Thursday 1 January 2015

Putrajaya tumpu pelaburan domestik, tangguh pembelian asing

Putrajaya tumpu pelaburan domestik, tangguh pembelian asing

Prospek ekonomi yang suram tahun ini membawa kepada langkah menangguhkan pembelian asing dalam negara, sebagai tindak balas kejatuhan harga minyak global dan ringgit yang semakin lemah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Januari, 2015.
Pelaburan dan perbelanjaan domestik akan menjadi tumpuan Putrajaya pada 2015 dengan semua syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun diarahkan menangguh pembelian asing berikutan prospek ekonomi yang suram.

Satu pekeliling kerajaan dilihat The Malaysian Insider mendedahkan, Perbendaharaan mengarahkan langkah itu kepada ia dan agensi-agensi berkaitan ekoran tindak balas dasar Putrajaya terhadap kejatuhan harga minyak global dan ringgit yang semakin lemah.

"Selepas mengambil kira ekonomi dunia yang tidak menentu pada 2015, kerajaan pada 17 Disember berpendapat penggunaan domestik perlu ditingkatkan untuk menjana dan menyokong ekonomi negara," menurut pekeliling Perbendaharaan itu.


"Sehubungan itu, dan bagi menyokong usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan domestik, syarikat berkaitan kerajaan, badan-badan berkanun dan anak syarikat mesti memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dan serta-merta berhenti pembelian aset asing untuk mengurangkan pengaliran keluar dana," kata pekeliling bertarikh 26 Disember 2014.

Perintah Perbendaharaan itu dikeluarkan ketika kritikan terhadap Putrajaya kerana masih belum menyemak semula Bajet 2015 dengan mengambil kira harga minyak semakin rendah dan ringgit yang lemah.

Bajet yang dibentangkan pada Oktober lalu disediakan dengan andaian harga minyak akan berlegar sekitar AS$100-AS$105 setong.

Harga minyak dunia jatuh di luar paras AS$110 setong pada pertengahan 2014 di bawah paras AS$60 setong, meletakkan tekanan ke atas pendapatan beberapa negara pengeluar minyak, termasuk Malaysia.

Mata wang Malaysia juga menurun daripada RM3.28 kepada dolar AS pada permulaan Oktober dan antara RM3.49 dan RM3.50 berbanding dolar AS bulan lalu.

Bank Dunia mengurangkan ramalan pertumbuhan 2015 bagi ekonomi Malaysia kepada 4.7% daripada anggaran awal sebanyak 4.9%, berikutan jangkaan lebih perlahan bagi pertumbuhan eksport dan pelaburan dalam industri minyak dan gas, begitu juga penggunaan sederhana swasta pada tahun depan, kata laporan media.

Bagaimanapun, Bank Dunia mengekalkan jangkaan sebanyak 5.7% bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2014.

Badan-badan berkanun dan agensi-agensi Malaysia seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji membuat pelaburan hartanah antarabangsa yang besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di Eropah.

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau yang dimiliki dana berkaitan kerajaan juga meningkatkan pelaburan mereka di luar negara, walaupun ledakan hartanah berlaku di Malaysia, terutamanya di Kuala Lumpur, Wilayah Iskandar dan Pulau Pinang.

Difahamkan juga, syarikat petroleum negara Petronas yang sudah komited membelanjakan RM50 bilion dalam projek RAPID di Johor, meminta pelbagai unit menyemak semula bajet mereka bagi 2015.

Petronas yang menyumbang hampir 40% daripada kewangan negara, menggesa kerajaan "mengikat perut” memandangkan firma minyak negara menghadapi kemungkinan pendapatan lebih rendah berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata pada November lalu, purata harga minyak mentah Brent pada AS$70 (RM237) kepada AS$75 boleh menjadi “era baru” sehingga akhir tahun 2015 atau mungkin untuk dua tahun akan datang.

Berdasarkan andaian harga minyak baru Shamsul berkata, Petronas merancang mengurangkan sebanyak 15%-20% daripada bajet perbelanjaan modal (capex) untuk tahun depan.

Shamsul juga menggesa kerajaan lebih berhati-hati dalam perbelanjaannya kerana ia juga perlu melindungi perancangan pertumbuhannya.

Putrajaya komited untuk terus memberikan bantuan wang tunai secara langsung atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2015 pada jumlah lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya.

Namun ia berharap mendapat RM23.2 bilion daripada pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 April dan penjimatan subsidi bahan api yang dihentikan November lalu yang dikatakan menelan belanja RM24 bilion tahun lepas.

Antara langkah-langkah kerajaan sebelum ini untuk mengurangkan kos dan menggalakkan penggunaan domestik termasuk mengadakan lebih banyak mesyuarat dalam negara dan pemotongan peruntukan perjalanan. – 1 Januari, 2015.

No comments:

Post a Comment