Sunday 15 June 2014

MAIS tolak keputusan AG, enggan pulangkan Bible

| 11:15AM Jun 14 2014

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak akan memulangkan kitab Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.

Dalam mesyuarat khas badan itu semalam, MAIS juga tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk tidak meneruskan pendakwaan kepada persatuan itu.

"Alasan yang diberilan oleh pihak peguam negara untuk tidak menuduh ppihak yang terlibat boleh mengelirukan akidah di kalangan umat Islam," kata Pengerusinya Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan bahawa majlis itu membuat ketetapan tidak bersetuju dengan arahan exco kerajaan negeri Selangor supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulangkan kitab Bible yang dirampas kepada BSM.

"PIhak MAIS juga menegaskan bahawa keputusan exco kerajaan negeri Selangor tersebut adalah di luar bidang kuasa mereka," katanya.

Pada Rabu lalu, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail menyebut kes rampasan itu kini ditutup dan pendakwaan tidak akan diteruskan.

Dilaporkan JAIS telah merampas sebanyak sebanyak 321 Bible versi bahasa Melayu dan 10 bahasa Iban di dalam 16 kotak ketika melakukan serbuan ke pejabat BSM 2 Januari lalu.

Mohamad Adzib juga mendesak timbalan pendakwa raya Selangor untuk merujuk mahkamah bagi mendapat perintah pelupusan barang kes sebagaimana yang diperuntukkan bawah seksyen 407A Kanun Acara Jenayah.

Sehubungan itu, dalam kenyataan media tambahan kemudiannya, Mohamad Adzib berkata JAIS juga mematuhi peruntukan itu dan meminta pihak timbalan pendakwa raya membuat rujukan kepada mahkamah.

"Ini selaras dengan juga dengan arahan peguam negara yang meminta agar pelupusan barang kes dibuat mengikut undang-undang.

"Oleh itu, biarlah mahkamah menentukan sama ada untuk membuat perintah pelupusan ataupun pemulangan. Diharap dengan penjelasan ini tiada lagi kekeliruan yang timbul dari mana-mana pihak," katanya.

MAIS tolak keputusan AG, enggan pulangkan Bible - Malaysiakini - http:// m.malaysiakini.com/news/265664

No comments:

Post a Comment