Thursday 8 May 2014

GST adalah Cerminan Pertembungan 2 Dasar Bernegara Antara Negara Jibayah Cukai & Negara Hidayah Berkebajikan

GST adalah Cerminan Pertembungan 2 Dasar Bernegara Antara Negara Jibayah Cukai & Negara Hidayah Berkebajikan

1. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sememangnya menjadi dasar yang dianuti oleh kerajaan BN iaitu mengenakan cukai semaksima terhadap rakyat. Atau dengan kata lain sememangnya Malaysia di bawah pentadbiran BN mengamalkan konsep yang dalam bahasa ilmu Ketatanegaraan Islam diistilahkan sebagai Negara Jibayah atau Negara Cukai. Inilah yang dapat difahami secara jelas daripada kenyataan Perdana Menteri pada 5hb Mei 2014 sebagaimana dilaporkan oleh Astroawani.

2. Kesimpulan kenyataan beliau yang menggambarkan dasar percukaian negara adalah:

A. GST tidak membebankan rakyat.
B. GST satu langkah perlu yang akan meluaskan pendapatan negara.
C. GST akan menambah pendapatan negara.
D. GST satu bentuk cukai yang progresif yang hanya dikenakan atas perbelanjaan bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh seseorang.
E. GST akan menjadikan lebih ramai rakyat membayar cukai kerana hari ini tidak ramai membayar cukai.
F. GST memperluaskan cakupan rakyat yang membayar cukai kerana sekarang hanya lebih kurang satu juta sahaja penduduk negara ini yang membayar cukai.
G. GST mempertingkatkan kadar dan nilai cukai kerana sesetengah daripada rakyat membayar kadar yang lebih rendah daripada yang sepatutnya.
H. GST seperti antibiotik yang perlu untuk 'mengubati' masalah ekonomi negara.
I. GST diterima pakai dengan mengambil kira pengalaman yang digunapakai oleh hampir 90 peratus negara lain di dunia.

3. Semua dasar-dasar yang disebut oleh Perdana Menteri ini menegaskan Malaysia sebagai Negara Jibayah atau Negara Cukai. Keadaan ini sangat berbeza dengan dasar kewangan Negara Islam yang berasaskan konsep Negara Hidayah dan Berkebajikan. Asas-asas kepada dasar percukaian Negara Islam adalah seperti berikut:

A. Cukai daripada rakyat tidak menjadi dasar utama hasilan negara.
B. Cukai daripada rakyat hanya dikenakan sebagai penyelesaian sementara dan bukan dasar yang tetap apabila negara berhadapan krisis kewangan disebabkan faktor kelembapan ekonomi semasa. Setelah kewangan negara stabil percukaian dihapuskan.
C. Apabila cukai dikenakan cakupannya perlu diminimakan merangkumi golongan berkemampuan sahaja berasaskan pendapatan mereka.
D. Cukai Wajib pula dikenakan dengan kadar yang rendah sebaliknya semangat dermawan menyumbang secara sukarela diperluaskan sehingga mereka menyumbang secara sukarela lebih banyak daripada yang wajib. Hal ini kerana manusia bersifat liar terhadap sesuatu yang wajib yang membebankan tetapi lebih redha dan bersemangat jika diberikan galakkan dan motivasi.
E. Cukai terhadap semua golongan rakyat bukannya ubat penyelesaian masalah ekonomi tetapi ia menjadi racun yang membarah dalam masyarakat. Golongan tidak berkemampuan semakin tertekan dengan cukai sehingga mendorong mereka menjadi penjenayah dan pemberontak terhadap ekonomi negara.
F. Negara Islam adalah negara berkebajikan yang meletakkan ihsan pada golongan tidak berkemampuan. Justeru, cukai tidak dikenakan kepada mereka sama sekali walaupun dengan nilai yang minima. Sebaliknya masalah kewangan negara diselesaikan dengan bantuan golongan berpendapatan tinggi. Itupun dengan nilai yang minima bagi mengelakkan perasaan terbeban.
G. Dasar kewangan negara perlu dirujuk kepada al-Quran dan Sunnah di samping sejarah kejayaan negara khalifah Islam bukan kepada negara moden yang tidak bertunjangkan Islam dan juga menyaksikan kebobrokan penguasaan ekonomi oleh kapitalis.

4. Sekarang terpulang kepada rakyat sama ada mengekalkan kerajaan yang mengamalkan dasar Negara Cukai atau mengubahnya kepada kerajaan Islam yang mengamalkan konsep Negara Hidayah dan Berkebajikan dalam PRU ke 14 nanti.

YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 8hb Mei 2014

No comments:

Post a Comment