Tuesday 5 August 2014

Cabaran Pakatan Rakyat

CABARAN PAKATAN RAKYAT

1. Pakatan Rakyat yang mula terbentuk selepas PRU ke 12 telah berjaya membangkitkan gelombang rakyat menolak Barisan Nasional. Daripada hanya sebuah negeri diperintah oleh pembangkang pada 2004 menerusi PAS di Kelantan pembangkang menambah kekuatan menjadi 5 negeri iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

2. PRU ke 13 pula menyaksikan 84% dari 13,268,002 pe­ngundi menjadi penentu di 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak. BN hanya memenangi 133 kerusi kurang 15 kerusi untuk majoriti dua pertiga. PR bertambah bilangan kerusinya dari 82 kepada 89 dengan DAP 38, PKR 30 dan PAS 21 iaitu kurang 23 kerusi untuk majoriti mudah.

3. Meskipun kerusi parlimen PR meningkat, namun, kerusi PAS menyusut tinggal 21 daripada 23 kerusi sebelumnya.  Manakala PKR pula daripada 31 kerusi parlimen menjadi 30 kerusi.

4. Parti yang berjaya ialah DAP yang menambah 10 lagi kerusi parlimen menjadi 38 kerusi. DAP meningkat daripada 12 kerusi parlimen pada 2004 kemudian 28 kerusi pada 2008 dan sekarang 38 kerusi parlimen.

5. Di pihak BN pula, meskipun menyusut kerusi parlimennya tetapi sebaliknya kerusi  UMNO semakin meningkat daripada 79 pada 2008 kepada 88 kerusi pada 2013. Sementelah pula, 79 kerusi UMNO menang pada 2008 adalah daripada 117 yang ditandingi manakala 88 kerusi  pada 2013 adalah daripada 121 kerusi yang ditandingi. Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO berjaya menguasai 242 kerusi daripada 339 kerusi yang dipertandingkan berbanding 239 daripada 338 kerusi pada 2008. 

6. Penyusutan PR juga berlaku pada penguasaan negeri PR. Hanya 3 negeri PR berjaya dikekalkan. Kedah terlepas ke tangan BN akibat pertembungan dan pertelingkahan sesama sendiri. Perak yang jatuh angkara lompat parti wakil rakyat DAP dan PKR gagal dikembalikan. Namun, negeri Terengganu hampir berjaya dikuasai PAS dengan 14 kerusi PAS 1 PKR dengan BN mendapat 17 kerusi.

7. Selangor dan Pulau Pinang menyaksikan kekuatan Pakatan Rakyat meningkat. BN hanya mendapat 12 kerusi berbanding PR 44 kerusi dengan PAS 15, DAP 15 dan PKR 14.

8. Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Selangor dengan penglibatan 3 parti. MB dilantik dengan keputusan bersama. Kejayaan MB Selangor sepanjang 2008-2013 memacu negeri menjadi taruhan PR Selangor sehingga menimbulkan cemburuan BN. Ketelusan dan kejayaan pentadbiran Selangor menggugat Putrajaya.

9. Kerajaan Pulau Pinang pula  dibentuk hanya dengan penglibatan DAP dan PKR tanpa PAS yang hanya menang 1 kerusi.

10. Pasca PRU ke 13 menyaksikan pelbagai isu dan pergolakan timbul di kalangan Pakatan Rakyat. Antaranya melibatkan isu-isu agama seperti Hudud, kalimah Allah dan hak untuk murtad.

11. Terkini krisis melibatkan MB Selangor. PKR membuat keputusan menggugurkan MB Selangor kerana ketidakpuasan hati terhadap beberapa isu melibatkan urustadbir negeri Selangor. DAP menyokong. PAS sejak Kajang Move digerakkan akhir Januari 2014 sehingga hari ini berpandangan MB Selangor perlu dikekalkan selagi tiada sebab syarie seperti rasuah dan penyelewengan.

12. Krisis terakhir ini menimbulkan perdebatan dan saling berbalas pandangan di media oleh pimpinan dan ahli 3 parti dalam PR. Terkini Dato Seri Anwar tidak menolak jika pilihanraya negeri berlaku untuk melancarkan peralihan kuasa MB Selangor.

13. Melihat pada senario ini kesimpulan boleh dibuat oleh rakyat masih banyak yang perlu dilakukan dalam Pakatan Rakyat yang masih muda ini.

14. Perbezaan dasar ketiga-tiga parti dengan jurang cara berfikir yang besar bukanlah suatu yang mudah untuk diselaraskan. Kesatuan mereka hanya satu iaitu menghadapi BN sebagai satu alternatif kerajaan baru menggantikan BN.

15. Sikap saling menghormati dasar dan pendirian setiap parti perlu dipupuk. Pandangan kontroversi perlu diselesaikan di meja rundingan bukannya di media. Isu Hudud perlu dihormati sebagai isu mendasar yang telah diperjuangkan sejak sebelum pembentukan PR. Isu kalimah Allah perlu ditangani dengan bijak tanpa kontroversi dengan merujuk kepada Islam sebagai agama Persekutuan. Isu murtad bukan bahan percaturan politik PR.

16. Keputusan besar melibatkan maslahat bersama seperti isu MB Selangor perlu diselesaikan bersama sebelum dimediakan dan disensasikan. Bukannya dengan bertindak sendiri lalu seakan memaksa pihak lain hanya sekadar mengikut apa yang telah diputuskan.

17. Laluan ke Putrajaya masih jauh. BN masih lagi kuat dan sedang membina kekuatan. Pergolakan dalam negeri Selangor tidak membantu meyakinkan rakyat untuk PR ke Putrajaya

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 5 ogos 2014

No comments:

Post a Comment