Sunday 27 July 2014

MB Selangor; Penghargaan Atas Sokongan TG Nik Aziz

Kenyataan Media
27 Julai 2014
Penghargaan Atas Sokongan Mursyidul Am PAS

Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pencerahan yang diberikan oleh Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), YB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat & Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob, yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Kelantan.

Saya memohon maaf kerana isu di Selangor ini secara langsung atau tidak langsung telah memberi kesan kepada rutin mereka khususnya di 10 hari terakhir Ramadan yang kebiasaannya diisi dengan urusan ibadah, namun terpaksa disulami dengan kemelut politik pula.

Saya juga memohon maaf kepada rakyat Selangor khususnya yang beragama Islam kerana isu yang disensasikan di bulan yang mulia ini sedikit sebanyak telah mengheret mereka untuk turut resah dan keliru atas polemik yang berlaku.

Saya berjanji sempena akhir Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang, saya akan pastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor diurus dengan sebaik-baiknya sebagaimana mandat yang diberikan rakyat sejak 2008 dan akan meneruskan kecemerlangan Selangor agar pentadbiran di negeri ini memperoleh keberkatan Allah SWT.

YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

No comments:

Post a Comment