Friday 30 January 2015

Tegak Pemerintahan Islam Asas Walak Kesetiaan Kepada Parti Islam PAS

Tegak Pemerintahan Islam Asas Walak Kesetiaan Kepada Parti Islam PAS

1. PAS adalah Parti Islam yang meletakkan dasar perjuangannya ialah al-Quran dan Sunnah seterusnya Ijma' dan Qiyas.

2. PAS memanfaatkan sistem demokrasi berpilihanraya di Malaysia sejak sebelum merdeka pada pilihanraya 1955 bagi mendapatkan kuasa untuk memerintah negara berdasarkan sistem pemerintahan Islam.

3. Menerusi manfaat demokrasi PAS berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya pertama selepas merdeka iaitu 1959. Meskipun Terengganu jatuh 2 tahun kemudiannya disebabkan pengkhianatan dalaman dan Kelantan jatuh pada 1978 selepas ditendang daripada kerjasama politik Barisan Nasional, namun PAS bangkit semula 1990 dan menjadi pemerintah Kelantan selama 25 tahun sehingga sekarang.

4. Asas perjuangan politik PAS ialah meneruskan kesinambungan pemerintahan Nabi saw iaitu "menegakkan agama dan mentadbir negara dengan agama". Hal ini diungkapkan oleh para alim ulamak dalam karya ketatanegaraan mereka apabila menghuraikan hakikat Khilafah yang bermula dengan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq selepas kewafatan Rasulillah saw.
الخلافة خلافة عن النبوة في اقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Pemerintahan Khilafah ialah penggantian bagi kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama".

5. PAS meyakini dasar pemerintahan Islam adalah terbaik yang mampu memberikan keadilan kepada semua rakyat sama ada Islam mahupun bukan Islam. Kerana itu moto PAS ialah "PAS for All / PAS Untuk Semua" bermaksud perjuangan PAS adalah untuk manfaat dan kebaikan seluruh rakyat menerusi sistem Islam yang diperjuangkan.

6. PAS bukan hanya menolak rasuah dan salahurus dalam pentadbiran tetapi lebih jauh PAS menolak dasar pemerintahan yang akhirnya menjerumuskan pemerintah kepada rasuah dan salah urus serta ketidakadilan. PAS tidak hanya berjuang untuk menukar orang yang memerintah tetapi yang lebih penting ialah menukar dasar pemerintahan kepada Islam.

7. Kerana itu PAS menolak dasar sekular yang memisahkan politik pentadbiran daripada agama seperti ungkapan "politik suku agama suku" yang popular di kalangan ahli-ahli dan pemimpin UMNO satu ketika dahulu. PAS juga menolak dasar pemerintahan sosialis mahupun komunis. PAS juga menolak dasar ekonomi kapitalis yang berasaskan riba, monopoli, spekulasi dan manipulasi. PAS memperjuangkan negara berkebajikan yang berbeza dengan idea negara kebajikan barat seperti United Kingdom.

8. Atas dasar inilah PAS bertembung dengan UMNO yang bersifat sekular sejak sebelum merdeka serta bersifat perkauman melampau. Atas dasar inilah PAS tidak menerima dasar perjuangan MCA, MIC, Gerakan atau DAP yang berasaskan pemikiran sosialis.

9. Dalam pilihanraya, ahli-ahli PAS tidak mengundi parti-parti yang membawa dasar yang bertentangan dengan dasar Islam dalam berpolitik kerana menyokong kebatilan adalah dilarang. Kecenderongan hati kepada orang-orang yang zalim yang menolak Islam ditegah oleh Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Hud ayat 113;

"Dan janganlah kamu cenderong hati kepada orang-orang yang zalim lantas kamu disentuh oleh api neraka".

10. Namun, larangan menyokong parti-parti yang tidak memperjuangkan dasar Islam boleh berubah apabila berlakunya kerjasama politik yang bertujuan menolak kemudharatan yang lebih besar lagi seperti kemudharatan UMNO dan Barisan Nasional yang gagal mentadbir Malaysia berasaskan Islam sejak sekian lama memerintah di samping rekod kebocoran urustadbir kewangan, ketidaktelusan, kroni dan nepotisma. Ia berasaskan kaedah Fiqh Islam iaitu
ارتكاب اخف الضررين
Menanggung mudharat yang lebih ringan antara dua mudharat

11. Atau atas dasar kerjasama untuk melakukan kebajikan dan menegakkan kebenaran serta menentang kezaliman sebagaimana firman Allah dalam al-Maidah ayat 2 bermaksud;
"Dan bekerjasamalah atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah bekerjasama atas dasar dosa dan pencerobohan".

12. Meskipun begitu kelonggaran menyokong parti-parti yang tidak Islam ini bersyarat selagi mana ia tidak menjadi alat untuk menobatkan dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam atau selagi dasar-dasar Islam tidak dipertikaikan atau disekat dan dihalang untuk dilaksanakan dan disebarkan, atau selagi sokongan itu membantu dakwah Islam tersebar. Juga bersyarat iaitu ahli tidak berwalak taatsetia kepada parti-parti yang tidak Islam ini sehingga mendorong mereka membantu atau mendokong atau menyayangi parti lain melebihi parti dan perjuangan Islam.

13. Allah menjelaskan konsep walak kesetiaan kepada musuh dalam surah al-Mumtahanah ayat 1 bermaksud; "Wahai orang yang beriman; janganlah kamu mengambil musuhku dan musuh kamu sebagai Auliya' (pemimpin yang diberikan walak kesetiaan dan kasih sayang tidak berbelah bagi). Kamu lontarkan kepada mereka kasih sayang sedangkan mereka kufur dengan apa yang datang kepada kamu..."

14. Tindak-tanduk DAP sejak akhir-akhir ini terhadap dasar-dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS sangat meragukan. Tindakan DAP mempertikaikan Presiden PAS selaku ketua syarie yang wajib ditaati oleh ahli PAS menurut Islam dalam beberapa isu adalah di luar akhlak bekerjasama. Menghina kerajaan Islam Kelantan yang telah memerintah selama 25 tahun dalam isu banjir sangat mengecewakan.

15. Keadaan ini mengingatkan ahli PAS dengan firman Allah dalam surah Aali 'Imran ayat 118-119;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ ( 118 )

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil sebagai teman rapat (orang dalam) orang selain kamu yang tidak mengendahkan kamu. Mereka suka dengan kesusahan kamu. Telah ternyata kebencian-kebencian dari mulut-mulut mereka sedangkan apa yang disembunyikan oleh hati-hati mereka lebih besar. Kami sememangnya telah menjelaskan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan sekiranya kamu berakal".

16. Seterusnya Allah memperingatkan;

هَا أَنْتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ

"Inilah kamu menyayangi mereka sedang mereka tidak menyayangi kamu sedangkan kamu beriman dengan Kitab kesemuanya. Apabila mereka bertemu kamu mereka menyatakan kami beriman dan apabila mereka bersendirian mereka menggigit jari jemari terhadap kamu kerana kemarahan...."

17. Maka menjadi kewajipan ahli-ahli PAS memastikan mereka tidak terbabas dalam melayari kerjasama politik antara PAS, PKR dan DAP sehingga perjuangan Islam menjadi kabur, dasar berekonomi kapitalis berasaskan riba diterima, dasar percukaian yang bercanggah dengan Islam diterima, perjuangan menegakkan hukum jenayah Islam dianggap remeh, ketaatan kepada ketua selagi tidak bercanggah dengan Islam menjadi kabur dan walak kesetiaan beralih daripada parti Islam kepada Pakatan Rakyat. Ahli-ahli PAS mesti beristiqamah dengan dasar Islam untuk meraih kemenangan Islam yang lebih besar lagi.

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : Jumaat, 30 Januari 2014 / 9 Rabiul Akhir 1436H

No comments:

Post a Comment