Wednesday 8 February 2017

Politik Islam vs Politik Mungkar

Risalah Penerangan
Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

POLITIK ISLAM VS POLITIK MUNGKAR

oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

BERPOLITIK hendaklah dengan dua tujuan iaitu untuk menegakkan Islam dan untuk negara di tadbir dengan Islam. Itulah takrifan kepada KHILAFAH atau pemerintahan dalam Islam sebagaimana dihuraikan oleh Sarjana Islam awal seperti al-Mawardi, Abu Ya'la al-Farra, Imam al-Juwaini dan lain-lainnya iaitu "menegakkan agama dan mentadbir bumi dengannya".

Politik hendaklah kerana ingin menegakkan dalam sebuah negara semua hukum-hakam Islam merangkumi hukum hakam ibadat, hukum hakam kekeluargaan, hukum hakam kemasyarakatan, hukum hakam ekonomi melibatkan cara menjana pendapatan, kontrak dan transaksi kewangan Islam, hukum hakam jenayah melibatkan jenayah agama, nyawa, maruah, harta dan akal dan hukum hakam pengurusan negara.

Politik hendaklah bertujuan menegakkan pemerintahan Islam menerusi seorang pemerintah Islam yang beriman, bertakwa lagi adil.

Politik bukan perjuangan untuk mencari makan dan rezki atas nama ahli politik.

Politik juga bukan hanya kerana untuk menjatuhkan sesebuah parti dan digantikan dengan parti lain tetapi untuk menukar satu sistem pentadbiran agar mengikut prinsip dan dasar Islam sepenuhnya.

Politik bukan hanya kerana kebencian kepada kelompok tertentu tetapi kerana kebencian pada perlakuan maksiat bercanggah dengan agama seperti zalim, rasuah, amalan riba dan kemungkaran meninggalkan pelaksanaan hukum jenayah Islam.

Politik hendaklah kerana kasih dan sayang bagi menyelamatkan manusia daripada neraka Allah dan membimbing manusia ke syurga Allah.

Inilah intipati perjuangan politik Islam yang tidak sehaluan dan sejalan dengan politik sekuler yang memisahkan agama daripada pemerintahan.

Ia tidak sejalan dengan politik sosialis.

Ia tidak sehaluan dengan politik demokrasi yang bertuhankan manusia semara-mata.

Ia tidak sejalan dengan politik liberal yang ingin bebas daripada keterikatan dengan hukum agama.

POLITIK ISLAM adalah perjuangan kita.

Sekian

Rabu 8hb Februari 2017

✳ https://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/10833-risalah-penerangan-politik-islam-vs-politik-mungkar

No comments:

Post a Comment