Saturday 17 January 2015

Mengenali Tokoh Ulamak Ummah; IMAM IBNU HIBBAN rahimahullah (meninggal 354 H).


Mengenali Tokoh Ulamak Ummah; IMAM IBNU HIBBAN rahimahullah (meninggal 354 H).

1. Ibnu Hibban merupakan salah seorang tokoh ulamak Hadis dan Fiqh bertaraf Mujtahid yang sangat berilmu dan terkenal dengan karyanya dikenali sebagai Sahih Ibni Hibban.

2. Beliau lahir di Bust, Afghanistan dan juga meninggal pada bulan Syawal tahun 354 H di Bust.

3. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Hibban al-Tamimi al-Darimi al-Busti dikenali juga sebagai Abu Hatim. Justeru Ibnu Hibban adalah berbangsa Arab berkelahiran Bust di Afghanistan.

4. Nisbah Tamimi merujuk kepada kabilah arab terkenal iaitu Tamim bin Murr yang mempunyai jaluran nasab sehingga ke Adnan.

5. Nisbah al-Busti merujuk kepada bandar Bust yang juga telah melahirkan tokoh seperti Imam Khattabi pengarang kitab hadis Ma'aalim al-Sunnan huraian kepada Sunan Abi Dawud (meninggal 388h). Dahulunya Bust dianggap berada dalam wilayah Sajistan yang melahirkan tokoh seperti Imam Abu Dawud al-Sajistani (202-275 H).

6. Bust hari ini terletak berhampiran Lashkar Gah di wilayah Hilmand ke arah barat daya bandar Kabul dan barat Kandahar, Afghanistan.

7. Sejarah Bust pada kurun ke 4 -6 Hijri menunjukkan ianya merupakan sebuah bandar besar di pertemuan dua sungai yang subur dengan pelbagai tanaman, kurma, anggur dan buah-buahan serta makmur dengan kapal-kapal perniagaan sehingga menjadi laluan perniagaan ke benua India. Namun hari ini ianya telah menjadi bandar tinggalan dengan kesan runtuhan istana dan tembok dan lahir bersebelahannya bandar Lashkar Gah yang lapangan terbangnya mengambil nama Lapangan Terbang Bust.

8. Imam Ibnu Hibban keluar mengembara menuntut ilmu selama hampir 40 tahun ke Basrah, Baghdad dan Mosul di Iraq, Dimasq di Syria, Asqalan dan Baitul Maqdis di Palestin dan Iskandariyyah di Mesir seterusnya Samarqand dan Naisabur. Beliau hanya kembali ke Bust pada tahun 340 H lalu mendirikan pusat pengajiannya sehingga meninggal tahun 354 H.

9. Tempoh pengembaraan yang panjang menjadikan beliau memiliki guru sehingga menjangkau 2000 orang. Antara guru beliau yang terkenal serta memberi kesan kepada perwatakan ilmu beliau ialah Imam Ibnu Khuzaimah (meninggal 311 H)

10. Guru-guru beliau juga dapat dilihat menerusi hadis-hadis yang beliau riwayatkan dalam kitab Hadis Sahih beliau. Antaranya beliau meriwayatkan 1174 hadis daripada Imam Abu Ya'la al-Mausili daripada Musol (210-307 H, pengarang kitab Musnad Abu Ya'la), 830 hadis daripada Imam al-Hasan bin Sufyan al-Syaibani daripada Nasa (213-303 H, pengarang Musnad al-Hasan al-Syaibani) dan 472 hadis daripada Imam Muhammad bin al-Hasan al-Lakhami al-Asqalaani daripada Palestin.

11. Beliau juga berkemahiran dalam ilmu bahasa Arab, ilmu perubatan dan astronomi.

12. Pernah menjawat jawatan hakim di Samarqand apabila berhijrah ke sana sekitar tahun 325 H dan Hakim di Nasa antara tahun 334-337 H.

13. Beliau memiliki karya yang sangat banyak khususnya dalam bidang biodata tokoh-tokoh ilmu dan juga ilmu berkaitan Hadis.

Tamat.

Sumber; Al-Ansaab 1/248, Mu'jam al-Buldan 2/328, al-Kaamil 8/566, al-Lubab 1/105, Siyar A'laam Nubalak 16/92, Tazkirah al-Huffaz 3/920, al-Ibar 2/94, al-Waafi bilwafayat 2/317, al-Bidaayah wa al-Nihaayah 11/248 dan Syazaraat al-Zahab 3/16.

Disediakan oleh al-Faqirru ilaLlah;
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Sabtu 4.30 pg; 26 Rabiulawwal 1436 H / 17 Januari 2015

No comments:

Post a Comment