Wednesday, 4 April 2018

*KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN BERCANGGAH DENGAN ISLAM & PERLEMBAGAAN

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*
Jumaat 14hb Februari 2018

*KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN BERCANGGAH DENGAN ISLAM & PERLEMBAGAAN*

1. Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu agama anak bawah umur 18 tahun pada 29hb Januari 2018 lalu ternyata *bercanggah dengan Islam, malah mencabar kedaulatan bersumberkan ajaran Islam dalam negara, disamping bercanggah dengan pentafsiran secara literal dan harfiyyah bagi perkataan "parent" dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. *

*BERCANGGAH DENGAN FATWA*

2. Dalam Islam, agama anak sebelum umur baligh adalah mengikut agama bapa yang Islam. *Ia adalah hukum IJMAK yang telah disepakati oleh seluruh ulamak IsIam*. Cuma berlaku perselisihan di kalangan ulamak Islam sekiranya ibu masuk Islam. Hampir sepakat Ulamak menegaskan agama anak juga adalah mengikut agama ibu yang masuk Islam kecuali pandangan Imam Malik. Usia Baligh dalam Islam pula tidak melepasi 15 tahun Qamari. Ada yang sampai umur Baligh lebih awal daripada itu.

3. *Hukum yang difatwakan di Malaysia pula ialah agama anak bawah umur 18 tahun adalah mengikut salah seorang ibu atau bapa yang masuk Islam*. Itu adalah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-87 yang bersidang pada 23 hingga 25 Jun 2009. Juga Fatwa Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang pada 25 Julai 2009 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 30 Mac 2017

4. Apabila sesuatu hukum telah difatwakan maka ia adalah hukum yang sepatutnya terpakai pada amalan namun malangnya keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara jelas telah bercanggah dengan fatwa-fatwa yang terpakai di Malaysia yang menimbulkan persoalan sejauh mana pandangan Islam terpakai dalam perundangan negara.

5. Dalam masa yang sama saya menyeru jawatankuasa fatwa untuk menghuraikan semula fatwa dengan memperincikan hukum antara anak belum baligh dan anak yang telah baligh tetapi di bawah umur 18 tahun kerana umur baligh dalam Islam berlaku apabila cukup 15 tahun Qamari. Apabila telah mencapai umur Baligh mereka sepatutnya tidak lagi berada di bawah keputusan ibu atau bapa mereka.

*KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN*

6. *Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam perlembagaan gagal diambil kira bagi memberikan perlindungan terhadap hukum Islam* dalam isu ini kerana ia tidak menjadi rujukan para hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dalam membuat tafsiran terhadap maksud perkataan "parent" dalam teks bahasa Inggeris Perlembagaan Malaysia.

7. Mahkamah yang sama juga sebelum ini dalam kes Subashini pada 2007 telah memutuskan bahawa maksud "parent" dalam Perlembagaan ialah salah seorang ibu atau bapa. *Keputusan itu selaras dengan hukum dan fatwa Islam. Malah lebih tepat dengan tafsiran literal dan harfiyah bagi perkataan "parent",* Berbeza dengan keputusan terkini Mahkamah Persekutuan.

8. *Ulasan Mahkamah Persekutuan tentang "basic structure of our Constitution" juga didapati telah mengabaikan  kedaulatan negara berkonsepkan raja-raja Melayu bersumberkan ajaran Islam* seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Negeri 1948.

9. Keputusan itu telah mengabaikan fakta penting bahawa mahkamah-mahkamah balai sebelum Hari Merdeka juga memakai perundangan Islam, bahkan pemakaian prinsip common law adalah tertakluk pada syarat-syarat "local circumstances",  "social conditions" dan penduduk watan. Justeru, pandangan yang menyingkirkan pemakaian perundangan Islam daripada "basic structure of our constitution" adalah tafsiran yang tersasar daripada sejarah undang-undang watan tanah air.

*HAK PENJAGAAN ANAK*

10. Di saat kita menegaskan hukum berkaitan agama anak yang belum baligh, kita boleh pula melihat keluasan Islam dalam isu hak penjagaan anak oleh ibu yang tidak muslim. Kedua-duanya adalah persoalan yang berbeza.

11. Hak penjagaan anak yang muslim kerana mengikut agama salah seorang ibu atau bapa boleh dilihat menerusi perspektif pelbagai pandangan Ulamak yang membenarkan penjagaan anak oleh ibu yang tidak Islam. Ia adalah pendapat yang masyhur dalam Mazhab Hanafi, Maliki. Namun, pilihan perlu diberikan pada anak yang boleh membuat pilihan sekiranya telah mumayyiz.

12. Dalilnya ialah hadis kisah Salamah yang diberi pilihan oleh Rasulullah saw sama ada mengikut ibu yang belum Islam atau bapanya yang Islam. (Hadis riwayat Nasaei)
*Kecuali  jika dibimbangi hak beragama Islam anak terjejas seperti diberi minum arak dan makanan yang haram seperti babi maka di kala itu pihak berkuasa boleh menilai kembali kaedah yang wajar bagi menjaga maslahat agama anak.*

13. Fatwa Negeri Pahang yang diwartakan pada 12 September 2013 membenarkan ibu bapa bukan Islam menjaga anak sebagai satu pengecualian dengan syarat hak beragama anak terpelihara. Fatwa menyebut: "Dalam keadaan tertentu penjagaan boleh diberikan kepada ibu atau bapa yang bukan Islam dengan syarat memastikan makan minumnya halal dan dididik dengan ajaran Islam."

14. Berbeza dengan Mazhab Syafie dan Hanbali yang tidak membenarkan penjagaan anak muslim oleh ibu yang belum Islam. Hal ini kerana keperluan penjagaan manusia bukan hanya pada konteks naluri keibu-bapaan sahaja dalam memberikan makan dan minum  tetapi juga merangkumi aspek spiritual. Malah penjagaan aspek spirituallah merupakan kewajipan utama ibu dan bapa.

15. *Dalam konteks negara Malaysia yang masih gagal memberikan perlindungan sepenuhnya kepada Islam maka pandangan Mazhab Syafie dan Hambali ini lebih wajar diutamakan.* Sementelah Mazhab Hanafi dan Maliki juga tidak membenarkan ibu yang tidak Islam menjaga anak sekiranya agama anak yang Islam boleh terjejas.

*KEPENTINGAN KUASA POLITIK*

16. Lebih malang lagi, sebaik keputusan ini diputuskan ada Menteri yang dengan cepat membuat pengumuman untuk membawa keputusan ini ke kabinet. Adakah ada usaha untuk meminda kembali Akta 164 Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) dengan memasukkan fasal 88 A yang menjadi kontroversi dan dibantah oleh umat Islam sebelum ini? *Ia tidak pelik boleh berlaku sekiranya PAS sebagai parti yang tegas dalam isu ini tidak berpeluang menang besar dalam PRU ke 14 bagi menerajui kerajaan*.

17. Malah pembangkang dalam kalangan Pakatan Harapan juga secara terbuka mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Mereka selari dengan kerajaan dalam perkara itu bahkan mendesak kerajaan untuk memasukkan peruntukan agama anak bawah umur 18 tahun hendaklah secara bersama ibu dan bapa dalam Akta 164 yang jelas bercanggah dengan Islam.

18. *Islam perlu diberikan haknya dalam perlembagaan*. Tiba masanya untuk Islam sebagai agama Persekutuan diberikan makna yang sebenar sebagai *agama yang menjadi rujukan perundangan negara bukan hanya agama dengan maksud amalan dan kepercayaan sahaja*. Kedudukan Islam mesti dilihat dalam sejarah pembentukan  negara sebagai Persekutuan yang asalnya terdiri daripada gabungan negeri-negeri berdaulat yang menobatkan Islam sebagai sumber perundangan.

19. Konsep kedaulatan watan Raja-raja Melayu bersumberkan Syariat Islam sebelum pembentukan Persekutuan mesti dirujuk dalam pentafsiran Perlembagaan Persekutuan. Raja-raja Melayu inilah yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Kuasa kedaulatan ini terpelihara dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan.

20. Di sini jelas membawa maksud betapa pentingnya pilihanraya dalam memastikan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah dikalangan mereka yang memahami tanggungjawab menobatkan Islam dan memberikan tafsiran yang benar bagi kedudukan dan kedaulatan Islam serta memperkasakan Mahkamah Syariah dalam perlembagaan.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

1 comment: