Thursday 26 June 2014

Abdul Rahman bin Auf Tokoh Dermawan

TAZKIRAH KEHIDUPAN

Abdul Rahman bin Auf (r.a); Seorang Sahabat Nabi saw, Mujahid, Ahli Perniagaan, Dermawan & Zuhud

Pengenalan

1. Nama dan keturunan Abdul Rahman bin 'Auf radiyallahu 'anhu (moga Allah meredhainya) ialah Abdul Rahman bin 'Auf bin 'Abd 'Auf bin 'Abd bin Harith bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai. Nama asal beliau sebelum Islam ialah Abdu Amrin atau Abdul Ka'bah lalu ditukar oleh Nabi saw kepada Abdul Rahman.

2. Beliau merupakan salah seorang daripada 8 orang yang awal menerima Islam setelah diperkenalkan oleh Abu Bakar al-Siddiq (r.a) bersama-sama 4 orang yang lain iaitu Uthman bin Affan, al-Zubair bin 'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah dan Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu 'anhum.

3. Beliau juga salah seorang daripada 10 sahabat Nabi saw yang diberi khabar gembira mendapat syurga selain Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas, Sa'id bin Zaid dan Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah (r.a). (Rujuk Hadis Bukhari).

4. Beliau dilahirkan pada tahun ke 10 tahun gajah. Menurut Ibn al-Athiir beliau meninggal pada usia 75 tahun pada tahun 31 Hijrah di zaman Khalifah Uthman. Terdapat 2 riwayat sama ada beliau mati dan dikebumikan di bumi Syam (Suweilih, Jordan) atau mati di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi'.

5. Beliau berhijrah ke Habsyah kemudian kembali ke Mekah seterusnya berhijrah kali kedua ke Habsyah. Setelah kembali ke Mekah beliau menjadi orang yang awal berhijrah ke Madinah apabila diarahkan oleh Nabi saw.

6. Beliau cedera ketika perang Uhud dengan luka di 20 tempat seluruh badan sehingga meninggalkan kesan tempang berkekalan pada betisnya. 2 gigi seri tengahnya patah sehingga memberi kesan yang jelas pada pertuturannya.

7. Beliau salah seorang daripada 6 orang yang dicalonkan  oleh Umar bin al-Khattab sebelum beliau wafat setelah ditikam untuk menggantikan beliau sebagai Khalifah. 5 lagi ialah Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas (r.a). Kelima mereka bersetuju untuk memilih Abdul Rahman sebagai khalifah berdasarkan beberapa hujah. Namun, beliau telah menarik diri dan memilih Uthman menjadi Khalifah lalu dipersetujui oleh mereka semua.

8. Kehidupan sehariannya berlegar pada 3 perkara, sama ada di masjid mengerjakan solat wajib dan sunat atau dalam peperangan berjihad atau berniaga.

MINAT & KEMAHIRAN BERNIAGA

1. Beliau seorang yang sangat mahir, bijak serta berjaya dalam perniagaan sehinggakan beliau sendiri berkata tentang dirinya sendiri: "sekiranya saya mengangkat satu batu pasti saya temui di bawahnya perak dan emas."

2. Anas bin Malik radiyallahu anhu menceritakan apabila Sa'ad bin Rabi' (r.a) menawarkan separuh harta dan salah seorang isterinya untuk diceraikan dan dinikahi oleh Abdul Rahman (r.a) sebagai satu tuntutan ikatan persaudaraan yang telah diarahkan oleh Nabi saw untuk dimenterai antara Ansar dan Muhajirin, Abdul Rahman (r.a) menolak dengan berkata: "moga Allah berkati keluarga dan harta kamu. Tunjukkan kepada saya pasar." Kata Anas lagi: "Lalu beliau keluar ke pasar seterusnya membeli, menjual dan mendapat untung".

Dalam hadis riwayat Bukhari menjelaskan lagi selepas beberapa hari beliau berjaya mengahwini seorang wanita Ansar dengan mas kahwin emas seberat timbangan sebutir biji kurma. Apabila diketahui oleh baginda beliau digesa supaya mengadakan walimah kenduri perkahwinan walaupun dengan seekor kambing.

Cerita ini menggambarkan minat dan kemahirannya berniaga sehingga membolehkannya mendapat untung yang banyak dalam masa singkat.

2. Delegasi perniagaannya datang daripada Mesir dan Syam membawa barang import ke Madinah mengandungi pakaian dan makanan seperti gandum yang diperlukan oleh masyarakat Semenanjung Tanah Arab.

3. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a) pada satu hari bumi Madinah dikejutkan dengan angin kuat yang menerbangkan debu-debu yang disangkakan ribut tetapi rupanya kerana kedatangan rombongan perniagaan Abdul Rahman (r.a) dari Syam dengan 700 ekor unta yang penuh dengan barang dagangan yang berat. Keadaan itu mengkagumkan Aisyah (r.a) sehingga beliau berkata: "rombongan perniagaan sehingga menimbulkan gegak-gempa seumpama ini?". Orang ramai menjawab: "Benar! Aisyah lalu mengulas: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Abdul Rahman berjalan ke syurga dalam keadaan merangkak". Berita itu sampai ke pengetahuan Abdul Rahman. Beliau lantas segera bertemu dengan Aisyah (r.a) lalu berkata: "kamu mengingatkan saya dengan ungkapan baginda saw yang saya tidak dapat lupakan sama sekali. Saya bersaksi wahai Aisyah bahawa seluruh rombongan perniagaan dengan unta dan isi barangannya saya sedekahkan di jalan Allah."
Harta itu lalu diagihkan kepada seluruh penduduk Madinah.

* (Keseluruhan  cerita (Aisyah r.a) bersumberkan Anas bin Malik (r.a) ini diriwayatkan oleh beberapa sumber antaranya Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Musnad al-Bazzar dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah tapi keseluruhan sanad riwayatnya adalah lemah. Maka hadis Abdul Rahman ke syurga dalam keadaan merangkak adalah lemah sandarannya kepada Nabi saw. Bahkan beberapa jalur riwayat lain tentang hadis Abdul Rahman (r.a) ke syurga dalam keadaan merangkak dinilai palsu dan mungkar. Yang perlu diambil pengajaran ialah cerita kekayaan empayar perniagaan Abdul Rahman dan sifat dermawannya yang sabit dalam banyak lagi riwayat lain.)

KEKAYAAN & SIFAT DERMAWAN

1. Sifat dermawan Abdul Rahman (r.a) digambarkan dengan kata-kata yang masyhur tentang dirinya bahawa:

قيل: {أهل المدينة جميعا شركاء لابن عوف في ماله، ثُلث يقرضهم، وثُلث يقضي عنهم ديونهم، وثلث يصِلَهم ويُعطيهم}.

"Dikatakan penduduk Madinah semuanya rakan kongsi bagi Abdul Rahman pada hartanya; 1/3 penduduk Madinah diberikan oleh beliau pinjaman tanpa faedah (Qard Hasan), 1/3 lagi dibantu oleh beliau dengan dibayar hutang mereka dengan orang lain dan 1/3 lagi disambung hubungan rahim dan diberikan pemberian".

2. Al-Zahabi dalam Siyar A'laam al-Nubalak menukilkan daripada Tolhah bin Abdullah bin 'Auf berkata: "Penduduk Madinah adalah tanggungan Abdul Rahman bin 'Auf. 1/3 mereka diberikan pinjaman, 1/3 dibayar hutang mereka dan 1/3 disambung hubungan dengan pemberian".

3. Al-Zahabi juga meriwayatkan daripada Imam Qatadah bahawa Abdul Rahman (r.a) pernah bersedekah separuh daripada hartanya iaitu sebanyak 4000 dinar di zaman Rasulullah saw sehingga orang-orang Munafiqin menuduhnya sebagai tersangat riya'. Lalu Allah turunkan ayat:
(الّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطّوّعِينَ) [التوبة: 79]
Bermaksud: "orang-orang yang mencela golongan yang banyak melakukan perlakuan sukarela" Surah Taubah: 79.

4. Al-Zuhri meriwayatkan beliau kemudiannya menanggung 500 ekor kuda untuk jihad di jalan Allah seterusnya 500 ekor unta barangan untuk jihad.

5. Satu hari beliau menjual sebidang tanah miliknya dengan harga 40,000 dinar lalu diagihkan kepada ahli keluarganya daripada keturunan Bani Zahrah, isteri-isteri Nabi saw dan orang-orang fakir di kalangan muslimin.

6. 40,000 dinar menyamai 170,000 gram emas (1 dinar=4.25 gram) atau 178, 000 gram emas (1 dinar=4.45 gram) hari ini. Sekiranya 1 dinar emas (bersamaan 4.25 g) dinilai dengan rm632 (nilai dinar semasa yang bole dibeli oleh Kelantan Golden Trade pada 10.5.2014) maka nilainya hari ini ialah RM25,280,000 (RM25.28juta).

7. Sebelum mati beliau mewasiatkan agar hartanya diagihkan  50,000 dinar (RM31.6 juta) di jalan Allah.

8. Untuk para Sahabat Nabi yang pernah menghadiri perang Badar dan masih hidup ketika Abdul Rahman mati diwasiatkan 400 dinar seorang (RM252,800). Hinggakan Uthman bin Affan yang juga hartawan dan kaya-raya mendapat bahagian wasiat tersebut kerana beliau juga adalah ahli Badar. Jika diandaikan ahli Badar seramai 300 orang berbaki 150 orang Sahabat Ahli Badar yang masih hidup di saat itu dan setiap orang mendapat 400 dinar (RM252,800) maka anggaran hartanya untuk itu ialah 60000 dinar (RM37.92 juta).

9. Ditambah dengan wasiat di jalan Allah jumlahnya ialah 110,000 dinar. Konsep wasiat harta pula tidak boleh melebihi 1/3 harta. Ertinya harta yang dimiliki oleh beliau sebelum mati dijangka melebihi 330,000 dinar yang menyamai RM208,560,000 (RM208.56 juta).

KEHIDUPAN ZUHUD

1. Satu hari beliau dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa. Sebaik melihat makanan selera beliau hilang dan menangis. Kata beliau: "Sahabat Nabi saw Mus'ab bin 'Umair (r.a) yang lebih baik daripada diriku mati syahid lalu dikafankan dengan selimut yang jika ditutup kepalanya nampak kedua kakinya. Sekiranya ditutup kaki ternampak pula kepalanya. Hamzah (r.a) pula mati syahid, sedang dia lebih baik daripada diriku, tidak ada kafan melainkan selimut. Kita pula kemudiannya dibentangkan dengan dunia seluas-luasnya dan diberikan pemberian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya saya bimbang segala kebaikan-kebaikan pahala kita telah disegerakan lebih awal di dunia dan tiada bahagian pula di akhirat."

2. Satu hari yang lain dihidangkan makanan di saat beliau duduk bersama sahabat-sahabat. Beliau tiba-tiba menangis. Sahabat-sahabat beliau bertanya: kenapa menangis wahai Abu Muhammad? Ujar beliau: "wafatnya Nabi saw dalam keadaan baginda dan para isteri tidak pernah kenyang kerana sebuku roti."

PENUTUP

Sesungguhnya kehidupan sahabat Nabi ahli syurga ini benar-benar memberi keinsafan kepada kita:

1. Kita diberikan kelapangan masa, adakah dihabiskan untuk agama dan akhirat dengan masjid dan jihad?

2. Kita diberikan kelapangan rezki adakah dihabiskan dengan kemewahan dunia peribadi dan keluarga tanpa sedekah dan derma untuk ummah yang miskin dan jihad agama?

3. Kita diberikan makan-minum yang baik namun ingatkah kita dengan kezuhudan sahabat  melibatkan dunia?

"Kaya yang tidak masuk ke hati membawa diri membuat persiapan untuk alam Akhirat yang abadi"

Disediakan oleh:
YB Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 9 pagi 10 hb Mei 2014

1 comment: