Wednesday 14 January 2015

Isu Tuntutan Timbermine Terhadap Kelantan

KENYATAAN MEDIA YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN

1. Mahkamah Persekutuan Malaysia yang bersidang di Putrajaya pada hari Selasa, 13 Januari 2015 bersamaan 22 Rabiul Awal 1436 telah menolak rayuan sebuah syarikat pembalakan iaitu Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd yang merayu terhadap Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2012 yang telah membenarkan rayuan Kerajaan Negeri Kelantan sekaligus mengenepikan Penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang membenarkan tuntutan pihak Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd bagi jumlah melebihi RM560 juta ekoran daripada dakwaan perlanggaran Perjanjian Konsesi Pembalakan bertarikh 20 Julai 1964 dan Perjanjian Tambahan bertarikh 6 November 1965.

2. Tindakan menyaman Kerajaan Negeri Kelantan oleh pihak Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd adalah terhalang oleh had masa kerana Perjanjian-perjanjian tersebut telahpun ditamatkan pada 18 Mac 1975 lagi dan sememangnya tidak wujud sebarang Perjanjian Penyelesaian di antara kedua-dua pihak selepas berlakunya penamatan tersebut untuk memberikan sebahagian hak terhadap hasil balak kepada Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd.

3. Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd sebelum ini telah memfailkan tuntutannya terhadap pihak Kerajaan Negeri pada 10 Oktober 2004 yang lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menuntut di antara lainnya suatu deklarasi bahawa penamatan Perjanjian Konsesi Pembalakan dan Perjanjian Tambahan adalah tidak sah, gantirugi bagi sejumlah RM840 juta, gantirugi khas, gantirugi am, faedah dan kos. Alhamdulillah, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini maka Kerajaan Negeri Kelantan kini adalah tidak lagi bertanggungan untuk membayar jumlah penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut yang kini telah mencecah melebihi RM1 Bilion termasuk faedah.

4. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa laporan-laporan di dalam beberapa portal berita yang menyatakan bahawa Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd telah gagal di Mahkamah Persekutuan semalam bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan atas sebab-sebab teknikal adalah tidak tepat. Ini adalah kerana Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah memihak kepada Kerajaan Negeri Kelantan semalam adalah setelah berlangsungnya pendengaran rayuan penuh dan diputuskan berdasarkan merit sepenuhnya setelah kedua-dua pihak memfailkan hujahan-hujahan bertulis dan berhujah secara lisan selama dua hari di Mahkamah Persekutuan.

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 23 Rabiul Awal 1436 / 14 Januari 2015

No comments:

Post a Comment