Friday 20 June 2014

Berikan Makna Sebenar Terhadap Peruntukan "Islam Agama Persekutuan"

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Berikan Makna Sebenar Terhadap Peruntukan "Islam Agama Persekutuan"

1. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana ditegaskan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan maknanya yang sebenar menurut sudut pandang Islam sebagai ad-Din dan cara hidup bernegara. Ia boleh berlaku menerusi dua cara iaitu pertama meminda peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi memperkasakan kuasa Islam dalam perlembagaan agar mendasari semua dasar urustadbir negara.  Kedua, menerusi keputusan hakim-hakim berjiwa Islam di Mahkamah yang memberi tafsiran yang betul terhadap peruntukan tersebut dalam kes-kes mahkamah seperti kes pemakaian serban di sekolah sebelum ini.

2. Usaha ini sangat penting bagi Malaysia supaya isu status Malaysia sebagai negara sekuler atau negara Islam tidak menjadi perbahasan.

3. Negara Islam ialah negara yang meletakkan dasar-dasar bernegaranya sama ada ekonomi, sosial, politik, jenayah, hubungan antarabangsa dan lain-lain adalah dasar-dasar Islam yang merujuk kepada al-Quran dan Sunnah menerusi huraian para ilmuwan Islam yang muktabar.

4. Realiti amalan bernegara Malaysia hari ini sejak merdeka 1957 belum sampai ke tahap  pelaksanaan Islam yang menyeluruh. Pemikiran urus tadbir dan perundangan penjajah masih menguasai minda politik dan pentadbiran meskipun pemerintah dan pentadbirnya adalah muslim.

5. Justeru itu, lebih selesa Malaysia setakat ini bertaraf "negara umat Islam". Negara umat Islam ialah negara yang diperintah oleh kuasa majoriti umat Islam tetapi kuasa Islam belum terpakai sepenuhnya. Pelaksanaan Islam secara menyeluruh menerusi dasar-dasar bernegara belum terlaksana sepenuhnya. Itulah "negara umat Islam".

6. Malaysia juga tidak boleh ditafsirkan sebagai negara sekuler sepenuhnya kerana adanya peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan. Begitu juga kedudukan Islam di peringkat negeri menerusi kuasa Mahkamah Syariah membuka jalan kepada pelaksanaan Islam. Prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam. Ia satu pengiktirafan terhadap kuasa Islam. Perkara 11 (4) menegaskan bahawa Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

7. Justeru, isunya ialah bukan status negara sama ada Islam atau Sekuler tetapi ialah usaha untuk memberi makna bagi Islam yang lengkap dan syumul bagi peruntukan perlembagaan Islam sebagai agama Persekutuan. Ia menjadi kewajipan seluruh umat Islam sama ada yang telah berada di puncak kuasa atau sebagai rakyat yang mengundi memilih orang yang berkuasa untuk memberi makna yang signifikan untuk Islam di Malaysia.

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Jumaat 20hb Jun 2014

No comments:

Post a Comment