yang mendalam berkaitan Islam namun penggunaan terkemudian menjadikannya istilah bagi Alim yang berkepakaran di bidang hukum-hakam Fiqh.

Dalam semua kepakaran ilmu Islam, asas dan kuncinya ialah kemahiran dalam bahasa Arab kerana ia kunci kepada ilmu Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadis yang datang dalam bahasa Arab.

Alim Ulamak bukan hanya pada ilmunya tetapi pada taqwanya dalam kehidupan seharian. Abdullah Ibnu Mas'ud (r.a) berkata :
ليس العلم من كثرة الحديث، ولكن العلم من الخشية.
"Bukanlah ilmu kerana banyak meriwayatkan Hadis tetapi ilmu itu kerana ketakutannya".

Malik bin Anas pula berkata

إن العلم ليس بكثرة الرواية، إنما العلم نور يقذفه الله في القلب.
"Ilmu itu bukan dengan banyaknya periwayatan tetapi sebenar-benar ilmu adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah dalam hati".

Dr Khairuddin Takiri
18.1.2023

Terima kasih Mursyidul Aam PAS

Terima kasih Mursyidul Aam PAS

1. Secara peribadi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Mursyidul Aam PAS, Tuan Guru Dato' Hj Hashim Jasin yang mengalu-alukan penubuhan Majlis Ulamak UMNO. Harapan beliau agar UMNO dan PAS dapat dirapatkan hubungan menerusi program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan parti sangat wajar kerana UMNO dan PAS sememangnya perlu sentiasa bekerjasama dalam memperkukuhkan Islam dalam negara termasuk ke arah perpaduan umat dan rakyat.

2. Sebelum ini Majlis Perundingan Islam (MPI) yang menghimpunkan 83 tokoh-tokoh Islam digerakkan dan dipengerusikan oleh YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku TPM pada tahun 2016 turut disertai oleh pimpinan PAS sehingga Mursyidul Aam PAS ketika itu Tuan Guru Dato' Dr Harun Din dilantik mengetuai Kluster Dakwah, MPI. Sebanyak 7 program dalam bentuk Multaqa dan Ijtimak menghimpunkan lebih ramai lagi tokoh-tokoh Islam dalam masyarakat termasuk daripada PAS berjaya dilaksanakan antara tahun 2016 hingga 2018. Resolusi-resolusi Multaqa dan Ijtimah telah berjaya dilaksanakan sebahagiannya ketika itu 

3. Saya difahamkan oleh YAB TPM, Majlis Perundingan Islam ini akan disemarakkan kembali dan Majlis Ulamak UMNO juga diminta berperanan membantu. 

Dr Khairuddin Takiri
Khamis 19.1.2023

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/01/19/majlis-ulama-akan-dekatkan-umno-pas-kata-hashim-jasin/

Mutiara AKHLAK Jangan Angkuh & Bangga Diri

Angkuh dan berbangga diri adalah dua sifat Iblis yang menjadikan dirinya enggan sujud kepada Adam apabila diperintah oleh Allah. Lalu kerana itu dirinya dilaknat oleh Allah dan diusir daripada Syurga. Iblis adalah makhluk yang kuat ibadahnya kepada Allah sebelum itu. Namun, ketaatan dan ibadah yang kuat tidak mampu menjadikan dirinya merendah diri lalu sujud penghormatan kepada Adam yang diperintahkan oleh Allah.

Demikianlah pengajarannya, usah takabbur dan berbangga diri dengan ketaatan. Bersyukurlah dengan nikmat Allah yang memberi hidayah. Jangan diikuti jejak langkah Iblis dan Syaitan.

Dr Khairuddin Takiri
Jumaat 19.1.2023

Maksud "Madani"

MADANI nisbah kepada Madinah. Ia bermaksud manusia yang beragama meletakkan pertimbangan syurga dan neraka dalam apa sahaja aktiviti kehidupan. Kemajuan negara Madinah pimpinan Rasulullah saw menjadi panduan bernegara insan dan masyarakat madani. Kestabilan bermasyarakat meskipun pelbagai agama dan bangsa di Madinah menjadi pedoman terbaik mengurus kemajmukan warganegara.

Dr Khairuddin Takiri
Jumaat 20.1.2023