Sunday 2 April 2023

Siri 4 Tazkirah MUU : Kelonggaran Kewajipan Puasa Bagi Orang Sakit

MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN

Siri 4 (4 Ramadhan 1444 H) 
Kelonggaran Kewajipan Puasa Bagi Orang Sakit

ALLAH Taala berfirman:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
"Maka sesiapa kalangan kamu sakit atau dalam keadaan perjalanan maka digantikan daripada hari-hari yang lain. Dan wajib ke atas orang yang kehilangan upaya berpuasa membayar fidyah iaitu makanan seorang miskin"
(Surah al-Baqarah: 184)

Huraian & Pengajaran

1. Sakit dan perjalanan adalah dua keadaan yang selalu meletakkan seseorang luar daripada situasi biasa kehidupan. Kedua-duanya diringi dengan kesukaran dan kepayahan. Justeru, Islam meletakkan dua keadaan ini sebagai uzur dan kelonggaran syarie yang menggugurkan ibadat seperti kewajipan puasa Ramadhan.

2. Orang yang sakit sekira-kiranya jika berpuasa menambahkan kesakitan atau melambatkan kesembuhan atau menimbulkan kesusahan dan kesukaran yang sukar ditanggung maka dibolehkan tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, namun wajib diganti pada hari-hari lain selepas Ramadhan. 

3. Adapun sakit yang ringan seumpama selesema, batuk, sakit gusi, pening kepala dan luka-luka kecil pada jasad yang puasa tidak memudatkannya maka tetap diwajibkan berpuasa Ramadhan.

4. Seseorang yang sakit secara berkekalan yang tidak diharapkan lagi kesembuhan dan tidak boleh berpuasa Ramadhan apatah lagi menggantikannya maka hendaklah membayar fidyah (denda dan tebusan) dengan memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. 

5. Kadar fidyah ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad) bersamaan dengan 600 gram. Fatwa semasa di Malaysia, kadar beras itu boleh digantikan dengan nilai dalam bentuk wang tunai.

Sekian

Disediakan oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO


No comments:

Post a Comment