Saturday 21 June 2014

DAP Jangan Bagi Isyarat PR Tidak Mesra Islam

DAP Jangan Bagi Isyarat PR Tidak Mesra Islam

1. Tindakan berkali-kali pimpinan tertinggi DAP mengeluarkan kenyataan menentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah diluluskan pada tahun 1992 sebelum kelahiran PR telah merosakkan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang menentang hegemoni pemerintahan UMNO.

2. Ia juga satu khidmat tidak langsung DAP dalam memanjangkan jangka hayat UMNO apabila orang-orang Melayu dalam PAS atau yang sudah mula cenderong dan bersimpati dengan perjuangan PAS mula bimbang dengan pendirian DAP.

3. Kenapa tidak disokong pelaksanaan Hudud di Kelantan atas nama demokrasi yang boleh juga menyumbang kelangsungan sokongan Melayu terhadap PAS? Hudud di Kelantan telah diluluskan sebelum PR. Analogi mudah yang boleh dibuat  ialah "anak yang PAS lahirkan di DUN Kelantan sebelum perkahwinan dengan DAP adakah patut dibuang hanya kerana berkahwin? Kenapa tidak dikendong bersama anak tersebut?"

4.DAP boleh sahaja terus membiarkan PAS khususnya Kelantan memperjuangkan hak pelaksanaan undang-undang yang telah mereka gubal 1993. Tetapi kenapa ditentang? Sentimen agama? Atau sentimen apa?

5. Pelaksanaan Kanun Jenayah syariah II di Kelantan adalah terpakai kepada orang Islam tanpa melibatkan bukan Islam. Namun kenapa bukan Islam menentang lalu DAP pula bersedia menjadi juaranya?

6. Hujah yang diberi oleh DAP ialah ia bertentangan dengan perlembagaan Malaysia. Kita boleh menegaskan bahawa menolak Hudud bertentangan dengan prinsip beragama Islam ahli-ahli PAS. Menerusi demokrasi, berikan hak kepada muslim untuk mereka mengamalkan tuntutan agama mereka di negeri majoriti mereka dan terpakai hanya kepada mereka!!! Itulah demokrasi.

7. Mungkin dijawab; Bukan Islam menyokong PAS bukan untuk dilaksanakan Hudud? Tapi boleh juga dibalas; Ahli PAS menyokong DAP pada pru ke 12 dan 13 bukan untuk menggugurkan Hudud!!!

8. Justeru apa penyelesaiannya? Kita menawarkan penyelesaian bahawa biarkan kuasa demokrasi berbicara. PAS berasaskan sokongan demokrasi yang diberikan di peringkat Kelantan menuntut hak pelaksanaan Hudud yang telah mereka luluskan 1993 di DUN Kelantan. DAP boleh sahaja tidak bersetuju secara demokrasinya dan  menterjemahkannya dalam pengundian rang-rang undang-undang persendirian yang cuba membenarkan pelaksanaan Hudud di Kelantan apabila dibawa ke parlimen nanti. Tetapi tidak dengan menunjukkan penentangan yang berapi-api hingga mencarikkan hati ahli-ahli PAS dan muslim yang komited dengan agamanya.

9. Penentangan terhadap Undang-Undang Hudud di Kelantan lebih kepada sentimen beragama berbanding sentimen mempertahankan perlembagaan kononnya. Itulah yang boleh ditafsirkan secara mudah oleh rakyat bawahan terhadap sikap pimpinan DAP.

10. Samalah juga seperti tindakan seorang pimpinan DAP minggu lepas membangkitkan isu di parlimen agar menghormati hak rakyat untuk murtad. Tidakkah itu mencabar perjuangan ahli-ahli PAS yang berjuang menghalang murtad kerana ia adalah kesalahan besar beragama Islam. Apatah lagi kesalahan murtad adalah kesalahan jenayah Syariah yang disokong oleh undang-undang Syariah di peringkat negeri di bawah Mahkamah Syariah yang menjadi sebahagian undang-undang bernegara yang diiktiraf.

11. Begitu juga dengan isu mengislamkan anak di bawah umur oleh salah seorang ibu atau bapa apabila salah seorang mereka masuk Islam yang berbangkit sebelum ini. Ia adalah undang-undang yang termaktub dan sedia ada dalam perundangan negara. Pimpinan DAP dengan begitu mudah berbicara menentang undang-undang yang telah sedia ada itu tanpa memikirkan reaksi ahli dan pimpinan PAS.

12. Isyarat yang dihantar kepada rakyat muslim menerusi isu-isu khususnya yang kuat pegangan agamanya ialah timbulnya persoalan adakah PR mesra Islam?

13. Ini menggoyah kepercayaan melayu Islam terhadap PAS. Dan tentu memberi kesan kepada sokongan Melayu dalam pilihanraya. Apatah lagi realitinya PAS berhadapan dengan UMNO di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN untuk merebut hati pengundi Melayu.

14. Adakah DAP bersedia atau mahu untuk PAS gagal menjuarai hati Melayu lalu sokongan kekal kepada UMNO di saat DAP pula berjaya menambat semaksima sokongan bukan Islam di kerusi-kerusi bukan Islam berhadapan dengan Gerakan atau MCA?

15. Apa kepentingan menentang Hudud bagi DAP? Kenapa tidak diutamakan usaha kesatuan menentang kezaliman UMNO tanpa dikaitkan dengan Hudud yang telah sedia menjadi perjuangan PAS dan telah dijadikan undang-undang di peringkat negeri oleh PAS sebekum lahirnya PR.

16. Mana yang DAP mahu? Menentang Hudud atau menjatuhkan UMNO? Sekiranya DAP bersedia untuk meninggalkan PR atau berpisah dengan PAS kerana perjuangan Hududnya sehingga sanggup membiarkan UMNO terus hidup maka terbukti bahawa DAP sememangnya memperjuangkan penentangan terhadap perjuangan PAS dan ia lebih utama daripada menguburkan UMNO. Mana lebih utama? Menentang Hudud atau bersatu menguburkan UMNO? Tepuk dada tanya hati!!!

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
15hb jun 2014

No comments:

Post a Comment