Tuesday 24 July 2018

KERAJAAN, SEMUA AHLI PARLIMEN WAJIB PERTAHAN ISLAM

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2079319992078020&id=569086473101387

Kenyataan Media

Selasa, 24 Jul 2018 | 11 Zulkaedah 1439H

KERAJAAN, SEMUA AHLI PARLIMEN WAJIB PERTAHAN ISLAM

1. Kerajaan dan semua Ahli Parlimen sama ada Islam atau bukan Islam berkewajipan untuk mempertahankan Islam.

2. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan sesuai dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan “Islam ialah agama bagi Persekutuan”.

3. Sebagai ahli badan legistatif, Ahli-ahli Parlimen sepatutnya lebih memahami tuntutan daripada peruntukan ini.

4. Tambah pula, Tanah Melayu telah mempunyai peruntukan jelas mengenai kedudukan Islam sebagai agama negeri sejak dari sebelum merdeka. Perkara VII Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Fasal 51 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 lebih awal meletakkan Islam sebagai agama negeri.

5. Menunjukkan, agama Islam itu begitu sebati sekali dalam adunan budaya dan amalan dalam negara ini sejak dahulu lagi sehingga diperundangkan dalam Perlembagaan.

6. Justeru, adalah tidak wajar sekali jika berlaku dalam pentadbiran dan tindakan para pemimpin di negara ini yang bercanggah dengan kehendak dan ajaran agama Islam.

7. Kerajaan juga mesti memahami bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk "menegakkan Islam dan mentadbir dunia dengan Islam itu" seperti yang dijelaskan oleh para ulamak Islam dalam disiplin ilmu ketatanegaraan dan politik Islam. Apabila Islam ditegakkan maka agama-agama lain akan terpelihara untuk diamalkan secara aman dan damai kerana antara prinsip Islam ialah tiada paksaan dalam beragama.

8. Salah satu kewajipan ini ialah memelihara agama Islam (hifz ad-din) itu sendiri pada dua aspek; (i) memastikan Islam itu kekal dan dilaksanakan serta diperkasakan, dan (ii) melindungi Islam daripada perkara-perkara yang membawa kepada kerosakan atau kemusnahannya.

9. Malangnya mutakhir ini, suara-suara sumbang yang memburukkan imej institusi dan undang-undang Syariah; mahu agar umat Islam dibebaskan daripada ikatan undang-undang kawalan moral yang berasaskan agama, menuntut supaya semua agama diletakkan sama rata (transcendental unity of religion) dan menggesa supaya kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini dihapuskan seolah-olah tidak diberikan perhatian dan tidak dipandang berat oleh Kerajaan.

10. Tindakan ancaman terhadap Islam ini adalah sangat merbahaya kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

11. Oleh yang demikian, saya amat berharap agar Kerajaan dan semua Ahli Parlimen lebih bertanggungjawab untuk memelihara Islam di negara ini.

12. Perkara ini telah saya tegaskan di Dewan Rakyat menerusi Ucapan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang saya sampaikan pada hari ini dan hari semalam.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Saturday 21 July 2018

LAPORAN FREE MALAYSIA TODAY TENTANG ELAUN MADU TERPESONG DAN SALAH, HUJAHAN TPM PULA MENGELIRUKAN

Kenyataan Media

Sabtu, 21 Julai 2018 | 11 Zulkaedah 1439H

LAPORAN FREE MALAYSIA TODAY TENTANG ELAUN MADU TERPESONG DAN SALAH, HUJAHAN TPM PULA MENGELIRUKAN

1. Laporan berita mengenai soalan tambahan yang saya kemukakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang disiarkan oleh portal Free Malaysia Today (FMT) dengan tajuk "Wan Azizah tegur ahli Parlimen PAS cadang elaun madu isteri pertama" *adalah kurang tepat dan terpesong dari maksud sebenar*.
[ Rujuk : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/18/wan-azizah-tegur-ahli-parlimen-pas-cadang-elaun-madu-isteri-pertama/ ]

2. Tidak ada dalam soalan saya sebarang cadangan untuk diberikan elaun kepada madu-madu isteri tetapi cadangannya ialah agar diberikan elaun semasa kepada institusi isteri.

3. Justeru itu, saya menuntut FMT membetulkan laporan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ia menimbulkan salah faham pembaca dan masyarakat dalam media sosial.

4. Begitu juga ulasan akhir oleh Menteri KPWKM yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM), "kalau mampu kahwin 1,2,3 mampulah beri nafkah pada semua" jika dianggap sebagai "teguran" kepada saya tentang isu "elaun madu-madu", maka ia hujah dan teguran yang sangat tersasar *kerana yang saya bangkitkan bukannya isu suami yang berkahwin lebih atau isu persoalan nafkah yang sememangnya menjadi tanggungjawab wajib para suami*. Tetapi isunya ialah adakah Kerajaan sendiri bersedia memberikan elaun kepada para isteri sebagai suatu penghargaan kepada para isteri selain pembelaan menerusi caruman KWSP yang akan memberi manfaat pada usia emas nanti.

5. Untuk rekod, soalan tambahan yang saya ajukan mengandungi tiga komponen iaitu pertamanya tentang golongan isteri yang mungkin tercicir dari mendapat manfaat dari caruman KWSP. Kedua, tentang cadangan elaun oleh Kerajaan terhadap institusi isteri. Ketiga, tentang kos yang diperlukan untuk caruman KWSP untuk isteri.

6. Secara jelas *saya menyatakan bahawa objektif bagi membantu golongan suri rumah atau isteri adalah tujuan yang sangat baik* dan *saya turut menyatakan sokongan terhadap caruman KWSP untuk suri rumah ini dan saya juga akan mencarum untuk isteri saya nanti*.

7. Pun begitu, perkara yang saya ketengahkan menerusi soalan itu ialah cadangan caruman KWSP untuk golongan ini *bukanlah suatu kaedah yang paling berkesan bagi membantu golongan itu secara lebih bersasar*.

8. Saya menjelaskan pandangan saya itu dengan mengemukakan tiga (3) sebab; PERTAMA, pendekatan itu boleh dikatakan hampir tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pendapatan isi rumah; KEDUA, para isteri tidak dapat memanfaatkannya melainkan setelah mencapai umur tertentu; dan KETIGA, *ada golongan suri rumah yang akan tercicir daripada mendapat manfaat KWSP ini* seperti isteri kedua dan ketiga atau diceraikan dan isteri yang suaminya tidak mempunyai pekerjaan dan caruman KWSP.

9. Bahagian kedua soalan saya pula adalah berkaitan elaun golongan suri rumah sebagai satu penghargaan kerajaan terhadap institusi isteri.

10. Namun, *TPM menolak cadangan itu dengan memberi hujah yang mengelirukan berkaitan nafkah*. Sedangkan nafkah sudah semestinya menjadi tanggungjawab suami. Itu tiada pertikaian lagi. Tinggal lagi apakah Kerajaan bersedia berperanan membantu suri rumah ini sebagai tambahan kepada nafkah wajib oleh suami?

11. Melihat kepada kelemahan caruman KWSP untuk isteri ini bagi membela golongan suri rumah dan bagi membantu golongan isteri ini secara semasa (atau sekarang, bukan masa hadapan) yang lebih patut diutamakan, justeru itu saya mencadangkan supaya dana yang mahu diperuntukkan untuk tujuan ini adalah lebih baik digunakan untuk memberikan bantuan tunai secara terus kepada para suri rumah, antaranya menerusi pemberian elaun bulanan kepada isteri-isteri ini sekaligus sebagai penghargaan kepada golongan ini.

Sila rujuk rakaman penuh di :
https://youtu.be/kGBj2mCqmW0

12. Soalan saya yang ketiga tidak dijawap oleh TPM.

13. Sesi soalan jawab lisan di Dewan Rakyat tidak memberi ruang untuk Ahli-ahli Parlimen berbalas hujah lebih lanjut bagi membetulkan kesilapan hujahan TPM itu.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Saturday 14 July 2018

ANCAMAN TERHADAP ISLAM, RAJA & MELAYU : PERUNTUHAN ASAS PERLEMBAGAAN NEGARA

ANCAMAN TERHADAP ISLAM, RAJA & MELAYU : PERUNTUHAN ASAS PERLEMBAGAAN NEGARA

Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Perkara 4(1) menyatakan “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan” menunjukkan ketertinggian Perlembagaan Persekutuan, justeru menghendaki semua undang-undang dan tindakan yang dibuat adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di dalamnya.

KEDUDUKAN ISLAM

2. Lebih menarik, kedudukan susunan Perkara 3(1) yang menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” iaitu terlebih dahulu daripada Perkara 4(1) sepatutnya menjadi pedoman penting supaya undang-undang dan tindakan yang dibuat dipastikan menepati prinsip-prinsip Islam.

3. Ia menepati apa yang disebut oleh Sarjana Fiqh Kenegaraan Islam yang menegaskan bahawa tanggungjawab pemerintah ialah "menjaga agama Allah dan mentadbir bumi dengan agama Allah" ( إقامة الدين وسياسة الدنيا به).

4. Islam iaitu agama daripada Allah – Tuhan sekalian alam – buat semua manusia adalah lengkap meliputi semua aspek kehidupan yang dengannya menjamin kesejahteraan semua makhluk yang diciptaNya dapat dicapai dalam erti kata sebenar.

5. Tambah pula, kedudukan Islam ini diperkukuhkan lagi dengan Perkara 3(2) yang mengiktiraf Raja atau Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua agama Islam.

6. Sepanjang sejarah negara sehingga kini juga memperlihatkan peranan dan sumbangan Istana atau sistem pemerintahan beraja ini sangat penting dalam pengembangan ajaran Islam dan penegakan pemerintahan berteraskan Islam di negara ini.

KEDUDUKAN ORANG MELAYU DAN BAHASA MELAYU

7. Seterusnya, Perlembagaan juga pada Perkara 160(2) ada mentafsirkan bahawa “orang Melayu” adalah seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu.

8. Selain orang Melayu merupakan kaum majoriti dan penduduk asal di negara ini, kaitan antara Melayu dengan Islam itu sendiri dalam Perkara 160(2) ini menguatkan lagi kedudukan orang Melayu sebagai kaum yang utama di negara ini.

9. Justeru itu jugalah Perlembagaan menerusi Perkara 153 mengiktiraf dan menjamin kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu.

10. Bahasa Melayu yang menjadi salah satu rukun bagi melengkapkan tafsiran “orang Melayu” lebih daripada itu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang diperuntukan dalam Perkara 151(1).

11. Sehinggakan Perlembagaan ini dan ada akta lain juga menghendaki Bahasa Melayu digunakan bagi urusan rasmi kerajaan, dalam Parlimen dan DUN serta dalam prosiding di mahkamah.

12. Oleh itu, empat (4) perkara ini; Islam, Raja, Melayu dan Bahasa Melayu merupakan asas yang sangat penting dalam Perlembagaan yang perlu dipelihara bagi menjamin keharmonian masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya di negara ini.

13. Malangnya, sejak beberapa masa sebelum ini lebih-lebih lagi mutakhir ini, 4 asas ini semakin terang dilihat sedang diancam – secara halus dan terancang – termasuk oleh individu dan organisasi yang mempunyai pengaruh dan autoriti di era Malaysia Baharu ini.

ANCAMAN TERHADAP ISLAM

14. Kumpulan dan tokoh berjalur pemikiran pluralisme dan liberalisme kini dilihat semakin berani dan sentiasa rancak mengatur rancangan dan tindakan untuk memburukkan imej institusi dan undang-undang Syariah, membebaskan umat Islam daripada ikatan undang-undang kawalan moral yang berasaskan agama serta memperjuangkan kebebasan berfikir secara mutlak, menuntut kesamarataan semua agama (transcendental unity of religion) dan menghapuskan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

15. Mereka ini jugalah disebalik desakan supaya JAKIM dimansuhkan dan menghalang usaha bagi memartabatkan undang-undang Islam dan institusi Mahkamah Syariah.

16. Kerajaan Persekutuan sendiri juga tidak prihatin dan tidak sensitif apabila sewenang-wenangnya melantik bukan Islam ke jawatan-jawatan penting seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal undang-undang serta Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang mempunyai rekod tidak berpihak kepada memelihara kepentingan Islam dan umat Islam.

17. Perlakuan berkaitan moral dan sosial seperti LGBT yang diakui sebagai kesalahan di sisi undang-undang sivil dan syariah bahkan merupakan dosa yang besar dalam Islam cuba diringankan dan diperkecilkan dengan mengecilkan skop jenayah itu hanya sebagai kesalahan seseorang itu terhadap Tuhannya dan tiada kena mengena dengan kepentingan orang ramai.

18. Tambah lagi, kononnya perlakuan seperti ini memadai ditangani dengan pendidikan tanpa perlu menguatkuasakan undang-undang secara lebih tegas.  Sedangkan Islam menjelaskan akan keperluan untuk menggunakan undang-undang bagi mengatasi penyakit ini dengan berkesan.

ANCAMAN TERHADAP INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU

19. YDPA yang berperanan “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” seperti dalam sumpah jawatan Baginda yang dinyatakan pada Jadual Keempat juga sering dijadikan sasaran dalam pelbagai isu dipercayai sebagai salah satu usaha ke arah menghapuskan sistem monarki di negara ini.

20. Justeru, tidak pelik apabila ada individu-individu tertentu dengan berani dan secara terbuka membuat cemuhan dan tuduhan yang bukan-bukan ke atas YDPA yang boleh dilihat menerusi isu majlis angkat sumpah Perdana Menteri baharu pasca PRU14 dan pelantikan Peguam Negara.

21. Lebih mendukacitakan dan membimbangkan ialah apabila ada dalam kalangan tokoh penting yang diangkat oleh Perdana Menteri untuk menjadi penasihat kepada Kerajaan sendiri dengan sengaja dan secara salah mendedahkan laporan perbelanjaan YDPA sehingga mengundang kritikan orang awam dan memberikan persepsi buruk kepada Baginda dan institusi beraja. Sedangkan yang sebenarnya adalah tidak seperti yang didedahkan itu.

ANCAMAN TERHADAP BAHASA MELAYU

22. Bahasa Melayu pula semakin lama semakin dipinggirkan dan dilayan seperti bahasa sekunder. Pemimpin-pemimpin Kerajaan sendiri lebih mengutamakan dan dilihat lebih selesa menggunakan bahasa lain berbanding bahasa kebangsaan dalam kenyataan, ucapan dan temubual mereka.

23. Contohnya sebelum ini, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan beliau serta mempertahankan tindakan itu. Malangnya, YAB Perdana Menteri sendiri membela Menteri Kewangan yang dilantik beliau itu dengan menganggap isu tersebut adalah kecil.

24. Kemudiannya, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan Pendakwa Raya – mewakili Kerajaan – ke atas kes melibatkan DS Najib Razak juga memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi dijalankan menggunakan Bahasa Inggeris berikutan penguasaan Bahasa Melayu yang lemah oleh beliau.

25. Sedangkan tindakan-tindakan itu jelas tidak menepati Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Profesyen Undang-Undang yang menghendaki penggunaan Bahasa Melayu.

26. Ancaman terbaru ialah apabila Menteri Pendidikan pada hari semalam mengesahkan bahawa Sijil Peperiksaan Berepadu (UEC) yang berorientasikan Taiwan itu akan diiktiraf tidak lama lagi. Sebelum itu lagi, Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Pakatan Harapan (PH) lebih awal mengiktiraf UEC ini sebagai kelayakan rasmi bagi memasuki sektor perkhidmatan awam di negeri itu,

27. Pengiktirafan kepada UEC yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantarnya ini jelas bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara serta mengabaikan kedudukan dan peranan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di negara ini dan sebagai bahasa kebangsaan.

28. Kesannya, kaum Cina yang melalui sistem berteraskan UEC ini akan semakin lemah penguasaan Bahasa Melayu mereka, justeru menyukarkan mereka untuk bergaul dan berhubungan dengan bangsa lain, akhirnya menjadikan jurang antara kaum akan bertambah lebar dan perpaduan dalam rakyat menjadi semakin longgar.

BANGKIT MEMBETULKAN KEADAAN

29. Sekalipun kemalangan-kemalangan ini telah berlaku dan ancaman sedang berterusan, adalah amat diharapkan agar Kerajaan Persekutuan terutamanya para pemimpin Melayu beragama Islam dan juga para ulamak dan sarjana Islam, NGO Melayu-Islam serta orang-orang Melayu khususnya dan semua rakyat amnya *sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu ini serta bertindak sewajarnya* bagi mengawal dan memperbaiki keadaan.

30. Jika dibiarkan ancaman terhadap asas-asas utama Perlembagaan ini berterusan lagi, diruntuhkan perlahan-perlahan sehingga sepenuhnya, kesan buruknya adalah ke atas kita semua tanpa mengira kaum dan agama. Keharmonian bermasyarakat akan tergugat. Ia boleh menjadi ledakan kepada protes-protes yang mengancam keselamatan negara.

”Sejahtera Bersama Islam"

Tarikh : Sabtu, 14 Julai 2018 | 1 Zulkaedah 1439H
_____

PENULIS juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, AJK Kerja PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan dan Pengarah Strategi PAS Pusat. Pandangan dan aktiviti beliau boleh diikuti menerusi akaun FB (@drtakiri) dan Twitter (@drtakiri2016) rasmi beliau.

Friday 6 July 2018

LGBT : PANDANGAN MENTERI AGAMA SILAP

Kenyataan Media

Jumaat 06 Julai 2018 | 22 Syawal 1439H

LGBT : PANDANGAN MENTERI AGAMA SILAP

1. Kenyataan YB. Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) mengenai perlakuan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) adalah bersalahan dengan sudut pandang Islam dan peruntukan undang-undang negara.

2. Pandangan yang beliau kemukakan itu dilihat sebagai mengiktiraf perlakuan LGBT sebagai hak seseorang selama ia dilakukan dalam ruang peribadi masing-masing.

3. Beliau berpendirian demikian kerana menganggap kesalahan tersebut semata-mata urusan antara individu terbabit dengan Tuhan sahaja; tidak ada kena mengena dengan orang lain. Kefahaman ini ternyata sangat silap kerana LGBT melibatkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.

4. Perlakuan liwat sebagai contoh merupakan satu jenayah dalam Islam dan juga jenayah dalam undang-undang negara sama ada dibuat secara sembunyi apatah lagi terang-terangan.

5. Jenayah Liwat sangat keras dalam Islam sehingga Nabi s.a.w. bersabda :

( مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ )

_"Sesiapa yang kamu temuinya melakukan amalan kaum Lut maka bunuhlah pelaku dan orang yang diperlakukan"_

(Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah dinilai sahih oleh al-Albaani)

6. Meskipun negara kita tidak menjadikan hukuman tersebut sebagai undang-undang, tapi ia menunjukkan betapa besarnya jenayah liwat.

7. Menurut tokoh ulamak terkenal Imam Ibnu Qayim dalam karya beliau al-Jawaab al-Kaafi, "Oleh kerana kerosakan perlakuan liwat antara kerosakan terbesar maka hukumannya di dunia dan akhirat juga adalah antara hukuman yang paling besar".

8. Azab Allah ditimpakan kepada seluruh umat Nabi Lut a.s. akibat perbuatan sebahagian mereka yang berkelakuan sumbang. Ini menunjukkan, perlakuan tersebut adalah suatu bencana kepada semua orang sekiranya ia tidak dicegah.

9. Undang-undang negara juga ada memperuntukkan beberapa kesalahan jenayah berkaitan perlakuan LGBT. Antaranya ialah Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan yang menyatakan berkenaan kesalahan hubungan seks luar tabii.

10. Berdasarkan statistik Jabatan Peguam Negara dan polis, sebanyak 171 kes telah didakwa mengikut seksyen 377B dari 2010 hingga 2014, sementara sebanyak 489 kes didakwa mengikut Seksyen 377C dalam tempoh lima tahun tersebut.

11. Seksyen 25 dan Seksyen 26 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 pula menyatakan berkenaan kesalahan liwat dan musahaqah iaitu melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan. Begitu juga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain.

12. Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997 memperuntukkan dalam Seksyen 25, "Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

13. Seksyen 26 pula memperuntukkan "Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

14. Ini menunjukkan undang-undang negara sama ada sivil atau syariah memperakui bahawa perlakuan LGBT ini adalah merupakan jenayah dan pelakunya boleh dikenakan tindakan tanpa mengira sama ada ia dilakukan secara tersembunyi atau terangan-terangan.

15. Saya khuatir, pendirian longgar oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dalam isu ini akan membuka ruang selesa dan meyakinkan kepada golongan LGBT untuk terus mendesak agar perlakuan dan golongan LGBT diiktiraf di negara ini.

16. Lebih saya bimbang, jika sikap menteri seperti itu akhirnya menjadikan Malaysia menerima syor supaya mengiktiraf orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat ; meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat kerana menganggap ia tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman; dan memansuhkan enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi” seperti yang dituntut oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

17. Sekali lagi saya mengharapkan agar pemimpin Pakatan Harapan tidak memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mereka tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama malah bersikap liberal melampau dalam isu-isu agama dan undang-undang yang bertujuan memelihara keharmonian awam.

18. Mandat kepada Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan oleh rakyat adalah untuk merobohkan kezaliman dan penindasan bukannya merobohkan agama Islam dan undang-undang.

19. Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada pelbagai bencana akibat usaha menghalalkan LGBT.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Thursday 5 July 2018

Tegur Kerajaan PH Dalam Isu Bahasa Melayu

http://m.utusan.com.my/berita/politik/isu-bahasa-rakyat-perlu-bangkit-tegur-kepincangan-kerajaan-1.703512

Utamakan Hukum Syarak


GUAN ENG, TOMMY THOMAS : MANIFESTASI BAHASA MELAYU SEMAKIN DIPINGGIRKAN PAKATAN HARAPAN

Kenyataan Media

05 Julai 2018 | 21 Syawal 1439H

GUAN ENG, TOMMY THOMAS : MANIFESTASI BAHASA MELAYU SEMAKIN DIPINGGIRKAN PAKATAN HARAPAN

1.Kerajaan Pakatan Harapan mesti menunjukkan kesungguhan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Jangan memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa PH telah meruntuhkan tonggak asas bernegara yang telah dipersetujui oleh semua kaum.

2. Sebelum ini, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan beliau serta mempertahankan tindakan itu.

3.Malang lagi, pimpinan Pakatan Harapan turut membela Menteri Kewangan tersebut dengan menganggap isu tersebut adalah kecil.

4.Sedangkan, Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menyatakan akan keperluan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

5.Semalam pula, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan Pendakwa Raya ke atas kes melibatkan DS Najib Razak memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi dijalankan menggunakan Bahasa Inggeris. Ia barangkali berikutan penguasaan Bahasa Melayu yang lemah oleh beliau.

6.Sidang media yang mahu diadakan oleh beliau selepas itu juga turut dibatalkan pada peringkat awal selepas didesak oleh orang ramai supaya beliau menggunakan Bahasa Melayu.

7.Selaku Peguam Negara, beliau sepatutnya lebih memahami akan tuntutan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mahukan segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah dijalankan menggunakan bahasa kebangsaan.

8.Keadaan ini juga menunjukkan sebenarnya seawal mencadangkan nama Tommy Thomas untuk dilantik sebagai Peguam Negara dahulu, Kerajaan Pakatan Harapan tidak prihatin terhadap Seksyen 11(2) Akta Profesyen Undang-Undang 1976 yang menyatakan “tiada seseorang pun berkelayakan boleh diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara melainkan, sebagai tambahan pada memenuhi kehendak subseksyen (1), dia telah lulus atau dikecualikan daripada Peperiksaan Kelayakan Bahasa Malaysia

9.Insiden ini jelas merupakan manifestasi bahawa Bahasa Melayu semakin dipinggirkan oleh Pakatan Harapan yang menerajui Kerajaan. Rakyat perlu bangkit menegur kepincangan ini.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus