Tuesday 7 February 2017

DAP Ulang Skrip Lama - Gagal Mengikuti Prinsip Tapi Fitnah Presiden PAS

DAP Ulang Skrip Lama - Gagal Mengikuti Prinsip Tapi Fitnah Presiden PAS

Oleh
_Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri_
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Artikel saya sebelum ini menjelaskan kegagalan Lim Kit Siang (LKS) dalam memahami prinsip Konsensus, terkeliru dengan Prinsip Keputusan Majoriti, justeru membawa kepada perpecahan PR. Kemudiannya letakkan semua kesalahan kepada Presiden PAS. Akhirnya mahkamah dan istana membuktikan Presiden PAS betul, Dap dan PKR jelas bersalah sehingga terpaksa memohon maaf.

2. Kemudian YB Theresa Kok cuba menegakkan benang yang basah dan lusuh dengan mengatakan keputusan telah dibuat oleh wakil wakil Pas dalam mesyuarat. Presiden PAS lah yang tidak mengikut keputusan dan buat "U turn".

3. Walaupun nama beliau mengingatkan saya kepada Mother Theresa yang diangkat oleh gereja Kristian setaraf santa (sainthood seumpama wali dalam Islam), rupanya Theresa Kok gagal mengikuti teladan Mother Theresa bagi penganut Kristian.

4. Saya heran.
Heran kerana seolah olah kepimpinan DAP terlalu naif terhadap prinsip prinsip Pengurusan yang baik. Adakah Theresa, Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng kesemuanya benar- benar jahil dalam proses membuat keputusan dalam sesebuah organisasi? Sedang mereka orang lama dalam kepimpinan parti?

5. Bagaimana mereka mengurus parti dan apalagi sebuah kjaan negeri, jika begitu? Sangat mengherankan.

6. Akal yang munasabah tidak dapat menerima kepimpinan tinggi sebuah organisasi besar seperti Dap yang begitu berpengalaman serta latar belakang pendidikan yang tinggi, gagal memahami prinsip mudah pembuatan keputusan seperti Keputusan Konsensus,  Keputusan Majoriti, dan Keputusan Mesyuarat Perwakilan.

7. Jika mereka bukan jahil, maka hanya ada satu penjelasan kenapa mengambil sikap berkenaan iaitu *sengaja mencipta alasan memburukkan dan memfitnah Presiden Pas dengan niat yang tidak baik.*

8. Tidak sukar untuk menelah motivasi mereka bersikap demikian.

*Tektik Pecah-Perintah Terhadap PAS*

9. Politik Malaysia berteraskan kuasa Islam-Melayu. Tidak ada sesebuah parti politik yang akan dapat menguasai lanskap politik negara tanpa menguasai politik Islam-Melayu.

10. Dap bercita cita besar menerajui pentadbiran negara dengan bantuan kepimpinan  parti -parti Melayu pembangkang. Parti-parti Melayu ini memberi mereka sebuah keabsahan (legitimasi) kpd penguasaan Dap dalam pentadbiran negara. Jawatan PM bukan masalah besar kepada Dap.

11. Ramai pemimpin Melayu bersedia menjadi Pak Angguk, dengan imbuhan yang setimpal. Asalkan Dap menguasai kabinet, itu sudah cukup. Di depan, Pak-Pak Angguk Melayu membuat kenyataan, di belakang Dap yang buat keputusan. Barangkali menjadi boneka.

12. Malangnya parti-parti Melayu tersebut tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Orang Melayu hanya pilih antara Umno atau Pas.

13. Oleh kerana Umno/BN adalah seteru politik Dap hari ini (mungkin tidak pada masa akan datang), maka tidak mungkin mereka bersama Umno/BN. Agenda Umno-phobia Dap dan sekutunya telah berjaya dimainkan begitu berkesan sekali khasnya dalam kalangan rakyat Bukan Islam.

14. Slogan Asal Bukan Umno (ABU) cukup popular dalam PRU 13. Berkerjasama dengan Umno/BN bererti menjilat ludah sendiri dan tidak akan dimaafkan penyokong mereka. Walaupun cubaan dibuat pasca PRU ke 13 dengan tawaran Konsensus Nasional dan Konsiliasi Nasional, namun, tiada sambutan oleh rakyat.

15. Harapan DAP untuk menguasai  politik Melayu hanya tinggal dengan PAS.

16. Tapi PAS lain daripada Umno. PAS parti berprinsip dengan rujukan al-Quran dan al-Sunnah. PAS bukan hanya bercakap soal Melayu, tapi PAS sangat kuat memperjuangkan Islam.

17. Maka bagaimana Dap mahu mendekati dan menguasai PAS sedangkan Islamophobia adalah senjata utama Dap menarik sokongan bukan Islam selama ini.

18. Kerjasama erat dengan PAS membawa risiko ditolak oleh penyokong tegar kalangan bukan Islam. Dap sudah mencuba semasa di bawah Barisan Alternatif awal 2000. Akhirnya Dap isytihar keluar BA kerana takut undi penyokong Cina lari, lantaran rapat dengan Pas.

19. *Maka menghancurkan PAS adalah amat penting kepada Dap.Tektik "pecah-perintah" perlu dilaksanakan terhadap PAS.*

*Manfaat Kehancuran PAS Bagi DAP*

20. Dengan PAS hancur, Dap dapat dua manfaat besar:

1. Penyokong PAS akan berpindah kepada parti parti pembangkang Melayu yang telah pun berada dalam saku Dap.

2. Dap akan menarik pengundi bukan Melayu kekal bersama Dap. Lebih kuat Dap serang Pas dan Islam, lebih kuat sentimen sokongan Bukan Islam khasnya masyarakat Cina kepada Dap.

21. Masyarakat bukan Islam ditakut-takutkan dengan pelampau Islam, jihad Islam, Negara Islam , Hudud, Syariah dan seumpamanya.

22. Pindaan undang undang jenayah syariah dijaja sebagai langkah orang Melayu utk memaksa bukan Islam berada di bawah undang undang Islam. Islamophobia ini dimainkan Dap, ditambah dengan Islamophobia ciptaan Barat-Yahudi yang disebarkan sekian lama, termakan oleh sebahagian masyarakat bukan Islam di Malaysia.

23. Maka lebih banyak Dap serang PAS dan Islam, lebih kuat mereka menarik sokongan besar Cina dan bukan Islam.

24. Ringkasnya, dengan menyerang dan melemahkan PAS, Dap akan dapat sokongan bukan Melayu, dan juga menguasai sokongan Melayu melalui parti-parti pembangkang Melayu yang menarik penyokong penyokong Pas.

25. *Sebab itu menyerang PAS dan Presidennya adalah penting bagi Dap.*

26. Inilah motivasi yang membentuk sikap mereka kepada Presiden Pas. Serangan berterusan mesti dilakukan. Biarpun di atas alasan yang paling dangkal.

27. *Jadi bukan mereka tidak memahami prinsip prinsip pengurusan dalam proses pembuatan keputusan, tetapi mereka sengaja berniat jahat menyerang PAS dan Presidennya.*

28. Kekeliruan mereka terhadap prinsip Konsensus dan prinsip Majoriti telah dijelaskan dalam artikel saya sebelum ini.

Rujuk:

http://drtakiri.blogspot.co.at/2017/02/lim-kit-siang-tak-faham-prinsip_7.html?m=1

*Kegagalan Memahami Proses Membuat Keputusan*

29. Kali ini saya mahu menunjukkan kegagalan mereka "memahami" *proses membuat keputusan secara perwakilan* atau sengaja tidak mahu menerimanya.

30. Menjadi kebiasaan untuk mana mana organisasi menghantar wakil mereka ke mesyuarat-mesyuarat. Seringkali wakil yang dihantar bukanlah pemimpin tertinggi masing masing. Timbalan atau Setiausaha atau mana mana pimpinan yang sesuai dengan keperluan mesyuarat dihantar sebagai wakil.

31. Perwakilan ini sifatnya hanya lah membawa mesej dan isu tertentu untuk dibincangkan, sekaligus mendapatkan maklumbalas daripada pihak organisasi atau parti lain.

32. Bagi keputusan keputusan besar melibatkan dasar khasnya, wakil-wakil tidak dibenarkan membuat keputusan. Adalah sedia dimaklumi oleh semua yang berpengalaman dalam mesyuarat pelbagai pihak ini bahawa wakil- wakil akan membawa maklumbalas ke parti masing masing untuk diperhalusi dan dibuat keputusan akhir.

33. Bagi PAS, wakilnya akan membentangkan kepada lajnah atau biro berkenaan, yang kemudiannya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang seterusnya membawanya ke Majlis Syura Ulamak untuk dibuat keputusan akhir jika melibatkan hukum.

34. Semasa kemelut Selangor dahulu bermula dengan Langkah Kajang, membawa kepada usaha menjatuhkan  Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar,  pengengkaran arahan Istana, dan konflik 3 penjuru di beberapa kerusi di Pru 13, Dap dan Pkr dengan amat jelas telah tidak menghormati prinsip Konsensus, dan prinsip Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju sehingga membawa kepada pergeseran dalaman PR seterusnya perpecahan Dap daripada PR.

35. Bagi menutup kesalahan mereka melanggar prinsip-prinsip tersebut, mereka membuat cerita bahawa kononya Konsensus telah dicapai semasa meayuarat yang dihadiri wakil wakil Pas. Fitnah dilemparkan kepada Presiden Pas yang mengubah keputusan yang telah dipersetujui bersama itu.

36. Soalnya benarkah telah dipersetujui bersama secara konsensus? Bolehkah mesyuarat perwakilan itu diambil sebagai keputusan akhir parti masing masing? Adakah proses pembuatan keputusan dalam kesemua parti sama?

37. Jika LGE atau Anwar boleh membuat keputusan berseorangan yang sekaligus menjadi keputusan parti mereka, PAS mengambil pendekatan kolektif. Maka wakil PAS perlu membawanya kepada mesyuarat-mesyuarat PAS sebelum diputuskan, seperti dijelskan di atas. Apa tah lagi kalau mesyuarat tersebut hanya dihadir wakil di peringkat lebih rendah. 

38. Timbalan Presiden Pas ketika itu, mahupun Pengarah Pilihanraya, atau Pengarah Penyelidikan Pas atau mana-mana AJK Pas Pusat, mereka semuanya hanyalah wakil kepada PAS ke mesyuarat berkenaan dan tidak berhak dan tidak sah membuat keputusan akhir bagi PAS.

39. Jika pimpinan Dap dan Pkr gagal memahami pinsip prinsip ini dan gagal menghormati proses biasa yang diambil PAS, maka memanglah PR hanya menunggu kehancuran, hanya cepat atau lambat sahaja.

40. Dalam mesyuarat PAS-PPBM baru-baru ini, senario serupa cuba dimainkan balik oleh LKS, LGE dan pimpinan lain Dap, dan PKR. Mereka melakonkan semula skrip lama yang membawa perpecahan PR dahulu. Cuma sekarang mungkin ada tokoh baru seperti Tun Mahathir memainkan peranan mencurah minyak kepada api fitnah ini.

41. *Sekali lagi, Presiden PAS menjadi sasaran fitnah jahat mereka.* Bukan mereka tidak faham proses membuat keputusan, tetapi mereka sengaja berniat jahat.

42. Mereka mengatakan keputusan sebulat suara (konsensus) dalam mesyuarat wakil-wakil parti, dan keputusan tersebut adalah muktamad tetapi Presiden PAS buat "U turn" tukar keputusan.

42. Sedangkan Presiden PAS hanya bertegas bahawa PAS belum membuat keputusan akhirnya berkaitan PAS-PPBM ini dan keputusan mesyuarat wakil-wakil tersebut bukan muktamad.

*Skrip lama cuba diberi lakonan baru oleh watak-watak lama dan baru di bawah arahan Dap.*

Sekian.

Selasa 7hb Februari 2017

http://www.facebook.com/drtakiri/

http://www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment