Friday 1 August 2014

Munafik Haraki Bocor Rahsia Mesyuarat Gerakan Islam

Munafik Haraki Bocor Rahsia Mesyuarat Gerakan Islam

Imam Abu Bakar al-Baihaqi meriwayatkan dalam Sunan Kubra

( وَرُوِّينَا ) فِي قِصَّةِ حَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ حَيْثُ كَتَبَ إِلَى قُرَيْشٍ بِمَسِيرِ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إِلَيْهِمْ عَامَ الْفَتْحِ َ
Maksudnya: Dan diriwayatkan kepada kami dalam kisah Hatib bin Abi Balta'ah di kala beliau menulis surat kepada Quraisy tentang pergerakan Nabi saw untuk menyerang mereka pada tahun pembukaan kota Mekah

أَنَّ عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ دَعْنِي أَضْرِبُ عُنُقَ هَذَا الْمُنَافِقِ

"bahawa Umar bin al-Khattab berkata;  "Ya Rasululah saw, biarkan saya memancung tengkuk si MUNAFIQ ini."

فَقَالَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّهُ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا "
Nabi saw lantas bersabda;"Sesungguhnya dia telah menghadiri perang Badar."

وَلَمْ يُنْكِرْ عَلَى عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - تَسْمِيَتَهُ بِذَلِكَ إِذْ كَانَ مَا فَعَلَ عَلَامَةً ظَاهِرَةً عَلَى النِّفَاقِ ،
Dalam masa yang sama Nabi saw tidak membantah tindakan Umar r.a. MELABELKAN/menggelar Hatib sebagai "MUNAFIQ" kerana apa yang telah dibuat oleh Hatib merupakan tanda yang jelas terhadap kemunafikan.

وَإِنَّمَا يَكْفُرُ مَنْ كَفَّرَ مُسْلِمًا بِغَيْرِ تَأْوِيلٍ .
"Orang yang menjadi kafir hanyalah orang yang mengkafirkan seorang muslim tanpa sebarang justifikasi".

Sila rujuk IMAM Baihaqi dalam Sunan Kubra.

Ulasan

1. Hadis di atas adalah nukilan seorang tokoh ulamak terkenal bernama Imam Abu Bakar al-Baihaqi (384 - 458 H) dalam kitab Hadis beliau bernama Sunan Kubra. Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmizi dan Imam Ahmad.

2. Imam Baihaqi mengambil dalil daripada hadis di atas bahawa boleh melabelkan seseorang sebagai "munafiq" sekiranya ternyata padanya tanda munafik atau perlakuan munafik.

3. Hal ini kerana Nabi saw tidak membantah tindakan Umar radiyallahu anhu menggelar Hatib radiyallahu anhu sebagai Munafik tetapi hanya membantah permintaan Umar radiyallahu anhu untuk membunuhnya.

Perinciannya adalah seperti berikut:
1. Umar  radiyallahu anhu
menggelar Hatib radiyallahu anhu sebagai munafik dn meminta izin memancung Hatib radiyallahu anhu kerana pengkhianatannya.

2. Pengkhianatan Hatib ialah membocorkan rahsia perbincangan Nabi saw yang mana Hatib merupakan salah seorang ahli mesyuaratnya. Perbincangan Nabi saw berkisar perancangan menyerang Quraisy yang telah melakukan tindakan yang dikira membawa kepada pelanggaran perjanjian damai Hudaibiyah antara Nabi saw dan Quraisy yang dimenterai pada tahun ke 6 Hijrah.

3. Nabi saw tidak membantah gelaran munafik yang disebut oleh Umar radiyallahu anhu
tetapi tidak membenarkan Umar radiyallahu anhu
memancung tengkuknya.

4. Gelaran munafik kepada Hatib radiyallahu anhu kerana perlakuan zahir beliau adalah perlakuan munafik yang khianat membocorkan rahsia mesyuarat Nabi.

5. Nabi saw tidak membenarkan Hatib dibunuh dengan memberi alasan bahawa Hatib radiyallahu anhu merupakan sahabat Nabi saw yang sangat berjasa kepada Islam dengan menghadiri perang Badar. Kerana jasanya itu dia terlepas daripada hukuman pancung kerana khianat pada Nabi dan Islam tetapi tidak membebaskan dirinya daripada label "MUNAFIQ" kerana perlakuannya itu.

6. Perlakuan khianat membocorkan rahsia mesyuarat Nabi berlaku kerana ada perasaan kasih dan sayang, kasihan belas dan cenderong hati terhadap orang Quraisy. Kasih sayang dan cenderong hati adalah sebahagian walak yang tidak dibenarkan kepada musuh.

7. Sempena kisah ini Allah turunkan ayat 1 surah al-Mumtahanah menyelar Hatib  radiyallahu anhu yang berwalakkan orang Quraisy.

( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِنْ كُنْتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنْتُمْ وَمَنْ يَفْعَلْهُ مِنْكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ
Maksudnya: "Wahai orang-orang beriman. Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu sebagai wali-wali (orang-orang yang diberi walak dalam bentuk kasih sayang dan ketaatan). Kamu lontarkan kepada mereka kasih sayang sedangkan mereka telah kufur dengan kebenaran yang telah datang kepada kamu. Mereka mengusir Rasul dan kamu keluar kerana kamu beriman dengan Allah Rabb kamu sekiranya kamu keluar berjihad di jalanKu dan mencari keredhaanKu. Kamu dalam diam-diam menyayangi mereka sedangkan Aku mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu iklankan. Dan sesiapa yang melakukannya di kalangan kamu maka dia telah tersesat dari jalan yang betul".

8. Adakah Hatib radiyallahu anhu menjadi kafir dengan perlakuannya memberi walak kepada Quraisy? Sebahagian Ulamak menegaskan beliau menjadi kafir dengan perlakuannya. Kerana itu Umar radiyallahu anhu menggelarnya sebagai munafik. Tetapi alasan yang diberikan oleh Hatib kemudiannya kepada Nabi saw menjadikan perlakuan kafir  dan nifak itu mempunyai justifikasi dan diterima serta dimaafkan oleh Nabi saw kemudiannya sehingga Nabi menegaskan "benarlah kata-kata penjelasan Hatib ini dan kita tidak lagi berkata kepadanya melainkan yang baik".

9. Ulamak mengambil hukum dari cerita Hatib radiyallahu anhu bahawa pembocor rahsia dan pengkhianat negara atau pengintip hukumannya adalah bunuh. Adapun Hatib radiyallahu anhu diampunkan kesalahannya kerana  jasa hadir perang Badar.

10. Kalau sahabat Nabi yang dijamin syurga dan diberi keampunan dosa kerana jasa besar hadir perang Badar pun masih tidak terlepas dari label munafik kerana perlakuannya itu siapalah kita kalau setakat menjadi jawatankuasa kerja gerakan Islam yang berjasa untuk Islam. Maka mana-mana pihak berjawatan dalam gerakan Islam yang khianat dengan membocorkan rahsia perbincangan adalah pengkhianat yang layak digelar "munafik" yang menzahirkan walak kepada gerakan Islam tetapi hakikatnya berwalak kepada orang lain. Dalam konteks gerakan Islam / harakah Islam dia digelar "munafik haraki" kerana perlakuannya itu sehinggalah dia bertaubat kepada Allah. Dia perlu segera bertaubat kepada Allah.

11. Gerakan Islam perlu mengambil tindakan tegas dengan menyiasat ahli perbincangan yang membocorkan rahsia perbincangan ini dan memecat beliau daripada perjawatannya kerana kesalahan membocorkan rahsia adalah pengkhianatan besar yang tidak boleh dibiarkan berlaku

12. Kesimpulannya, "Munafiq Haraki" adalah mereka yang pada zahirnya bersama Harakah Islam tetapi WALAK (kasih sayang, kesetiaan dan ketaatannya malah berusaha mempertahankan) diberikan kepada orang di luar daripada Harakah Islam yang memperjuangkan negara dan kerajaan Islam.

Diedit dari artikel asal yang ditulis pada 7 hb februari 2014

Dr Khairuddin at-Takiri
30hb Julai 2014

No comments:

Post a Comment