Saturday 14 July 2018

ANCAMAN TERHADAP ISLAM, RAJA & MELAYU : PERUNTUHAN ASAS PERLEMBAGAAN NEGARA

ANCAMAN TERHADAP ISLAM, RAJA & MELAYU : PERUNTUHAN ASAS PERLEMBAGAAN NEGARA

Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Perkara 4(1) menyatakan “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan” menunjukkan ketertinggian Perlembagaan Persekutuan, justeru menghendaki semua undang-undang dan tindakan yang dibuat adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di dalamnya.

KEDUDUKAN ISLAM

2. Lebih menarik, kedudukan susunan Perkara 3(1) yang menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” iaitu terlebih dahulu daripada Perkara 4(1) sepatutnya menjadi pedoman penting supaya undang-undang dan tindakan yang dibuat dipastikan menepati prinsip-prinsip Islam.

3. Ia menepati apa yang disebut oleh Sarjana Fiqh Kenegaraan Islam yang menegaskan bahawa tanggungjawab pemerintah ialah "menjaga agama Allah dan mentadbir bumi dengan agama Allah" ( إقامة الدين وسياسة الدنيا به).

4. Islam iaitu agama daripada Allah – Tuhan sekalian alam – buat semua manusia adalah lengkap meliputi semua aspek kehidupan yang dengannya menjamin kesejahteraan semua makhluk yang diciptaNya dapat dicapai dalam erti kata sebenar.

5. Tambah pula, kedudukan Islam ini diperkukuhkan lagi dengan Perkara 3(2) yang mengiktiraf Raja atau Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua agama Islam.

6. Sepanjang sejarah negara sehingga kini juga memperlihatkan peranan dan sumbangan Istana atau sistem pemerintahan beraja ini sangat penting dalam pengembangan ajaran Islam dan penegakan pemerintahan berteraskan Islam di negara ini.

KEDUDUKAN ORANG MELAYU DAN BAHASA MELAYU

7. Seterusnya, Perlembagaan juga pada Perkara 160(2) ada mentafsirkan bahawa “orang Melayu” adalah seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu.

8. Selain orang Melayu merupakan kaum majoriti dan penduduk asal di negara ini, kaitan antara Melayu dengan Islam itu sendiri dalam Perkara 160(2) ini menguatkan lagi kedudukan orang Melayu sebagai kaum yang utama di negara ini.

9. Justeru itu jugalah Perlembagaan menerusi Perkara 153 mengiktiraf dan menjamin kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu.

10. Bahasa Melayu yang menjadi salah satu rukun bagi melengkapkan tafsiran “orang Melayu” lebih daripada itu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang diperuntukan dalam Perkara 151(1).

11. Sehinggakan Perlembagaan ini dan ada akta lain juga menghendaki Bahasa Melayu digunakan bagi urusan rasmi kerajaan, dalam Parlimen dan DUN serta dalam prosiding di mahkamah.

12. Oleh itu, empat (4) perkara ini; Islam, Raja, Melayu dan Bahasa Melayu merupakan asas yang sangat penting dalam Perlembagaan yang perlu dipelihara bagi menjamin keharmonian masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya di negara ini.

13. Malangnya, sejak beberapa masa sebelum ini lebih-lebih lagi mutakhir ini, 4 asas ini semakin terang dilihat sedang diancam – secara halus dan terancang – termasuk oleh individu dan organisasi yang mempunyai pengaruh dan autoriti di era Malaysia Baharu ini.

ANCAMAN TERHADAP ISLAM

14. Kumpulan dan tokoh berjalur pemikiran pluralisme dan liberalisme kini dilihat semakin berani dan sentiasa rancak mengatur rancangan dan tindakan untuk memburukkan imej institusi dan undang-undang Syariah, membebaskan umat Islam daripada ikatan undang-undang kawalan moral yang berasaskan agama serta memperjuangkan kebebasan berfikir secara mutlak, menuntut kesamarataan semua agama (transcendental unity of religion) dan menghapuskan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

15. Mereka ini jugalah disebalik desakan supaya JAKIM dimansuhkan dan menghalang usaha bagi memartabatkan undang-undang Islam dan institusi Mahkamah Syariah.

16. Kerajaan Persekutuan sendiri juga tidak prihatin dan tidak sensitif apabila sewenang-wenangnya melantik bukan Islam ke jawatan-jawatan penting seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal undang-undang serta Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang mempunyai rekod tidak berpihak kepada memelihara kepentingan Islam dan umat Islam.

17. Perlakuan berkaitan moral dan sosial seperti LGBT yang diakui sebagai kesalahan di sisi undang-undang sivil dan syariah bahkan merupakan dosa yang besar dalam Islam cuba diringankan dan diperkecilkan dengan mengecilkan skop jenayah itu hanya sebagai kesalahan seseorang itu terhadap Tuhannya dan tiada kena mengena dengan kepentingan orang ramai.

18. Tambah lagi, kononnya perlakuan seperti ini memadai ditangani dengan pendidikan tanpa perlu menguatkuasakan undang-undang secara lebih tegas.  Sedangkan Islam menjelaskan akan keperluan untuk menggunakan undang-undang bagi mengatasi penyakit ini dengan berkesan.

ANCAMAN TERHADAP INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU

19. YDPA yang berperanan “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” seperti dalam sumpah jawatan Baginda yang dinyatakan pada Jadual Keempat juga sering dijadikan sasaran dalam pelbagai isu dipercayai sebagai salah satu usaha ke arah menghapuskan sistem monarki di negara ini.

20. Justeru, tidak pelik apabila ada individu-individu tertentu dengan berani dan secara terbuka membuat cemuhan dan tuduhan yang bukan-bukan ke atas YDPA yang boleh dilihat menerusi isu majlis angkat sumpah Perdana Menteri baharu pasca PRU14 dan pelantikan Peguam Negara.

21. Lebih mendukacitakan dan membimbangkan ialah apabila ada dalam kalangan tokoh penting yang diangkat oleh Perdana Menteri untuk menjadi penasihat kepada Kerajaan sendiri dengan sengaja dan secara salah mendedahkan laporan perbelanjaan YDPA sehingga mengundang kritikan orang awam dan memberikan persepsi buruk kepada Baginda dan institusi beraja. Sedangkan yang sebenarnya adalah tidak seperti yang didedahkan itu.

ANCAMAN TERHADAP BAHASA MELAYU

22. Bahasa Melayu pula semakin lama semakin dipinggirkan dan dilayan seperti bahasa sekunder. Pemimpin-pemimpin Kerajaan sendiri lebih mengutamakan dan dilihat lebih selesa menggunakan bahasa lain berbanding bahasa kebangsaan dalam kenyataan, ucapan dan temubual mereka.

23. Contohnya sebelum ini, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan beliau serta mempertahankan tindakan itu. Malangnya, YAB Perdana Menteri sendiri membela Menteri Kewangan yang dilantik beliau itu dengan menganggap isu tersebut adalah kecil.

24. Kemudiannya, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan Pendakwa Raya – mewakili Kerajaan – ke atas kes melibatkan DS Najib Razak juga memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi dijalankan menggunakan Bahasa Inggeris berikutan penguasaan Bahasa Melayu yang lemah oleh beliau.

25. Sedangkan tindakan-tindakan itu jelas tidak menepati Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Profesyen Undang-Undang yang menghendaki penggunaan Bahasa Melayu.

26. Ancaman terbaru ialah apabila Menteri Pendidikan pada hari semalam mengesahkan bahawa Sijil Peperiksaan Berepadu (UEC) yang berorientasikan Taiwan itu akan diiktiraf tidak lama lagi. Sebelum itu lagi, Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Pakatan Harapan (PH) lebih awal mengiktiraf UEC ini sebagai kelayakan rasmi bagi memasuki sektor perkhidmatan awam di negeri itu,

27. Pengiktirafan kepada UEC yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantarnya ini jelas bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara serta mengabaikan kedudukan dan peranan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di negara ini dan sebagai bahasa kebangsaan.

28. Kesannya, kaum Cina yang melalui sistem berteraskan UEC ini akan semakin lemah penguasaan Bahasa Melayu mereka, justeru menyukarkan mereka untuk bergaul dan berhubungan dengan bangsa lain, akhirnya menjadikan jurang antara kaum akan bertambah lebar dan perpaduan dalam rakyat menjadi semakin longgar.

BANGKIT MEMBETULKAN KEADAAN

29. Sekalipun kemalangan-kemalangan ini telah berlaku dan ancaman sedang berterusan, adalah amat diharapkan agar Kerajaan Persekutuan terutamanya para pemimpin Melayu beragama Islam dan juga para ulamak dan sarjana Islam, NGO Melayu-Islam serta orang-orang Melayu khususnya dan semua rakyat amnya *sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu ini serta bertindak sewajarnya* bagi mengawal dan memperbaiki keadaan.

30. Jika dibiarkan ancaman terhadap asas-asas utama Perlembagaan ini berterusan lagi, diruntuhkan perlahan-perlahan sehingga sepenuhnya, kesan buruknya adalah ke atas kita semua tanpa mengira kaum dan agama. Keharmonian bermasyarakat akan tergugat. Ia boleh menjadi ledakan kepada protes-protes yang mengancam keselamatan negara.

”Sejahtera Bersama Islam"

Tarikh : Sabtu, 14 Julai 2018 | 1 Zulkaedah 1439H
_____

PENULIS juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, AJK Kerja PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan dan Pengarah Strategi PAS Pusat. Pandangan dan aktiviti beliau boleh diikuti menerusi akaun FB (@drtakiri) dan Twitter (@drtakiri2016) rasmi beliau.

No comments:

Post a Comment