Wednesday 4 February 2015

"BEBASKAN UMAT ISLAM DARI NAJIS ARAK"

KENYATAAN MEDIA 

2 Februari 2015 | 12 Rabi'ul Akhir 1436 

"BEBASKAN UMAT ISLAM DARI NAJIS ARAK" 

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana akan menguatkuasakan pengharaman penjualan minuman keras (arak) di kedai serbaneka mengikut taburan populasi masyarakat setempat. Ini satu tindakan yang wajar dan harus dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

Polisi yang diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka ini pernah dilakukan oleh bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali pada tahun 2009. Tindakan tersebut adalah berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Kita menghargai usaha untuk menjaga kesucian Islam dan membantu umat Islam daripada terjebak dalam industri yang diharamkan dalam agama. Ini secara tidak langsung membantu individu-individu yang terbabit mendapatkan sumber rezeki yang halal.

Sebagai individu Islam, penjualan arak adalah ditegah menurut Syariat. Ia termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah dan Rasulullah SAW dalam urusan pemprosesan serta penyediaan arak.

Merujuk perkembangan yang sama, Parlimen Singapura telah meluluskan satu Rang Undang-Undang Liquor Control (Supply and Consumption) pada 30 Januari lalu. Rang tersebut melarang orang ramai daripada minum di kawasan awam dan menjualnya pada waktu tertentu kerana berlaku peningkatan jenayah.

Ini jelas menunjukkan bawah arak memberikan dampak kepada masyarakat. Apatah lagi, penjualan arak di Malaysia khususnya di kawasan bandar amat mudah didapati di kedai-kedai serbaneka dan tiada tindakan tegas boleh diambil.

Oleh yang demikian, kami menggesa agar polisi kerajaan negeri berkaitan arak dapat diselaraskan di seluruh negara. Malah, setiap usaha untuk membebaskan umat Islam daripada industri arak wajib disokong bersama.

Sekian, terima kasih.

Nasrudin bin Hasan
Ahli Parlimen Temerloh | AJK PAS Pusat

Dato' Dr. Khairuddin bin Aman Razali At-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus | AJK PAS Pusat

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas | AJK PAS Pusat

No comments:

Post a Comment