Saturday 16 August 2014

Tahap Keselamatan Perairan Malaysia Perlukan Penjelasan Kerajaan

Tahap Keselamatan Perairan Malaysia Perlukan Penjelasan Kerajaan

Oleh Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. Kerajaan dituntut memberi penjelasan yang meyakinkan berhubung tahap keselamatan di seluruh kawasan pengairan Malaysia. Isu ini ditimbulkan kerana beberapa kes serangan dan rompakan berlaku terhadap kapal-kapal komersial sehingga membabitkan kerugian jutaan ringgit.

2. Daripada data yang dilaporkan, sebuah kapal Jepun yang membawa muatan 5 juta diesel dirompak di pengairan Pulau Ketam pada bulan April 2014. Kemudian, pada bulan Jun 2014, kapal dagang MT AI MARU juga dirompak di kawasan Timur Laut Sedili, Johor. Sebulan selepas itu, rompakan berlaku terhadap kapal kargo minyak MT Oriental Daily di pengairan Laut China Selatan. Kesemua kes ini dipercayai dilakukan oleh lanun.

3. Isu keselamatan pengairan negara khususnya di kawasan Selat Melaka sering menjadi tumpuan samada di peringkat rantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura mahupun di peringkat dunia. Tiga kes rompakan lanun yang berlaku kira-kira 4 bulan lalu menjadi tanda tanya bagaimana tahap sebenar keselamatan di pengairan tersebut.

4. Walhal, Malaysia terlibat dalam kerjasama maritim samada tiga hala melalui mekanisme Tripartite Technical Expert Group on the Safety Navigation (TTEG) dan mekanisme kerjasama yang melibatkan keanggotaan yang lebih besar iaitu dikalangan negara-negara persisir pantai, negara-negara pengguna dan industri perkapalan antarabangsa.

5. Oleh yang demikian, agensi-agensi penguatkuasaan maritim seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) harus menunjukkan sejauhmana kapasiti mereka bagi membanteras proliferasi kegiatan lanun yang merbahaya di kawasan pengairan negara.

6. Kita juga melahirkan kebimbangan terhadap isu kedaulatan negara apabila berlaku perubahan kerjasama kawalan keselamatan maritim yang melibatkan multilateral. Ini kerana penglibatan International Maritime Organization (IMO) pasca 11 September mengundang curiga terhadap isu kedaulatan negara.

7. Maka, kerajaan Malaysia wajar memberikan penjelasan berhubung tahap keselamatan di kawasan pengairan dan sejauhmana keberkesanan kerjasama maritim dalam membendung ancaman yang berlaku termasuk peranan IMO yang berkemungkinan mengundang rasa kurang senang dalam menjaga kedaulatan negara.

YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 16 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment