Wednesday, 23 September 2015

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 1)

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 1)

Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27;

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27)
Maksudnya; "Dan buatlah perisytiharan di khalayak ramai untuk mereka laksanakan ibadah Haji pasti mereka datang kepada kamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus, mereka datang dari seluruh pelusuk negeri yang jauh"

Allah Taala mengarahkan Nabi Ibrahim alaihissalam membuat perisytiharan ibadah haji. Jaminan daripada Allah ialah manusia pasti datang meskipun berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus.

Berjalan kaki menunjukkan kesungguhan. Meskipun tiada kenderaan mereka sanggup berjalan kaki walaupun ke tempat yang jauh demi menunaikan Haji.

Unta yang kurus ditafsirkan dengan dua keadaan. Sama ada kerana ketiadaan unta yang gemuk namun kerana keinginan membuak-buak untuk hadir ke Mekah maka mereka sanggup menunggang unta yang kurus.

Atau dengan maksud jauhnya perjalanan hinggakan unta yang gemuk asalnya menjadi kurus.

Dalam riwayat Ibnu Abbas, Mujahid dan Ikrimah melaporkan Nabi Ibrahim bertanya bagaimanakah suaraku akan sampai kepada manusia? Allah menjawab; tugasanmu ialah menyeru dan Kami yang menyampaikannya.

Demikiankah janji Allah. Manusia hanya perlu melaksanakan perintah-Nya. Jaminan selanjutnya adalah milik Allah. Namun, berapa ramai yang bersedia untuk yakin?

Seruan haji sampai kepada manusia sejak zaman Ibrahim alaihissalam bersambung ke zaman Nabi kita Muhammad saw sehingga ke hari ini tanpa putus.

Sehingga kini bumi Mekah tidak pernah sunyi daripada manusia. Tiada yang menarik melainkan Kaabah. Mekah adalah bumi panas gersang tanpa tumbuhan. Tanpa air melainkan Zamzam. Ibadah Haji menjadi sebab berkembangnya pelancongan ibadah. Terbentuknya pasar dan transit barangan antara Yaman di selatan dan Syam di utara di zaman silam.

Sehingga kini ia memberi sumber rezki kepada jutaan manusia yang berniaga dan menguruskan pelbagai perkara melibatkan ibadah haji.

Ibrahim alihissalam hanya melaksanakan perintah mengisytiharkan ibadah haji. Kehadiran manusia adalah jaminan daripada Allah kerana Dia yang membuka hati manusia.

Demikianlah yang perlu kita yakini dalam apa jua pekerjaan. Tugasan kita hanyalah melaksanakan perintah Allah. Hasilnya terserahlah kepada Allah.

Bagi pendakwah, tugasannya ialah menyampaikan seruan lalu hasilnya sama ada manusia menerima atau menolak terserahlah kepada Allah. Namun, Allah pasti membuka hati sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
8 Zulhijjah 1436 H / 22 September 2015 jam 11.30 pg waktu Mekah

No comments:

Post a Comment