Monday 4 August 2014

Khalid nafi tuduhan Saifuddin, cabar PKR lapor SPRMPublished: 4 August 2014

Khalid nafi tuduhan Saifuddin, cabar PKR lapor SPRM
Published: 4 August 2014
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar partinya, PKR, untuk melapor kepada SPRM sekiranya benar tuduhan salah laku yang dikata oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution. – Gambar fail The Malaysian Insider.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan terlibat dalam salah laku seperti yang dituduh PKR, malah mencabar partinya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri besar Selangor itu menyangkal dakwaan terlibat dalam urus niaga jualan tanah seperti didedah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
"Saya memandang serius tuduhan salah laku yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung Keadilan Datuk Saifuddin Nasution.
"Saya menafikan dakwaan ini kerana tidak benar sama sekali," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid juga mencabar Saifuddin supaya melaporkan kepada SPRM dan Bank Negara dengan segera bagi membuktikan tuduhan ke atas dirinya benar.
"Maka beliau (Saifuddin) dan rakan-rakan dalam Keadilan sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia," katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk bekerjsama jika disiasat pihak pihak berkuasa.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan kesediaan untuk memberikan sepenuh komitmen dan kerja sama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap saya," katanya.
Khalid turut tidak menolak tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemimpin dalam PKR susulan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
"Saya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap saya," katanya.
Menteri besar dua penggal itu pada ketika ini berdepan kemungkinan disingkirkan partinya sendiri.
Awal hari ini, Saifuddin mendedahkan Khalid terlibat dalam aktiviti meragukan membabitkan urus niaga jualan tanah di negeri itu.
Saifuddin berkata, urusan jualan tersebut berlaku sejurus selepas tempoh sebulan Khalid mencapai penyelesaian luar mahkamah kes hutang dengan Bank Islam.
Saifuddin berkata, Eco World memperoleh 125 hektarah yang dijual oleh Tropicana Corp Berhad yang membelinya sebelum itu daripada kerajaan negeri Selangor pada April 2013.
Katanya, urusniaga penjualan kepada Eco World berlaku pada 19 Mac 2014 selepas penyelesaian hutang Bank Islam dengan Khalid pada Februari 2014.
Malahan, Saifuddin juga mendakwa penjelasan Khalid mengenai penyelesaian tersebut tidak menyakinkan dan integritinya dipersoalkan. – 4 Ogos, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-nafi-tuduhan-saifuddin-cabar-pkr-lapor-sprm#sthash.WOPaNeYs.dpuf

No comments:

Post a Comment