Thursday 31 March 2016

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN : PENDERAAN KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN
Oleh :
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus (Khamis 31 hb Mac 2016)

PENDERAAN KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS

1.                  Kes penderaan kanak-kanak merupakan antara fenomena jenayah keluarga yang semakin meningkat. Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipetik oleh sebuah laporan akhbar menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak daripada 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013.

2.                  Kes jenayah ini berlaku apabila hilang atau menipis 3 unsur kehidupan berkeluarga iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah).

3.                  Allah berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan-Nya) ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada jenis kamu sendiri pasangan-pasangan, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
4.                  Antara matlamat pembinaan sesebuah keluarga ialah bagi melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai 3 ciri dan sifat yang menjadi anak kunci kepada kebahagiaan hidup iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah). Apabila ketenangan, perasaan kasih sayang dan perasaan kasihan belas semakin menipis maka lahirlah pelbagai permasalahan dalam sesebuah institusi keluarga.


5.                  Ketenangan hidup berkeluarga boleh dinikmati apabila 4 asas utama berkeluarga dapat ditunaikan iaitu pasangan yang baik dan soleh, jiran yang soleh dan baik, kediaman yang selesa dan kenderaan yang baik. Ia diisyaratkan oleh sabda baginda saw:


أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الهنيء

Maksudnya: “Empat sumber kebahagian iaitu isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)
Justeru, menjadi antara kewajipan pemerintah untuk memberi peluang rakyat mendapat kediaman yang selesa dengan harga mampu milik dan juga memiliki kenderaan yang selesa dengan harga mampu milik.

6.                   Pasangan dan jiran yang tidak mempunyai akhlak dan ketrampilan yang soleh merisikokan kehidupan berkeluarga dan kejiranan yang rosak. Persekitaran kehidupan sebegini membuka ruang untuk berlakunya penderaan kepada kanak-kanak. Di sinilah sistem pendidikan negara perlu diperkasakan perananannya bagi melahirkan masyarakat yang bukan hanya mempunyai latar belakang akademik yang baik, tetapi yang lebih utama ialah keperibadian yang baik dan mulia.

7.                  Begitu juga dengan jawatankuasa di peringkat kampong dan taman perumahan serta institusi masyarakat seperti surau dan masjid perlu berfungsi untuk membentuk persekitaran kejiranan yang baik, prihatin dan penuh dengan kasih dan sayang.

8.                  Sifat kasih dan sayang serta kasihan belas perlu sentiasa dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat. Syariat dan akhlak Islam menampilkan pelbagai praktik yang boleh memupuk kedua-dua perasaan tersebut. Antaranya menerusi amalan mengucup anak-anak kecil sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda saw, menyebarkan amalan memberi salam meskipun kepada kanak-kanak, ziarah menziarahi, melunaskan jemputan kenduri, menziarahi kematian, mendidik sifat bersabar, dan tidak mudah marah serta bertoleransi yang tinggi.   


Sekian.

No comments:

Post a Comment