Wednesday, 4 April 2018

*TANAH RIZAB MELAYU :* *KERAJAAN WAJIB PELIHARA AMANAH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU*

*Kenyataan Media*
*Ahli Parlimen Kuala Nerus*

Khamis, 18 Januari 2018 | 1 Jumadilawal 1439H

*TANAH RIZAB MELAYU :*
*KERAJAAN WAJIB PELIHARA AMANAH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU*

1. Raja-raja Melayu dalam wasiat yang disampaikan pada 1957 mahukan Tanah Simpanan Melayu berada pada nisbah sehingga 50% di tangan orang Melayu yang merupakan rakyat asal bagi negara ini.

2. Namun, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun lalu, sehingga 2016, Tanah Rizab Melayu (TRM) berjumlah sekitar 4 juta hektar (2013 : 4.1 juta hektar atau 31.19%). Setelah 60 tahun negara ini merdeka pun, wasiat Raja-raja Melayu masih belum berjaya ditunaikan.

3. Pendedahan oleh salah seorang ahli jawatankuasa Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Pn. Zaharah Sulaiman pada Konvensyen Kebangkitan Ummah baru-baru ini bahawa baki TRM di negara ini semakin susut dan ia *berpunca antaranya kerana Kerajaan membiarkan tanah ini dijual kepada bangsa asing untuk pembangunan* dan *Kerajaan juga tidak memulangkan (atau menggantikan) semula* tanah ini, menunjukkan TRM ini sedang diancam ‘kepupusan’.

4. Pembangunan adalah keperluan masyarakat pelbagai bangsa dalam negara ini. Namun, ia *tidak wajar mengorbankan pemilikan dan hak rakyat asal* negara ini yang telah diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu. *Menunaikan hak adalah kewajipan pemerintah* sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' ayat 58 :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا 

_"Sesunguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah-amanah kepada yang berhak..."_

5. Kerajaan perlu segera bertindak membetulkan kesilapan ini. *Amanah ini perlu segera disempurnakan.* Kerajaan mesti mengambil tindakan segera yang lebih berkesan, komprehensif dan bersepadu bagi menangani isu penyusutan keluasan dan pembangunan TRM di negara ini.

6. Saya menggesa Kerajaan agar :

(a) Mengemaskini dan mengiklankan keluasan dan kawasan TRM pada masa ini.

(b) Mengganti semula TRM yang telah dibatalkan kerana apa-apa tujuan sekalipun.

(c) Mengenalpasti dan mengisytiharkan kawasan baru sebagai TRM bagi meningkatkan nisbah TRM.

(d) Menubuhkan sebuah badan atau jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri yang diberikan kuasa undang-undang bagi mentadbir pengurusan dan pembangunan TRM.

(e) Mewujudkan jaringan dan menyediakan inisiatif khas kepada para pemaju Melayu (atau koperasi Melayu, atau dewan perniagaan Melayu dsb.) untuk membangunkan TRM sama ada dengan pembangunan fizikal atau bukan fizikal.

Sekian.

_*Sejahtera Bersama Islam*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Pautan Rasmi :
http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/15-tanah-air/4806-tanah-rizab-melayu-kerajaan-wajib-pelihara-amanah-wasiat-raja-raja-melayu

1 comment: