Tuesday 8 July 2014

Manisnya Ukhuwwah Fillah - Tazkirah Ramadhan siri 4

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 4)
Manisnya Ukhuwwah fillah Persaudaraan Kerana Allah

1. Allah Ta'ala berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: "Orang yang sebenar-benar mukmin adalah orang-orang bersaudara. Justeru, damaikanlah antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu dirahmati"
Surah al-Hujuraat; 10

2. Ayat ini menjelaskan hakikat sebenar seorang yang benar-benar beriman kepada Allah iaitu seorang yang meletakkan seorang mukmin yang lain adalah sebagai saudaranya. Inilah akhlak mereka yang mendambakan rahmat Allah Ta'ala.

3. Kemanisan berukhuwwah fillah sangat dirasai dan dijiwai oleh para Sahabat Nabi saw. Hasilnya dua suku Aus dan Khazraj yang sebelumnya bermusuhan diikat hati dan perasaan mereka oleh iman dan cintakan syurga. Mereka diberi gelaran baru oleh Nabi saw iaitu Ansar bermaksud pembantu-pembantu agama Allah.

4. Kehadiran golongan Muhajirin daripada kalangan orang Arab Quraisy yang berhijrah kerana menyelamatkan akidah mereka ke negeri baru Yathrib sehingga meninggalkan harta dan tanah air disambut dengan dada yang lapang dan penuh kasih sayang oleh golongan Ansar iaitu Aus dan Khazraj sehingga mereka sanggup berkongsi harta dan apa yang mereka miliki. Justeru, terbelalah nasib Muhajirin yang terpaksa bergelandangan sementara waktu ke negeri asing tanpa harta dan keluarga. Perihal Muhajirin dan Ansar ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Hasyr ayat 8-9.

5. Saudara adalah orang yang sentiasa disayangi dan dikasihi. Saudara adalah seorang yang sentiasa dibantu dan ditolong. Saudara adalah seorang yang sentiasa dipertahan dan dijaga darah, maruah dan kehormatannya. Maka seorang mukmin yang sebenar adalah seorang yang sentiasa mengasihi dan menyayangi muslim yang lain lalu berusaha membantu dan menolongnya dalam apa keadaan dan suasana serta mempertahankan darahnya dan kehormatan dirinya.

6. Seorang mukmin berpegang bahawa seorang muslim yang lain adalah saudaranya yang perlu disayangi dan dikasihi. Sayang dan kasih mendorong satu perasaan iaitu inginkan kebaikan yang terbaik untuk saudaranya. Untuk itu, Nabi saw bersabda:
لا يُؤمِنُ أحدُكم حتى يُحِبَّ لأخيه ما يُحِبُّ لنَفْسِه
Maksudnya: "tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi (menginginkan) untuk saudaranya apa yang dikasihi (diinginkan) untuk dirinya".
Hadis Sahih Bukhari

7. Seorang mukmin berpegang bahawa saudaranya mesti dijaga kehormatan dan tidak dibiarkan untuk dizalimi haknya. Nabi saw bersabda dalam hadis yang panjang menggariskan hak persaudaraan;

لَا تَحَاسَدُوا ، وَلَا تَنَاجَشُوا ، وَلَا تَبَاغَضُوا ، وَلَا تَدَابَرُوا ، وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ ، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا ، الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ ، لَا يَظْلِمُهُ ، وَلَا يَخْذُلُهُ ، وَلَا يَكْذِبُهُ ، وَلَا يَحْقِرُهُ ، التَّقْوَى هَاهُنَا - وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ - بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ : دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ رَوَاهُ مُسْلِمٌ .
Maksudnya: "janganlah kamu dengki mendengki. Janganlah sengaja menawar ketika lelongan untuk menaikkan harga lelongan. Janganlah benci-membenci. Janganlah saling berpaling belakang. Janganlah menjual sebahagian kamu atas jualan saudaranya. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Muslim adalah saudara muslim. Dia tidak menzalimi saudaranya. Tidak mengecewakannya (ketika memerlukan bantuan). Tidak membohonginya. Tidak menghinanya. Taqwa adalah di sini -sambil baginda menunjuk ke arah dada baginda 3 kali-. Cukuplah kejahatan seseorang iaitu menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim adalah wajip ke atas muslim yang lain menjaga kehormatan darah, harta dan maruahnya"
Hadis Sahih Muslim

8. Ukhuwwah fillah atau persaudaraan Islam adalah satu ikatan hubungan yang kuat disebabkan ikatan Syahadah dan iman kepada Allah. Marilah ketika mengukuhkannya apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tiada yang kita harapkan melainkan belas ihsan dan rahmat daripada Allah untuk ke syurganya.

Disediakan oleh
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Selasa 10 Ramadhan 1435 H / 8hb Julai 2014

No comments:

Post a Comment